Semakin maju dunia ini, semakin banyak perkara baru yang dipelajari dan dicipta mengikut peredaran zaman. Lagi-lagi generasi pada zaman ini dilahirkan dan dibesarkan di tengah-tengah zaman yang serba moden dan berteknologi.
Sekarang, hampir semua perkara yang diperlukan boleh didapati dengan menggunakan hujung jari sahaja. Baik barangan mahupun perkhidmatan. Dengan jaringan internet yang mencukupi, semua benda boleh diselesaikan secara atas talian.
Sangat-sangat berbeza jika ingin dibandingkan dengan zaman nenek moyang kita. Taipkan sahaja pada papan kekunci akan benda yang ingin dicari, pasti keluar berpuluh carian yang menarik perhatian anda.
Oleh sebab itu, ramai yang mencuba nasib untuk membuka perniagaan sendiri secara atas talian. Perniagaan yang dijalankan secara online didapati mampu mendatangkan lebih keuntungan dengan modal yang dikeluarkan tidak terlalu banyak. Ianya kerana penjual tidak memerlukan kedai untuk disewa serta bayaran bagi tujuan pengiklanan. Kedua-dua ini tidak perlu kerana mereka boleh sahaja mengiklankannya di media sosial sendiri untuk menarik lebih ramai pembeli.
Bukan itu sahaja, ramai juga yang menjadi influencer untuk menjana pendapatan sampingan. Hanya perlu memperagakan sesuatu barangan dan secara tidak langsung ianya menjadi satu trend sehingga ke saat ini. Misalnya pemakaian pendakap gigi dan barangan berjenama. Di sini, pengguna perlulah bijak dalam membuat penilaian dan tidak terikut-ikut dengan trend supaya tidak memberi kesan yang buruk pada diri sendiri.
Pemakaian Pendakap Gigi Palsu Atau ‘Fake Braces’

Apa itu fake braces? Pendakap gigi palsu ataupun lebih dikenali dengan fake braces adalah satu alat yang digunakan untuk menjadikan penampilan seseorang itu menjadi lebih nerd.
Walau bagaimanapun, alat ini tidak sama sekali berfungsi seperti pendakap gigi yang sebenar. Pendakap gigi yang sebenar terdiri daripada bracket (pendakap), wayar dan getah yang dilekatkan pada permukaan gigi.
Fungsi sebenar alat ini adalah untuk menggerakkan gigi yang tidak teratur sehingga menjadi susunan yang cantik dengan pemeriksaan secara berkala. Tempoh pemeriksaan berkala ini biasanya memakan masa dua setengah hingga ke tiga tahun.
Bukan itu sahaja, kos bagi pemakaian pendakap gigi yang sebenar juga kebiasaannya jauh lebih mahal sehinggakan mampu mencecah ribuan ringgit.
Sangat berbeza jika dibandingkan dengan pemakaian fake braces, pemakaian pendakap gigi ketika ini mendapat permintaan yang tinggi kerana ianya dilihat sebagai satu fesyen terutamanya dalam kalangan anak muda.
Kos pemakaiannya juga hanya sekitar ratusan ringgit sahaja. Meskipun harganya tidak mahal, akan tetapi itu tidak bermaksud ianya selamat untuk digunakan. Apatah lagi ianya tidak dikendalikan oleh mereka yang pakar dalam bidang ini.
Sudah banyak keratan akhbar dan artikel-artikel yang telah disiarkan mengenai keburukan dan padah kesan daripada pemakaian ‘fake braces’ ini demi memberi kesedaran kepada masyarakat.
Mereka bukan cakap kosong sahaja malah disertakan dengan bukti yang jelas lagi nyata. Namun begitu, masih ada lagi golongan yang berdegil dan bersikap angkuh perihal perkara ini.
Antara kesan-kesan pemakaian fake braces:
- Karies gigi
- Gusi berdarah
- Gigi gugur
- Kesan gam yang dilekatkan pada gigi boleh mengakibatkan gigi terhakis
- Boleh mengancam nyawa
- Memberi kesan pada saraf dan mengalihkan gigi
Bagi agama Islam, hukum mengubah ciptaan Allah dengan sengaja serta bertujuan untuk kecantikan adalah HARAM dan perbuatan ini dilarang sama sekali dalam agama. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud, bahwasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
“Allah melaknat orang yang mentatu dan yang minta ditatu dan mencukur habis alis mata serta merenggangkan gigi (dengan kawat dll) untuk kecantikan dengan merubah ciptaan Allah, kenapa saya tidak melaknat orang yang dilaknat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sementara telah tertulis dalam kitabullah.” (HR Muslim)
Kadangkala susunan gigi si pemakai sudah sedia lawa dan teratur susunannya. Akan tetapi, masih sahaja ingin mengenakan pendakap gigi palsu atas pengaruh rakan sebaya dan ingin mengikut trend terkini.
Pendakap gigi palsu ini boleh dibeli secara online, iaitu melalui media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya. Ia juga boleh didapati secara haram yang dijual di pasar gelap. Perkhidmatan memasang fake braces ini juga sangatlah tidak professional kerana ianya dilakukan di rumah ataupun di hotel-hotel.
Sekiranya anda ingin menanggalkan pendakap gigi palsu ini, anda perlulah pergi ke klinik gigi dan berjumpa dengan pakar yang sepatutnya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Pemeriksaan penuh dan rawatan yang sepatutnya juga akan diberikan bagi memastikan tiada kerosakan yang telah berlaku kepada gigi anda.
Penggunaan Barangan Berjenama

Memang benar, semakin tinggi nilai harga sesuatu produk semakin tinggi kualitinya. Namun begitu, pemakaiannya hendaklah sesuai dengan kemampuan sendiri. Pepatah melayu ada mengatakan ‘Ukur Baju di Dadan Sendiri’. Ia membawa maksud berbuat sesuatu atau bertindak atau berbelanja mengikut kemampuan diri sendiri.
Walau bagaimanapun, masih ramai yang bersikap sebaliknya lebih-lebih lagi pada era millennium ini. Masing-masing berlumba untuk menunjukkan kekayaan tersendiri. Jikalau benar kehidupan realitinya begitu, tidak mengapalah.
Ianya menjadi isu kerana terdapat segelintir masyarakat yang sanggup ikat perut dan tidak mengutamakan kesihatan diri kerana ingin membeli sesuatu barangan yang di luar kemampuan. Hatta, ada juga yang sanggup melakukan kegiatan tidak bermoral seperti mencuri, menipu dan menjadi penerima rasuah demi menjadi cepat kaya. Lebih menggerunkan sekiranya ada yang menjadikan budaya meminjam wang sebagai satu kebiasaan sehingga menyusahkan orang lain.
Kenapa? Mengapa? Untuk apa?
Ya. Pastinya akan ada yang menimbulkan tanda tanya sedemikian. Perkara ini boleh terjadi disebabkan beberapa faktor.
1. Pengaruh Persekitaran Dan Media Sosial.
Tidak asing lagi, sudah semestinya disebabkan pengaruh orang sekeliling dan media sosial. Jika dilihat pada content media sosial masa kini, betapa ramai yang menunjukkan barang berjenama mereka demi meraih follower yang ramai terutama sekali dalam golongan anak muda yang baru ingin mengorak langkah untuk mengenal dunia luar.
2. Wujudnya Layanan Dua Darjat.
Selain itu, wujudnya juga layanan dua darjat di mana dalam masyarakat, sesiapa yang daripada golongan bangsawan pasti akan diberi layanan seperti raja dan yang tidak berkemampuan pula akan ditindas dan diberi layanan tidak wajar sama sekali.
Gara-gara mentaliti sebeginilah yang melahirkan lagi ramai golongan yang hidup tidak setanding dengan realitinya. Ianya kerana mereka menginginkan layanan yang juga sama seperti mereka.
3. Ingin Tampil Lebih Bergaya Dan Dilihat Trend.
Setiap kali kita scroll di media sosial seperti Instagram, Twitter, Facebook dan terkini Tiktok, pasti dilihat begitu banyak posting yang mempamerkan barangan-barangan berjenama seperti perhiasan, telefon pintar, kenderaan dan pakaian.
Bukan itu sahaja, mereka kelihatan sungguh bergaya dan semakin menjadi trend pada zaman sekarang. Sudah semestinya harga barangan tersebut bukan dikategorikan dalam harga yang ‘biasa-biasa’ namun boleh dikatakan nilainya hampir sama dengan gaji sebulan bagi seseorang individu.
Perkara ini amat merisaukan sekiranya melibatkan golongan anak muda. Ianya kerana pada tika ini, mereka mungkin sahaja bergelar seorang pelajar baik di sekolah rendah, sekolah menengah atau di IPTA.
Remaja sanggup menghabiskan wang ringgit untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan tanpa memikirkan kesannya terlebih dahulu. Gejala terlalu mementingkan jenama sesuatu barangan dalam kalangan remaja merupakan satu gejala yang tidak sihat.
Pemberiaan wang belanja yang berlebihan kepada remaja secara tidak disedari akan mendidik remaja kepada amalan perbelanjaan yang kurang baik. Mereka akan menjadi seorang yang boros dan tidak berjimat cermat dalam berbelanja. Bukan sahaja wang mereka habis begitu sahaja bahkan mungkin tidak mempunyai tabungan untuk kegunaan masa depan.
Ibu bapa seharusnya peka dan mengambil tahu setiap sen yang dibelanjakan dan diberikan supaya ianya digunakan secara bijaksana. Langkah ini juga penting bagi memastikan wang saku yang diberikan tidak kehabisan kepada telefon bimbit, aksesori yang berjenama sahaja juga tidak hanya tertumpu kepada minuman-minuman hipster seperti Starbuck, Tealive dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, perkara ini tidak seharusnya diperlihatkan dari sudut negatif sahaja namun perlulah diketahui dari sudut positif juga. Sikap seperti ini yang wujud dalam diri individual itu mampu melahirkan seorang yang rajin dan bekerja keras dalam usaha untuk mendapatkan apa yang diimpikan. Disebabkan faktor ekonomi mereka yang tidak membenarkan mereka berbelanja begitu sahaja membuatkan mereka ingin bekerja dengan lebih tekun dan rajin.
Kesimpulan
Secara konklusinya, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memutuskan suatu perkara. Perkara utama yang perlu dititik beratkan adalah dari sudut agama. Adakah ianya dibenarkan mahupun dicegah sama sekali. Sikap seperti ini sebenarnya mampu melambangkan kesihatan nurani individu tersebut.
Seterusnya, kita juga dapat lihat bahawa mempunyai keinginan untuk mengikuti fesyen dan gaya terkini bukanlah satu kesalahan. Namun, perlulah secara berpada-pada dan yang paling penting ianya tidak mendatangkan kemudaratan pada diri sendiri dan keluarga terutamanya.
Contoh yang boleh dikaitkan ialah pemasangan pendakap gigi palsu seperti yang dinyatakan di atas. Anda hanya ingin tampil bergaya tetapi pada akhirnya ia memberikan tragedi yang buruk dalam hidup anda. Siapa yang harus dipersalahkan dalam perkara ini. Anda atau orang yang menjalankan prosedur tersebut.
Sikap mementingkan diri sendiri ini perlu segera dikikis agar tidak membawa padah di kemudian hari. Berfikir dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan. Biar sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
Penulis, Nur Najwa Binti Faizul, Fakulti Sains Dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
Rujukan:
– https://ahmadzain.com/read/karya-tulis/359/hukum-merubah-ciptaan-allah/