Friday, April 18, 2025
HomeArtikelBulan Ramadan Bukanlah Bulan Untuk Menahan Lapar Dan Dahaga Semata

Bulan Ramadan Bukanlah Bulan Untuk Menahan Lapar Dan Dahaga Semata

Bulan Ramadan, bulan yang dinanti-nanti oleh seluruh umat Islam di seluruh pelosok dunia, kini sudah pun menyapa kita. Masa bergerak dengan begitu pantas kerana ia terasa seakan baru sahaja menyambut Hari Raya Aidilfitri setahun yang lalu, namun sekarang, dengan izin Allah SWT, dapat lagi kita bertemu kembali dengan bulan yang dimuliakan-Nya ini, insya Allah.

Bulan Ramadan yang mana umat Islam diwajibkan untuk berpuasa iaitu menahan diri dari makan dan minum dari terbitnya matahari hingga terbenamnya matahari. Inilah istilah atau pengertian yang sering diberitahu kepada kita berkenaan dengan ‘puasa’. Walau bagaimanapun, adakah benar bahawa puasa itu sekadar berasa lapar dan dahaga? Jika ia semudah itu, maka mengapa Rasulullah dan para sahabat telah membuat persediaan 6 bulan awal sebelum mereka menempuhi bulan Ramadan?

Sebelum menjawab persoalan-persoalan itu, mari kita senaraikan beberapa peristiwa signifikan umat Islam yang pernah berlaku di dalam bulan Ramadan. Antara peristiwa-peristiwanya ialah perang Badar, pembukaan kota Makkah, perjalanan Rasulullah SAW ke Tabuk, pembukaan kota Andalusia dan bulan di mana turunnya al-Quran.

Terdapat banyak lagi kisah-kisah menarik yang berlaku dalam bulan yang dimuliakan Allah ini tetapi berdasarkan senarai tadi pun sudah cukup membuktikan bahawa Rasulullah SAW, Para Sahabat dan Para Tabi’ Tabi’in telah berjaya memberi sumbangan kepada Islam khususnya pada bulan puasa. Jadi, sekiranya ‘puasa’ hanya sekadar lapar, dahaga dan menahan nafsu seperti apa yang difahami oleh kebanyakan orang dalam masyarakat kita, maka mengapa Rasulullah SAW, Para Sahabat dan Para Tabi’ Tabi’in mampu memberi sumbangan sebesar itu kepada agama dalam bulan Ramadan?

Inilah antara soalan-soalan yang boleh kita lemparkan kepada diri kita dan orang sekeliling agar masyarakat kita kembali berfikir dan faham akan kemuliaan bulan Ramadan dan menghargainya justeru merancang aktiviti sepanjang Ramadan agar kita menjadi mukmin sehebat Rasulullah SAW dan para sahabat.

Seringkali kita diberitahu di dalam ceramah-ceramah agama bahawa berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi adalah cara untuk kita ‘menjinakkan’ hawa nafsu kita. Bagaimana para agamawan boleh berkata yang demikian?

Hawa nafsu, atau makna lainnya adalah keinginan diri, bukanlah perkataan yang jarang didengar khususnya dalam masyarakat kita. Ini kerana kebanyakan atau hampir semua jenis maksiat berlaku hasilnya kerana si pelaku tidak mampu menahan nafsunya daripada menguasai diri.

Kenyataan ini telah dibuktikan berdasarkan petikan dari surah ke-18 dalam al-Quran, Al-Kahfi ayat ke-28 yang bermaksud;

“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.” [18:28]

Jika kita perhatikan pada maksud “dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran”, hawa nafsu, kelalaian dan ‘tingkah laku yang melampaui batas’ yakni maksiat dan dosa adalah perkara-perkara yang sangat berkait rapat. Ini kerana seseorang yang berada dalam kelalaian dan keinginan nafsu yang tinggi mempunyai kemungkinan yang sangat besar untuk terjerumus dalam perkara-perkara yang tidak disukai Allah S.W.T.

Maka apa kaitannya hawa nafsu, maksiat dan bulan Ramadan?

Meskipun sudah banyak diulangi bahawa berpuasa bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga, namun tidak disangkal bahawa makan dan minum merupakan salah satu nafsu terbesar kita. Oleh itu, dalam bulan Ramadan, apabila kita menahan lapar dan dahaga, sekurang-kurangnya kita telah menyekat satu bahagian daripada nafsu kita yang tidak terkira cabangnya. Dengan cara ini, dapatlah kita perlahan-lahan ‘menjinakkan’ nafsu kita seperti yang diperkatakan kebanyakan agamawan. Bahkan, Insya-Allah nafsu kita boleh dikurangkan secara total jika kita bersungguh-sungguh berbuat yang demikian.

Oleh sebab itulah Allah menghadiahkan bulan Ramadan ini kepada umat Nabi Muhammad SAW. Salah satu hikmahnya adalah agar bulan tersebut kita gunakan sepenuhnya untuk menundukkan hawa nafsu kita yang sebelum ini tidak mudah dikawal. Menahan hawa nafsu kita daripada menyebabkan diri kita menjadi hamba yang bongkak, sombong, malas beribadah dan akhirnya jatuh ke dalam lembah kemaksiatan.

Dari sini dapat kita lihat mengapa Rasulullah dan para sahabat sangat cinta dan rindu akan bulan Ramadan. Kerana mereka bukanlah mengejar sambutan Raya Aidilfitri, mereka bukanlah menanti bazar Ramadan yang tiada penghujungnya, tetapi apa yang mereka inginkan hanyalah masa dan suasana untuk membina kualiti iman dan taqwa dengan semaksima mungkin. Perkara ini turut diberitahu di dalam surah al-Baqarah ayat ke-183 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” [2:183]

Inilah mengapa mereka sanggup membuat persediaan 6 bulan awal sebelum tibanya Ramadan, kerana mereka ingin membuat ‘pecutan’ iman bagi mencapai redha Allah yang paling tinggi.

Sekarang, apa pula iktibar dan langkah yang boleh kita ambil setelah kita tahu erti sebenar bulan Ramadan?

Perkara paling penting yang boleh kita lakukan saat menyambut bulan Ramadan adalah tajdid atau memperbaharui niat kita. Sekiranya sebelum ini kita berasa gembira menyambut Ramadan hanya kerana bazarnya, rayanya, sahur dan bukanya, maka selepas ini ubahlah niat kita menjadi menempuhi Ramadan agar suasananya dapat membuka peluang yang luas bagi kita membina iman dan taqwa kita serta membantu umat Islam di sekeliling kita untuk berbuat perkara yang sama. Insya Allah, Allah SWT sentiasa melihat usaha hamba-hamba-Nya, lebih-lebih lagi hamba-Nya yang bersungguh mendekatkan dirinya kepada-Nya dan memberi sumbangan dan kebaikan kepada agama-Nya.

Penulis:  Aisyah Najihah Mohd Azizul,  Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular