Thursday, July 25, 2024
HomeKehidupanBest Friend Forever (BFF)

Best Friend Forever (BFF)

Ya…bff, best friend forever, istilah yang sering digunakan untuk mengungkap hubungan akrab dalam persahabatan. Jika bff atau pun sahabat sejati itu pastinya berkongsi saat gembira, saat gila-gila dan mungkin saat bersedih. 

Bff mungkin berkongsi makanan kegemaran atau warna pilihan. Bff juga mungkin ada pakaian atau tudung sedondon, ke sana-sini bersama-sama.

Proses mempunyai bff saya bermula seawal sekolah menengah. Sebagai anak sulung, tidak pernah berjauhan daripada ibu bapa, saya agak kekok mengadaptasi hidup berdikari di asrama. 

Saya seolah hanya terikat dengan seorang sahabat sekelas bernama Anita. Saya selesa bersamanya, terhibur dengan telatahnya dan mahu selalu bersamanya. Ada kala saya berasa hati apabila Anita kelihatan mesra dengan kawan yang lain. Selalu Anita mengingatkan saya untuk belajar berkawan dengan sesiapa sahaja. Teguran ikhlas itu mematangkan diri saya untuk mula berdiri di atas kaki sendiri,

Saya kian mempunyai ramai kawan. Pepatah lama ada menyebut berkawanlah biar seribu. Semasa di universiti saya mengumpul beberapa bff. Mereka ini tentulah dormmate saya yang saya akan kenang sehingga nafas terakhir. 

Sri, Jiha, Fara dan Zida…bff sebilik tetapi tidak sama langsung karakter kami. Itulah uniknya persahabatan, menyatukan individu yang berbeza tetapi bila bersama sekepala pula. Sangat indah zaman kampus itu. 

Kami berkongsi suka duka bergelar pelajar sehingga ke hari konvokesyen. Sayangnya saya terputus hubungan dengan mereka kecuali Zida yang kebetulan berasal dari negeri yang sama.

Setelah mempunyai keluarga sendiri, bff itu masih wujud cuma lingkungannya sudah agak terbatas. Bff saya kini hanya berkisar di tempat kerja. Dengan kecanggihan teknologi komunikasi bff masih erat hubungannya. Saat ceria lebih mudah dikongsi berbanding saat bersedih. Faktor umur juga mungkin menyebabkan momen-momen sedih itu biarlah kita sendiri sahaja merasinya, tidak perlu dikongsi-kongsi. 

Untuk semua bff, saya doakan kalian selalu sihat, ceria dan dipermudahkan segala urusan. Terima kasih atas kemanisan dan kematangan dalam persahabatan kerana Allah ini. Semoga kita berjumpa lagi, sahabat till jannah.

RELATED ARTICLES

Percaturan Hidup

Doa Ibu

Mencari Mood?

Most Popular