Gaya hidup sihat boleh ditakrifkan sebagai amalan tabiat hidup yang meningkatkan tahap kualiti kesihatan dan meninggalkan tabiat yang memudaratkan kesihatan. Gaya hidup sihat adalah satu amalan kehidupan yang membawa impak dan kesan positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat.
Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah atau kerunsingan yang boleh menjejaskan kehidupnya untuk satu tempoh tertentu.
Gaya hidup sihat sangat penting untuk kehidupan manusia. Orang yang mengamalkan gaya hidup sihat dalam rutin hariannya dapat menjaga dan meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan mereka.
Sehubungan dengan itu, setiap insan disarankan supaya mengamalkan gaya hidup sihat sejak dari awal usia mereka. Antara aktiviti untuk mengamalkan gaya hidup sihat termasuk diet pemakanan yang berkhasiat, aktif secara fizikal dan pengurusan tekanan yang betul.
Dengan mengamalkan gaya hidup sihat, kita dapat kekal cergas, sihat dan menjauhkan diri daripada pelbagai penyakit. Pepatah Melayu ada mengatakan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Begitu juga dalam mengekalkan kesihatan tubuh badan, terdapat pelbagai cara untuk mengamalkan cara hidup sihat supaya menjadi amalan dan rutin harian bagi setiap insan.
Mengamalkan Diet Pemakanan Yang Betul
Langkah yang paling perdana dalam usaha untuk mengamalkan cara hidup sihat ialah melalui pengamalan diet pemakanan yang berkhasiat. Dalam konteks ini, pengamalan diet pemakanan yang sihat bolehlah berpandukan piramid pemakanan yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Berdasarkan piramid ini, tubuh kita memerlukan nutrien daripada makanan agar organ-organ badan dapat berfungsi dengan optimum, iaitu karbohidrat, protein, lemak, vitamin, mineral, dan lain-lain. Sebaiknya kita mengikuti piramid makanan untuk pengambilan makanan agar lebih sihat, kerana ia telah menetapkan jumlah hidangan yang optimum untuk dimakan setiap satu hari dari setiap kumpulan makanan asas.
Panduan piramid makanan merangkumi semua nutrien yang diperlukan tubuh dalam kadar yang betul. Makanan ringan, makanan yang diproses, dan makanan segera juga harus dielakkan, kerana kesemuanya mengandungi kalori yang tinggi dari gula, garam, dan lemak, dan sedikit karbohidrat, protein, dan nutrien penting lain.
Pengambilan terlalu banyak makanan tidak sihat ini akan berkait dengan masalah kesihatan yang serius seperti risiko kegemukan, masalah pencernaan, penyakit jantung dan strok, diabetes, dan barah.
Air juga penting bagi tubuh kita untuk membantu mengatur suhu dan mengekalkan fungsi tubuh yang lain. Setiap individu digalakkan untuk minum sekurang-kurangnya 8 gelas air setiap hari agar tidak mengalami dehidrasi. Air sangat penting untuk menghidratkan semula tubuh badan kita, iaitu dengan minum air secukupnya dan makan makanan yang mengandungi air, seperti buah-buahan seperti tembikai.
Dengan ini, jelaslah bahawa pengambilan pemakanan yang berkhasiat amat berkesan dan merupakan eleman yang paling penting untuk mengekalkan gaya hidup sihat.
Sentiasa Melakukan Aktiviti Fizikal
Cara yang seterusnya ialah aktif secara fizikal, seperti mengekalkan aktiviti riadah dan bersenam. Hal ini demikian kerana pergerakan fizikal akan membantu meningkatkan tahap kesihatan dan gaya hidup sihat.
Aktiviti fizikal atau senaman dapat meningkatkan kesihatan kita dan mengurangkan risiko penyakit yang membawa maut. Bersenam dapat membantu menguatkan jantung dan meningkatkan peredaran darah dengan meningkatkan aliran darah, dan meningkatkan tahap oksigen di dalam badan.
Aktiviti fizikal akan memberi manfaat kepada kesihatan otak, pengurusan berat badan, mengurangkan tekanan, dan menguatkan tulang dan otot. Berlatih secara teratur dapat membantu berfikir, belajar dan meningkatkan kemahiran menilai dengan lebih baik, dan juga dapat mengurangkan risiko kesihatan mental seperti kemurungan dan kegelisahan, dan membantu meningkatkan kualiti tidur yang lebih baik.
Hal ini juga membantu dalam pengurusan berat badan yang ideal dengan mengekalkan tubuh yang sihat kerana senaman membantu membakar dan mengimbangkan kalori semasa berpeluh. Toksin keluar daripada tubuh melalui perpeluhan, terutamanya garam, kolesterol, dan alkohol yang berlebihan.
Akhir sekali, aktiviti riadah ini dapat mengurangkan risiko kesihatan daripada pelbagai penyakit yang membawa maut, seperti penyakit kardiovaskular, diabetes jenis 2 dan sindrom metabolik, dan barah.
Sindrom metabolik adalah gabungan lemak yang terlalu banyak di pinggang, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan gula darah tinggi. Kualiti hidup dan kecergasan fizikal kita akan bertambah baik melalui aktiviti fizikal yang kerap. Terang lagi bersuluh bahawa aktiviti riadah merupakan salah satu kaedah yang ampuh untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
Menguruskan Emosi Dengan Betul
Langkah seterusnya bagi mengamalkan gaya hidup yang sihat adalah pengurusan tekanan yang betul. Kita sedia maklum bahawa setiap insan mempunyai masalah tersendiri sebagaimana yang dikatakan oleh pepatah Melayu “lautan mana tidak bergelora” dan “bumi mana tidak ditimpa hujan” yang membawa setiap orang mempunyai masalah tersendiri.
Pengurusan masalah yang betul dapat membantu mengekalkan gaya hidup yang sihat. Sesungguhnya bagi mereka yang matang dari segi pemikiran akan menjadikan masalah itu sebagai motivasi kerana setiap masalah ada cara penyelesaiannya sendiri seperti kata “setiap penyakit ada ubatnya.”
Lantaran bagi mereka yang mampu menggunakan akal yang bijak akan mengambil masalah itu sebagai cara untuk mematangkan pemikiran meraka dengan cara meneroka pelbagai ilmu. Ilmu boleh diteroka melalui pelbagai kaedah seperti membuat kajian, belajar atau bergaul dengan mereka yag lebih bijak.
Seyogianya, ambillah masalah itu sebagai aura positif dan tanganilah dengan sebaik mungkin yang berpandukan kepada ilmu. Kebanyakan masyarakat kini melihat tekanan hidup berlebihan yang melebihi had seseorang akan menyumbang kepada masalah mental yang kritikal.
Kesihatan mental yang buruk mengakibatkan kepada akibat yang paling teruk iaitu bunuh diri. Tekanan, secara amnya adalah reaksi manusia yang normal dan biasa yang berlaku ketika kita menerima tekanan dari persekitaran kita. Tekanan boleh membawa aura negatif apabila individu memandangnya sebagai satu beban dan tidak mampu untuk menyelesaikannya secara efektif. Keadaan ini akan mempengaruhi keadaan fizikal, emosi, psikologi atau tingkah laku manusia.
Masalah stres yang berlebihan akan membawa kepada keletihan, gangguan kegelisahan dan kemurungan. Bahkan boleh membawa kepada masalah yang lain seperti diabetes, penyakit jantung, hipertiroidisme, hipertensi, dan kegemukan. Gaya hidup yang bebas stres dan positif dapat dicapai dengan mengekalkan kitaran tidur yang sama, iaitu tidur sekurang-kurangnya 7 hingga 8 jam sehari, mencari ketenangan dan istirahat setiap kali kita beras sedih dan tertekan, mencari teman atau kaunselor dan banyak lagi pendekatan berkesan lain.
Memelihara dan menjaga diri daripada tekanan jangka panjang adalah penting dalam mengembangkan minda dan badan yang sihat. Sehubungan dengan itu, pengurusan tekanan yang berkesan membantu kita mengatasi tekanan yang ada dalam hidup kita sehingga kita dapat tetap bahagia, sihat, dan lebih produktif.
Tujuan utama pengamalan gaya hidup sihat ialah untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Keseimbangan dan kestabilan ini akan melahirkan insan berminda kelas pertama yang akan memajukan negara pada masa akan datang. Dengan ini, jelaslah bahawa pengurusan masalah yang berkesan adalah salah satu cara yang efektif dalam pengamalan gaya hidup sihat.
Kesimpulannya, pengamalan gaya hidup sihat memerlukan dedikasi yang tinggi kerana ia bukan tugas yang mudah untuk dilaksanakan. Namun, hasil yang kita terima daripada perubahan sederhana ini lebih besar dan banyak faedah daripadanya.
Mengamalkan diet pemakanan yang berkhasiat, aktif secara fizikal dan pengurusan tekanan yang betul dapat membantu kita untuk tetap cergas dan mengekalkan tubuh yang sihat. Setiap orang harus menyedari pentingnya gaya hidup yang sihat, terutama sebagai kaedah pencegahan terhadap penyakit maut kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.
Lebih baik jika tabiat ini dididik pada usia dini, sehingga anak-anak dapat membiasakan diri dengan kebiasaan tersebut, seperti kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Anak-anak haruslah didedahkan dengan faedah dan kepentingan menjaga tubuh badan mereka.
Oleh itu ibu bapa dan orang-orang yang lebih tua haruslah memberikan teladan yang cemerlang kepada anak-anak untuk diikuti. Sikap memandang rendah terhadap pengamalan gaya hidup sihat haruslah dielakkan kerana pandangan yang sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak.
Akhirnya, gaya hidup sihat tidak dapat disangkal lagi penting untuk kesihatan kita, kerana tubuh badan yang sihat merupakan kunci utama untuk kesejahteraan dan kegembiraan setiap insan.
Penulis; Norfilzah Amani binti Mohd Lazim,Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).