Friday, March 29, 2024
HomeArtikelFaktor Berlakunya Barah Payudara dalam Kalangan Wanita Malaysia

Faktor Berlakunya Barah Payudara dalam Kalangan Wanita Malaysia

Pada tahun 2020, barah payudara ialah punca utama kematian akibat barah dalam kalangan wanita di seluruh dunia dengan kira-kira 685,000 angka kematian dan merupakan penyebab kedua kematian barah selepas barah paru-paru di kalangan wanita Malaysia dengan 3,500 kematian (WHO, 2021).

Sekitar 2.3 juta wanita telah menghidap barah payudara setiap tahun di setiap pelosok dunia dan 8,400 kes baharu (17.3% daripada semua barah wanita) di Malaysia pada tahun 2020 (GLOBOCAN, 2020).

Dengan peningkatan peratusan penyakit ini yang semakin meningkat, ia mengakibatkan kegusaran di seluruh dunia. Terdapat pelbagai faktor berlakunya barah payudara. Artikel ini akan memberi tumpuan kepada faktor risiko berlakunya barah payudara dalam kalangan wanita di Malaysia.

Terdapat pelbagai jenis faktor berlakunya barah payudara dan ia boleh dibahagikan kepada dua iaitu faktor risiko yang tidak dapat diubah dan boleh diubah. Faktor yang tidak dapat diubah adalah seperti jantina, usia dan genetik sementara faktor risiko yang dapat diubah adalah kandungan alkohol, berat badan berlebihan atau obesiti, asap tembakau, fizikal yang tidak aktif, penyusuan susu ibu, dan terapi penggantian hormon.

Faktor utama kanser payudara yang tidak dapat diubah ialah wanita. Lelaki boleh menghidap barah payudara, tetapi penyakit ini dianggarkan kira-kira 100 kali lebih biasa di kalangan wanita berbanding lelaki. Ini mungkin kerana lelaki mempunyai hormon estrogen dan progesteron yang kurang daripada wanita, yang dapat mendorong pertumbuhan sel barah payudara.

Selain itu, risiko terkena barah payudara meningkat seiring bertambahnya usia. Di Malaysia, barah payudara dikesan seawal usia dua puluhan, dan memuncak pada usia 55 tahun.

Seterusnya, untuk faktor genetik, kira-kira lima hingga sepuluh peratus kes barah payudara dianggap turun temurun, yang disebabkan secara langsung dari kecacatan gen (disebut mutasi) yang diwarisi daripada ibu dan bapa. Penyebab barah payudara keturunan yang paling biasa adalah mutasi yang diwarisi pada gen BRCA1 dan BRCA2. Dalam sel normal, gen ini membantu mencegah barah dengan membina protein yang menjaga sel tumbuh tidak normal.

Bagi keluarga dengan mutasi (BReast CAncer gene) BRCA, risikonya mungkin setinggi 80 peratus. Kanser ini cenderung berlaku pada wanita yang lebih muda dan mempengaruhi kedua-dua payudara dan mereka juga mempunyai risiko lebih tinggi terkena barah ovari.

Mutasi gen lain juga boleh menyebabkan barah payudara yang dapat diwarisi tetapi tidak sekerap gen BRCA1 dan BRCA2. Antaranya ialah gen Ataxia-Telangiectasia Mutation (ATM) yang biasanya membantu memperbaiki DNA yang rosak. Mewarisi dua salinan gen ini yang tidak normal menyebabkan penyakit ataxia telangiectasia. Mewarisi satu salinan gen ini yang bermutasi dikaitkan dengan kadar barah payudara yang tinggi di beberapa keluarga.

Gen Tumor Protein p53 (TP53) berfungsi memberikan arahan untuk membina protein yang disebut p53 yang membantu menghentikan pertumbuhan sel yang tidak normal. Mutasi gen ini menyebabkan sindrom Li-Fraumeni. Pesakit dengan sindrom ini mempunyai risiko yang tinggi untuk terkena barah payudara, serta beberapa barah lain seperti leukemia, barah otak, dan sarkoma.

Sindrom Li-Fraumeni juga boleh disebabkan oleh mutasi yang diwarisi dalam gen Checkpoint Kinase 2 (CHEK2). Walaupun ia mungkin tidak menyebabkan sindrom Li-Fraumeni, ia tetap dapat meningkatkan risiko barah payudara dua kali ganda ketika bermutasi. Gen Phosphatase dan Tensin Homolog (PTEN) biasanya membantu mengatur pertumbuhan sel. Mutasi yang diwarisi dalam gen ini dapat menyebabkan sindrom Cowden.

Mutasi yang diwarisi dalam gen Cadherin 1 (CDH1) menyebabkan barah gastrik turun-temurun, satu sindrom di mana pesakit menghidap sejenis barah perut yang jarang berlaku pada usia yang muda.

Wanita dengan mutasi dalam gen ini juga mempunyai risiko peningkatan kanser payudara lobus invasif. Kecacatan pada gen Serine/Threonine Kinase 11 (STK11) boleh menyebabkan sindrom Peutz Jeghers. Pesakit yang mengalami gangguan ini mengalami bintik-bintik berpigmen di bibir dan mulut mereka, daging berkembang (polip) di saluran kencing dan saluran gastrousus, dan mempunyai risiko yang lebih tinggi terhadap banyak jenis barah, termasuk barah payudara.

Ujian genetik boleh dilakukan untuk mencari mutasi pada gen BRCA1 dan BRCA2 atau beberapa gen lain yang berkait dengan risiko barah payudara. Walaupun ujian genetik mungkin berguna dalam beberapa keadaan, kebaikan dan keburukan perlu dipertimbangkan dengan teliti.

Risiko barah payudara lebih tinggi di kalangan wanita yang saudara terdekatnya menghidap penyakit ini. Seorang wanita dengan lebih daripada satu saudara darjah pertama (ibu atau saudara perempuan) yang terkena barah payudara mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding dengan hanya mempunyai seorang saudara yang menghidap barah ini.

Risiko yang sebenar-benarnya masih belum diketahui, tetapi wanita yang mempunyai sejarah keluarga menghidap barah payudara pada ayah atau saudara lelaki juga mempunyai risiko peningkatan barah payudara. Tambahan pula, seorang wanita yang menghidap barah pada satu payudara mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap barah baru pada payudara yang lain atau di bahagian lain dari payudara yang sama. Ini berbeza dengan pengulangan berlakunya barah pertama.

Lebih-lebih lagi, wanita yang didiagnosis dengan keadaan payudara jinak (mempunyai benjolan atau bengkak) tertentu mungkin mempunyai risiko peningkatan barah payudara. Sesetengah keadaan ini lebih berkait dengan risiko barah payudara berbanding risiko yang lain.

Terdapat 3 kumpulan umum bagi keadaan payudara jinak, bergantung kepada bagaimana mereka mempengaruhi risiko ini. Pertama, luka bukan proliferatif (pembentukan lapisan baru). Keadaan ini tidak berkait dengan pertumbuhan tisu payudara yang terlalu banyak. Proses ini tidak mempengaruhi risiko berlaku barah payudara, atau jika yang sebaliknya berlaku, ia hanyalah pada tahap yang sangat kecil. Kedua, luka proliferatif tanpa Atypia (sel tisu tidak normal). Keadaan ini menunjukkan pertumbuhan sel yang berlebihan di saluran atau lobus tisu payudara. Fenomena ini dapat meningkatkan risiko barah wanita. Selanjutnya, luka proliferatif dengan Atypia.

Dalam keadaan ini, terdapat pertumbuhan sel yang berlebihan di saluran atau lobus tisu payudara, dengan sebilangan sel tidak lagi kelihatan normal. Mereka mempunyai kesan yang lebih kuat terhadap risiko barah payudara, lebih tinggi dibandingkan dengan tanpa Atypia.

Di samping itu, tempoh haid pertama awal (sebelum usia 12 tahun) serta menopaus lewat (selepas usia 55 tahun) mempunyai risiko kanser payudara yang lebih tinggi. Peningkatan risiko mungkin disebabkan oleh pendedahan hormon estrogen dan progesteron seumur hidup yang lebih lama.

Faktor lain menyebabkan barah payudara yang tidak dapat diubah yang akan disebutkan dalam artikel ini adalah nulliparous. Nulliparous (wanita yang tidak pernah melahirkan anak) atau wanita yang mempunyai anak pertama selepas usia 30 tahun mempunyai risiko barah payudara yang tinggi, manakala wanita yang kerap hamil dan hamil pada usia muda dapat mengurangkan risiko barah payudara. Kehamilan mengurangkan jumlah kitaran haid seumur hidup wanita, yang mungkin menjadi sebab untuk hal ini.

Alkohol adalah faktor risiko yang dapat diubah utama untuk barah payudara. Pengambilan alkohol yang berlebihan diketahui dapat meningkatkan risiko menghidap barah payudara dan jenis barah lain. Risiko meningkat dengan setiap jumlah alkohol yang diambil. Menurut America Cancer Society, wanita yang mengambil 2 hingga 5 alkohol setiap hari mempunyai risiko 1.5 kali ganda daripada wanita yang tidak minum alkohol.

Di samping itu, berat badan berlebihan atau obesiti selepas menopaus juga meningkatkan risiko barah payudara. Obesiti meningkatkan kadar estrogen dan darah insulin yang telah dikaitkan dengan beberapa barah, termasuk barah payudara.

Selain itu, merokok dengan kerap dalam jangka masa yang panjang dikaitkan dengan risiko barah payudara yang lebih tinggi. Terdapat juga bukti yang menunjukkan bahawa ketidakaktifan fizikal dapat meningkatkan risiko barah payudara.

Pun begitu, penyusuan susu ibu sedikit sebanyak dapat menurunkan risiko barah payudara, terutamanya jika penyusuan susu ibu berterusan selama 1 setengah hingga 2 tahun. Satu penjelasan mengenai kesan yang mungkin berlaku ialah penyusuan susu ibu mengurangkan jumlah kitaran haid seumur hidup wanita (sama seperti memulakan haid pada usia lewat atau melalui menopaus awal).

Akhir sekali, penggunaan terapi penggantian hormon (hormone replacement therapy (HRT)) dalam jangka panjang iaitu melebihi dari 10 tahun meningkatkan risiko terkena barah payudara.

Kesimpulannya, kanser payudara adalah barah yang paling kerap didiagnosis pada wanita di seluruh dunia. Menurut Malaysia National Cancer Registry 2012-2016, kira-kira 1 daripada 27 wanita di Malaysia mempunyai risiko menghidap barah payudara. Barah payudara berkembang melalui proses bertingkat, dan patogenesis (mekanisme yang membawa kepada keadaan berpenyakit) penyakit ini masih belum dapat diterangkan dengan jelas.

Barah payudara juga dipengaruhi oleh faktor genetik dan persekitaran. Strategi pencegahan yang disasarkan terhadap faktor risiko ini harus diambil lebih awal. Walaupun kadar kejadian barah payudara tinggi di negara maju, kenyataan yang tidak dapat kita nafikan adalah hampir separuh daripada kes barah payudara dan lebih separuh kematian berlaku di negara-negara membangun termasuk Malaysia.

Walaupun kemajuan besar telah dicapai dalam mencegah barah payudara dalam 10 tahun terakhir ini, masih ada kekurangan dari segi terapi efektif untuk melawan barah payudara. Mengurangkan faktor risiko dan mengambil kemoterapi adalah dua langkah utama untuk mencegah barah payudara.

Namun,masih banyak yang perlu dilakukan untuk mewujudkan kesedaran mengenai barah payudara dalam kalangan orang awam. Sifat takut akan kesan buruk dan kurang ilmu mengenai barah payudara mungkin disebabkan oleh keengganan untuk lebih tahu tentang penyakit ini.

Oleh itu, ianya sangat penting untuk memberi kesedaran tentang kepentingan pengesanan dan rawatan awal barah payudara untuk semua wanita, terutamanya pada usia yang lebih muda. Dalam banyak kes, diagnosis awal dan pengurusan segera adalah kunci untuk kelangsungan hidup yang lebih baik.

Penulis; Nur Syahira Amani binti Mohd Asri, pelajar tahun 3, bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular