Thursday, July 11, 2024
HomeArtikelEkzema: Penyakit Biasa Atau Serius?

Ekzema: Penyakit Biasa Atau Serius?

Isu berkaitan penyakit ekzema bukanlah perkara baru, bahkan isu ini semakin panas diperkatakan kerana boleh dikatakan dalam seminggu, mesti terdapat 5 atau 6 orang pesakit yang mengadu di hospital atau klinik kerana mengalami masalah penyakit ekzema atau lebih dikenali sebagai penyakit kulit gatal-gatal dan merah.

Menurut kata pakar pediatrik Gleneagles Kuala Lumpur, statistik menunjukkan kes ekzema adalah lebih 90% dalam kalangan kanak-kanak bermula sebelum berusia lima tahun lagi.

Sebelum diteruskan perbincangan lebih lanjut, kita perlu ketahui apakah sebenarnya ekzema? Ekzema ini boleh dikatakan sebagai salah satu penyakit radang kulit yang boleh menyebabkan kegatalan kulit dan bertompok merah. Penyakit ini secara lazimnya ditemui dalam kalangan kanak-kanak dan ada juga berlaku kepada orang dewasa.

Lazimnya, kanak-kanak mempunyai daya rintangan terhadap penyakit yang rendah berbanding orang dewasa. Atau lebih senang dikatakan bahawa, kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada masalah kuman dan bakteria kerana tahap imun yang rendah berbanding orang dewasa. Oleh itu, mereka lebih mudah untuk mendapat penyakit dan tidak terkecuali penyakit ekzema. Bukan itu sahaja, ekzema juga boleh berlaku berpunca daripada faktor genetik yang tidak dapat dielakkan. Oleh sebab itulah, tidak semua orang menghidap penyakit ekzema ini.

Walaupun begitu, ada juga segelintir ibu bapa yang tidak tahu tentang penyakit ekzema dan hanya menganggap penyakit ini hanyalah perkara biasa. Apabila anak-anak mengadu gatal, mereka hanya mengatakan bahawa itu hanya sekadar gatal-gatal biasa. Walhal, sekiranya dibiarkan berlarutan dan tidak dicegah dengan lebih awal, akan membawa kemudaratan kepada anak-anak tersebut.

Walaupun penyakit ini tidak boleh berjangkit, tetapi sekiranya anak-anak menggaru kawasan kulit mereka yang gatal secara kerap, secara tidak langsung kulit mereka akan berdarah dan lapisan kulit yang pada asalnya melindungi kulit sudah terbuka dan terdedah kepada persekitaran luar. Ini boleh menyebabkan jangkitan kuman di kawasan kulit tersebut dan merebak ke kawasan kulit yang lain seperti kaki, tangan, muka dan sebagainya.

Tambahan pula, dalam jangka panjang, sekiranya ekzema tidak dirawat dengan lebih awal dan sudah menjadi lebih teruk, ini boleh membawa kepada komplikasi penyakit kronik yang lain seperti kanser kulit, dermatomyositis (otot lemah), osteoarthritis (radang sendi) dan asma.

Kajian menunjukkan 20% kanak-kanak yang menghidap ekzema biasa akan menghidap asma dan 60% kanak-kanak yang menghidap ekzema yang sangat teruk berkemungkinan menghidap asma. Berdasarkan kajian tersebut, ini menunjukkan bahawa kanak-kanak mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap asma sekiranya ekzemanya tidak dirawat dengan lebih awal.

Kedua-duanya berkait rapat dengan sistem imunisasi kanak-kanak yang secara umumnya lebih rendah daripada orang dewasa yang akhirnya menyebabkan keradangan kulit yang teruk dan pendedahan kepada bakteria dengan lebih mudah dan mengganggu pernafasan kanak-kanak.

Natijahnya, ekzema bukanlah sekadar penyakit yang biasa yang boleh diabaikan begitu sahaja. Memang pada mulanya hanya sekadar gatal biasa, tetapi jika dibiarkan tidak dirawat boleh membawa kepada keadaan yang lebih teruk. Kesannya bukan sahaja kepada penghidap, orang sekeliling juga akan terasa kesannya, ibarat cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Tambahan pula, disebabkan ekzema kerap berlaku dalam kalangan bayi dan kanak-kanak, ibu bapa perlu ambil cakna dan peka terhadap kesihatan anak. Jika terdapat perubahan kepada keadaan kulit anak seperti tanda kerengsaan kulit atau kulit kering, bergegaslah untuk mendapatkan rawatan kerana setiap anak adalah anugerah terhebat dari Ilahi yang perlu dijaga dengan baik sepanjang masa.

Penulis; Nur Amerrah Suhaimi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular