Friday, June 24, 2022
HomeArtikelE-Sukan Membuka Pintu Rezeki Anak Muda

E-Sukan Membuka Pintu Rezeki Anak Muda

Sebelum ini, ramai pihak beranggapan bahawa permainan video adalah sekadar hobi untuk mengisi masa lapang. Namun begitu, e-sukan telah berjaya membuka peluang dan kesempatan buat para remaja untuk menjana pendapatan. Kerjaya sukan elektronik juga semakin berkembang di negara ini malah ia berpotensi untuk menjadi kerjaya yang mempunyai pendapatan lumayan dengan hanya bermain permainan secara kompetitif. Oleh itu, bidang ini tidak lagi dipandang serong oleh masyarakat yang beranggapan bahawa ia memberi kesan buruk yang menyebabkan ketagihan melampau.

E-sukan atau sukan elektronik sememangnya melibatkan pelbagai pihak untuk memastikan ianya lebih sempurna dan mendatangkan kesan positif terhadap komuniti. Hal ini melibatkan sebuah organisasi besar yang merangkumi para pemain, pengulas, penganjur dan banyak lagi. 

Sesungguhnya, para pemain merupakan ikon penting dalam industri ini. Tanpa mereka, sudah tentu sukan ini cacat. Secara kebiasaannya, pemain yang sering menyertai kejonanan besar seperti PUBG Mobile Pro League (PMPL) dan Mobile Legend Pro League (MPL) digelar pemain professional atau “pro player”. 

Setiap acara sukan sudah tentu memerlukan pengulas supaya dapat memberi suasana dramatik dan semangat kesukanan kepada para penonton. Begitu juga dengan e-sukan. Semasa dalam permainan, pengulas selalunya menceritakan serba sedikit tentang peraturan dan latar belakang pemain agar ia menjadi info tambahan kepada mereka yang mendengar. 

Di Malaysia, terdapat beberapa pengulas yang terkenal iaitu Patibhan Petchayappen atau dikenali sebagai OnTheGo dan Azrul Anwar atau JHunter. Pendapatan mereka sememangnya lumayan dengan jumlah pertandingan yang perlu diulas juga semakin meningkat saban tahun. 

Jika anda merupakan peminat tegar sukan elektronik Malaysia, sudah pasti anda mengenali Team Secret, Geek Fam serta Todak Gaming. Ini merupakan sebuah organisasi sukan yang menubuhkan beberapa pasukan untuk mengambil bahagian dalam permainan tertentu seperi Dota2, PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG), Mobile Legends (ML) dan sebagainya. Dengan ini, sesebuah organisasi itu akan menjadi lebih terkenal apabila pasukan mereka menang dalam pertandingan di peringkat yang lebih tinggi dan menarik minat syarikat terkemuka untuk tajaan.

Seperti sukan lain, e-sukan mempunyai penaja yang membiayai segala perbelanjaan pasukan dan membayar gaji pemain setiap bulan. Para penaja juga menaja pelbagai alatan elektronik seperti telefon bimbit, komputer dan konsol semasa pertandingan diadakan. 

Pada tahun lepas, OnePlus Technology Co. Ltd telah membekalkan telefon pintar OnePlus 9T kepada pemain PUBG di peringkat dunia. Hal ini telah mengangkat imej e-sukan dengan adanya syarikat besar yang tidak melepaskan peluang untuk mengambil bahagian dalam bidang ini. Secara tidak langsung, mereka juga memperoleh untung yang lumayan dengan hasil jualan yang tinggi dengan promosi atau tawaran kepada orang ramai semasa siaran langsung.

Seterusnya, pihak penganjur juga berperanan penting dalam kerjaya e-sukan. Ianya terbahagi kepada dua iaitu pertandingan rasmi atau terbuka. Pertandingan rasmi adalah kejohanan yang dianjur oleh pengeluar aplikasi permainan manakala kejohanan terbuka dianjur oleh pihak lain. 

Untuk aplikasi PUBG Mobile, sebagai pereka, pihak Tencent Games akan mengadakan kejohanan dari peringkat negeri sehingga ke peringkat dunia pada setiap tahun. Di Malaysia, semua pasukan perlu menyertai kelayakan di PUBG Mobile Club Open (PMCO) dan seterusnya memperoleh kedudukan tiga teratas untuk layak ke peringkat seterusnya. Ia dikenali sebagai PUBG Mobile Pro League (PMPL). Ini adalah liga professional dimana pasukan terhebat di Malaysia akan bersaing untuk peroleh slot ke peringkat asia tenggara. 

PMPL SEA menawarkan hadiah terkumpul sebanyak 150,000 USD bersamaan dengan RM600,000. Pasukan Malaysia iaitu Yoodo Gank adalah satu satunya pasukan tunggal negara yang telah menjuarai kejohanan itu pada musim lepas. Akhir sekali, 4 pasukan terbaik SEA akan berentap di Pubg Mobile Global Championship yang merupakan peringkat tertinggi untuk kejohanan PUBG ini. 

Pada musim lepas, kejohanan ini berlangsung di Dubai ketika pandemik Covid-19 dan melibatkan 24 pasukan terbaik di seluruh dunia. Ia menawarkan hadiah terkumpul sebanyak 2,000,000 USD. Pasukan tunggal negara iaitu Team Secret berjaya memperoleh slot ke peringkat akhir dan memenangi tempat ke-7. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak 17,000 USD. Pasukan dari China, Nova XQF memenangi tempat pertama dan membawa pulang 700,000 USD.

Dengan itu, e-sukan telah menawarkan jumlah hadiah wang tunai yang sangat lumayan dengan hanya memenangi sesebuah kejohanan tersebut. Bukan itu sahaja, kebanyakan pemain professional mengembangkan bakat mereka di video siaran langsung atau bidang streaming. 

Facebook Gaming adalah platform terkenal di Malaysia dan mereka sering berlatih di sini sebagai hiburan kepada para penonton. Pihak Facebook menawarkan gaji yang tinggi kepada para pemain yang memperoleh jumlah tontonan banyak. Tidak cukup dengan itu, mereka juga boleh memuat naik video yang disunting ke dalam saluran Youtube. Portal video terkenal ini juga akan memberi imbuhan kepada mereka bergantung kepada bilangan langganan dan jumlah tontonan terhadap satu satu video. Sudah terang lagi bersuluh bahawa bidang ini menawarkan pendapatan yang lumayan sehingga ada yang berjaya.

Soloz atau nama sebenarnya Faris Zakaria sering disebut sebagai maharaja e-Sukan kerana mempunyai populariti tinggi dan pengikut yang ramai dalam arena “streaming” di Malaysia. Beliau sering dijadikan idola oleh pelbagai lapisan masayarakat di atas kemahirannya dalam bermainan permainan video seperti PUBG Mobile dan Mobile Legend serta berkebolehan untuk menghiburkan para penonton dengan lawak jenaka semasa dalam permainan. 

Beliau juga telah membuktikan bahawa bidang e-sukan ini boleh dijadikan sebagai sumber rezeki dengan melakukan siaran langsung secara sepenuh masa. Antara kejayaan yang dicapai oleh Soloz adalah beliau mempunyai 2.2 juta pengikut di Facebook dan 1.3 juta langganan di Youtube. Dengan itu, tidak hairanlah bahawa dia mampu memiliki kereta mewah berjenama Mustang dan menaja sebuah pasukan PUBG iaitu pasukan Anti Circle. 

Selain itu, antara figura yang patut dijadikan contoh adalah Ahmad Fuad Razali atau dikenali sebagai Fredo. Beliau merupakan seorang pemain PUBG Mobile professional dan juga seorang penyiar atau “streamer”. Antara kejayaan manis yang diraih adalah pasukan beliau iaitu Yoodo Gank telah berjaya memenangi tempat pertama di PMPL SEA 2020 pada musim lepas. 

Peranan Fredo sebagai perusuh atau “rusher” amat digeruni kerana beliau merupakan pemain yang lincah dan bijak. Tidak cukup dengan itu, beliau juga berjaya dalam bidang “streaming” dengan memperoleh 1.3 juta pengikut di Facebook. Para penonton amat menyukai beliau kerana mempunyai sikap rendah diri dan sering menjaga percakapan semasa bersiaran langsung. Oleh itu, ia memberi impak positif kepada orang ramai agar tidak menggunakan bahasa kasar di dalam permainan.

Soloz dan Fredo patut dijadikan ikon e-sukan atas kejayaan mereka berdua dalam melebarkan sayap e-sukan supaya dapat mengubah persepsi masyarakat setempat. Dari segi masa, para pemain mempunyai waktu yang fleksibel untuk berlatih dengan pasukan masing-masing. Ia sama sekali berbeza dengan mereka yang bekerja pada waktu pejabat. Walaubagaimanapun, gaji tetap jalan. 

Bagi mereka yang bersiaran langsung, terserah untuk mula pada waktu pagi atau malam. Akan tetapi, mereka perlulah memenuhi jumlah jam yang dipersetujui oleh platform siaran langsung pada setiap bulan. Sebagai contoh, Draxx atau nama sebenarnya Azim Ikromi iaitu seorang penyiar terkenal telah kongsikan jumlah 40 jam yang perlu disiapkan oleh beliau pada setiap bulan di Facebook Gaming.

Kerjaya sukan elektronik tidak memerlukan sesi temuduga atau sijil pelajaran. Ia terbuka kepada semua golongan masyarakat. Mereka yang berminat hanya perlu mempunyai bakat sama ada dalam permainan atau mahir berinteraksi dengan penonton yang menonton siaran langsung anda. 

Terdapat ramai golongan yang berjaya dalam bidang ini seperti Vokey (Imran Rosli), ManParang (Aiman Amirul), Jumper (Muhammad Izzrudin) dan ramai lagi. Terdapat juga pemain pemain muda yang juga terkenal di Malaysia seperti Uhigh (Dhiya Ulhaq) dan Dev (Azim Haris). Uhigh merupakan pemain PUBG Mobile mewakili pasukan Team Secret yang baru berusia 16 tahun. Dengan kehebatan pemain muda itu, pasukan tersebut mampu bersaing di peringkat dunia di PMGC. Uhigh juga aktif dalam melakukan siaran langsung dan sering peroleh sekitar 10 ribu penonton serentak yang menonton.

Tidak seperti perniagaan, bidang sukan elektronik hanya menggunakan kos yang rendah dengan hanya memerlukan sebuah telefon pintar sahaja pada peringkat awal. Mereka yang berminat hanya perlu berlatih permainan kesukaan sehingga ke peringkat kompetitif. Penonton atau peminat akan menghidu kewujudan anda dan seterusnya mampu mulakan siaran langsung di platform tertentu. 

Sebagai contoh, jika anda berjaya melepasi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Facebook, anda layak menerima gaji bulanan daripada mereka. Sebagai permulaan, inilah cara yang paling berkesan untuk peroleh pendapatan yang stabil dan sesuai dijadikan sebagai kerjaya.

Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan haruslah mendorong anak muda supaya menceburi bidang e-sukan sekaligus dapat menjana pendapatan. Sebagai contoh, mereka boleh menganjur pertandingan e-sukan dengan menawarkan hadiah wang tunai yang lumayan. Hal ini dapat meningkatkan produktiviti dengan aktiviti yang sihat walaupun dengan bermain permainan video. 

Selain itu, mereka yang berminat untuk menceburi bidang ini boleh menghadiri kelas-kelas bersama pemain professional untuk meningkatkan kemahiran individu dan ilmu pengetahuan. Latihan juga amat penting supaya pemain dapat mengadaptasi dengan meta baharu yang sentiasa berevolusi dalam permainan video tersebut. 

Seterusnya, ibu bapa perlulah memberi sokongan kepada para pemain yang ingin mengubah nasib hidup menerusi bidang ini. Sokongan daripada  mereka dapat mewujudkan rasa tenang dengan tiada individu yang memarahi kerana sering bermain permainan secara kerap. Jika anak mereka berpotensi untuk berjaya dalam bidang ini, maka keinginan untuk berhenti belajar wajar diterima. Walaubagaimanapun, anak muda haruslah berwaspada dan sentiasa ingat mengingati sesama rakan untuk mengehadkan waktu bermain dalam sehari. 

Dengan ini, jelaslah bahawa bidang ini boleh dijadikan inspirasi kepada masyarakat sejagat sebagai salah satu punca rezeki.

Penulis; Muhammad Danial Amir, pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
RELATED ARTICLES

Most Popular