Kesihatan mental ini secara umumnya adalah individu yang memiliki kesejahteraan yang baik dan mempunyai kemampuan untuk mengatasi tekanan dalam hidup. Individu yang mempunyai kesihatan mental yang baik juga tidak dapat mengelak daripada menghadapi stress, namun mereka berupaya untuk menguruskan stress dan cabaran yang muncul dalam kehidupan mereka. Kesihatan mental yang terganggu akan membawa kepada gangguan dan penyakit mental.
Menurut suatu laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seorang daripada 20 orang kanak-kanak berusia 5 hingga 9 tahun di Malaysia kini mengalami gangguan mental. Kini, KKM telah merekodkan 424000 kanak-kanak di Malaysia disahkan mengalami masalah mental.
Penyakit mental atau gangguan mental adalah suatu keadaan kesihatan yang boleh membawa perubahan keupayaan seseorang untuk berfikir, rasa dan bertindak. Penyakit mental ini secara tidak sedar boleh dialami oleh sesiapa pun tanpa mengenal usia. Permasalahan kesihatan mental di Malaysia turut dikaitkan dengan tingkah laku bunuh diri. Isu kesihatan mental dan tekanan emosi dalam kalangan rakyat perlu dipandang serius kerana ia memberi pelbagai kesan buruk kepada diri sendiri, keluarga dan negara.
Terdapat beberapa tanda-tanda umum yang boleh dikenal pasti yang menjadi tanda amaran seseorang kanak-kanak atau remaja mengalami penyakit mental. Penyakit mental dapat mempengaruhi tingkat produktiviti kanak-kanak serta minatnya dalam melakukan aktiviti di berbagai aspek kehidupan. Individu yang mengalami masalah kesihatan mental sering kali menunjukkan tanda-tanda seperti kurangnya motivasi dan ketidakmampuan untuk menikmati aktiviti dalam pelajaran.
Selain itu, perubahan dramatis dalam pola tidur dan selera makan juga sering terjadi apabila kanak-kanak atau remaja itu mungkin mengalami tidur berlebihan atau kurang tidur, serta kehilangan nafsu makan atau makan berlebihan. Mereka yang mengalami gangguan mental juga cenderung mengabaikan penjagaan diri, seperti tidak merawat kebersihan diri atau menjaga penampilan.
Tanda yang paling penting dikalangan kanak-kanak dan remaja adalah kesulitan dalam menumpukan perhatian di sekolah, mengalami masalah daya ingatan, serta mengalami halusinasi. Hal ini akan menyebabkan penurunan pencapaian sebagai seorang pelajar. Tanda-tanda ini perlu diperhatikan dikalangan kanak-kanak dan remaja supaya mereka mendapat bantuan dan rawatan yang diperlukan dengan lebih awal.
Individu yang mengalami penyakit atau gangguan mental ini mesti sentiasa mendapat sokongan dan dorongan daripada orang-orang terdekat dan di sekelilingnya seperti keluarga dan rakan karib. Hal ini kerana mereka memiliki pengaruh yang besar dalam menyalurkan kesan positif pada kesihatan mental bagi remaja.
Sebagai ibu bapa, mereka mestilah menunjukkan cinta, kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak terutamanya pada anak remaja. Sebagai contoh, ibu bapa boleh memuji prestasi dan kejayaan anak-anak. Pendapat dari anak-anak juga seharusnya didengari dan dihargai.
Melalui cara ini, hubungan emosional antara keluarga yang baik akan dapat mengurangi kemungkinan remaja mengalami masalah kesihatan mental. Semuanya bermula dari rumah dan ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting bagi menangani masalah mental dalam kalangan anak remaja mereka.
Selain itu, ibu bapa haruslah mendorong anak mereka untuk berbicara tentang perasaan mereka sama ada dari aspek pendidikan, percintaan atau hal peribadi yang lain. Hal ini memainkan peranan penting agar mereka sedar yang mereka tidak melalui sesuatu masalah itu berseorangan. Ini akan menunjukkan tahap peduli sebagai orang tua.
Anak- anak juga tidak akan memendam sesuatu masalah dan sentiasa berkongsi masalah dengan orang tua dan seterusnya mencari jalan penyelesaian bersama-sama. Masalah yang mereka alami haruslah segera ditangani sebelum masalah itu menumpuk.
Waktu bersama dengan anak dan juga sebagai sebuah keluarga harus sentiasa dinikmati kerana ia akan dapat mencipta lingkungan keluarga yang positif dan mendukung. Hal ini akan mendorong kanak-kanak atau remaja untuk berkembang secara emosional, sosial dan mental.
Aktiviti bersama keluarga secara tidak langsung dapat membantu meredakan stress dan meningkatkan kesejahteraan mental. Waktu yang dihabiskan bersama ini boleh meningkatkan rasa saling percaya, dukungan dan sokongan antara anggota keluarga. Anak-anak akan merasakan mereka cukup kasih sayang dan sokongan dari keluarga yang membantu sedikit sebanyak dalam menghindari dan mengurangi stress.
Demi menyokong kesejahteraan mental yang holistik bagi generasi akan datang, pihak sekolah juga memainkan peranan penting bagi bersama-sama membangunkan kesedaran kesihatan mental dan menggalakkan ketahanan emosi di kalangan kanak-kanak dan remaja. Sekolah perlu menganjurkan program kesedaran kesihatan mental yang bertujuan untuk mengedarkan informasi penting mengenai kesejahteraan mental kepada pelajar.
Selain promosi kesedaran, penting juga untuk melatih kanak-kanak dan remaja tentang kemahiran kecergasan mental seperti pengurusan stress, penyelesaian masalah, dan berkomunikasi dengan berkesan.
Dengan memahami pentingnya kesedaran kesihatan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja, usaha bersama dari pelbagai pihak amatlah penting untuk mengutamakan kesejahteraan mental generasi muda. Langkah proaktif harus diambil dalam mempromosikan kesedaran kesihatan mental dan memberikan sokongan yang diperlukan kepada kanak-kanak dan remaja dalam perjalanan mereka menuju kehidupan yang lebih sihat dan berdaya tahan secara emosi.
Penulis: Nur Ain Nabilah Binti Fauze, Mahasiswa Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.