Akhir-akhir ini, hubungan kekeluargaan semakin diketepikan dalam urusan kehidupan harian. Semakin melonjak ke zaman yang serba moden ini, timbul pelbagai cabaran yang menjadi pemangkin kepada renggangnya sesuatu hubungan kekeluargaan. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga yang harmoni serta bahagia. Ibu bapa kini terlalu mementingkan urusan pekerjaan dan merupakan antara punca kenapa mereka menghantar anak ke pusat asuhan atau mengupah pengasuh. Mereka berasa lega apabila anak-anak diletakkan di bawah asuhan pengasuh kerana mereka dapat melakukan tugas di tempat kerja tanpa perlu risau tentang anak-anak.
Ramai tidak mengetahui bahawa dengan menghantar anak ke pusat asuhan atau mengupah pengasuh sedikit-sebanyak telah memberi kesan kepada hubungan di antara ibu bapa dan anak-anak. Trend menghantar anak ke pengasuh bukan lagi sesuatu yang baru dalam kalangan ibu bapa. Memang tidak dinafikan bahawa melepaskan anak untuk dijaga oleh orang lain selama seharian bukanlah sesuatu yang mudah bagi seorang ibu. Namun, demi perjuangan dalam mencari rezeki untuk menyara kehidupan keluarga, hati terpaksa digagahkan.
Pada masa dahulu, hubungan kekeluargaan lebih erat dan akrab berbanding pada masa ini. Semua anggota keluarga saling mengenal dan mengambil berat antara satu sama lain. Anak-anak dari segi fitrahnya tidak boleh diputuskan daripada kekeluargaan. Jika hal ini berlaku, anak-anak akan menjadi dedaun gugur yang hilang darjat dan maruah.
Mereka perlu mengenali keperibadian ibu bapa, keikhlasan, aspirasi, cita-cita mereka dan sebagainya. Situasi yang berlaku pada hari ini ialah anak-anak diputuskan daripada kehidupan persekolahan dan sebelum itu dipisahkan dengan waktu yang hilang ketika menghantar anak ke pusat jagaan. Sehingga Ogos 2021, sebanyak 5436 buah taska di seluruh negara berdaftar dengan JKM manakala sebanyak 1858 pusat jagaan, mendaftar sehingga September 2021. Hal ini jelas membuktikan bahawa ramai ibu bapa telah mula giat menghantar anak-anak ke pusat jagaan. Tambahan pula, Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) akan memastikan setiap pusat jagaan membuat pendaftaran bagi mengelakkan hal-hal yang tidak diingini berlaku. Bagi pusat jagaan yang tidak membuat pendaftaran, tindakan yang tegas akan dikenakan. Jadi, ibu bapa dapat menghantar anak-anak ke pusat asuhan tanpa perlu bimbang.
Faktor yang menggalakkan lagi anak-anak dihantar ke pengasuh ialah kerana adanya ibu-ibu yang berkerjaya. Hal ini demikian kerana seiring dengan perkembangan zaman, kerjaya wanita tidak hanya lagi tertumpu di rumah, membuat kerja-kerja dapur dan menjaga anak, tetapi wanita pada hari ini mempunyai kerjaya masing-masing dan bersama-sama menggembleng tenaga seiring kaum lelaki untuk memacu perkembangan negara.
Sekalipun lelaki dan wanita bermula dengan langkah yang sama semasa memasuki pasaran buruh, trajektori kerjaya masing-masing mula mencapah apabila mempunyai anak. Perkembangan kerjaya lelaki amat jarang terkesan oleh kehadiran anak, namun lain pula kisahnya bagi wanita.
Secara hakikatnya, mengupah pengasuh adalah sesuatu yang dapat memudahkan urusan ibu bapa apabila bekerja. Sebagai contoh, terdapat inisiatif penjagaan anak iaitu pusat asuhan untuk anak-anak pekerja diwujudkan di tingkat bawah tanah Menara MBSB Bank di Petaling Jaya dan mula beroperasi pada 1 April 2022.
Bantuan dalam penjagaan anak mempengaruhi keupayaan wanita untuk kekal bekerja atau kembali semula ke pasaran buruh serta pencapaian mereka dalam kerjaya. “Antara penemuan utama dalam penyelidikan (oleh Program Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) ialah wanita yang tiada pilihan penjagaan anak mempunyai kebarangkalian tidak kembali bekerja 95 peratus berbanding yang ada sokongan,” kata Prof Madya Dr Shanti Thambiah daripada Program Pengajian Gender Universiti Malaya yang juga perunding prinsipal kajian yang dikeluarkan pada 2014 itu. Selama bertahun-tahun, Malaysia antara negara yang merekodkan kadar penyertaan tenaga kerja wanita (FLPR) terendah dalam perkumpulan ASEAN, satu masalah yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.
Baru-baru ini tular satu video di TikTok mengenai satu temu bual di antara ibu, pengasuh dan anak. Tujuan temu bual itu adalah untuk mengetahui sama ada ibu atau pengasuh yang lebih mengenali anak itu. Hasil dari temu bual tersebut mendapati bahawa pengasuh dapat menjawab jawapan yang sama seperti anak itu berbanding ibunya sendiri.
Hal ini telah membuktikan bahawa pengasuh lebih mengenali anak asuhannya daripada ibunya sendiri. Perkara ini tidak berlaku bagi semua orang namun pendedahan ini telah berjaya membuka mata orang ramai tentang pentingnya meluangkan lebih masa bersama anak-anak. Rutin bagi orang bekerja untuk pulang lewat dan apabila tiba malam hanya terfikir untuk rehat. Anak-anak akan kempunan kasih sayang yang sepatutnya diberikan oleh ibu bapa mereka. Perkara ini akan menjadi lebih parah apabila ibu bapa terlalu sibuk dengan urusan kerja sehinggakan selalu pulang ke rumah pada lewat malam. Hal ini kerana anak yang ingin meluahkan perasaannya pada ibu bapa mereka tidak dapat berbuat demikian sebaliknya hanya mampu meluahkan kepada pengasuh. Sebab itulah pengasuh lebih memahami dan mengenali anak asuhannya.
Namun, terdapat beberapa pendapat yang menyatakan bahawa dengan menghantar anak ke pengasuh membuatkan anak-anak lebih kreatif dan bersosial. Ia berdasarkan kepada pandangan setiap orang dan bagaimana mereka mengawal perkara itu. Jika ibu bapa dapat memberi perhatian kepada anak-anak walaupun mereka dihantar ke pusat jagaan, jadi tiada masalah.
Satu perkara lagi yang perlu diambil berat selain menjejaskan hubungan kekeluargaan ialah ibu bapa perlu bijak dalam memilih pengasuh untuk anak-anak. Pengasuh memainkan peranan penting dalam menjaga anak-anak. Selain ibu bapa yang mereka percaya, pengasuh juga akan menjadi orang yang anak-anak akan rapat dan memberi sepenuh kepercayaan.
Ibu bapa perlu sentiasa bertanya kepada anak-anak tentang keadaan mereka supaya mereka tidak terasa terabai. Sama juga kepada pengasuh, ibu bapa perlu sentiasa memantau perkembangan anak-anak melalui pengasuh kerana pengasuh lebih banyak meluangkan masa dengan anak-anak. Jika ibu bapa tidak mahu hubungan di antara keluarga renggang, maka hendaklah mereka sentiasa cakna tentang keperluan anak-anak.
Kesimpulannya, menghantar anak-anak kepada pengasuh bukanlah penyebab yang besar dalam kerenggangan hubungan antara keluarga namun cara ibu bapa itu sendiri yang mengawal dan membentuk keperibadian anak-anak.
Penulis; 1. Nurfarawahida Binti Hashim – Mahasiswa Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. 2. Dr. Velan Kunjuraman – Pensyarah Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.