Tuesday, March 19, 2024
HomeArtikelDidiklah Anakmu Mengikut Ajaran Islam

Didiklah Anakmu Mengikut Ajaran Islam

Anak merupakan anugerah terindah Allah buat ibu bapa. Kehadiran anak di dalam kehidupan merupakan sebuah barakah bahkan ianya membuka pintu rezeki keluarga itu. Anak-anak sering diberikan kasih sayang yang melimpah ruah sehingga kadang kala ibu bapa sampai mengabaikan tanggungjawab mereka mendidik anak mereka itu disebabkan terlampau  kasih dan sayang akan anaknya.

Kesemua anak yang dilahirkan memiliki kelebihan dan keistimewaan mereka sendiri. Akan tetapi sebagai manusia, adalah perlu untuk diberikan pengajaran dan panduan tentang cara mereka menjalani hidup mereka agar tidak melakukan perkara yang dilarang.

Di zaman moden ini, selalu terlihat berita-berita tentang kes dan jenayah yang dilakukan remaja yang kebanyakannya muda dan masih di bawah penjagaan ibu bapa mereka. Ini merupakan petanda bahawa anak itu tidak cukup pemantauan sampaikan perbuatan mereka itu dilakukan saat mereka tinggal dekat dengan ibu bapa.

Sebagai ibu bapa, tanggungjawab mendidik anak-anak perlulah digalas sebaik mungkin dan sebagai umat Islam, segala apa yang dilakukan haruslah mengikut ajaran dan panduan yang telah digariskan supaya kehidupan kita dapat berjalan dengan lancar dalam masa yang sama masih mematuhi perintah Allah.

Dalam hal mendidik anak-anak, tiadalah contoh yang lebih baik melainkan junjungan besar Rasulullah s.a.w. Baginda merupakan seorang ketua keluarga yang terbaik dan segala perbuatan baginda berlandaskan al-Qur’an. Di dalam al-Qur’an juga ada disebutkan tentang nasihat yang diberikan Luqman aL-Hakim kepada anaknya.

Imam al-Tirmidzi telah merekodkan daripada Ayyub Bin Musa daripada ayahnya, daripada datuknya, bahawa Rasulullah mengatakan;

“Tidak ada pemberian daripada seorang ayah kepada anaknya yang lebih baik daripada adab yang baik”. Begitu juga tidak ada harta yang lebih indah bagi ibu bapa melainkan anugerah anak yang soleh.

Islam meletakkan tanggungjawab yang besar bagi ibu bapa dan pendidik supaya mengajar anak-anak mereka mencari ilmu. Ibu bapa juga  perlu menjadi contoh teladan terbaik buat anak-anak kerana ibu bapa merupakan yang paling dekat hubungannya dengan anak-anak dan perbuatan ibu bapa boleh memberi kesan terhadap perilaku anak tersebut.

Anak yang ditunjukkan contoh teladan yang baik dapat meniru dan mempraktikkan amalan mulia manakala anak yang ditunjukkan contoh yang tidak baik, mereka juga akan menjadi terbiasa dan boleh melakukan perkara yang sama dengan contoh yang ditunjukkan kepada mereka.

Ibu bapa mempunyai tanggungjawab mendidik anak-anak mereka tentang aqidah, iman dan akhlak. Ketiga-tiga unsur tersebut amatlah penting untuk membentuk insan yang berguna di masa hadapan.

Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya perkataan pertama yang diajarkan kepada anak itu adalah La Ilaha Illallah. Ini berdasarkan sebuah hadits yang dilaporkan oleh al-Hakim daripada Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w. menyatakan “Jadikanlah La Ilaha Illallah perkataan pertama yang diajarkan kepada anakmu” ianya dilakukan supaya kalimah asas tauhid itu menjadi kalimah pertama yang didengar, difahami dan fasih dikatakan oleh anak.

Anak yang dididik sejak kecil dengan kalimah-kalimah Tauhid, akalnya akan dimasuki dalil Tauhid yang utuh lalu hatinya tidak mudah dipengaruhi dengan anasir yang boleh merosakkan aqidah.

Seterusnya ialah pendidikan iman. Ia bermaksud menanam asas iman dalam hati anak dan membiasakan mereka dengan rukun-rukun Islam. Ia adalah langkah yang bagus sekiranya anak-anak sudah diajarkan tentang prinsip-prinsip syariat seperti halal dan haram sejak mereka boleh mula berfikir supaya mereka dapat membezakan yang baik dan yang buruk.

Memerintahkan anak melakukan ibadah seawal usia 7 tahun juga merupakan usaha yang harus dilakukan bagi melatih jiwa anak-anak suka beribadah. Bolah juga diberikan ganjaran kepada mereka kerana berjaya melakukan perkara yang disukai dan dicintai oleh Allah. Tanamkan juga di dalam jiwa mereka bahawa Allah itu sentiasa memerhatikan mereka di mana pun mereka berada.

Pendidikan akhlak merupakan pendidikan tentang prinsip-prinsip akhlak dan budi pekerti yang mulia seawal usia mereka sudah mumayyiz. Ia merupakan pengajaran yang berterusan kerana ia membabitkan hubungan sesama manusia sepanjang hayat.

Kemuliaan akhlak dan budi pekerti dapat membantu mencorakkan diri seseorang sebagai insan yang mulia dan kelak akan menabur bakti kepada masyarakat. Rasulullah s.a.w memberikan penekanan tentang pengajaran asas iman, rukun Islam dan prinsip syariat, mencintai Rasul, mencintai ibu bapa, keluarga, sahabat, guru serta membaca al–Qur’an.

Apakah pendekatan yang perlu diambil oleh ibu bapa bagi mendidik anak-anak?

Menurut Islam, peringkat umur anak itu dibahagikan kepada empat. Setiap peringkat mempunyai pendekatan dan cara didikan yang berbeza sesuai dengan kematangan dan keperluan anak pada masa itu. Peringkat-peringkat umur itu adalah:

1.     Bayi – 6 Tahun.

Pada peringkat umur ini, Rasulullah s.a.w. mengajarkan supaya memanjakan dan mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada mereka kerana ia merupakan peringkat anak-anak memerlukan sepenuh perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa.

Ia merupakan fasa di mana ibu bapa akan membina hubungan yang sangat erat dengan anak dan menguatkan kepercayaan anak terhadap diri mereka supaya anak itu sentiasa merasa dekat dan selamat di samping ibu bapa. Kepercayaan yang kuat akan membuatkan mereka sentiasa merujuk kembali kepada ibu bapa sekiranya mereka menghadapi kesulitan dan kekeliruan.

Pada umur ini juga, Rasulullah s.a.w. melarang sama sekali tindakan memukul dan menghukum bagi mengelakkan mereka mengalami trauma yang akan dibawa sehingga mereka besar. Jika mereka dipelihara dengan sesungguhnya pada peringkat umur ini, ibu bapa akan dijadikan taulan dan mereka Insya-Allah akan sentiasa menjadikan ibu bapa sebagai rujukan.

2.     7 – 14 tahun.

Bermula umur mereka 7 tahun, anak-anak semakin pandai berfikir dan sentiasa ingin meneroka pengetahuan baru. Ia merupakan peringkat umur di mana anak-anak sangat aktif dan giat bergaul bersama rakan mereka  serta mudah untuk tidak mendengar kata.

Rasulullah s.a.w. mengajarkan bahawa sesungguhnya cara didikan anak-anak di peringkat ini perlulah dilakukan dengan tegas supaya nilai bertanggungjawab serta disiplin dapat diterapkan. Ini juga merupakan umur permulaan ibadat diharuskan bagi anak-anak.

Sabda Rasulullah s.a.w. “Perintahkanlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika mereka berusia 7 tahun dan ketika mereka meninggalkan sembahyang pada umur mereka 10 tahun, maka pukullah mereka, dan asingkanlah tempat tidur mereka (antara anak lelaki dan anak perempuan). Hadith riwayat Abu Daud.

Rahsia di sebalik memerintahkan anak beribadah di usia muda ialah supaya anak-anak menjadi serasi dengan ibadah dan mempelajari hukum-hakam ibadah tersebut. Mereka juga akan dapat mempraktikkan ibadah tersebut dari kecil justeru membuatkan mereka membesar dengan kehidupan mereka sudah diisi dengan ibadah kepada Allah s.w.t.

Anak-anak juga perlu dididik supaya beribadah kerana otak mereka masih suci dan mudah untuk mengingati tatacara serta bacaan-bacaan yang diperlukan dalam ibadah contohnya seperti bacaan di dalam solat. Perkara yang diingati dan dijalani oleh anak sewaktu kecil akan dapat sentiasa diingati dalam jangka waktu yang panjang disebabkan minda anak-anak amatlah cerdas sewaktu mereka masih kecil.

3.     15 – 21 tahun

Umum mengetahui bahawa fasa remaja merupakan umur di mana anak-anak gemar memberontak dan melakukan sesuatu mengikut kehendak mereka. Ini kerana diri mereka merasakan mereka sudah besar dan boleh menguruskan diri mereka sendiri.

Mereka juga akan mula berasa tidak suka jika dikongkong atau perlu melakukan sesuatu mengikut kehendak ibu bapa. Oleh itu, pendekatan yang paling sesuai ialah dengan ibu bapa cuba menjadi kawan mereka dan berusaha membimbing mereka supaya tidak tersasar jauh dari landasan yang benar.

Pada tahap ini, anak-anak lebih cenderung untuk mengikut dan meluangkan masa bersama kawan mereka dan ibu bapa perlulah sentiasa mengingatkan mereka supaya tidak memilih kawan yang salah.

Ibu bapa juga perlu meluangkan masa bersama anak-anak di usia ini dengan mendengar dan berbincang dengan mereka tentang kekeliruan dan masalah yang dihadapi. Ini dapat menjadikan ibu bapa lebih dekat dengan mereka.

Pada peringkat umur ini, ia merupakan lumrah remaja untuk mempersoalkan pelbagai perkara dan memerlukan jawapan terhadap persoalan mereka itu. Layanilah persoalan mereka dengan hikmah sebelum mereka berpaling daripada ibu bapa dan meminta pandangan dari rakan sebaya yang mempunyai pengalaman terbatas seperti mereka.

Di umur ini juga anak-anak menjadi semakin sensitif dengan perkara di sekeliling mereka. Oleh itu, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya tidak memarahi atau mengherdik mereka terutama sekali di hadapan adik-beradik yang lain.

4.     21 tahun dan keatas

Pada peringkat umur ini, ibu bapa boleh menganggap mereka sebagai teman sepergaulan dan hanya memberikan nasihat sekiranya perlu sahaja. Anak tersebut perlu diberikan kebebasan asalkan sahaja perbuatan mereka tidak melanggar perintah Allah. Di umur ini, kebanyakan anak-anak akan membawa haluan masing-masing dan redha daripada ibu bapa adalah sangat penting.

Sebagai kesimpulan, dalam usaha mendidik anak-anak, perlulah diketahui dan dipelajari tentang seninya dan mengikut ajaran daripada yang lebih pakar. Kesilapan dalam mendidik yang sering dilakukan oleh ibu bapa adalah mereka tidak tahu tentang seni mendidik dan hanya tahu menghukum sekiranya anak mereka melakukan kesalahan.

Kaedah mendidik haruslah selari dengan pemikiran serta penerimaan anak itu supaya mereka tidak memberontak dan nasihat yang diberikan bukan hanya mencurah air ke daun keladi.

Kesempurnaan Islam itu terlahir daripada aqidah dan iman, taqwa dan ihsan, ibadah dan kebajikan serta akhlak yang mulia. Andainya sesebuah keluarga itu mempunyai anak yang soleh-solehah, bukan sahaja ia akan menjadi keluarga yang bahagia malahan mereka akan dapat kekal bersama sehingga ke syurga dan membina kehidupan yang bahagia di sana juga.

Penulis; Nur Hamizah Binti Kamaruzaman, Pelajar Tahun 2, Sarjana Muda Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains Dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
RELATED ARTICLES

Most Popular