Friday, October 4, 2024
HomeArtikelBeruang Matahari Terancam Pupus di Malaysia

Beruang Matahari Terancam Pupus di Malaysia

Apabila sebut sahaja mengenai beruang, ramai yang akan terus memikirkan tentang beruang perang yang terdapat di Kanada, beruang kutub yang tinggal di Artik dan beruang yang suka memakan pokok buluh iaitu panda. Namun begitu, Malaysia juga mempunyai spesies beruang yang tidak kurang comel berbanding beruang-beruang lain iaitu beruang matahari.

Beruang matahari dengan nama saintifiknya Helarctos Malayanus adalah salah satu jenis beruang yang jarang ditemui dan merupakan spesies beruang terkecil di dunia dengan ketinggian 1.2-1.5m serta berat 27-70 kg. Hutan hujan tropika merupakan habitat bagi beruang ini dan tertumpu di Asia Tenggara. Selain itu, tompok kuning keemasan berbentuk sabit di dadanya membuatkannya mudah untuk dikenal pasti. Jangka hayatnya di habitat liar adalah sekitar 10 tahun namun bagi yang tinggal di dalam kurungan boleh mencecah sehingga 40 tahun. Beruang ini juga tidak berhibernasi seperti beberapa spesies beruang yang lain lalu membuatkannya boleh mengawan sepanjang tahun.

Kebiasaannya, beruang ini hidup bersendirian melainkan ketika musim mengawan ataupun ketika anak beruang masih di bawah jagaan ibu beruang. Ibu beruang boleh melahirkan sehingga 3 anak dan kebiasaannya hanya seekor anak. Anak beruang matahari lahir dalam keadaan yang tidak berdaya kerana tidak dapat mendengar dan menghidu dengan baik lagi.

Oleh itu, anak beruang ini memerlukan penjagaan dan perlindungan daripada ibunya sehingga ia berumur sekurang-kurangnya 2 tahun lalu ia akan hidup berdikari sendiri di hutan. Beruang matahari adalah haiwan noktural kerana lebih aktif dan sering mencari makanan pada waktu malam. Diet beruang ini terdiri daripada buah-buahan, kacang, madu, serangga dan mamalia kecil lalu membuatkannya masuk dalam kategori omnivor. Lidah yang panjang memudahkan beruang ini untuk mengeluarkan madu daripada sarang lebah. Ini membuatkan ramai menggelarnya sebagai beruang madu.

Sejak beberapa tahun belakangan ini, populasi beruang matahari semakin merosot di habitat semula jadinya. Pada tahun 2007, spesies ini telah dikategorikan sebagai ‘vulnerable’ oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN) yang bermakna spesies ini mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk pupus.

Populasi spesies ini juga dikatakan telah berkurang sebanyak 30% dalam tempoh 30 tahun terakhir. Sifat pemalu dan mengelak daripada bertembung dengan manusia membuatkannya sukar untuk diselidiki lalu menjadikannya spesies beruang yang paling kurang diselidiki berbanding beruang lain. Oleh itu, jumlah terkini yang masih ada di habitatnya tidak dapat dikenal pasti. Namun dikatakan terdapat kurang daripada 10 000 ekor beruang masih hidup di habitat liar.

Beruang matahari merupakan spesies yang penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan hujan tropika. Namun, spesies beruang ni menghadapi pelbagai ancaman seperti ancaman daripada pemburu-pemburu haram untuk mendapatkan bulu dan anggota badannya.

Terdapat juga pemburu haram yang menangkap anak beruang matahari yang masih di bawah jagaan ibunya. Anaknya akan dipisahkan daripada ibunya lalu ibunya akan dibunuh. Anak beruang matahari akan dijual dengan harga yang tinggi sebagai haiwan peliharaan eksotik. Menurut perubatan tradisional Cina, hempedu beruang memiliki zat yang mampu menyembuhkan pelbagai penyakit seperti penyakit jantung dan hati. Oleh itu, hempedu beruang matahari mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran terutamanya di China.

Pada sekitar tahun 1980an, negara tersebut mula menternak beruang matahari untuk mengekstrak hempedu mereka. Penternakan ini dilakukan bagi mengurangkan kadar pemburuan beruang tersebut secara haram. Namun, kaedah ini telah dikritik kerana penyeksaan terhadap haiwan tersebut. Beruang-beruang tersebut diletakkan di dalam sangkar yang kecil sehingga mereka tidak boleh berdiri dan berpusing. Banyak daripada beruang tersebut dijangkiti penyakit dan diabaikan.

Seterusnya, selain daripada menjadi mangsa pemburu-pemburu haram, habitat beruang ini juga semakin berkurang akibat daripada pembalakan haram. Pembalakan haram telah membuatkan banyak binatang yang hidup di hutan ini telah kehilangan sumber makanan dan tempat tinggal. Tambahan pula, penebangan hutan juga semakin giat dilakukan untuk meluaskan tapak pertanian manusia contohnya seperti penanaman kelapa sawit.

Dalam pada itu, kebakaran hutan akibat daripada cuaca panas dan aktiviti manusia juga mendorong kepada masalah tersebut. Keadaan ini telah memaksa binatang-binatang tersebut pergi ke tempat lain untuk mencari makanan lalu tersesat di penempatan manusia. Terdapat banyak kes yang berlaku di Malaysia di mana beruang matahari dikatakan telah menceroboh penempatan dan ladang manusia. Kebanyakan daripada beruang tersebut dibunuh kerana telah merosakkan tanaman serta membunuh binatang ternakan. Walaubagaimanapun, ada juga yang bertanggungjawab memanggil pihak berkuasa untuk menangkap binatang tersebut untuk dibawa ke tempat yang lebih selamat.

Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC) yang terletak di Sepilok, Sandakan merupakan satu-satunya pusat pemuliharaan beruang matahari yang ada di dunia. Beruang matahari yang berjaya diselamatkan akan dibawa ke pusat ini dan dijaga untuk beberapa waktu lalu dilepaskan semula ke hutan apabila telah bersedia.

Dengan kewujudan pusat-pusat seperti ini, semakin ramai yang sedar akan kepentingan memulihara spesies-spesies terancam ini. Seterusnya, setiap individu perlulah memainkan peranan masing-masing dalam membanteras pemburuan, penangkapan dan perdagangan beruang matahari secara haram. Setiap aktiviti ini perlulah dilaporkan ke pihak yang berkuasa agar dapat mengurangkan ancaman terhadap beruang tersebut dan juga spesies-spesies yang lain. Malaysia adalah negara yang kaya dengan spesies flora dan fauna yang unik.

Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab setiap individu untuk memainkan peranan masing-masing dalam melindungi dan menyediakan habitat yang selamat bagi mereka daripada ancaman-ancaman yang merbahaya.

Penulis: Nur Adilah Binti Abdullah, mahasiswi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
RELATED ARTICLES

Most Popular