Wednesday, July 10, 2024
HomeArtikelBerkhatan: Memahami Tradisi dan Implikasinya Dalam Perubatan Moden

Berkhatan: Memahami Tradisi dan Implikasinya Dalam Perubatan Moden

Kanak-kanak bermandi semburan pili bomba sebelum berkhatan.
Rajah 1: Kanak-kanak bermandi semburan pili bomba sebelum berkhatan.

Musim cuti sekolah sememangnya tidak asing lagi daripada program berkhatan khususnya bagi kanak-kanak lelaki seluruh Malaysia. Ada yang gementar dan ada juga yang teruja dek kerana pada zaman modenisasi ini, pelbagai inisiatif menarik telah diambil oleh pihak sekolah atau pihak penganjur dalam mendorong kanak-kanak supaya mereka berani untuk berkhatan. Misalnya, kanak-kanak disambut dengan perarakan kompang, dimandikan dengan semburan pili bomba, dihidangkan dengan pulut kuning dan sebagainya.

Dalam konteks Malaysia hari ini, berkhatan merupakan suatu amalan yang tidak asing lagi bagi masyarakat Muslim, bahkan telah dipraktikkan sejak 6000 tahun lalu, iaitu sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. Amalan ini bukan sahaja merupakan tradisi keagamaan malah mempunyai banyak kebaikan dari sudut perubatan.

Bagi umat Islam, berkhatan merupakan anjuran dari Nabi Muhammad saw yang telah dinyatakan dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim iaitu: “Lima perkara fitrah manusia iaitu berkhatan, membuang bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, menggunting misai dan memotong kuku”. Dari sudut perubatan pula, menurut Pakar Urologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Fam Xeng Inn, beliau menyatakan bahawa berkhatan adalah amalan untuk menjaga kebersihan atau keperluan disebabkan oleh penyakit tertentu.

Dalam portal rasmi MyHealth, Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan secara ringkas bahawa khatan atau dikenali sebagai circumcision merupakan pembedahan kecil dengan memotong kulit yang berlebihan pada hujung zakar. Lazimnya, ia dilakukan selepas hari ke tujuh bayi dilahirkan atau semasa kanak-kanak tersebut berumur 7 hingga 12 tahun. Kini, terdapat banyak kaedah khatan yang telah diperkenalkan. Contohnya kaedah plastibel, kaedah dorsal slit dan kaedah clamping.

Kanak-kanak melibatkan diri dalam program berkhatan.
Rajah 2: Kanak-kanak melibatkan diri dalam program berkhatan.

Kajian daripada National Center for Health Research menyenaraikan banyak kebaikan berkhatan. Antaranya ialah individu yang berkhatan dapat mengurangkan risiko kanser zakar, jangkitan Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan jangkitan saluran kencing.

Apabila berkhatan, lebihan kulit atau kulup akan dibuang. Hal ini demikian kerana, kawasan tersebut boleh menjadi tempat berkumpulnya bakteria dan virus, jika tidak dibersihkan dengan sebaiknya. Selain itu, dengan membuang kulup juga, kulit zakar akan menjadi lebih kering dan kurang terdedah kepada faktor-faktor yang membawa kepada kanser zakar.

Kajian daripada Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Universiti Melbourne menyatakan bahawa berkhatan juga dapat mengurangkan risiko penularan HIV. Secara umumnya, lapisan di bawah kulup terdiri daripada sejumlah besar sel Langerhans.

Kawasan ini biasanya menjadi sasaran kepada pembiakan bakteria dan virus sekali gus membawa kepada jangkitan HIV. Apabila seseorang berkhatan, lapisan kulup akan dibuang. Maka, pembiakan bakteria jahat akan kurang tertumpu di kawasan tersebut. Secara tidak langsung, ini dapat mengurangkan kadar jangkitan HIV.

Selain itu, individu yang tidak berkhatan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat jangkitan saluran kencing berbanding individu yang tidak berkhatan. Childrens Health Hub dalam artikelnya menyatakan bahawa jumlah dan jenis bakteria yang terdapat di sekeliling zakar bagi kanak-kanak yang tidak berkhatan adalah lebih besar berbanding kanak-kanak yang berkhatan.

Bakteria ini adalah jenis kuman yang boleh masuk ke dalam saluran kencing dan menyebabkan jangkitan pada kawasan tersebut. Justeru, amalan berkhatan mampu mengurangkan jangkitan saluran kencing yang boleh menganggu reproduksi kaum lelaki jika tidak dirawat dengan segera.

Walaupun berkhatan dilihat mempunyai banyak kelebihannya, namun prosedur pembedahan kecil ini tidak lari daripada komplikasi-komplikasi selepas berkhatan seperti pendarahan dan jangkitan kuman. Oleh itu, ibu bapa dan waris sewajarnya mendapatkan perkhidmatan berkhatan daripada doktor-doktor yang bertauliah dan tidak memandang enteng terhadap apa-apa komplikasi yang dihadapi oleh anak-anak selepas berkhatan.

Tuntasnya, amalan berkhatan haruslah dilihat dari kaca mata yang lebih luas. Bukan sahaja menjadi tuntutan wajib dalam agama, malah besar manfaatnya dari sudut sains perubatan.

Penulis; Nurliyana Zawani Binti Izdihar, Mahasiswa Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.

Rujukan

  • Author, N. (2023, October 10). Circumcision: The Health Benefits and Risks | National Center for Health Research. National Center for Health Research. https://www.center4research.org/circumcision-health-benefits-risks/
  • Azzimawati, R. (2017, June 1). Berkhatan – Portal MyHEALTH. Portal MyHEALTH. http://myhealth.moh.gov.my/berkhatan/
  • Choc. (2022b, January 4). Circumcision and urinary tract infections. CHOC – Children’s Health Hub. https://health.choc.org/circumcision-and-urinary-tract-infections/
  • Ghani, A. A. (1994, July 1). HUKUM BERKHATAN. https://ejournal.um.edu.my/index.php/JS/article/view/28402
  • Ithnin, H. (2019, July 7). Potong lebihan kulit. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/sihat/2019/07/472895/potong-lebihan-kulit

* Nota kaki: Gambar yang disertakan adalah diambil daripada program yang telah disertai oleh penulis sendiri.

RELATED ARTICLES

Most Popular