Friday, June 24, 2022
HomeArtikelBerat Badan Naik Ketika PKP? 3 Tips Bagi Mengawal Berat Badan

Berat Badan Naik Ketika PKP? 3 Tips Bagi Mengawal Berat Badan

Kes pertama Covid-19 mula dikesan di Malaysia pada 25 Januari 2020 melibatkan tiga pelancong China yang merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 di Singapura. Sejak itu, kita dapat melihat hampir setiap hari terdapat kes baharu yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagi mencegah penularan wabak Covid-19, pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan. Antara langkah yang diambil adalah dengan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan atau dikenali sebagai PKP.

Umumnya, terdapat empat jenis Perintah Kawalan Pergerakan iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Setiap satu mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) tersendiri yang boleh dirujuk di laman web rasmi berkenaan Covid-19 yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain Malaysia, negara lain seperti China dan Singapura juga telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan ‘lockdown’ bagi membendung penularan virus Covid-19. Pergerakan yang terbatas di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan telah menyebabkan sebahagian daripada kita mengalami peningkatan berat badan.

Bukan sahaja di Malaysia, rakyat di negara lain juga mengalami situasi sebegini ketika ‘lockdown’ dijalankan di negara mereka. Selain faktor pergerakan yang terhad, terdapat juga faktor lain yang menyumbang kepada masalah ini.

Menurut kajian yang dilakukan ke atas lebih daripada 10,000 responden di Massachusett, sebuah negeri yang terletak di timur laut Amerika Syarikat, kajian mendapati  antara faktor yang menyumbang kepada kenaikan berat badan adalah peningkatan gaya hidup sedentari, pengurangan aktiviti fizikal dan senaman, peningkatan masalah kebimbangan melampau dan ketegangan jiwa serta masalah yang berkaitan hingga mendorong untuk makan secara berlebihan.

Selain itu, kajian yang dilakukan di Sepanyol mendapati pengurangan aktiviti fizikal dan peningkatan aktiviti makan secara berlebihan terutama melibatkan makanan dan minuman bergula merupakan penyumbang utama kepada peningkatan berat badan ketika ‘lockdown’ dijalankan.

Malah, peningkatan gaya hidup sedentari atau gaya hidup tidak aktif seperti duduk atau baring dalam jangka masa yang lama berupaya meningkatkan risiko menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit kardiovaskular dan kanser juga menyumbang kepada permasalahan ini.

Individu yang mengalami peningkatan berat badan yang tidak dikawal sehingga berlebihan boleh mengakibatkan peningkatan Indeks Jisim Badan (BMI) seterusnya mereka boleh diklasifikasikan sebagai obesiti.

Ketua Epidomologi Perancis, Jean-Francois Delfraissy berkata individu yang mengalami masalah obesiti mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti virus Covid-19. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga berkata mereka yang mengalami masalah obesiti berdepan risiko mengalami komplikasi jangkitan kuman berlipat kali ganda berbanding hanya radang paru-paru seperti yang dialami oleh pesakit Covid-19 yang lain.

Individu yang mengalami obesiti juga perlulah mendapatkan rawatan secepat mungkin apabila dijangkiti virus Covid-19 bagi mengelakkan komplikasi kesihatan yang lebih dahsyat. Kita dapat lihat betapa seriusnya masalah yang bakal dihadapi sekiranya seseorang individu hanya memandang enteng kenaikan berat badan yang dialami dan tidak berusaha untuk mengawalnya.

Oleh itu, apakah tips yang dapat kita lakukan bagi mengawal berat badan ketika menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

1.    Meningkatkan Aktiviti Fizikal Atau Bersenam.

Pergerakan yang terhad di dalam rumah bukanlah satu alasan untuk kita tidak bersenam. Terdapat pelbagai jenis senaman yang boleh dilakukan seperti lompat tali, lari setempat, tekan tubi, turun naik tangga dan lain- lain.

Kita juga boleh mengajak ahli keluarga yang lain untuk mengadakan aktiviti senaman seperti aerobik atau zumba bersama. Ini bukan hanya akan meningkatkan semangat kita untuk terus bersenam malah ia juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Selain itu, kita juga dapat melakukan senaman dengan berpandukan video yang terdapat di laman Youtube. Kewujudan pelbagai jenis video senaman di laman Youtube menunjukkan bahawa senaman tetap boleh dilakukan di rumah kita sama ada di ruang tamu atau bilik tidur walaupun tanpa peralatan spesifik.

Ia juga dapat mematahkan alasan tidak mahu bersenam kerana tidak dapat keluar ke gimnasium, pusat kecergasan atau ke taman. Dengan melakukan senaman, kita dapat memastikan badan kita kekal cergas, menguatkan jantung dan otot sekali gus dapat menurunkan atau mengekalkan berat badan.

2.    Mengamalkan Pemakanan Yang Sihat

Sejak pertama kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan, terdapat pelbagai menu-menu viral yang menarik untuk dicuba seperti kopi dalgona. Kemudahan membeli makanan secara atas talian melalui perkhidmatan tempahan makanan seperti FoodPanda dan GrabFood juga menyebabkan sesetengah individu cenderung untuk membeli makanan lebih kerap.

Tahukah anda Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui laman Facebook dan Twitter rasmi mereka telah berkongsi “7 Rahsia Kurus Tanpa Berlapar”? Antara tips yang dikongsikan ialah dengan mengamalkan pinggan sihat Malaysia atau diet suku suku separuh ketika makan.

Bagaimanakah cara untuk mengamalkan diet suku suku separuh? Pertama, dengan mengisi suku pinggan sumber protein seperti ikan atau lain- lain. Setelah itu, sumber karbohidrat seperti nasi diisi sebanyak suku pinggan. Akhir sekali, lebihan separuh ruangan pinggan diisi dengan buah dan sayur.

Sumber: Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tips lain yang disarankan adalah dengan memilih makanan yang tinggi serat seperti roti mil penuh dan nasi beras perang, memulakan setiap sesi makan dengan buah, salad atau sup sayur, memastikan sumber protein seperti ikan, ayam atau lain-lain disajikan setiap kali waktu makan utama. Selain itu, kita juga disarankan untuk menggunakan pinggan yang lebih kecil serta mengunyah makanan lebih lama.

Akhir sekali, kita juga hendaklah mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi gula dan garam. Selain dapat membawa kepada masalah berkaitan gigi, ia juga dapat meningkatkan risiko menghidap penyakit diabetes dan penyakit kronik yang lain.

Kita hendaklah mengamalkan tabiat memeriksa kandungan gula dan garam pada label makanan setiap kali membeli selain mengehadkan pengambilan makanan segera dan makanan dalam tin.

Tabiat lain yang patut dipraktikkan adalah dengan menggantikan minuman manis kepada air kosong serta menggantikan makanan bergula kepada buah sebagai pencuci mulut. Janganlah disebabkan tabiat kita yang tidak mengamalkan pemakanan yang sihat ketika berada di rumah sewaktu Perintah Kawalan Prgerakan (PKP) dijalankan yang bertujuan untuk mencegah diri daripada virus Covid-19 merisikokan diri kita kepada penyakit lain.

3.    Menetapkan Rutin Harian

Jika kita hanya mencuba untuk mengamalkan gaya hidup sihat hanya sehari dan mengabaikannya pada hari lain, sudah tentulah ia tidak dapat memberikan manfaat kepada tubuh badan. Sebaliknya, kita perlulah menetapkan rutin harian dan mendisiplinkan diri untuk mengikuti rutin yang telah dibuat. Aktiviti seperti senaman, waktu makan dan waktu tidur juga boleh dimasukkan ke dalam rutin ini.

Dengan menetapkan rutin harian, kita dapat mengelakkan diri daripada mudah merasa bosan atau menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Kita juga dapat memastikan diri mendapat rehat yang secukupnya.

Selain itu, aktiviti menarik dan berfaedah seperti membaca buku atau mempelajari bahasa juga boleh dimasukkan ke dalam rutin harian. Ia bukan sahaja dapat mengisi waktu lapang malah dapat menambah ilmu pengetahuan.

Kesimpulannya, walaupun kita hanya berada di rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita perlulah sentiasa menitik beratkan kesihatan diri. Selain tips-tips yang telah dikongsikan, terdapat juga tips-tips lain yang boleh kita amalkan dalam usaha menjaga atau mengawal berat badan.

Semoga dengan mengamalkan gaya hidup sihat walaupun ketika berada di rumah, kita dapat melindungi diri daripada penyakit-penyakit yang tidak diingini. Janganlah disebabkan kita hanya fokus melindungi diri daripada virus Covid-19 dan memandang enteng kepada hal lain menyebabkan kita merisikokan diri kepada penyakit lain. Ingat, mencegah lebih baik daripada merawat. Oleh itu, sayangi dan hargailah tubuh badan kita.

Penulis; Nur Dini Binti Zahari, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular