Saturday, June 25, 2022
HomeArtikelDi Sebalik Penghasilan Kopi Luwak Antara Kopi Termahal Dunia

Di Sebalik Penghasilan Kopi Luwak Antara Kopi Termahal Dunia

Kopi adalah salah satu minuman berkafein yang dinikmati oleh banyak orang dan terdapat pelbagai jenis kopi yang ada di dunia ini untuk memenuhi cita rasa peminat kopi yang pelbagai. Namun,  terdapat satu isu berkaitan kopi yang sering mendapat perhatian iaitu kopi luwak. Realitinya, adakah terdapat orang yang sanggup menikmati kopi luwak yang dihasilkan melalui perkumuhan binatang?

Kopi luwak atau dikenali sebagai kopi musang tenggalung  adalah merupakan kopi kedua termahal yang unik berbanding kopi lain dari segi proses pembuatannya. Kopi ini berasal dari Indonesia dan beberapa bahagian di Asia Tenggara dan ia berasal dari sejenis kucing eksotik yang mencerna ceri kopi dan biji kopi tersebut melalui sistem penghadaman haiwan tersebut.

Pada asalnya di abad kelapan belas di Sumatera dan Jawa, seorang pemilik perkebunan Belanda melarang pekerja buruhnya memakan buah yang ditanam mereka namun pekerja buruh tersebut secara diam-diam memakan buah ceri kopi yang telah dimakan musang tenggalung kerana mereka mendapati penampilan biji kopi yang diperkumuhkan oleh haiwan tersebut tidak berubah dari penampilan asal buah ceri kopi.

Melihatkan kepada pemerhatian khusus tersebut, para pekerja buruh terus membersihkan dan memanggang biji kopi tersebut dan mula membuat kopi mereka sendiri sebelum perbuatan mereka disedari oleh pemilik ladang yang menangkap mereka dan mencuba kopi luwak dan menyedari bahawa kopi tersebut mempunyai rasa yang lebih enak daripada kebanyakan kopi.

Bagaimana Kopi Ini Dihasilkan?

Berbalik kepada industri kopi luwak, tidak dapat dinafikan tugas mengutip biji kopi yang telah dikumuhkan oleh haiwan tersebut sangat memerlukan tenaga kerja yang membebankan dan oleh kerana itu, logiklah harga kopi luwak boleh mencapai harga yang tinggi kerana kos buruh yang diperlukan untuk mendapatkannya.

Oleh kerana itu, wujudlah industri yang membuka kilang yang menempatkan haiwan musang tenggalung bagi memudahkan urusan pengambilan hasil najis haiwan tersebut di mana haiwan itu disimpan di dalam kandang dan dalam beberapa kes, ceri kopi yang diberi makan secara paksa.

Terdapat banyak pihak yang tidak menerima cara pembuatan kopi ini kerana kekejaman yang dialami oleh musang tenggalung tersebut dan terdapat beberapa program kewartawanan yang menerbitkan kekejaman terhadap binatang di ladang kopi ini.

Bagaimana Rasa Kopi Luwak?

Dari segi perspektif rasa, kopi ini dipercayai mempunyai rasa yang berbeza berbanding dengan kopi lain kerana ramai yang merasai kopi tersebut menggambarkan rasa kopi luwak sebagai halus, coklat dan tanpa rasa pahit.

Terbukti secara ilmiah bahawa enzim pencernaan yang memecah molekul protein menyumbang dalam mempengaruhi kepahitan. Kajian lain juga menyatakan bahawa biji kopi yang diekskresikan memiliki permukaan yang telah diadun oleh jus gastrik dan enzim dalam sistem pencernaan musang dan ini menunjukkan bahawa enzim yang menembus biji kopi itu mengalami perubahan struktur dan akhirnya mempengaruhi profil rasa kopi ini.

Penyelidikan juga membuktikan bahawa kopi ini jauh lebih baik daripada jenis kopi yang lain kerana mempunyai kadar Asid Malat yang jauh lebih tinggi yang terkenal dengan kemampuannya dalam meningkatkan peningkatan tenaga dengan cepat. Ia juga mempunyai Asid Sitrik yang mampu melawan perkembangan batu ginjal dan meningkatkan kemampuan tubuh dalam menyerap zat besi.

Secara amnya, kopi boleh menyebabkan migrain tetapi kopi luwak mempunyai reaksi sebaliknya kerana ia membantu mengurangkan migrain kerana keasidan yang rendah. Ia juga mempunyai antibakteria yang membantu menguatkan sistem badan dan melindungi gigi daripada menghasilkan kesan kekuningan yang biasa terjadi jika meminum kopi.

Adakah Ia Selamat dan Halal Untuk Diminum?

Menurut saintis makanan di University of Guelph (Kanada) juga mengesahkan bahawa kopi  luwak selamat untuk diminum. Semasa kajian penyelidikan, saintis makanan mendapati kopi jenis ini mempunyai jumlah bakteria lebih rendah daripada kopi biasa.

“Ketika musang tenggalung memakan biji kopi, asid dan enzim di dalam perut haiwan tersebut mencerna biji ceri dan proses memanaskan biji kopi itu semula sendiri sebelum mereka diekskresikan. Dipercayai bahawa proses fermentasi dapat memberikan kopi luwak kopi rasa unik, ”kata saintis makanan dalam laporannya.

Menurut perspektif Islam, kopi luwak diekstrak daripada hasil perkumuhan musang tenggalung mungkin boleh dikategorikan sebagai haram kerana dalam Islam, hasil perkumuhan adalah kotoran najis.  

Walau bagaimanapun, ia tidak diisythiharkan haram bagi orang Islam. Jika biji ceri tersebut telah dicuci beberapa kali, ia akan menjadi bersih sehingga halal. Biji kopi yang diekstrak daripada luwak perlu melalui beberapa langkah pembersihan sebelum dipanggang. Semasa proses, segala  kekotoran yang terlekat pada biji ceri perlu dibuang.

Secara amnya, kopi luwak tidak dianggap haram namun terdapat beberapa peraturan ketat yang perlu dipahami dan dipatuhi agar umat Islam supaya menikmati kopi eksotik tersebut.

Terdapat beberapa syarat yang harus dipatuhi seperti biji kopi tersebut perlulah tidak menyerap kekotoran pada saluran pencernaan haiwan tersebut. Oleh itu, biji kopi tidak menyerap kekotoran di perut musang, sebaliknya ia hanya larut.

Biji kopi mestilah tidak berubah bentuknya daripada keadaan asal setelah dimakan oleh musang tenggalung kerana ia dianggap tidak mengandungi bahan terlarut yang tidak bersih dari haiwan itu. Kekotoran yang ada mesti dibersihkan.

Biji kopi luwak adalah haram jika biji ceri itu kelihatan membengkak kerana dianggap biji ceri itu sudah menyerap bahan-bahan dalam perut musang.

Selain itu, kopi ini mesti dinyatakan status halal dari pihak berkaitan dan hendaklah diproses dengan cara yang halal dan harus diuji untuk membuktikan statusnya sebagai halal.

Salah satu cara untuk membuktikan status halal biji ceri mentah adalah dengan menanamnya dan melihat apakah masih boleh tumbuh menjadi tanaman. Sekiranya biji mentah mampu tumbuh menjadi tanaman, maka biji kopi luwak berada dalam keadaan baik dan tidak tercemar dengan bahan-bahan yang tidak murni maka halal untuk dinikmati orang Islam.

Permasalahan Etika Dalam Penghasilan Kopi

Tetapi disebabkan oleh masalah etika yang sering timbul daripada perindustrian kopi Luwak, terdapat banyak perkara bermasalah yang melanggar hak haiwan. Dalam kebanyakan kes, musang  tenggalung banyak dipaksa untuk tinggal di dalam sangkar dan diusahakan untuk mengeluarkan biji-bijian dengan cara dan persekitaran yang tidak wajar yang menyebabkan kematian di antara mereka.

Kekejaman ini berjaya disebarkan ke dunia oleh pihak berita BBC yang menyamar dan menyusup ke rantaian bekalan di Indonesia. Mereka menemui pemandangan musang tenggalung yang hidup di dalam kandang yang dianggarkan selebar beberapa meter.

Keadaan persekitaran tempat tinggal mereka secara tidak wajar mengganggu tingkah laku semula jadi mereka yang boleh menyebabkan stress kepada haiwan dan mengundang masalah kesihatan. Kerana kekejaman kaedah yang digunakan untuk mengusahakan kopi luwak ini, organisasi yang mengusahakan industri kopi mengambil inisiatif untuk melarang pengeluaran biji kopi ini untuk menghentikan kehidupan sengsara kucing musang tersebut yang amatlah tidak beretika.

Proses mendapatkan biji kopi di habitat asal musang tenggalung bukanlah perkara yang mudah, namun biji kopi yang dipilih oleh haiwan tersebut didapati lebih berkualiti dan mampu menghasilkan rasa yang lebih sedap.

Apabila musang tenggalung hidup di dalam sangkar, maka ia akan terpaksa makan biji ceri yang disediakan sahaja, maka sebilangan besar biji ceri yang dihasilkan berkualiti rendah.

Industri kopi luwak di Indonesia sebahagian besar organisasinya agak tidak teratur. Undang-undang perlindungan haiwan di negara tersebut juga lemah, sebahagian besarnya tidak relevan dan jarang dikuatkuasakan.

Meskipun demikian, terdapat pelbagai alternatif untuk mengindustrikan kopi luwak yang memberi jaminan bahawa perindustrian kopi Luwak mereka sebagai manusiawi dan beretika. Sebagai contoh,  pembekal kopi luwak Rarefield telah menggaji 40 petani kopi yang masing-masing memiliki hektar tanah dengan persekitaran semula jadi yang disukai oleh kucing musang untuk menternak haiwan tersebut dan mendapatkan biji ceri dengan lebih mudah.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, tidak dapat dinafikan pengeluaran kopi luwak secara tidak langsung menyokong kekejaman yang berlaku pada musang tenggalung. Namun, kita tidak seharusnya menyelesaikan masalah ini dengan melarang sepenuhnya pengeluaran kopi luwak kerana terdapat cara lebih manusiawi dalam mendapatkan biji ceri tersebut.

Tidak dapat dinafikan bahawa untuk meningkatkan permintaan kopi luwak, musang tenggalung ditangkap menggunakan perangkap kotak, jerat dan anjing pemburu dan kaedah ini  sering menyebabkan kecederaan.

Banyak musang kemudian dijual kepada pemilik ‘ladang’ musang dan yang lain-lain dipindahkan ke pasar hidupan liar. Setelah dijual, musang terpaksa tinggal di kandang kecil, kosong, selalunya tanpa tempat tinggal atau tempat tidur yang mencukupi.

Banyak haiwan tersebut menunjukkan tanda-tanda stress yang tinggi seperti mundar-mandir dalam keadaan tidak tentu hala dan mencederakan diri sendiri. Situasi ini tidak sepatutnya  dibiarkan berlanjutan dan kita perlu mencari jalan untuk memenuhi permintaan kopi luwak ini tanpa menyakiti haiwan tersebut.

Segala alternatif yang berperikemanusiaan hendaklah dipertimbangkan kerana ia membolehkan musang tenggalung tinggal di habitat semula jadi mereka, dan ini juga bermaksud masyarakat luar bandar dapat menjana pendapatan kecil dengan mengumpulkan dan menjual biji kopi yang dikeluarkan oleh musang.

Ketika ia berada di persekitaran asal, musang tenggalung akan mampu menghasilkan produk semula jadi yang berkualiti tinggi dan bukan produk sangkar yang lebih rendah, kejam, merosakkan industri tradisional ini.

Sebagai contoh, wujudkan organisasi yang secara ketat mengawasi rantai pembekal kopi ini dan mendapatkan biji kopi daripada penjual kopi luwak yang sah yang boleh dipercayai. Pada masa akan datang, terdapat kemungkinan besar bahawa permintaan kopi ini meningkat dengan ketara dengan pengaruh media sosial.

Oleh itu, pembekal kopi luwak perlu bijak merancang strategi yang baik untuk memenuhi permintaan tersebut sekali gus melindungi keperluan dan kepentingan haiwan tersebut. Tidak dapat dinafikan bahawa menyekat pengeluaran kopi ini mungkin akan mengecewakan penggemar kopi. Oleh itu perancangan yang strategik yang merangkumi melindungi kebajikan kucing luwak harus menjadi fokus utama dalam pengeluaran kopi ini.

Nama Penulis : Nurul Nasreen Farisa Bt Abdullah, Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Rujukan

RELATED ARTICLES

Most Popular