Berfikir Sejenak Tentang Iktibar Daripada Pandemik Covid-19

0
121
Berfikir Sejenak Tentang Iktibar Daripada Pandemik Covid-19

Hari raya Aidilfitri tahun ini merupakan sambutan kali kedua dalam suasana tidak gembira dan suram akibat negara kita dilanda pandemik COVID-19 yang juga terus membelenggu seluruh dunia.

Aktiviti balik kampung, bersalaman di pagi raya bersama sanak-saudara, ziarah-menziarah dan aktiviti-aktiviti lain yang selama ini menjadi budaya masyarakat Islam di Malaysia, tidak dapat diraikan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0), yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi membendung pandemik di negara kita.

PKP 1.0 diisytiharkan di Malaysia pada 18 Mac tahun lalu. Sejak itu pelbagai versi PKP telah dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan. Namun sejak akhir-akhir ini, jumlah jangkitan virus ini terus melonjak naik hampir mencecah setengah juta kes.

Dengan peningkatan jumlah jangkitan harian mencecah 7,000 pesakit manakala bilangan kematian tertinggi setakat ini, sebanyak 59 kes telah direkodkan pada Khamis lalu, keadaan amat menakutkan. Isu yang lebih membimbangkan adalah kemampuan perkhidmatan kesihatan dan barisan hadapan kini berada di tahap kritikal dan maksimum.

Di tengah-tengah kekalutan penularan wabak Covid-19, sikap menuding jari siapa yang sepatutnya dipersalahkan bukanlah perkara terbaik yang perlu dilakukan. Perkara sebegini sebenarnya menambahkan lagi masalah sedia ada yang dihadapi seluruh dunia.

Sebaliknya apa yang perlu dilakukan ketika ini ialah dengan bermuhasabah diri dan berfikir sejenak apa sebenarnya pengajaran dan pembelajaran yang boleh kita ambil iktibar daripada pandemik Covid-19 ini.

Ramai yang melihat Covid-19 ini sebagai satu malapetaka, namun jika kita melihat dengan mata hati, ia sebenarnya suatu yang dapat mengubah dunia yang pada ketika ini sedang tenat daripada pelbagai aspek.

1. Kesaksamaan

Wabak Covid-19 disebabkan oleh SARS-CoV-2 mengingatkan kita di atas muka bumi ini adalah semua sama tanpa mengira budaya, agama, profesion, kekayaan atau latar belakang kehidupan. Ini kerana tidak kira betapa banyak harta atau tingginya pangkat seseorang, dia juga akan terdedah kepada penyakit berjangkit sama seperti mereka yang papa kedana. Jadi, ini mungkin satu peringatan bagi kita untuk memberi layanan kepada semua orang dengan sama rata tanpa ada kurangnya.

Semua penduduk Malaysia, tanpa mengira status dan kedudukan, tidak terkecuali daripada peraturan membendung COVID-19. Tidak perlu wujud istilah kluster kayangan atau kluster bawahan. Kita perlu mengambil teladan dari negara-negara luar.

Sebagai contoh, bekas Menteri Kesihatan New Zealand telah dikenakan tindakan dan seterusnya meletakkan jawatan apabila beliau dan keluarga telah keluar beriadah semasa PKP berkuat kuasa di negara itu. Ini adalah satu tindakan yang wajar diambil kerana semasa saat getir ini, kesaksamaan sesama insan sangat perlu diamalkan di mana-mana negara sekalipun.

2. Kesan individu kepada masyarakat

Sedar atau tidak, virus yang menyerang kita ketika ini membuktikan bahawa tindakan kita semua mempunyai kesan ke atas masyarakat. Jika seorang daripada kita dijangkiti virus ini dan tidak melakukan kuarantin kendiri, ia mungkin akan merebak kepada seorang demi seorang sehinggalah kesemua daripada kita akan dijangkiti Covid-19.

Di sini, amat penting untuk kita berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa tindakan ataupun membuat sesuatu keputusan kerana ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada orang lain seterusnya kepada masyarakat setempat.

Perkara ini perlu diambil lebih serius bagi pihak atasan khususnya pihak kerajaan kerana semua keputusan berkaitan isu-isu pandemik di negara kita akan diputuskan oleh barisan kerajaan.

Maka, amat penting di sini untuk pihak kerajaan membuat seberapa banyak kajian terlebih dahulu sebelum mengumumkan apa-apa keputusan kerana ia pasti akan memberikan kesan kepada rakyat Malaysia. Justeru, sememangnya kesan yang positif perlu diambil kira untuk membendung pandemik di negara kita.

3. Kesihatan tidak ternilai

Ini mungkin merupakan satu pengajaran yang tidak ternilai dan dipelajari oleh semua orang ketika ini. Kesihatan diri kita tidak ternilai dek akal. Namun nikmat yang besar ini adakalanya dipandang remeh. Manusia kadang kala lupa untuk mensyukuri anugerah Allah dan leka dari memelihara nikmat ini sebaiknya.

Sedar atau tidak, kesihatan yang baik sudah menjadi komoditi yang sangat mahal di dalam dunia hari ini. Wabak pandemik Covid-19 mengingatkan kita bahawa kesihatan yang dikurniakan kepada kita dengan percuma ini sangat tidak ternilai harganya.

Antara golongan yang lebih cenderung untuk meninggal dunia adalah mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang sedia ada seperti darah tinggi, penyakit jantung, buah pinggang dan pelbagai lagi penyakit kronik. Mungkin sebelum ini kita tidak begitu mengendahkan penyakit-penyakit ini kerana walaupun ia berbahaya, tetapi masih boleh dikawal. Namun jika mereka ini dijangkiti Covid-19, kemungkinan untuk berdepan kematian sangat tinggi.

Pengajarannya, tidak kira sama ada wabak melanda kita atau tidak, kesihatan kita perlu menjadi perkara utama kerana tanpanya, kehidupan kita tiada lagi maknanya. Bersamalah kita menginsafi nikmat kesihatan yang dianugerahkan Allah kepada kita.

Nilainya jauh lebih tinggi dari segala kekayaan dunia yang mampu kita kumpulkan. Tidak dinafikan ada penyakit boleh berlaku di luar kawalan kita, tetapi terdapat juga penyakit terhasil dari kegagalan kita mengamalkan gaya hidup yang sihat dan corak pemakanan yang betul.

Semoga Allah memberi kesembuhan kepada mereka yang sakit di saat ini dan menambah pengetahuan dan usaha kepada kita untuk terus mengekalkan nikmat kesihatan yang telah dianugerahkanNya. Ini adalah salah satu tanda syukur kita sebagai seorang hambaNya. 

4. Hidup ini sangat singkat

Jangkitan Covid-19 sangat berbahaya, itu yang semua orang tahu. Ia juga mengingatkan kita bahawa hidup ini terlalu singkat. Jika hari ini kita bernafas dengan baik, namun jika dijangkiti Covid-19 ini, kita mungkin akan menghembuskan nafas selepas satu atau 2 minggu.

Tambahan pula, seperti kita semua sedia maklum, Kemunculan varian-varian baharu (VOC) amat merisaukan kerana kebanyakan pesakit tidak menunjukkan gejala, malah ujian saringan Covid-19 juga sering mencatatkan keputusan negatif sekalipun ada pesakit sudah berada pada tahap kritikal, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, varian-varian VOC itu juga merebak dengan lebih cepat dan dikaitkan dengan kadar kematian yang tinggi. Katanya, kebanyakan pesakit yang dijangkiti tidak menunjukkan gejala seperti batuk atau demam tetapi hanya sakit sendi, berasa lemah badan, kelesuan dan hilang selera makan. Terdapat juga kes yang terus meninggal dunia tanpa sebarang gejala awal.

Sehubungan itu, kita seharusnya menikmati hidup kita yang sementara ini dengan keluarga, sahabat, saudara-mara dan orang luar. Teruslah berbuat baik dan mengamalkan nilai murni sesama kita. Elakkan pergaduhan dan perbalahan yang tidak memberi apa-apa faedah kepada kita. Kekalkan amalan tolong-menolong yang sangat popular dalam masyarakat kita. Apabila perkara ini diamalkan, sudah tentu sedikit sebanyak kita semua dapat sama-sama membantu membendung pandemik ini.

5. Kehidupan materialisitik

Wabak Covid-19 juga menyedarkan kita betapa materialistiknya kehidupan masyarakat kita pada hari ini. Apabila masalah sebegini melanda kita semua, kita hanya memberikan perhatian kepada keperluan asas sahaja seperti tempat tinggal, air, makanan, ubat-ubatan, topeng muka, sanitizer, malah tisu.

Ini secara tak langsung menunjukkan bahawa segala barangan mewah dan duniawi yang sebahagian besar daripada kita kejarkan selama ini tidak lagi penting bagi kita. Apa yang penting bagi semua manusia tanpa mengira status hanyalah barang keperluan asas untuk meneruskan hidup.

6. Hubungan kekeluargaan

PKP yang pertama dijalankan di negara kita adalah tahun lepas sekitar bulan Mac. Perintah itu antara lain menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara dengan semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. Dengan kata lain, dalam tempoh dua minggu itu, ibu bapa dan anak-anak perlu berada di dalam rumah untuk memastikan wabak tidak terus merebak.

Sebenarnya daripada sudut positif, arahan ini secara tidak langsung memberi peluang untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang sebelum ini sukar dilakukan berikutan sibuk dengan tugas masing-masing. Jika kita tidak dibelenggu dengan wabak Covid-19 ini, mungkin kita tidak ingat tentang kepentingan masa yang diluangkan bersama ahli keluarga.

Sebahagian besar daripada masyarakat dunia ketika ini berlumba-lumba mencari kekayaan dan kemewahan sehinggakan terlupa perkara yang sangat penting dalam hidup kita iaitu keluarga. Wabak ini juga mengingatkan kita betapa banyaknya masa yang kita bazirkan selama ini.

7. Kerja bukanlah segala-galanya

Bagi sesetengah daripada kita, kerja segala-galanya bagi mereka. Ada yang bekerja 7 hari seminggu dan mendedikasikan hidup semata-mata kepada syarikat. Tidak cukup dengan itu, ada juga yang membuat perniagaan sampingan di luar waktu kerja hakiki mereka.

Wabak ini secara tak langsung mengingatkan kita bahawa pekerjaan bukanlah segala-galanya. Namun tidak dinafikan jika kita tiada pekerjaan, ia akan menyukarkan kehidupan kita. Seperti yang berlaku pada tahun lepas, Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) merekodkan seramai 99,696 pekerja diberhentikan antara Januari hingga 27 November tahun lalu akibat kesan penularan COVID-19.

Ini adalah satu berita yang menyedihkan dan membimbangkan. Namun mereka tetap perlu meneruskan kehidupan dengan mencari peluang lain. Tetapi perlu diingatkan, kita sebenarnya kerja untuk hidup, dan bukannya hidup untuk bekerja.

8. Kuasa kehendak berada di tangan kita

Akhir sekali, apabila sesuatu masalah global berlaku, kita mempunyai pilihan secara individu. Kita boleh memilih sama ada untuk bekerjasama, menyokong, berkongsi, memberi dan membantu antara satu sama lain.

Di saat-saat genting sebegini, kita haruslah berganding bahu antara satu sama lain untuk memastikan negara kita berjaya mencatatkan kes sifar seterusnya pasti kita semua dapat menjalani kehidupan seharian kita semula seperti biasa.

Penulis; Kauthar Humairah bt mohd Ismadi, Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai.