Saturday, September 30, 2023
HomeArtikelCara-Cara Bekerja Dari Rumah Secara Produktif Semasa Pandemik COVID-19

Cara-Cara Bekerja Dari Rumah Secara Produktif Semasa Pandemik COVID-19

Sejak mutakhir ini, ancaman wabak Covid-19 telah menimbulkan banyak kebimbangan kepada seluruh masyarakat terutamanya di Malaysia. Wabak Covid-19 telah memberi impak yang mendalam kepada seluruh kehidupan manusia pada abad ini yang mana telah mengubah cara kehidupan manusia. Tambahan pula, peningkatan angka positif kes Covid-19 dan kadar kematian di Malaysia secara mendadak amat membimbangkan semua pihak.

Oleh itu, Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan semula larangan pergerakan penuh bermula 1 sehingga 14 Jun 2021 untuk memulihkan keadaan secepat mungkin dan mencegah penyebaran wabak ini secara berleluasa. Pada waktu yang sama, hanya 17 perkhidmatan perlu yang dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh larangan pergerakan penuh.

Walaupun begitu, bekerja dari rumah telah menjadi satu norma baharu bagi rakyat Malaysia sejak tahun lalu. Justeru, dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, pekerja perlu kembali menyesuaikan diri untuk menjadikan kediaman masing-masing sebagai pejabat.

Secara umumnya, pelbagai kelebihan yang kita dapat perolehi jika bekerja dari rumah seperti persekitaran ruang kerja yang tenang dan tidak perlu terlibat dalam kesesakan lalu-lintas setiap hari.

Walaupun bekerja dari rumah dapat memberikan banyak faedah kepada pekerja seperti masa yang fleksibel, akan tetapi, ia boleh menjadi sangat mencabar kerana pekerja terdedah dengan pelbagai gangguan terutama bagi mereka yang mempunyai anak. Tambahan pula, pekerja juga akan lebih cenderung untuk merasa kurang motivasi, tidak bertenaga dan sukar untuk terus fokus sepanjang waktu bekerja.

Terdapat satu kajian di Amerika Syarikat mendapati bahawa bekerja dari rumah mampu meningkatkan produktiviti para pekerja. Hal ini juga dikatakan turut berlaku di Malaysia dimana peningkatan produktiviti kira-kira lima peratus.

Dalam sebuah hadis ada menjelaskan bahawa Allah SWT lebih mencintai seseorang yang bekerja. Dari Ibnu Umar ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Sesungguhnya Allah SWT mencintai seorang mukmin yang bekerja dengan giat”. (HR. Imam Tabrani)

Oleh itu, cara-cara untuk menjadi lebih cekap dan efektif sewaktu bekerja dari rumah perlu diketahui. Ini adalah beberapa tips untuk membantu anda menjadi lebih bersemangat untuk bekerja di rumah semasa pandemik.

Wujudkan Ruang Bekerja Khas Di Rumah

Langkah pertama ialah anda perlu memilih tempat untuk bekerja di rumah. Ruang ini perlu dikhususkan hanya untuk bekerja sahaja supaya anda dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pekerjaan yang dilakukan serta tidak mengganggu kehidupan ahli rumah yang lain. Anda mesti menjadikan ruang kerja anda selesa mungkin. Sebagai contoh, hias meja anda dan cari kerusi yang lembut dan selesa supaya anda boleh duduk selama sembilan jam sehari tanpa sakit belakang.

Ruang kerja dengan pencahayaan semula jadi yang baik juga penting kerana persekitaran boleh mempengaruhi semangat kerja anda. Di samping itu, anda perlu memastikan bahawa semua yang anda perlukan adalah lengkap seperti komputer, tetikus, monitor, pencetak, kertas dan pen berada di tempat yang sama supaya anda tidak terganggu semasa bekerja.

Kurangkan Penggunaan Media Sosial

Selain itu, cara untuk bekerja secara efektif dan produktif di rumah ialah dengan meminimumkan penggunaan media sosial. Anda perlu meletakkan telefon jauh dari pandangan anda sewaktu anda ingin fokus untuk menyelesaikan tugas anda.

Untuk meminimumkan gangguan daripada telefon anda pada waktu bekerja, anda perlu mengubah telefon anda ke mod ‘do not disturb’ untuk memastikan bahawa anda hanya akan mendapat notifikasi yang berkaitan dengan pekerjaan sahaja. Selain itu, anda boleh peruntukkan sedikit masa yang khusus untuk memeriksa telefon anda. Maka, anda dapat melakukan kerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh.

Sebuah hadis telah diriwayatkan oleh Aisyah ra mengenai perkara ini, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT mencintai seorang hamba yang apabila ia bekerja, dia itqan (menyempurnakan) pekerjaannya”. (HR. Thabrani)

Berpakaian Seperti Berada di Tempat Kerja

Langkah seterusnya ialah anda perlu menyiapkan diri anda dengan mandi, menyikat rambut dan memberus gigi. Dengan memakai baju tidur sepanjang hari, ia dapat membuat anda merasa tidak bermotivasi sepanjang hari dan anda akan memulakan hari anda dengan lebih lambat.

Oleh itu, anda perlu menjaga penampilan anda dengan memakai sesuatu yang baru kerana ia dapat membuatkan anda lebih produktif dan bertenaga walaupun anda tidak berinteraksi dengan orang lain.

Berehat Sebentar dan Dapatkan Udara Segar

Berehat seketika daripada melihat skrin komputer dapat membantu anda untuk mengelakkan diri daripada mendapat sindrom penglihatan komputer seperti sakit kepala dan sakit mata. Ahli perubatan telah menyarankan supaya menjauhkan diri dari skrin setiap 20 minit dan selama 20 saat anda perlu melihat sesuatu yang berjarak sekitar 20 kaki.

Untuk mengawal tahap tekanan dan meningkatkan produktiviti anda, berehat sebentar, minum kopi dan dapatkan makanan ringan yang sihat. Seterusnya, anda perlu berjalan sebentar di sekitar rumah selama 10 minit kerana ia dapat menyegarkan otak.

Selain itu, anda boleh melakukan senaman 5 minit jika anda merasa penat kerana telah duduk di kerusi berjam-jam. Hal ini demikian kerana, senaman dapat meningkatkan kebahagiaan kerana ia akan merembeskan endorfin di mana ia membuatkan anda akan lebih bertenaga untuk meneruskan aktiviti anda iaitu bekerja.

Rancang Jadual Dengan Bijak

Selain itu, cara untuk bekerja secara efektif di rumah ialah anda perlu menyusun dan membuat jadual hari anda seperti yang anda lakukan di pejabat. Penjadualan sangat penting kerana anda dapat merancang aktiviti dan dapat menyelesaikan tugasan anda pada waktu yang tepat.

Sekiranya pasangan anda juga bekerja di rumah, anda mesti merancang jadual anda bersama-sama untuk menentukan siapa yang akan bertanggungjawab untuk tugas-tugas berkaitan dengan rumah atau penjagaan anak sehingga anda dapat bekerja dengan damai.

Alternatif lain ialah anda boleh memuat turun aplikasi kalendar bersama kerana lebih mudah untuk dilihat dan dikawal. Tambahan pula, anda boleh menjadi lebih letih daripada biasa jika anda tidak merancang jadual anda dengan baik kerana anda akan mudah terpengaruh untuk memulakan kerja lebih awal dan menyelesaikan kerja lebih lama daripada waktu bekerja.

Selain itu, sebelum anda memulakan pekerjaan, anda perlulah mengetahui keutamaan pada hari tersebut dan terus merancang masa untuk menyelesaikan tugasan. Dalam pada itu, bagi melancarkan hari anda, ambil sedikit masa beberapa minit sebelum tidur untuk merancang hari berikutnya.

Hal ini akan menyebabkan anda akan tidur lena tanpa tekanan untuk bekerja hari esok kerana telah merancang awal jadual dengan baik. Bak kata pepatah Melayu yang menyebut “masa itu emas”. Allah S.W.T juga telah memperingatkan kita tentang kepentingan masa. Oleh itu, dengan merancang jadual dengan baik dapat menghindarkan diri daripada membazir masa.

Demi masa. Sungguh manusia dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.” (Surah al-‘Asr, ayat 1 hingga 3)

Berusaha Untuk Kekal Fokus Ketika Bekerja

Seperti yang kita semua tahu, untuk berada dalam keadaan fokus ketika bekerja adalah amat sukar lebih-lebih lagi ketika berada di rumah. Hal ini kerana, jangkaan masa bagi remaja dan orang dewasa untuk kekal fokus dan memberi perhatian sepenuhnya hanya 5 hingga 6 jam sahaja.

Bahkan, kebiasaannya tidak ada manusia yang dapat untuk kekal fokus selama 5 jam berturut-turut. Dengan bekerja di rumah, anda akan terganggu untuk melakukan kerja rumah dan anda akan mengalami gangguan berterusan daripada ahli keluarga.

Oleh itu, anda perlu meminta pertolongan untuk mengawal keadaan di rumah. Bekerja dalam persekitaran yang tenang akan memastikan anda lebih fokus untuk bekerja. Anda juga perlu memulakan pekerjaan dengan berdoa supaya pekerjaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan dapat kekal fokus ketika bekerja di rumah. Dengan cara ini, anda sentiasa boleh fokus dan tidak mudah terganggu.

Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku segala urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku” (QS. Thoha: 25-28)

Perkara yang paling penting ialah anda perlu bersikap baik terhadap diri anda sendiri. Sekiranya anda penat, berehat sebentar dan segera dapatkan bantuan serta sokongan daripada ahli keluarga ataupun kawan anda. Kesihatan mental anda perlu dijaga dengan baik sepanjang bekerja.

Bekerja dari rumah mungkin menjadi satu cabaran yang hebat terutama dalam keadaan pandemik Covid-19 ini.  Lebih-lebih lagi penularan wabak Covid-19 banyak menyumbang kepada isu kesihatan mental dalam kalangan pekerja.

Oleh itu, beberapa cara bekerja di rumah secara berkesan yang dikemukakan di atas diharapkan dapat sedikit membantu mereka yang memerlukan motivasi untuk bekerja dengan cekap dan bersemangat kerana kerja adalah satu ibadah.

Dan Katakanlah: “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mu’min akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (QS. At-Taubah: 105)

Di samping itu, setiap kali bekerja kita perlulah berniat bekerja kerana Allah dan mengikut apa yang telah diperintahkan oleh Allah. Tambahan pula, seorang Mukmin yang melakukan setiap perkara harus yang dilakukan dengan unsur niat, ia akan bertukar menjadi ibadat.

“Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.” Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465)

Penulis; Nur Basirah binti Ab Rahim, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular