Friday, May 20, 2022
HomeKehidupanKonsep Rezeki

Konsep Rezeki

Kita biasa mendengar tentang falsafah rezeki. Ramai orang mempunyai fahaman yang hampir sama tentang rezeki. Rezeki biasanya hadir dalam bentuk pemberian, yang biasanya kita nampak secara material atau lebih mudah rezeki itu ialah wang ringgit. Ada kala rezeki datang dalam bentuk hadiah, yang berbalut elok, cantik mata memandang, bertambah berbunga hati orang yang menerima rezeki itu.

Bagaimana pula takrif yang agak luar biasa tentang rezeki? Anak yang istimewa, sakit yang kronik atau sebuah penceraian… Rezekikah? Mungkin kita memerlukan mata hati untuk menilai rezeki ini. Secara zahir, ia kelihatan membebankan, mengecewakan dan menyedihkan. Kita perlu mengumpul kekuatan untuk menerima rezeki ini dengan hati yang lapang, redha dengan ketentuanNya.

Agak mudah untuk menerima rezeki yang baik-baik, kita tadah dengan tangan terbuka, pujian tak henti-henti diucap kepada Yang Memberi Rezeki. Kita dapat rezeki naik pangkat, Alhamdulillah, agaknya inilah balasan untuk kerja keras kita selama ini. Kita dapat rezeki tukar kereta baharu, Alhamdullilah, ini rezeki anak-anak. Berseri-seri riak wajah dengan rezeki seumpama ini.

Namun bagaimanakah reaksi apabila rezeki ini berubah rupa? Kita mendapat pengesahan bahawa demam yang tidak kebah-kebah itu petanda kita positif COVID-19, Allahu Akbar, adakah ini rezeki?

Anak yang dikandung sembilan bulan, dilahirkan sebagai seorang anak istimewa, mampukah kita tolak rezeki ini? Begitulah Allah menghadirkan rezekiNya kepada kita, rezeki yang kurang menyenangkan hati kita itu sebenarnya kunci kepada pintu syurga.

Rupanya dengan status pesakit COVID-19, kita punya waktu yang panjang untuk mengadu kepada Sang Pencipta. Lama kita bertafakur atas tikar sejadah, memohon pertolongan Allah agar membebaskan kita daripada penyakit ini, kita sudah tidak peduli dengan hal-hal duniawi. Anak yang istimewa itu pengikat kebahagiaan rumah tangga, melihat wajah comelnya kita berasa tabah untuk meniti hari-hari mendatang.

Nah! Pada saat ini kita pun mengucap syukur kepada Allah atas rezeki itu.

Sebagai hambaNya yang terlalu kerdil, kita perlu positif, matang dan redha dengan mana-mana rezeki yang Allah berikan. Andai rezeki itu indah, kita bersyukur seadanya, jangan sampai kita terleka. Dan andai rezeki itu tidak kita senangi, kita lipatgandakan redha, muhasabah diri, kerana sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang.

Jangan sesekali kita patah hati, putus asa dan mengambil jalan mudah. We are fighter not loser…

RELATED ARTICLES

Doa Ibu

Mencari Mood?

Doa Dari Kejauhan

Most Popular