Friday, June 24, 2022
HomeArtikel“Body Shaming” Hanya Bahan Jenaka?

“Body Shaming” Hanya Bahan Jenaka?

Body shaming” atau ejekan tubuh adalah perlakuan mengkritik, mengutuk dan mengecam rupa, bentuk dan fizikal seseorang. Apabila disebut ejekan tubuh, pastinya ramai di antara kita merupakan mangsa situasi tersebut.

Menurut bekas Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador menyatakan bahawa ejekan tubuh atau tindakan menghina, mengutuk dan mencaci bentuk badan seseorang ialah kesalahan jenayah yang boleh dikenakan denda atau penjara. 

Allah telah berfirman di dalam surah At-Tin, yang bermaksud “Dan sungguh Kami telah menciptakan diri manusia itu pada bentuk yang paling sempurnanya dan paling indah”. Telah kita ketahui tentang setiap yang ada di atas muka bumi ini adalah ciptaan Allah. Tidak dapat tidak adalah mustahil bagi kita sebagai hamba, lemah lagi tiada daya untuk menafikan keindahan ciptaan-Nya. Lagikan pula menghina fizik tubuh sesama manusia.

Namun masih ramai dalam kalangan kita, bahkan mungkin diri kita telah mengkritik ciptaan Tuhan. Adakah kita merupakan golongan yang mengkritik setiap sisi bentuk paras yang telah ditentukan Tuhan? atau mungkin kita mangsa tindakan yang telah hilang keyakinan dan harapan? 

Kesan daripada ejakan tubuh ini bukan sahaja hilang keyakinan diri, malah sering merasa salah untuk terus berdiri. Ramai di antara kita pasti telah menjadi bahan jenaka sesama sendiri dalam kalangan keluarga, kawan, dan masyarakat.

“Eh gemuknya kau, macam gajah” kata yang mungkin dianggap gurauan sebenarnya telah pun menoreh luka di jiwa mangsa. Ramai di antara kita, sering menganggap ia merupakan satu jenaka yang tidak mampu menguris jiwa. Hakikatnya, ia merupakan penyebab awal penyakit mental seperti depresi dan stress.

Walaupun begitu, ejekan tubuh ini bukan hanya berlaku di antara kawan dan masyarakat malahan dalam kalangan keluarga sendiri. Pernah saya mendengar keluhan rakan tentang ibunya yang sering berkata “Awak cantik tapi hitam dan berjerawat” atau kadangnya berbunyi “kakak awak cantik putih mulus, tapi awak tak seperti dia”. Hal yang awalnya dianggap jenaka telah dipendam hingga menjadi bara. Jika perkara yang sama berulang, bara mula marak menjadi api yang belum tentu mampu dipadam air.  

Masyarakat kita hingga kini masih belum membuka minda tentang nilai dan etika dalam bermuamalat bersama. Kulit, warna, saiz, bentuk dan paras rupa bukanlah sesuatu yang boleh dipilih sebelum dilahirkan di dunia.

Tiada seseorang yang meminta untuk menjadi apa yang telah mereka ada, Tuhan memberi yang terbaik agar kita senantiasa berfikir dan bersyukur.  Pengalaman menjadi salah seorang mangsa ejekan tubuh ini membuatkan saya hilang konfiden diri dan sehingga kini luka daripada gurisan kata masih terngiang-ngiang di dalam minda. 

Sememangnya penting bagi kita mempunyai batas dalam berkata dan bergurau senda demi menjaga keamanan dan kesejahteraan masyarakat kita. Hubungan rapat bukanlah lesen untuk bergurau hingga mampu menyakitkan. Menjadi manusia bijak dalam berkata merupakan satu pilihan bukan ketentuan.

Bagi seseorang, proses untuk menerima diri mereka dengan seadanya bukan merupakan hal yang mudah, jika kita sebagai orang luar mempersendakan serta merendahkan diri mereka, lalu bagaimana mereka akan mula mencintai diri dan membina keyakinan diri?

Sebagai masyarakat yang prihatin, seharusnya kita menjadi manusia yang mencorak dan membina keyakinan bersama. Ejekan tubuh bukanlah satu jenaka, tetapi ia merupakan jenayah yang amat bahaya.

Penulis; Nur Aqilah binti Azhar, Pelajar Tahun 1 Jurusan Sarjana Muda Pentadbiran Korporat, Fakulti Ekonomi Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
RELATED ARTICLES

Most Popular