Tarikh Hari Wesak (Vesak Day) tahun ini ialah pada 26 Mei 2021 (Rabu).
Ia merupakan salah satu daripada hari kelepasan am bagi kerajaan persekutuan untuk tahun 2021.
Pada tarikh ini juga, seluruh negeri di Malaysia akan bercuti bersempena hari wesak ini. Ia merupakan salah satu sambutan bagi penganut agama Buddha di Malaysia.
Hari Wesak adalah waktu untuk semua penganut agama Buddha menghayati nilai toleransi, kasih sayang dan khidmat kepada kemanusiaan, yang terkandung dalam ajaran dan kehidupan Buddha.
Sejarah Perayaan Hari Wesak di Malaysia
Hari Wesak (Vaisakha Puja) adalah hari yang paling penting bagi penganut agama Buddha di seluruh dunia. Ia jatuh pada hari kelima belas bulan naik atau bulan keenam mengikut kalendar lunar Thai atau pada bulan Mei mengikut kalendar Masihi setiap tahun.
Perayaan ini disambut bagi mengingati tiga peristiwa penting tentang Buddha iaitu saat kelahiran; saat mendapat pencerahan dan saat mencapai nibbana.
Di Malaysia, Hari Wesak di rayakan secara tahunan sejak tahun 1962 apabila pemimpin agama Buddha pada masa itu berjaya meyakinkan kerajaan Malaysia tentang kepentingan ditambah dengan bilangan mereka yang ramai (satu pertiga daripada jumlah rakyat Malaysia).
Kerjasama di antara semua jenis mazhab agama Buddha dalam merayakan Hari Wesak adalah jelas terutamanya di bandar-bandar besar. Selain daripada mengorganisasikan sambutan secara bersama, setiap Wat juga mempunyai program dan aturcara tertentu bagi meraikan perayaan ini.
Ketika perayaan tersebut, semua Wat akan dibuka pintu kepada orang ramai untuk memberi sumbangan.
Antara amalan yang popular dilakukan ialah ialah menghidupkan lampu minyak kerana percaya bahawa lampu tersebut akan menerangi hidup mereka ke arah yang lebih aman dan gembira serta boleh mengurangkan masalah dan penyakit.
Mereka juga berharap agar Buddha kembali untuk mendoakan kebahagiaan dan menjauhkan mereka dari segala penyakit.
Berdasarkan kepada konsep Kamma, penganut Buddha percaya bahawa perbuatan baik mereka pada Hari Wesak ini mendatangkan keberkatan yang besar serta lebih tinggi nilainya berbanding hari-hari yang lain dan akan menambahkan lagi rekod amalan baik mereka.
Jadi, mereka menghabiskan masa di Wat-wat untuk meneliti Rukun Lapan, mengamalkan meditasi, mendengar ceramah Dhamma di samping melakukan kerja-kerja kebajikan seperti membersihkan wat, memberi sedekah dalam bentuk wang dan barangan, mengadakan jamuan dan lain-lain.
Sambutan Hari Wesak di Malaysia
Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, sambutan perayaan Hari Wesak di raikan di seluruh negara dengan mengunjungi kuil-kuil di kawasan tempat tinggal masing-masing dengan aman dan tenang.
Pun begitu, pada tahun ini dalam suasana perintah kawalan pergerakan (PKP), suasana sambutan agak berbeza apabila perhimpunan beramai-ramai tidak dibenarkan dan perlu mengikut SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan memberi atau mengucapkan Selamat Hari Wesak secara rasmi kepada semua penganut Buddha di seluruh negara.
Perayaan Hari Wesak di Malaysia membuktikan prinsip dan amalan beragama sentiasa dihormati dan dihayati seluruh rakyat Malaysia.
Tarikh dan Cuti Bersempena Hari Wesak 2021
Hari Wesak di isytiharkan sebagai Hari Kelepasan Am Persekutuan sebagaimana hari kelepasan am yang lain seperti Hari Deepavali, Hari Krismas dan lain-lain.
Seluruh negara akan bercuti pada Hari Wesak 26 Mei 2021 iaitu pada hari Rabu pertengahan minggu tersebut
Bagi mereka yang ingin bercuti agak panjang pada minggu tersebut, boleh mengambil cuti tahunan pada 2 hari sebelumnya atau 2 hari selepasnya.
Jika anda ingin bercuti 5 hari pada minggu tersebut;
Cara Pertama
Sabtu (22 Mei 2021) | Cuti Mingguan |
Ahad (23 Mei 2021) | Cuti Mingguan |
Isnin (24 Mei 2021) | Ambil cuti tahunan |
Selasa (25 Mei 2021) | Ambil cuti tahunan |
Rabu (26 Mei 2021) | Cuti Hari Wesak (Hari Kelepasan Am Persekutuan) |
Cara Kedua
Rabu (26 Mei 2021) | Cuti Hari Wesak (Hari Kelepasan Am Persekutuan) |
Khamis (27 Mei 2021) | Ambil cuti tahunan |
Jumaat (28 Mei 2021) | Ambil cuti tahunan |
Sabtu (29 Mei 2021) | Cuti Mingguan |
Ahad (30 Mei 2021) | Cuti Mingguan |
Salam Hari Wesak dan Selamat Bercuti.