Friday, March 29, 2024
HomeArtikelCara Mengawal Stres Kepada Pelajar Semasa Menghadapi Musim Pandemik

Cara Mengawal Stres Kepada Pelajar Semasa Menghadapi Musim Pandemik

Wabak Corona Virus yang lebih dikenali sebagai COVID-19 bukan sahaja memberi impak kepada sektor eknomi negara, malahan sektor pengajian tinggi juga turut terkesan. Untuk mengurangkan dan membendung wabak ini dari berlarutan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menyuarakan supaya semua universiti awam menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian pada pertengahan tahun 2020. Akan tetapi, pada suku akhir tahun 2020, terdapat universiti awam yang telah memanggil kembali pelajarnya supaya pembelajaran dan pengajaran dapat diadakan secara bersemuka terutama sekali kepada pelajar yang mengambil jurusan yang memerlukan penggunaan makmal seperti jurusan kedoktoran, farmasi, pergigian dan kejuruteraan.

Namun, terdapat banyak lagi pelajar yang mengambil jurusan lain perlu meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran mereka dalam talian sepenuhnya dan hal ini sedikit sebanyak membuatkan pelajar berasa tidak senang kerana belajar secara talian tidaklah mudah seperti yang dijangka.

Terdapat pelbagai kekangan dan cabaran yang perlu dihadapi oleh pelajar bagi memastikan pembelajaran boleh diteruskan. Antara cabaran utama yang perlu dihadapi oleh pelajar adalah gangguan capaian internet. Hal ini kerana, bukan semua pelajar berada di kawasan yang mempunyai liputan internet yang meluas terutama pelajar yang berada di kawasan kampung.

Ini menyebabkan pelajar sering ketinggalan dalam pelajaran dan boleh menyebabkan stres sehinggakan ada segelintir pelajar yang terpaksa menunda subjek itu kepada semester hadapan ataupun menarik diri daripada pengajiaannya dengan alasan tidak dapat mengikuti proses pembelajaran tersebut.

Selain itu, tugasan yang diberikan daripada pensyarah begitu banyak melebihi daripada apa yang ditugaskan ketika berada di kampus. Ini kerana bukan semua pelajar dapat mengakses segala keperluan yang diminta oleh pensyarah tersebut yang menyebabkan pelajar berasa stress.

Situasi di rumah juga kadang-kadang menjadi penghalang kepada pelajar tersebut kerana tidak semua ibu bapa faham dengan situasi pembelajaran dalam talian sekarang sehingga ada ibu bapa yang marah apabila anak mereka berada di hadapan komputer riba begitu lama sehingga tidak membuat kerja rumah dan sebagainya.

Ketika di kampus, pelajar hanya akan menggalas tanggungjawab sebagai seorang pelajar manakala ketika berada di rumah, pelajar harus menggalas banyak tanggungjawab yang menyebabkan pelajar itu berasa tertekan.

Suasana yang kondusif sangatlah diperlukan oleh pelajar terutama lagi bagi menghadapi sesi pembelajaran secara dalam talian ini.

Cabaran-cabaran inilah yang perlu dihadapi oleh pelajar selagimana wabak ini belum berakhir. Antara yang menjadi kerisauan adalah apabila pelajar mengalami ‘stress’ yang terlampau sehingga menyebabkan keadaan mental pelajar boleh terjejas yang boleh membawa kepada penyakit mental seperti depresi dan lain-lain. Terdapat pelbagai cara yang pelajar boleh gunakan untuk mengurangkan stres ketika menjalani pembelajaran. Antara cara mengawal stres adalah:

1)  Mendapatkan tidur yang cukup

Tidur yang mencukupi adalah sangat penting sekiranya anda mahukan prestasi dalam diri berada dalam keadaan yang optimum. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa mereka yang kurang tidur mengalami masalah untuk belajar dan menghafal yang akan membuatkan prestasi anda sebagai pelajar merudum.

Selain daripada itu, kurang tidur juga akan membuatkan anda lebih cenderung untuk berasa stres serta boleh menjejaskan aktiviti harian kerana anda akan cenderung untuk berasa cepat marah, sukar untuk memberi tumpuan dan sebagainya. Oleh itu, waktu tidur yang disarankan adalah dalam lingkungan 6 – 8 jam sehari supaya anda mendapatkan rehat yang mencukupi dan membuatkan anda lebih cergas dan bertenaga.

2)  Kerap bersenam

Tekanan yang tidak dikawal dan diuruskan secara baik boleh menjejaskan kesihatan dari segi fizikal mahupun mental. Justeru, antara cara terbaik yang boleh dilakukan untuk mengurangkan tekanan adalah dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat iaitu bersenam.

Bersenam merupakan salah satu cara efektif yang boleh membantu mengurangkan stres. Bersenam dapat meningkatkan pengeluaran hormon dan dorfin seterusnya anda akan berasa lega dan tenang. Dengan bersenam ia dapat meningkatkan pengeluaran hormon dan dorfin dan anda akan berasa lega dan tegang.

Antara aktiviti senaman yang anda boleh praktikkan di rumah adalah berjalan dan bersenamrobik. Gerakan yang dilakukan ketika proses bersenam itu akan membuatkan anda lupakan seketika tentang kegelisahan dan masalah yang ada dan akan membuatkan anda lebih fokus pada anggota badan daripada minda yang akan membuatkan anda berasa lebih optimis dan bertenaga.

3)  Jaga pemakanan

Pemakanan yang sihat akan membawa kepada kesihatan fizikal mahupun kesihatan mental dan penjagaan pemakanan yang betul akan membantu pelajar untuk menghadapi cabaran dalam kehidupan seharian. Pelajar perlu memastikan mereka tidak terlupa untuk makan mengikut waktunya supaya boleh mendapat tenaga yang cukup untuk melaksanakan tugasan harian.

Diet yang seimbang juga perlu dipraktikkan untuk menjamin tubuh badan mendapatkan nutrisi yang diperlukan seperti makanan yang mengandungi protein, vitamin B6 dan B12, asid folik serta mineral. Perlu dielakkan memakan makanan ringan dengan kerap serta mengambil kafein secara berlebihan kerana kafein yang berlebihan kerana kafein yang berlebihan boleh mendorong kepada penyakit ‘anxiety’.

4)  Menguruskan masa dengan baik

Sangat penting untuk pelajar menguruskan masa dengan baik supaya kerja yang perlu dilakukan boleh disiapkan dalam masa yang ditetapkan dan tidak tergendala. Untuk menguruskan masa dengan baik, pelajar perlu mempunyai jadual yang telah dirancang supaya boleh mengutamakan mana yang patut diutamakan terlebih dahulu kerana bukan semua tugasan memerlukan tenaga kerja serta jangka masa yang sama.

Pelajar juga perlu menentukan jangka masa yang perlu untuk menyiapkan sesuatu tugasan itu supaya tidak lari daripada jadual yang telah dibuat. Oleh kerana itu, sebagai pelajar anda perlu bijak untuk mengagihkan masa kepada tugasan mana yang perlu disiapkan dengan kadar segera dan tidak menangguhkan kerja yang perlu disiapkan pada minggu berikutnya. Sebaliknya, lakukan kerja-kerja itu sedikit demi sedikit supaya boleh meringankan beban untuk kerja yang akan datang.

5)  Fokus

Anda mungkin merasa tidak bermotivasi sekarang dan ketahuilah bahawa keadaan ini juga sukar untuk semua orang. Jangan menghukum diri anda sekiranya belum Berjaya sebaliknya cuba untuk buat yang terbaik.

Tetapkan rutin seharian anda. Bangun, tidur dan buat kerja anda pada waktu yang sama. Rehat yang kerap dapat membantu anda untuk fokus semula dalam kerja anda.

Fokus adalah menjadi kunci utama untuk mendapatkan hasil yang maksimum dan sempurna dalam sesuatu kerja. Tanpa fokus yang tinggi, anda akan mengambil masa yang lama untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Cuba mengasingkan ruang kerja anda supaya perhatian anda tidak mudah untuk dialihkan.

6)  Berbual dengan rakan

Rakan-rakan di universiti merupakan separuh alasan yang menjadikan kehidupan di universiti tidak dapat dilupakan. Walaupun pada masa kini adalah mustahil untuk berhubung dengan rakan secara berhadapan seperti dahulu kala, namun masih terdapat cara untuk saling berhubungan seperti melakukan panggilan video, berbual melalui aplikasi ‘whatsapp’ dan lain-lain lagi.

Tambahan lagi, banyak acara universiti yang telah beralih secara digital, jadi anda juga boleh mencari rakan baharu dengan menyertai kumpulan, kelab, acara dan aktiviti kesatuan pelajar serta berhubung dengan rakan sebaya dan komuniti universiti anda dan dapat berkongsi pengalaman anda bersama rakan dalam menghadapi situasi kini yang mungkin akan membuatkan anda rasa anda tidak berseorangan. Rakan anda juga mungkin menghadapi masalah yang sama bahkan mungkin lebih teruk.

7)  Berkongsi masalah bersama keluarga

Adakala stres ini berpunca daripada kita berhadapan komputer riba terlalu lama dan keluarga mungkin tidak faham apa yang kita sedang hadapi.

Seeloknya, jelaskan sebetulnya apa yang anda rasa ketika menghadapi pembelajaran secara talian supaya mereka lebih faham dan cakna akan situasi anda di rumah.

Berkongsilah perasaan kebimbangan dan kegelisahan anda kepada keluarga dan bercakap secara terbuka mengenai isu-isu yang membuatkan anda tertekan. Mungkin mereka boleh memberi jalan penyelesaian mahupun dapat mengurangkan stres anda dengan membawa anda keluar bersiar-siar dan sebagainya.

8)  Meminta bantuan dan pendapat daripada pensyarah

Walaupun pensyarah dan tenaga pengajar sering memberi tugasan, namun ketahuilah mereka juga menyedari akan situasi yang kita sedang hadapi dan mereka juga mungkin menghadapi situasi yang sama.

Oleh itu, sekiranya mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan pembelajaran dalam talian, atau beban kerja anda yang terlalu tinggi, sebaiknya pelajar berhubung terus kepada pensyarah supaya masalah anda tidak berlarutan dan dapat diselesaikan sebaiknya.

Anda juga boleh berkongsi masalah yang anda hadapi sepanjang sesi pembelajaran supaya boleh mendapatkan nasihat dan cadangan yang sewajarnya daripada pensyarah anda.

Akhir sekali, amalan pengurusan stres yang teratur dapat mengurangkan tahap stres keseluruhan anda dan membantu anda bersiap sedia untuk apa sahaja yang akan datang. Semakin anda mengenal pasti dan mempraktikkan teknik yang sesuai untuk anda sekarang, semakin bersedia untuk menghadapi cabaran yang anda hadapi sepanjang hidup anda kerana sama ada kita suka atau tidak, COVID-19 tidak akan ke mana-mana sekurangnya untuk jangka masa yang pendek ini.

Jadi, kuncinya adalah pelajar perlu sentiasa bersedia dan menyesuaikan diri dengan ‘norma baharu’ untuk menjalani pengajian anda. Ingatlah bahawa stres sebenarnya boleh membunuh.

Justeru sangat penting untuk pelajar melindungi diri dan kesihatan dengan mengamalkan cara mengurus dan mengawal stres dengan baik dan berharap agar wabak ini segera berakhir supaya kita semua boleh menjalani aktiviti biasa dan pelajar boleh kembali ke kampus untuk menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka seperti dahulu kala.

Penulis; Nur Elisra Eisya bt Ahmad Kamel, pelajar tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko, Fakulti Sains Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai
RELATED ARTICLES

Most Popular