Friday, June 24, 2022
HomeArtikelGlasier Ais Yang Mencair, Masihkah Ada Masa Hadapan Kita?

Glasier Ais Yang Mencair, Masihkah Ada Masa Hadapan Kita?

Glasier Ais Yang Mencair, Masihkah Ada Masa Hadapan Kita? | Baru-baru ini, dunia telah dikejutkan dengan pecahan lapisan ais yang berskala hampir setengah ukuran negara Puerto Rico. Ini mengundang pelbagai reaksi daripada para saintis dan beberapa organisasi yang berkaitan dengan alam sekitar terutamanya tindak balas daripada bahagian perubahan iklim.

Terletak di Antartika, bongkahan ais telah berada dalam keadaan tidak stabil selama beberapa dekad terakhir. Kajian terbaru menyatakan bahawa jika fenomena pemanasan global dan pelepasan gas masih berterusan pada kadar yang sama, maka tidak mustahil jika paras air laut meningkat ke tahap yang lebih kritikal.

Lebih buruk lagi, tidak ada satu pun perkara yang dapat dilakukan untuk membalikkan keadaan pada masa itu.

Bagaimana Pencairan Glasier Ais Berlaku?

Air merupakan peratusan terbesar yang wujud di permukaan Bumi, iaitu hampir 97 peratus yang terdiri dari air laut, air sungai, air daripada tasik dan juga ais glasier. Bongkah ais adalah penyumbang terbesar dalam penyimpanan air dalam bentuk solid terutamanya di kawasan salji yang terletak di benua Artik dan benua Antartika.

Sekiranya paras air meningkat, maka seluruh populasi bumi akan berada dalam keadaan bahaya. Mungkinkah masa depan akan hilang sekiranya keadaan masih berterusan tanpa perubahan? Jawapannya, tidak mustahil.

Kemungkinan untuk generasi masa depan, iaitu anak-anak mahu pun cucu kita, akan dilanda musibah yang tidak akan pernah terjangkau dek akal dan fikiran kita.

Sekiranya kita melihat contoh mudah seperti fenomena pencairan ais di dalam sebuah cawan saja sudah cukup untuk membasahi meja, bagaimana pula jika bongkah-bongkah ais besar di wilayah Antartika yang mencair sehingga mampu menenggelamkan bumi?

Jika kita lihat sekarang, laut sangat indah dengan ketenangan dan kebiruannya. Namun begitu, kita perlu mengambil iktibar dan pengajaran yang diperoleh daripada tsunami yang pernah melanda beberapa negara pada suatu masa dahulu, malahan hampir melumpuhkan negara-negara tersebut.

Lapisan ais Antartika meliputi sekitar 14 juta km2 dan berisi 30 juta km3 ais. Itulah sebabnya, hanya kerana kita tidak melihat lapisan ais itu secara berdepan, tidak bermaksud ia tidak wujud. Lapisan ais di kedua-dua benua sejuk ini sebenarnya mempunyai fungsi yang sangat penting dalam mengimbangkan ekosistem global.

Bongkahan Glasier Ais Mengawal Permukaan Air Laut di Seluruh Dunia

Bongkahan ais dan glasier ais amat membantu dalam mengawal paras permukaan air laut di seluruh dunia. Keberadaan mereka telah menyokong dalam mengekalkan suhu bumi pada satu tahap normal. Jika tidak kerana bantuan daripada pembentukan ais dan salji di kawasan Kutub Utara tersebut, Bumi akan menjadi terlalu panas seperti planet lain.

Tanpa disedari, kita telah menyumbang kepada wujudnya fenomena ini. Pecahan ais di Antartika atau Kutub Utara pada asalnya adalah suatu keadaan biasa apabila bongkahan ais tersebut terlalu besar atau terlampau berat untuk ditampung.

Walau bagaimanapun, pencairan ais bukanlah sesuatu yang sering berlaku jika dibandingkan dengan pemecahan bongkah-bongkah ais. Pemanasan global merupakan faktor utama terhadap peningkatan suhu dunia. Hal ini terjadi apabila gas yang dilepaskan terperangkap di ruang udara atmosfera bumi dan tidak dilepaskan ke luar lapisan ozon.

Penggunaan tenaga dalam kehidupan seharian adalah penyumbang terbesar terhadap pemanasan global yang terhasil daripada pengeluaran gas rumah hijau. Pembakaran elektrik, petrol dan juga tenaga oleh industri terutamanya menjadi faktor perlepasan gas-gas berbahaya tersebut ke udara.

Karbon dioksida (CO2), metana (CH4) dan karbon monoksida (CO) adalah antara gas yang sering dilepaskan daripada pelbagai aktiviti manusia hampir setiap hari. Bukankah ini merupakan penyebab utama yang menjadikan keadaan glasier dunia dalam keadaan bahaya?

Peningkatan suhu yang mendadak juga berpunca daripada pertambahan gas lain seperti klorofluorokarbon (CFC). Gas klorofluorokarbon ialah gas yang sering digunakan dalam penyembur aerosol, peti sejuk dan juga pendingin hawa.

Ianya berupaya untuk merosakkan dan menipiskan lapisan ozon dunia, tidak terkecuali di Antartika dan Artik. Hal ini mengakibatkan bumi menjadi semakin panas sementelah sinaran ultra-lembayung (UV) tidak terhalang oleh lapisan ozon yang kian menipis.

Apabila suhu di seluruh dunia semakin meningkat, iklim juga turut mengalami perubahan yang jelas. Inilah yang menyebabkan bongkah dan kawasan yang mempunyai ais mula cair. Kesannya, permukaan tanah yang awalnya diselaputi salji menjadi kering.

Pada awalnya, angin daripada bongkahan ais dan salji bertiup ke arah laut dan menjadikan suhu di kawasan tersebut stabil. Akan tetapi, jika ais mula mencair, perkara sebaliknya berlaku yang mana angin dari lautan menghala ke arah kawasan salji dan menyebabkan suhu Antartika menjadi lebih hangat daripada kebiasaannya.

Kesan Perubahan Iklim Kepada Bumi

Perubahan cuaca ini bukan sahaja menaikkan suhu semata, malahan ia juga membawa monsun bergerak ke serata dunia. Malaysia juga tidak terkecuali daripada terkesan dengan fenomena alam seperti La Nina dan El Nino yang mana taburan hujan menjadi lebih banyak dan bersilih ganti dengan cuaca panas yang melampau. Perubahan iklim juga mengakibatkan pertukaran cuaca normal menjadi ekstrem dan menyebabkan kemarau dan banjir di seluruh dunia.

Kutub Utara adalah antara kawasan yang paling mendapat kesan yang buruk dek kerana perubahan iklim. Mengikut kajian, benua Kutub Utara lebih mudah untuk panas berbanding kawasan lain. Ini kerana faktor penghasilan salji dan pembentukan ais lebih mudah tergugat dengan suhu yang tinggi terutamanya sejak beberapa abad yang lalu.

Malahan,  Artik dicatatkan sebagai kawasan yang mempunyai suhu paling panas di benua tersebut. Saban tahun, anggaran ais yang mengalami proses pencairan melebihi jumlah yang biasa sehingga paras air laut mula meningkat di Greenland.

Ianya boleh diklasifikasikan sebagai amaran awal kepada penduduk dunia. Lebih-lebih lagi jika fenomena ini diikuti pencairan ais dari kutub Antartika dan Artik yang berisiko membanjiri lebih separuh rantau dunia. Amaran juga telah dikeluarkan oleh sebilangan besar saintis terhadap jangkaan peningkatan paras laut menjelang tahun 2100 sekiranya suhu permukaan bumi masih di tahap yang tinggi.

Tambahan daripada itu, jumlah air tawar akan berkurangan jika glasier mencair, menjadikan sumber air bersih dan air minuman susah untuk diperoleh. Sumber air tawar hanya mempunyai lebih kurang 3 peratus sahaja di muka bumi ini. Daripada jumlah tersebut, ianya dapat menampung kehidupan dan keperluan manusia dan juga haiwan di setiap pelosok bumi.

Fenomena pencairan ais dan glasier boleh berlaku akibat pemanasan global yang menyebabkan ia bercampur dengan air laut. Bagaimana pencairan ais boleh mengancam sumber air tawar?

Ianya disebabkan oleh hampir 75 peratus sumber air tawar berada dalam bentuk glasier yang terletak di benua Antartika. Oleh itu, berkemungkinan besar pencairan glasier dan bongkah-bongkah ais dapat menggugat kesejahteraan manusia sejagat.

Langkah-langkah Bagi Mengurangkan Pencairan Ais dan Glasier

Manusia, sebagai penduduk Bumi yang cerdas, seharusnya mengurangkan penggunaan tenaga dalam pembakaran sekiranya tidak ada keperluan. Langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menggantikan penggunaan tenaga yang sedikit sebanyak membawa bencana tanpa kita sedari.

Kadang kala, manusia hanya mengungkapkan kata-kata tanpa diiringi perbuatan. Tidak ada salahnya jika setiap hari, kita berusaha mengurangkan penggunaan tenaga dengan pelbagai cara mudah.

Justeru, bagi menjayakan penurunan purata suhu ke tahap yang lebih rendah, masalah pemanasan global perlu diselesaikan dengan langkah-langkah berikut.

1) Menjimatkan Penggunaan Elektrik

Musim COVID-19 ini yang mana kebanyakan pekerjaan, tugasan dan pembelajaran dilaksanakan secara maya dari rumah, telah menyebabkan frekuensi penggunaan elektrik bulanan telah meroket berbanding ketika waktu sebelum pandemik. Penggunaan peranti-peranti elektronik seperti televisyen, komputer riba, telefon pintar dan sebagainya yang perlu dicaj secara berkala menyebabkan bil elektrik melambung.

Tenaga yang digunakan untuk menjana elektrik adalah berpunca daripada arang batu yang dibakar. Pembakaran daripada arang batu ini masih digunakan di beberapa negara lain atas faktor penjimatan kos. Proses pembakaran ini sebenarnya memerlukan penghasilan haba yang banyak.

Oleh itu, kita perlulah menjimatkan penggunaan elektrik seperti menggunakan elektrik pada kadar minimum semasa di rumah dengan mematikan suis barang elektrik dan elektronik yang tidak digunakan.

Di samping itu, kita juga boleh mengehadkan penggunaan pendingin hawa apabila perlu sahaja kerana pendingin hawa adalah salah satu daripada banyak barang yang menyumbang kepada pengeluaran tenaga yang tinggi. Penggantian bahan bakar untuk tenaga juga dapat dilaksanakan dengan menukar arang batu kepada tenaga mudah diperoleh seperti biojisim.

2) Menanam Lebih Banyak Pokok

Selain itu, kita juga dapat mengawal perubahan suhu dengan menambahkan lagi bilangan pokok di seluruh dunia. Pokok mempunyai fungsi yang cukup hebat seperti menyerap haba yang berlegar-legar di ruang angkasaraya. Tidak sahaja dapat menyerap karbon dioksida, pokok juga dapat mengeluarkan oksigen yang bermanfaat untuk semua.

Akan tetapi, pembalakan haram yang kian rancak berlaku telah menyebabkan bilangan hutan dan pokok semakin berkurangan. Manusia tidak sedar bahawa pohon-pohon yang tumbuh di hutan tersebutlah yang membantu dalam menurunkan kadar pemanasan global yang semakin mengancam kawasan-kawasan sejuk dan berais di Benua Antartika khususnya.

3) Mengamalkan Kitar Semula

Seterusnya, amalan kitar semula dapat mengurangkan pemanasan di seluruh dunia. Hal ini kerana, pembuangan sampah seperti plastik yang tidak mudah untuk diuraikan menyebabkan sesetengah manusia mengambil pendekatan untuk membakar sampah seperti itu. Pembakaran sampah sarap adalah faktor dalam pembebasan gas rumah hijau seperti karbon dioksida (CO2).

Dengan mengaplikasikan pengasingan sampah dan kitar semula, pembakaran dapat dielakkan. Melalui kitar semula, barangan seperti kertas, botol kaca dan plastik dapat menghasilkan daya cipta yang baharu dan menarik, selain daripada mengurangkan kadar kenaikan pemanasan global.

Sebagai kesimpulannya, tiga langkah di atas amatlah mudah dan dapat diterapkan dalam kehidupan seharian kita. Kita dapat mengekalkan sejumlah glasier ais di Kutub Utara dan Antartika sekiranya kerja ini diteruskan dan dilaksanakan secara sistematik oleh semua individu di seluruh dunia.

Kita perlu ingat bahawa kita adalah penentu masa depan. Sekiranya kita berjaya mengambil langkah pertama, tidak mustahil banyak yang akan mengikuti jejak tersebut. Lantaran itu, kita perlulah melindungi glasier dan bongkahan ais di Kutub Utara agar kita juga dapat melindungi diri kita sendiri dan planet Bumi.

Penulis; Akmal Nawarah Ahmad Zulkifli, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Rujukan

Reuters. Apr 29, 2021. Climate change eats into ice sheets around the globe. https://www.globaltimes.cn/page/202104/1222468.shtml

Osman Affandi. Jul 5, 2018. 7 Kesan Buruk Pencairan Glasier kepada Manusia, Haiwan, dan Alam Sekitar. Iluminasi. https://iluminasi.com/bm/7-kesan-buruk-kepada-manusia-haiwan-dan-alam-sekitar-akibat-daripada-pencairan-glasier.html

RELATED ARTICLES

Most Popular