Wednesday, September 27, 2023
HomeArtikelGaya Hidup Semasa Pandemik Covid-19: Apa Yang Anda Perlu Tahu?

Gaya Hidup Semasa Pandemik Covid-19: Apa Yang Anda Perlu Tahu?

Beberapa tahun kebelakangan ini, dunia kita dikejutkan dengan satu isu hangat yang berkaitan dengan kesihatan iaitu penyakit coronavirus (Covid-19). Penyakit ini berasal dari Wuhan, China yang disyaki wujud dari pasar basah yang menjual haiwan liar dan eksotik seperti kelawar, tenggiling, landak dan banyak lagi spesies hidupan liar.

Virus ini dikenalpasti pada bulan Disember 2019 dan menurut World Health Organization (WHO), virus ini adalah SARS-CoV-2. Tambahan pula, CDC menyatakan bahawa virus ini dinamakan sebagai Covid-19 disebabkan ia dijumpai pada tahun 2019 dan virus SARS-CoV-2 adalah daripada kumpulan virus corona. 

Virus ini menular dengan sangat cepat dalam kalangan penduduk di Wuhan dan seluruh negara China. China telah mencatat jumlah kes harian tertinggi pada awal-awal virus ini muncul. Akibatnya, virus ini telah merebak ke seluruh dunia kerana virus ini berpindah  dari satu individu kepada individu lain. Para saintis dan penyelidik telah melakukan pelbagai jenis penyelidikan dan eksperimen untuk mengetahui bagaimana kewujudan virus ini, tetapi nampaknya belum ada bukti yang kuat.

Covid-19 telah menjadikan gaya hidup kita benar-benar berubah kerana kita harus menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Virus ini disahkan dapat menular melalui batuk, bersin atau ketika individu menyentuh benda-benda yang dicemari oleh virus lalu menyentuh hidung atau mulut mereka. Dari tindakan ini, virus akan masuk ke dalam badan dan menyerang sistem pernafasan kita, terutama paru-paru.

Rekod kes telah meningkat dengan pesat di seluruh dunia. Di Malaysia, kes pertama Covid-19 dikenalpasti pada awal Januari 2020 di mana 3 orang warganegara Cina telah kontak rapat dengan orang Singapura yang positif Covid-19 semasa melancong ke Singapura. Sejak daripada kes itu, bilangan kes Covid-19 semakin meningkat dari hari ke hari dan telah memberi kesan negatif kepada negara.

Kerajaan telah mengadakan ‘lockdown’ menyeluruh dalam negara ini di mana semua sektor ekonomi terpaksa ditunda untuk sementara waktu. Semua rakyat tidak dibenarkan bebas bergerak, perlu berada di rumah dan hanya boleh keluar untuk membeli barang keperluan sahaja.

Selain itu, kerajaan juga telah memutuskan untuk membentuk undang-undang baru yang mewajibkan semua orang untuk memakai pelitup muka setiap kali mereka keluar. Rakyat mesti memakai pelitup muka yang sesuai dengan kriteria yang diberikan oleh World Health Organization (WHO).

Peraturan baru ini memerlukan rakyat untuk menyesuaikan diri dan berlatih untuk membiasakan diri. Memakai topeng kadang-kadang memberikan perasaan tidak selesa kerana menyukarkan individu untuk bernafas. Untuk membiasakan diri dengan kebiasaan ini, individu mungkin lupa membawa pelitup muka ketika keluar.

Oleh itu, setiap individu perlu meletakkan pelitup muka sebagai perkara mustahak untuk dibawa ke mana-mana. Tambahan pula, kes telah meningkat hingga mencecah lebih 7000 kes setiap hari. Lantaran daripada itu, kerajaan telah menyarankan rakyat untuk memakai dua pelitup muka sebagai ‘double protection’. Ekoran daripada saranan ini, tidak semua orang mampu memakai dua pelitup muka disebabkan ketidakselesaan. Namun, kita boleh cuba praktis dari semasa ke semasa.

Lebih-lebih lagi, menurut CDC, Covid-19 tersebar dengan mudah terutamanya dalam kalangan individu yang berada dalam jarak dekat (dalam jarak 6 kaki) dengan individu lain. Semua orang diarahkan untuk berada sejauh kira-kira 2 meter apabila berjumpa termasuklah kawasan awam. Ini sangat penting kerana ia merupakan salah satu langkah pencegahan untuk mengelakkan daripada dijangkiti penyakit Covid-19.

Menurut penyelidikan baru-baru ini, individu yang dijangkiti tetapi tidak menunjukkan gejala adalah berpotensi tinggi dalam menyebarkan COVID-19 kepada orang lain. Oleh kerana individu dapat menyebarkan virus sebelum mereka menyedari bahawa mereka sakit, ada cara terbaik untuk selalu menjauhkan jarak sekurang-kurangnya 2 meter dari semua orang, walaupun kita menunjukkan gejala atau tidak.

Kita dapat lihat sebahagian besar kedai atau kawasan awam meletakkan pelekat di lantai untuk menjaga jarak antara pelanggan. Ini adalah keadaan yang berbeza dengan kehidupan normal kita sebelumnya di mana kita boleh duduk rapat dengan orang lain tanpa perlu risau.

Sekarang, semua rakyat harus mempraktikkan norma baru ini dengan tidak dapat berhubungan rapat dengan semua orang.untuk mengelakkan daripada dijangkiti wabak Covid-19.

Tambahan pula, kerajaan juga telah menggubal satu peraturan di mana setiap premis mahupun rumah kediaman perlu meletakkan kod QRr aplikasi MySejahtera. Rakyat diwajibkan untuk mengimbas kod QR sebelum memasuki sesuatu premis dan perlu juga merekod suhu badan.

Oleh itu, semua premis wajib menyediakan kod QR, alat pengimbas suhu serta cecair pembasmi kuman. Kita sebagai pengunjung haruslah sentiasa mengimbas kod QR, suhu badan dan menggukana cecair pembasmi kuman sebelum memasuki premis. Hal ini untuk memudahkan kita mendapat pemberitahuan sekiranya apa-apa berlaku.

Penggunaan cecair pembasmi kuman sangatlah penting terutamanya apabila kita memegang benda dan ini perlu dijadikan tabiat sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan daripada dijangkiti Covid-19.Tambahan pula, di Malaysia, kerajaan kita telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kes Covid-19 telah meningkat dengan cepat mulai pertengahan Mac 2020.

Semasa PKP, semua aktiviti di negara ini perlu ditutup termasuk sektor ekonomi. Banyak penjual terjejas disebabkan oleh pelaksanaan PKP ini kerana mereka tidak dapat menjalankan perniagaan dan kehilangan sumber pendapatan mereka. Sebilangan pekerja di syarikat yang terjejas dengan PKP seperti syarikat penerbangan terpaksa diberhentikan dan ditamatkan perkhidmatan kerana syarikat mereka tidak mampu menampung kos untuk membayar gaji dan ingin mengecilkan skop pekerja mereka.

Kemudian, laporan juga menunjukkan bahawa jumlah pengangguran terus meningkat dari hari ke hari. Ini telah menimbulkan masalah dalam dari aspek rumah tangga dan masalah kesihatan mental dalam kalangan orang di Malaysia kerana mereka perlu menghadapi masalah kewangan. Ibu bapa terutamanya yang hilang pekerjaan perlu memikirkan kewangan untuk menampung perbelanjaan anak-anak dan keperluan. Hal ini yang mendorong kepada tekanan emosi segelintir rakyat di Malaysia.

Sekolah, universiti dan semua sektor pendidikan juga terjejas kerana PKP. Pelajar dan guru perlu menghadapi pembelajaran dalam talian. Persekitaran baru ini telah menimbulkan beban bagi kedua-dua pihak kerana mereka mesti menyediakan keperluan penting tambahan seperti internet, komputer riba, kamera dan banyak lagi.

Selain itu, pembelajaran dalam talian ini sangat melelahkan kerana mungkin terdapat gangguan yang datang dari rumah dan peribadi. Boleh dikatakan bahawa pelajar lebih tertekan kerana mereka tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya seperti di dalam kelas.

Mereka mesti menduduki kuiz, ujian dan peperiksaan secara dalam talian dan tidak dapat berkomunikasi dengan guru dan pensyarah mereka. Mereka semestinya bergantung pada platform dalam talian yang membebankan sebilangan pelajar yang tidak mempunyai keperluan yang lengkap.

Guru, pensyarah dan majoriti pekerja bekerja dari rumah. Mereka mesti menyesuaikan diri dengan teknologi oleh kerana kelas, perjumpaan, perbincangan diadakan secara dalam talian dan ini menimbulkan kesukaran kepada sebilangan daripada mereka yang tidak biasa dengan perkara ini. Oleh kerana Covid-19 masih ada hingga sekarang, PKP juga perlu diperluas dan semuanya mesti dilakukan secara dalam talian. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa gaya hidup kita telah berubah dalam tempoh Covid-19 ini.

Di samping itu, kerajaan Malaysia melarang orang pulang ke kampung halaman semasa perayaan seperti Hari Raya. Ini adalah untuk memastikan bahawa Covid-19 tidak menular dan dijangkiti kepada masyarakat lain. Dalam aspek lain, kerajaan ingin mengawal masyarakat daripada berkumpul dengan keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan yang akan meningkatkan peluang untuk dijangkiti dengan Covid-19 kerana virus ini dapat ditularkan dalam banyak cara.

Oleh yang demikian, larangan merentas negeri dan daerah adalah cara terbaik untuk mengurangkan penularan virus. Orang ramai perlu menyambut perayaan Hari Raya atau perayaan lain tanpa keluarga. Tahun ini adalah tahun kedua peraturan larangan merentas negeri. Perintah ini tidak pernah digubal dan diaplikasikan sebelum penularan virus ini dan segelintir masyarakat sukar untuk menerimanya. Oleh itu, masyarakat mesti menerima peraturan ini dan menyesuaikan diri dengan norma baru ini.

Pada waktu yang sama, gaya pemakanan kita juga mungkin berubah. Hal ini disebabkan oleh PKP yang menyebabkan pekerja bekerja dari rumah serta pelajar juga belajar dalam talian di rumah. Kita mempunyai banyak masa terluang di rumah bersama keluarga. Hal ini menjurus kepada pengambilan makanan berlebihan oleh kerana kita dapat memasak dan makan tiap masa. Kita boleh juga mengambil snek atau kudapan semasa tengah bekerja dan belajar dalam talian. 

Tambahan pula, bekerja dan pembelajaran dalam talian menimbulkan tekanan kepada sebahagian kerana banyak tugasan perlu disiapkan dalam masa yang pendek. Apabila kita stres untuk menyiapkan tugasan dalam talian, kita akan menjurus kepada pengambilan makanan tidak sihat seperti jajan, minuman berkarbonat, manisan dan sebagainya.

Perkara ini telah mengubah gaya pemakanan kita daripada kebiasaan dan berkemungkinan boleh menimbulkan penyakit kardiovaskular. Apabila masa banyak dihabiskan berada di rumah, kita telah kurang bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan kurang berpeluh. Jika dilihat sebelum ini, kita banyak bergerak untuk pergi bekerja dan menyebabkan berpeluh. Hal ini berkait dengan kesihatan badan kerana badan kita perlu aktif dengan berpeluh supaya badan lebih bertenaga. Oleh yang demikian, kita dapat lihat Covid-19 telah mengubah kehidupan seseorang.

Ringkasnya, Covid-19 telah mengubah kehidupan normal kita menjadi yang baru di mana ia telah memberi kesan kepada emosi, gaya hidup dan tabiat kita. Terpaksa atau tidak, masyarakat perlahan-lahan harus menerima norma baru ini dan mempraktikkannya kerana ia memberi kelebihan kepada kita.

Selain itu, ia adalah cara untuk mencegah Covid-19 menjadi lebih serius. Walaupun virus ini telah mengubah gaya hidup kita, tetapi itu bukan penghalang untuk mengekalkan produktiviti kita. Akhir sekali, marilah kita berharap bahawa virus ini terhapus suatu hari nanti dan kita akan kembali kepada gaya hidup asal kita.

Penulis; Norshafiqah bt Khrudin @ Khairudin, Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi, USIM, Nilai, Negeri Sembilan
RELATED ARTICLES

Most Popular