Sunday, September 25, 2022
HomeMasyarakatBerada di wad NICU selama lebih setahun, kisah jururawat dan doktor ini...

Berada di wad NICU selama lebih setahun, kisah jururawat dan doktor ini patut di hargai – Happy Nurse Day

Add a little bit of body text

Pada setiap 12 Mei, masyarakat dunia meraikan satu hari yang cukup istimewa buat insan yang bergelar Jururawat. Sambutan ini di raikan bagi menghargai sumbangan para jururawat terhadap masyarakat.

Dalam meraikan hari tersebut, pelbagai kisah suka dan duka yang menyentuh hati di ceritakan samaada di media sosial ataupun dalam sesebuah majlis.

Bagi seorang Dr Rehabilitasi yang bernama Kamarul Ariffin Nor Sadan beliau mempunyai kisah menarik untuk dikongsikan bersama anda semua bersempena Hari Jururawat Sedunia.

=======

Di hospital dulu, antara pesakit yang paling lama kami pernah jaga adalah seorang bayi perempuan bernama Yusra.

Sejak lahir, sehingga umurnya setahun lebih, bayi ini berada dalam NICU kerana kondisinya yang memerlukan bantuan mesin ventilator untuk bernafas. Tugas saya ketika itu adalah untuk menjaga luka lubang ventilasi di kerongkongnya dan di kepala.

Dewi sentiasa dalam keadaan tidak sedarkan diri. Tak bergerak. Macam sleeping beauty yang sedang tidur. Menanti putera yang tak kunjung tiba, sambil ditemani orang kerdil yang menjaganya tidur.

Kamilah orang-orang kerdil tu. Para doktor dan jururawat.

Ahli keluarga bayi ni pada mulanya kerap datang melawat, namun semakin hari bertambah, semakin jarang, dan sampai satu tahap, hanya datang bila dipanggil oleh pihak hospital.

Maka, tanggungjawab menjaganya jatuh dibahu para jururawat. Jururawatlah yang beri susu melalui tiub di hidungnya. Jururawat yang membersihkan najisnya.

Malah, nama Yusra itu pun mereka yang beri.

Ia nama timangan yang diberi oleh jururawat NICU kepada bayi itu memandangkan tiada nama rasmi yang didaftar untuk bayi ni oleh ahli keluarga. Kerana ni nama timanganlah saya berani gunakan nama ini.

Rutin saya adalah untuk melawat Yusra setiap 2-3 tiga hari sekali untuk menukar balutan luka. Kerap juga ketika saya bertandang ke bilik Yusra, terlihat jururawat sedang bercakap-cakap dengan Yusra. Ada masanya menyanyi untuknya.

“Yusra, birthday Yusra hari ni tau. Bila Yusra nak OK?”

Itu antara dialog yang saya dengar pada salah satu lawatan saya ke NICU. Nadanya tak ubah seperti yang biasanya diucap oleh seorang ibu kepada anaknya yang sakit. Tangannya pula sedang sibuk menukar lampin Yusra.

Di bingkai katil, kelihatan tertampal kad sambutan hari lahir. Buatan tangan dan dipenuhi ucapan hari lahir para jururawat dan petugas NICU yang lain. Syahdu pula lihat situasi tu.

Menjaga bayi di NICU adalah tugas para jururawat, namun memberi nama yang indah-indah adalah sesuatu yang peribadi, sesuatu yang intim, sesuatu yang insani, yang hanya berlaku jika ada kasih dan sayang di dalam hati.

Sambutan hari lahir Yusra juga bukti Yusra bukan cuma seorang pesakit di NICU pada para jururawat, tetapi seorang kanak-kanak yang selayaknya dirai walaupun sejak lahir hingga umurnya mencecah 365 hari, dia hanya berbaring di dalam katil di NICU.

Seingat saya juga ada mereka belikan baju raya buat Yusra. Warna kuning jika tak silap. Yusra kena pakai pakaian hospital, jadi mereka bentang baju itu dibatas dadanya. Seolah-olah Yusra memakainya.

Setelah menumpang kasih selama setahun lebih di NICU, akhirnya tiba masa untuk dia pulang. Kami bersedih, malah pegawai dari jabatan kebajikan sosial perubatan mengalirkan air mata. Yusra pulang menemui kekasih abadi, penciptanya.

Saya harap Yusra menanti ibu-ibunya di pintu syurga dengan senyuman. Itu sahaja yang mampu saya doakan buat para jururawat yang menjadi ibu buat Yusra sepanjang hayatnya di dunia ni.

Terima kasih juga buat semua jururawat yang akan, sedang, dan telah berbakti dengan penuh dedikasi kepada masyarakat. Selagi mana kalian bertugas dengan kasih sayang, selagi itu kami semua akan doakan kebaikan buat kalian.

Salam Ramadan.

Selamat Hari Jururawat.

Selamat Hari Ibu.

Moga diberkati sentiasa olehNya.

Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Yang menghargai kalian

RELATED ARTICLES

Most Popular