Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 16 Mac 2020 tentang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Malaysia telah membawa kepada mimpi ngeri buat rakyat Malaysia terutamanya buat peniaga kecil.
Wabak Covid-19 telah meninggalkan kesan yang mendalam buat landskap ekonomi, bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia. Kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membendung wabak ini daripada terus menular telah mengakibatkan perusahaan kecil terjejas.
Pelaksanaan PKP di Malaysia menyebabkan peniaga-peniaga kecil hilang punca pendapatan mereka. Ada yang terpaksa mengeluarkan wang simpanan kecemasan demi kelangsungan hidup. Ada juga yang perlu menanggung beban hutang yang semakin bertambah kerana perniagaan mereka mengalami kerugian besar.
Senario yang mengerikan ini memberi impak negatif terhadap kadar muflis di negara ini. Sebahagian daripada mereka terpaksa menyekat perbelanjaan seharian kerana pendapatan mereka terjejas.
Menurut kajian daripada SME Corp. Malaysia, seramai 76% mereka yang terlibat dalam sektor ekonomi terkesan dengan wabak Covid-19. Ini disebabkan oleh sekatan pergerakan yang dilakukan secara sebahagian dan keseluruhan.
Pelbagai inisiatif telah diambil oleh peniaga-peniaga kecil untuk melariskan produk mereka. Berniaga di platform atas talian antara tindakan strategi yang dilakukan oleh kebanyakan peniaga.
Inisiatif ini membantu menaikkan semula ekonomi hidup mereka. Sekatan pergerakan telah menyebabkan kebanyakan pengguna menggunakan perkhidmatan atas talian untuk membuat urusan jual beli.
Namun, dikala perniagaan atas talian melonjak naik, terdapat beberapa sektor ekonomi yang menghadapi kekangan untuk melariskan perniagaan mereka di atas talian. Antara cabang ekonomi yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan perniagaan mereka ialah industri perkahwinan dan percutian. Justeru itu, mereka terpaksa menelan pahit kerugian yang dialami dikala pandemik melanda.
Prakarsa lain perlu dilaksanakan dalam bidang ekonomi tersebut demi mengekalkan kelangsungan perniagaan mereka. Mereka perlulah menukar strategi lain agar bersesuaian dengan keadaan dan keperluan semasa.
Peristiwa hitam ini mengakibatkan ramai peniaga kecil terpaksa bertindak diluar kemampuan mereka untuk terus hidup. Menurut SME Corp, pekerjaan yang paling berisiko buat masa ini ialah perniagaan kecil. Ini kerana perniagaan yang dilakukan adalah 100% daripada mereka sendiri. Hanya ketabahan yang mereka perlukan saat getir ini.
Wabak Covid-19 yang mula dikesan pada hujung tahun 2019 itu telah membawa seribu satu impak terhadap sejagat manusia di dunia ini. Malaysia mengalami penguncupan ekonomi sebanyak 17.1% pada suku kedua tahun 2020. Ini sedikit sebanyak memberi kesan buat para peniaga kecil yang memerlukan pendapatan harian untuk meneruskan perniagaan mereka.
PKP pertama telah diadakan di seluruh Malaysia tepat pada 18 Mac 2020. Satu demi satu perniagaan mula tumbang dan muflis. Perniagaan gergasi juga tidak terkecuali dalam hal ini.
Mereka turut gulung tikar dalam dunia perniagaan ini dan ramai mula hilang pendapatan. Golongan M40 semakin berkurangan dan golongan B40 semakin bertambah. Perit untuk ditelan tetapi itulah hakikat yang terpaksa dihadapi dalam era ini.
Menurut Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), semenjak wabak Covid-19 melanda Malaysia, trend permintaan semakin menurun. Perkara ini memberi kesan buat peniaga-peniaga kecil dan juga sederhana untuk terus kekal di dalam dunia perniagaan pada waktu pandemik ini.
Golongan peniaga industri kecil dan sederhana (PKS) ialah golongan paling terkesan sekali. Namun, itu bukan satu alasan untuk mematahkan semangat mereka. Ramai juga yang mengambil kesempatan untuk mempromosikan jualan mereka di platform digital.
Mereka menggunakan sepenuhnya platform tersebut seperti FoodPanda, GrabFood, LalaMove dan platform e-hailing yang lain. Semangat juang mereka harus kita contohi dalam mendepani ujian yang tidak dapat disangka.
Sikap tolong-menolong sangat penting pada waktu ini dalam kalangan komuniti. Pada masa ini sesuai untuk kita menghidupkan sikap integrasi tanpa mengira kaum dan agama. Buat mereka yang tidak terjejas pendapatan, mereka boleh menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk kepada peniaga-peniaga yang terkesan teruk.
Pihak-pihak yang berkenaan dalam sektor kerajaan mahupun swasta boleh membantu mereka untuk meringankan beban yang dipikul. Bagaimana kita boleh membantu mereka? Dengan membeli dan menyokong perniagaan mereka tanpa mengharapkan potongan diskaun. Perkara sedemikian sudah cukup membuatkan mereka gembira kerana dapat meneruskan perniagaan.
Bantuan dari kita sedikit sebanyak dapat menggerakkan semula ekonomi yang sudah tersekat di bawah setelah sekian lamanya. Tanpa kita sedari, pertolongan yang dihulurkan itu, walaupun sedikit, amat bermakna buat landskap ekonomi negara kita.
Selain itu, pihak kerajaan juga harus memainkan peranan yang besar dalam mengekalkan industri PKS ini. Subsidi dan bantuan dari kerajaan dapat meringankan kegusaran yang dialami oleh golongan PKS. Antara bantuan yang telah dilaksanakan bagi membantu golongan tersebut ialah Pakej Rangsangan Ekonomi. Bantuan tersebut dapat menyelamatkan peniaga-peniaga kecil yang terkesan dengan wabak Covid-19.
Selain daripada bantuan berbentuk kewangan, bantuan lain juga diperlukan oleh mereka pada saat ini. Antaranya ialah bantuan pemasaran.
Peniaga-peniaga kecil di negara kita mempunyai kemampuan yang besar dalam perniagaan. Tetapi disebabkan kurang berpengalaman, mereka masih berada di zon yang sama. Ini kerana mereka kurang pendedahan terhadap perkara tersebut.
Kebanyakan peniaga-peniaga kecil belum mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang perniagaan. Jika tiada bantuan yang sewajarnya dari pihak kerajaan, masyarakat juga tidak dapat berganding bahu dalam memberi sokongan yang padu buat perusahaan kecil dan sederhana.
Justeru itu, saya menyeru agar orang ramai terlibat dalam memberi bantuan buat perniagaan kecil yang terkesan dalam era pandemik ini tanpa mengira kaum dan agama. Tiada lagi mimpi ngeri buat peniaga-peniaga ini apabila orang ramai bersatu padu memberi sokongan untuk menggerakkan ekonomi Malaysia semula.
Penulis; Ain Nur Izzah binti Mohamad Zahari, Pelajar Tahun 1 Jurusan Sarjana Muda Perakaunan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).