Wednesday, September 27, 2023
HomeArtikelBelia Gelandangan: Apa Punca Dan Jalan Penyelesaiannya?

Belia Gelandangan: Apa Punca Dan Jalan Penyelesaiannya?

Isu gelandangan merupakan isu yang berkaitan dengan masalah sosial yang membimbangkan di Malaysia. Kini gelandangan bukan sahaja terdiri daripada orang dewasa dan warga emas tetapi sudah banyak yang gelandangan yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja atau dikenali sebagai Belia Gelandangan.

Apa itu belia gelandangan? Golongan belia gelandangan adalah golongan muda yang tidak mempunyai kediaman tetap dan tinggal di jalanan atau di tempat awam.

Belia gelandangan sering menghadapi pelbagai masalah, seperti kekurangan akses kepada pendidikan, pencabulan hak asasi manusia, gangguan seksual, penyalahgunaan dadah, dan risiko terlibat dalam aktiviti jenayah.

Faktor Yang Mendorong Kepada Masalah Gelandangan

Golongan yang tidak bernasib baik ini biasanya menjadi gelandangan adalah disebabkan oleh faktor kehidupan mereka yang mendorong kepada masalah ini. Antaranya adalah kerana kemiskinan dan ketidaksamaan ekonomi, gangguan kesihatan mental, serta perubahan sosial dan bandar.

Kebanyakan daripada mereka merupakan golongan yang tiada tempat tinggal, tidak bersekolah dan tiada pekerjaan. Mereka hanya dibenarkan bekerja sekurang-kurangnya berumur 13 tahun dan hanya dibenarkan membuat kerja-kerja ringan.

Menurut Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan)(Pindaan) 2019 (Akta A1586) di mana kanak-kanak adalah orang yang berumur 15 tahun ke bawah dan orang muda pula adalah mereka yang berumur 18 tahun ke bawah.

Seksyen 2 (2A) akta yang sama telah menyatakan bahawa umur minimum yang membolehkan seseorang bekerja ialah 13 tahun di mana hanya kerja ringan sahaja dibenarkan. Kerja ringan bermaksud pekerjaan yang tidak mendatangkan bahaya dan keburukan kepada minda, mental atau fizikal seseorang atau pun kemampuan serta menganggu kehadirannya ke sekolah.

Masalah ini menjadi lebih buruk apabila ibu bapa mereka sendiri tidak dapat menanggung mereka seperti tidak memberikan tempat tinggal, makanan yang mencukupi dan sebagainya. Terdapat juga golongan belia yang lari daripada rumah disebabkan tekanan daripada rumah. Hal ini menyebabkan mereka terpaksa merempat di lorong-lorong dan tidur di kaki lima.

Golongan ini juga kebiasaan datang daripada keluarga yang sangat susah, mereka sanggup berhijrah daripada luar bandar ke bandar demi mencari sesuap nasi. Mereka menganggap bahawa apabila berhijrah mereka akan mendapatkan pekerjaan yang lebih baik daripada di luar bandar tetapi hakikatnya di bandar banyak cabaran yang perlu dihadapinya.

Usaha Menangani Masalah Gelandangan

Selain itu, pelbagai usaha telah dijalankan bagi memastikan golongan belia yang terlibat dalam gelandangan ini mendapatkan kehidupan yang lebih balik. Antaranya adalah pihak kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam membanteras isu ini.

Kerajaan Malaysia telah melakukan beberapa usaha untuk menangani masalah gelandangan belia. Mereka telah menubuhkan pusat pegangan khas untuk belia gelandangan, menyediakan bantuan kesihatan dan pemulihan, dan menjalankan program latihan vokasional untuk membantu mereka mencari pekerjaan. Selain itu, kerajaan juga telah mengeluarkan dasar yang menyokong integrasi sosial dan integrasi semula golongan remaja gelandangan ke dalam masyarakat.

Selain kerajaan, masyarakat juga memainkan peranan penting dalam menangani gelandangan belia. Pelbagai pertubuhan masyarakat sivil, badan amal dan kumpulan sukarelawan telah aktif dalam menyediakan bantuan sosial, pendidikan, latihan vokasional dan sokongan psikososial kepada belia gelandangan.

Di samping itu, adalah penting bagi masyarakat untuk meningkatkan kesedaran tentang masalah ini, menghapuskan stigma sosial, dan memberi peluang kepada golongan gelandangan muda untuk mendapatkan semula kehidupan yang lebih baik.

Penyediaan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Pemulihan kepada gelandangan. Ramai gelandangan mengalami masalah kesihatan mental dan ketagihan. Adalah penting untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan mental yang berpatutan dan akses kepada program pemulihan untuk golongan muda yang terlibat dalam penggunaan dadah atau alkohol.

Program Perantisan dan Kerja kepada golongan gelandangan belia. Usaha ini dapat membantu golongan muda mendapat peluang untuk perantisan atau pekerjaan yang boleh membantu mereka membina kemahiran, memperoleh pengalaman kerja dan meningkatkan peluang mereka untuk melarikan diri dari gelandangan.

Cabaran Menangani Masalah Ini

Walaubagaimanapun terdapat juga cabaran yang dihadapi oleh pihak yang ingin membantu golongan gelandangan ini seperti hilangnya semangat untuk menjadi orang yang lebih baik.

Hal ini demikian kerana golongan gelandangan ini sering dipandang hina kerana hidup merempat serta tidak mempunyai pendidikan dan pekerjaan. Mereka juga sering dipukul dan dibuli oleh gangster-gangster. Disebabkan perkara ini, mereka perlu menyertai aktiviti keganasan untuk pelindungan diri.

Hal ini menyebabkan mereka sukar berubah kerana sudah selesa dalam keadaan ini. Selain itu, pengabaian yang dilakukan ibu bapa terhadap anak mereka. Hal ini demikian mereka tidak dapat mempercayai orang luar kerana ibu bapa mereka sendiri sanggup mengabaikan kehidupan anak mereka sendiri.

Mengendalikan gelandangan melibatkan pelbagai cabaran yang kompleks. Pertama, kurangnya kesedaran dan kefahaman orang ramai tentang masalah gelandangan menyukarkan untuk membantu mereka. Selain itu, masalah kekurangan tempat tinggal yang mencukupi, akses terhad kepada perkhidmatan kesihatan dan pemulihan, dan keperluan untuk sokongan psikososial adalah cabaran lain yang dihadapi dalam menangani gelandangan.

Kesimpulannya, golongan gelandangan belia adalah kumpulan yang terdedah di Malaysia dan tindakan balas yang berkesan memerlukan kerjasama antara kerajaan, masyarakat dan organisasi yang berkaitan. Terdapat keperluan untuk pendekatan yang komprehensif untuk menyediakan pendidikan, latihan kemahiran, perkhidmatan kesihatan dan sokongan psikososial kepada belia gelandangan. Dengan usaha yang betul, ini diharapkan dapat memberi peluang yang lebih baik kepada golongan gelandangan belia untuk membina kehidupan yang lebih stabil dan bermakna.

Penulis:

1) Nisya Erin Natasya Binti Suhaizan - Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. 

2) Dr Velan Kunjuraman - Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
RELATED ARTICLES

Most Popular