Friday, December 2, 2022
HomeArtikelCina Peranakan Di Kelantan Sebagai Model Integrasi Budaya di Malaysia

Cina Peranakan Di Kelantan Sebagai Model Integrasi Budaya di Malaysia

Etnik Cina Peranakan di Kelantan merupakan etnik yang masyhur di negara kita kerana keunikan mereka yang secara tidak langsung menerima serta mengaplikasikan budaya masyarakat Melayu di negeri Kelantan.

Di Kelantan, mereka dikenali dengan gelaran ‘Cina Kampung’. Kefasihan mereka dalam bertutur dengan menggunakan loghat negeri Kelantan yang sangat pekat dan lancar telah menarik perhatian ramai rakyat Malaysia.

Dalam abad ke-15, masyarakat Cina dari selatan tanah besar China yang berketurunan Hokkien, Hakka dan Kantonese yang asalnya dari Kwangtun dan Fukien, China telah berhijrah ke Kelantan dan menetap di kawasan yang berdekatan dengan sungai.

Ada daripada mereka yang datang untuk mencari sumber pendapatan, ada juga daripada mereka yang memilih untuk kekal di Kelantan selepas China telah diisyhtiharkan sebagai sebuah negara komunis dalam Perang Dunia Kedua.

Mereka juga mempunyai hubungan yang sangat baik dengan masyarakat setempat seperti etnik Melayu dan Siam bahkan sebelum Malaysia merdeka lagi.

Dalam pandangan masyarakat Cina pula, memang tidak dinafikan bahawa Kelantan adalah kawasan yang menjadi sasaran mereka untuk berhijrah sewaktu pemerintahan Dinasti Ming dan Kelantan  dikenali sebagai sebuah tempat yang dipanggil ‘Jilandan’ ataupun ‘Chi-Lan-Tan’ bagi mereka.

Apakah faktor yang mendorong kepada penyerapan budaya dalam masyarakat cina peranakan di Kelantan ini?

Antara faktor yang dapat kita lihat adalah apabila berlakunya perkahwinan campur dalam masyarakat minoriti dan majoriti. Asal usul perkahwinan campur yang juga dikenali sebagai proses amalgamasi ini telah berlaku antara seorang lelaki berbangsa Cina yang berkahwin dengan seorang wanita Siam Kelantan.

Perkahwinan campur ini jarang terjadi dalam kalangan masyarakat Melayu kerana agama Islam tidak membenarkan perkahwinan bagi pasangan yang berbeza agama, melainkan bagi mereka yang telah memeluk agama Islam sebelum berkahwin dengan masyarakat Melayu.

Bukan itu sahaja, malah mereka juga turut mengamalkan gaya hidup serta budaya yang bercampur sehingga banyak memberi kekeliruan terhadap masyarakat luar dalam membezakan sama ada mereka merupakan orang Cina, Siam atau Melayu.

Hal ini kerana, masyarakat cina peranakan di Kelantan bertutur menggunakan loghat masyarakat Melayu di negeri Kelantan iaitu loghat Kelantan dengan sangat lancar dan pekat dalam kehidupan seharian mereka.

Namun, loghat asal mereka iaitu loghat Hokkien yang digunakan cina peranakan Kelantan juga telah bercampur iaitu antara loghat Hokkien, Siam Kelantan serta Melayu Kelantan. Sebagai contoh, “Asa uso cho lan ni lai daripado teng sua” membawa maksud asal usul nenek saya ini, dia datang dari China.

Penyerapan budaya yang berlaku bukan sahaja melibatkan adat Melayu yang diamalkan masyarakat Cina malah ada juga sebahagian adat daripada masyarakat Cina ini yang telah dipraktikkan oleh masyarakat Melayu di seluruh Malaysia.

Sebagai contoh, penggunaan angpau berasal dari kumpulan etnik cina ini telah dipinjam dan diamalkan oleh etnik Melayu dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri. Proses pinjam-meminjam antara adat Melayu dan Cina ini disebut sebagai proses akulturasi.

Selain itu, antara contoh lain yang menunjukkan bahawa masyarakat Melayu dan Cina ini telah berakulturasi antara satu sama lain adalah dengan melihat kepada kata pinjaman ‘tapau’ bagi fahaman orang Melayu yang membawa maksud untuk membungkus makanan sebenarnya berasal dari perkataan Dǎbāo yang berasal dari Bahasa Cina. Banyak lagi kata pinjaman lain yang telah digunakan secara meluas oleh masyarakat Melayu seperti ‘tauke’ dan ‘samseng’.

Setelah sekian lama kumpulan etnik ini berada di Kelantan, maka terbinalah satu organisasi iaitu Persatuan Peranakan Cina Kelantan.

Persatuan ini merupakan sebuah organisasi yang ditubuhkan sejak tahun 1989 iaitu pada tanggal 15 Februari di mana ahli persatuan ini bertanggungjawab untuk memberi pertolongan dalam memajukan serta memberi keselesaan serta fasiliti awam yang mencukupi bagi masyarakat Cina Peranakan di Kelantan yang menetap di kawasan luar bandar agar tidak ketinggalan dalam mengikuti aliran pembangunan negara kita.

Antara aktiviti dan bantuan yang telah dilakukan ialah agihan bantuan yang dinamakan sebagai tabung kebajikan Dato Tiew Pang Hock telah disalurkan dan bertujuan untuk meringankan beban masyarakat Cina Peranakan di Kelantan.

Organisasi ini tidak memfokuskan kepada kebajikan masyarakat Cina Peranakan di Kelantan sahaja bahkan juga berperanan sebagai satu medium dalam memastikan hubungan antara masyarakat Cina dengan etnik lain di Kelantan juga terjaga. Misalnya, sebagaimana yang disebutkan oleh pengerusi persatuan ini sendiri dalam isu tulisan jawi bagi orang bukan Islam, Lim Kang Hong pernah berkata bahawa pendedahan yang telah diperolehi oleh masyarakat cina tentang adat dan warisan Melayu secara sukarela telah menarik minat mereka untuk mempelajari adat Melayu itu sendiri dengan lebih mendalam.

Hasilnya, mereka mempunyai asas pengetahuan tentang tulisan jawi tanpa dipaksa untuk mempelajarinya.

Meskipun bukan etnik mereka sahaja yang mendiami kawasan di negeri Kelantan pada waktu itu, mereka tetap dikenali sebagai etnik minoriti yang menunjukkan tahap integrasi yang kuat terhadap warisan kebudayaan Melayu terutamanya di kawasan pedalaman dan juga kawasan Siam Kelantan seperti Pattani dan Narathiwat.

Tambahan lagi, perbezaan agama bagi rakyat Cina, Melayu dan Siam di Kelantan juga tidak menjadi masalah kepada mereka untuk bersosial dan berkomunikasi dengan aman antara satu sama lain sehingga sekarang.

Penyerapan warisan kebudayaan ini menunjukkan bahawa integrasi yang wujud antara masyarakat Cina dan Melayu di Kelantan adalah sangat kuat sehingga telah menjadikan setiap kumpulan etnik ini menyedari serta saling menghormati nilai dan kepercayaan etnik lain dalam masa yang sama jua masih mengekalkan budaya warisan masing-masing.

Akhir sekali, tahap integrasi antara bangsa ini harus kita utamakan lebih-lebih lagi bagi seluruh rakyat Malaysia kerana penyatuan bangsa dalam negara kita inilah yang akan menjadi kunci kepada kemajuan negara.

Oleh itu, para pemimpin dan masyarakat harus memainkan peranan masing-masing demi menjaga keharmonian negara kita.

Penulis; Hana Qistina Binti Che Khairunizan, Pelajar Tahun 1 Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.
RELATED ARTICLES

Most Popular