Tuesday, July 9, 2024
HomeArtikelDari Wabak Kepada Mengatasi: Mengemudi Cabaran COVID-19 Bersama

Dari Wabak Kepada Mengatasi: Mengemudi Cabaran COVID-19 Bersama

COVID-19 merupakan penyakit yang disebabkan oleh coronavirus baharu SARS-CoV-2 masih lagi sedang diteliti sehingga kini. Virus itu pada mulanya didapati di wilayah China di bandar Wuhan bermula pada Disember 2019. Kes terawal yang dilaporkan menunjukkan pesakit mempunyai simptom radang paru-paru mempunyai kaitan dengan sebuah pasar makanan laut di Wuhan, di mana tempat haiwan liar hidup turut dijual. Setelah itu, pihak berkuasa kesihatan China dengan cepat telah berjaya mengenal pasti bahawa novel coronavirus sebagai agen penyebab penyakit pernafasan yang dihidapi pesakit tersebut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah dimaklumkan, dan virus itu kemudiannya dinamakan SARS-CoV-2 kerana persamaan genetiknya dengan Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS). Tidak mengambil masa yang lama, pada tahun 2020 virus ini didapati mula tersebar dan merebak ke serata dunia dengan cepat menjadikannya dikelaskan sebagai salah satu penyakit berjangkit yang merbahaya.

Kesan daripada terdedahnya kepada virus ini boleh membawa kepada beberapa komplikasi yang teruk selama beberapa hari. Antara komplikasi yang berpunca daripada virus ini termasuklah demam, batuk, pening kepala, muntah, cirit birit, kesukaran bernafas, hilang deria bau dan juga deria rasa. Kompilasi-kompilasi ini mungkin berbeza bagi setiap individu mengikut peringkat umur dan juga tahap kesihatan dan imuniti setiap individu itu sendiri.

Berdasarkan laporan sebelum ini, sekurang-kurangnya satu pertiga daripada orang yang dijangkiti tidak mengalami gejala yang ketara, namun terdapat juga beberapa kes yang boleh menyebabkan kepada kematian. Oleh sebab itu, ia menjadikan kes kematian di Malaysia pada tahun itu turut meningkat akibat daripada penularan wabak COVID-19 tersebut.

Hal ini berpunca disebabkan jumlah pesakit positif COVID-19 yang semakin meningkat dari hari ke hari. Peningkatan jumlah pesakit COVID-19 pada ketika itu menyebabkan kerajaan mengalami krisis kekurangan pegawai kesihatan, bilangan katil yang disediakan di hospital juga tidak mencukupi.

Perkara ini telah menjadi satu isu yang menimbulkan kerisauan dan kebimbangan dalam kalangan ahli politik dan juga seluruh masyarakat Malaysia yang lain. Bukan kesihatan sahaja yang terjejas dalam masalah ini, malah keadaan ekonomi juga turut terkesan dengan teruk akibat penularan wabak COVID-19 tersebut. Pada tahun 2020, setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres telah menyifatkan bahawa pandemik coronavirus COVID-19 sebagai krisis kesihatan paling teruk dalam Sejarah PBB.

Bermula pada Mac 2020, kerajaan mula mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan dengan kes penularan wabak coronavirus yang semakin membimbangkan. Pada ketika itu, semua rakyat diarahkan untuk berkurung dan kekal berada di rumah masing-masing dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Selain itu, beberapa premis perniagaan tidak dibenarkan untuk beroperasi, sekolah terpaksa ditutup dan perlepasan untuk merentas negeri dan merentas negara juga tidak dibenarkan melainkan dengan tujuan tertentu. Dalam pada masa yang sama, pelbagai langkah berjaga-jaga telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan kepada masyarakat di Malaysia bagi membendung masalah penularan wabak coronavirus yang kian mengancam kesihatan manusia.

Pertama sekali, orang ramai telah dinasihatkan untuk tidak berada di tempat yang sesak serta tempat tertutup seperti pengangkutan awam dan tempat kerja. Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa menjaga jarak sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain supaya terhindar daripada risiko jangkitan. Hal ini kerana, terdapat kemungkinan bahawa seseorang individu itu sudah dijangkiti virus, namun tidak menunjukkan sebarang simptom-simptom yang menunjukkan bahawa dirinya telah dijangkiti. Oleh itu, langkah ini diambil sebagai salah satu langkah berwaspada kepada orang ramai.

Bukan itu sahaja, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Norhisham Abdullah juga telah menyarankan orang ramai untuk sentiasa memakai pelitup muka ke mana sahaja terutamanya di kawasan yang sesak kerana virus ini mempunyai risiko yang tinggi untuk tersebar dengan lebih mudah melalui udara.

Selain daripada penyebaran melalui udara, virus ini juga boleh tersebar walau hanya dengan sentuhan fizikal. Oleh itu, sentiasa sanitasi dan membasuh tangan dengan betul dan bersih juga merupakan antara salah satu langkah mudah yang boleh diamalkan. Walaupun perkara ini kelihatan remeh, namun ia boleh mengurangkan risiko penyebaran virus daripada terus berleluasa dengan lebih teruk.

Bagi individu yang merasa dirinya bergejala, mereka disarankan agar melakukan ujian kendiri sama ada menggunakan “test kit” kendiri mahupun melalui “swab test” untuk mengenal pasti sama ada dirinya terinfeksi atau tidak. Seseorang yang telah disahkan positif COVID-19 perlulah mengambil langkah berwaspada dengan melakukan pengasingan sekurang-kurangnya selama tujuh hari agar virus itu tidak dijangkiti oleh orang lain. Berbanding dengan individu yang tiada mempunyai rasa tanggungjawab dengan tidak melakukan ujian kendiri, mereka tidak tahu bahawa mereka telah dijangkiti seterusnya mereka boleh mengakibatkan virus itu tersebar kepada orang lain.

Sekiranya seseorang individu itu mengalami simptom yang amat teruk seperti sesak nafas, mereka disarankan untuk pergi pusat kesihatan seperti hospital dengan kadar segera untuk mendapatkan rawatan lanjut. Perkara seperti ini seharusnya diambil berat oleh semua orang kerana ia bukan hanya memberi kesan kepada diri sendiri, malah boleh memberi kesan kepada orang lain juga terutamanya orang tersayang seperti ahli keluarga.

Oleh itu, segala prosedur dan langkah berjaga-jaga yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlulah dipatuhi dengan sebaik mungkin. Usaha menghadapi COVID-19 ini bukanlah terletak pada kerajaan sahaja, namun rakyat itu sendiri juga perlu memberi kerjasama yang penuh dalam usaha ini. Tambahan lagi, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Norhisham sendiri mengatakan bahawa selagi tiada vaksin yang ditemui, kita perlu menggunakan kaedah awam iaitu pencegahan lebih baik daripada rawatan.

Namun, setelah vaksin berjaya ditemukan, Kementerian Kesihatan amat menggalakkan orang ramai agar mengambil vaksin bagi meningkatkan lagi tahap imunisasi terhadap jangkitan sebagai langkah pencegahan yang lebih kukuh. Program vaksinasi diberikan bermula dari 26 Februari 2021. Orang ramai yang bersetuju untuk divaksinasi boleh membuat permohonan melalui aplikasi MySejahtera.

Segala butiran mengenai waktu dan lokasi janji temu vaksinasi juga akan diberikan dengan lebih terperinci melalui aplikasi tersebut. Antara jenis vaksin yang mula diberikan pada ketika itu termasuklah Sinovac, AstraZeneca, dan Pfizer. Namun, berikutan dengan keadaan penularan di Malaysia ketika itu sangat membimbangkan, orang ramai mempersoalkan keberkesanan antara ketiga-tiga vaksin tersebut.

Menurut suatu kajian yang dikeluarkan oleh New England Journal of Medicine sebelum ini, ia mengatakan bahawa Pfizer memberi keberkesanan lebih kurang 93.7 peratus terhadap varian Alfa dan 88 peratus bagi varian Delta, manakala AstraZeneca hanya lebih kurang 74.5 peratus bagi varian Alfa dan 67 peratus bagi varian Delta.

Secara kesimpulannya, dapat dilihat bahawa mengatasi wabak COVID-19 ini merupakan suatu proses yang rumit dan memerlukan usaha yang berterusan daripada semua pihak. Setelah pelbagai usaha dilakukan, penyebaran wabak COVID-19 dilihat mula berkurang dari semasa ke semasa. Walaupun mungkin ada ketika terdapat sedikit peningkatan pada hari-hari tertentu, namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan bahawa tahap kesihatan negara masih dalam keadaan yang terkawal dan dapat diatasi dengan baik.

Dengan ini, ia menunjukkan bahawa mengatasi cabaran COVID-19 memerlukan usaha kolektif daripada skala global dengan kerjasama yang padu oleh setiap individu, komuniti, kerajaan dan organisasi antarabangsa. Kalau bukan rakyat Malaysia sendiri, siapa lagi yang mahu mempertahankan kesihatan dan kesejahteraan negara sendiri.

Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab yang besar dalam usaha ini dengan menggabungkan langkah kesihatan awam, usaha vaksinasi, dan penyelidikan boleh membuka jalan ke arah era pasca-pandemik yang dicirikan oleh kesihatan, daya tahan dan kesejahteraan global yang dikongsi bersama.

Penulis, Nur Hanisah Farzana Binti Rashid, Mahasiswa Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.
RELATED ARTICLES

Most Popular