Hidup Bebas Tanpa Plastik dan Pencemaran

0
21
Hidup Bebas tanpa Plastik dan Pencemaran

Malaysia tidak lagi asing dengan penggunaan plastik. Penggunaan plastik sering menjadi isu dunia tanpa mengira tempat dan masa. Menurut World Wildlife Fund Malaysia (WWF), Malaysia mempunyai pengeluaran plastik tertinggi per kapita berbanding negara China, Indonesia, Thailand,dan Vietnam, iaitu 16.78 kilogram tiap orang.

Bukan itu sahaja, Malaysia merupakan negara kedua tertinggi penyumbang pada buangan plastik. Hal demikian kerana, plastik banyak digunakan dalam pembungkusan makanan, minuman, pembuatan barang dan banyak lagi. Oleh itu, apakah faktor dan kesan peningkatan penggunaan plastik?

Banyak kilang pembuatan bergantung pada plastik. Hal ini disebabkan oleh penggunaan plastik yang berleluasa. Seperti yang kita ketahui, plastik digunakan tiap kali pembelian bagi mengangkut barang-barang. Material plastik juga boleh digunakan untuk membuat pelbagai buatan. Sebagai contoh, botol minuman, belon dan polisterin.

Peniaga juga lebih tertarik untuk menggunakan plastik oleh kerana material plastik yang memerlukan kos rendah, mudah dan kalis air. Walau bagaimanapun, keadaan menjadi lebih buruk kerana plastik mengandungi kandungan kimia berbahaya yang dapat membahayakan manusia dan haiwan, terutama sekali terhadap alam semula jadi.

Tambahan pula, pelupusan plastik mengambil masa hingga ratusan tahun. Contohnya, beg plastik akan hancur dalam 20 tahun, tetapi cawan plastik akan mengambil masa hingga 450 tahun untuk dihancurkan. Demikian itu, kelebihan dan kekurangan plastik penting untuk difahami antara masyarakat di Malaysia.

Kesannya, penggunaan plastik yang meningkat menyumbang kepada pencemaran dan risiko pada kesihatan. Antara kesan-kesan sampah plastik adalah pencemaran air. Menurut World Wildlife Fund Malaysia (WWF) pada tahun 2019, lebih kurang 4.8 hingga 12.7 juta tan plastik memasuki perairan laut setiap tahun, dengan selebihnya juga dibawa ke Lautan Hindi dan Pasifik begitu juga ke pulau-pulau.

Pencemaran plastik dijangka akan meningkat empat kali ganda dalam tahun yang akan datang, menunjukkan bahawa laut-laut akan mengandungi lebih banyak plastik daripada hidupan laut. Hidupan laut seperti penyu dan karang laut akan menghadapi kepupusan dengan lebih cepat. Malah, terdapat banyak laporan daripada agensi alam sekitar menyatakan bahawa banyak penyu mati akibat menelan plastik yang dianggapnya sebagai makanan.

Akibat sikap tidak peduli manusia, hidupan laut menjadi mangsa yang mengancam habitat mereka. Oleh sebab itu, hidupan laut yang terancam mestilah dipelihara dan tempat mereka perlu dipulihara demi kelangsungan hidup hidupan lain.

Plastik bukan sahaja memberi kesan pencemaran air, tetapi juga pencemaran udara. Punca utama pencemaran berlaku daripada sikap tidak peduli individu tanpa kesedaran betapa bahayanya penggunaan plastik yang berleluasa. Sedih untuk dinyatakan bahawa masih ada individu yang tidak bertanggungjawab yang melakukan aktiviti pembakaran terbuka, khususnya membakar bahan terlarang.

Membakar bahan terlarang seperti sampah, plastik dan kayu memudaratkan persekitaran. Merujuk kepada Wisconsin Department of Natural Source, organisasi tersebut menggariskan bahawa apabila plastik dibakar, bahan kimia berbahaya seperti dioxin bebas ke udara. Benzo(a)pyrene (BAP) dan poly-aromatic hydrocarbon (PAHs) juga ditemui dalam udara yang dibebaskan, di mana bahan kimia yang berbahaya ini boleh menyebabkan penyakit kanser.

Demikian itu, mempertimbangkan bayi, remaja dan warga tua menyedut udara yang tercemar ini, penggunaan plastik mestilah menjadi kebimbangan masyarakat kerana plastik dapat menjejaskan kesihatan dan  persekitaran.

Oleh sebab situasi di atas, terdapat beberapa cara untuk mengurangkan penggunaan plastik.

1.   Guna Semula dan Kitar Semula

Pihak berkuasa menekankan untuk menggunakan semula dan mengitar semula barang-barang yang berguna. Misalnya, kita dapat mengitar semula dan mengguna semula pakaian lama, kotak dan juga buku. Pihak berkuasa juga telah mewujudkan tempat meletakkan barang kitar semula. Contohnya, di Nilai, terdapat beberapa tong baju untuk kitar dan guna semula, yang diletakkan sekeliling bandar bagi menggalakkan masyarakat melakukan kitar semula dan guna semula.

Pakaian yang tidak digunakan lagi juga boleh diderma kepada orang yang lebih memerlukan. Sesungguhnya, menderma itu perbuatan yang mulia. Jika terdapat banyak botol-botol kaca dan plastik, buku dan sebagainya di rumah, hendaklah dikumpulkan dan diletakkan di tempat kitar semula. Meskipun kecil langkah ini, akan tetapi dapat membawa banyak manfaat kepada sekeliling.

2.   Menggantikan Plastik kepada Beg

Setiap individu boleh menggantikan plastik dengan penggunaan beg serba guna. Sebagai contoh, apabila membeli barang keperluan di pasaraya, kita disarankan untuk membawa beg sendiri untuk mengangkut barang belian tersebut.

Seperti kita ketahui, pasaraya juga mengenakan caj terhadap penggunaan plastik. Oleh itu, daripada membazir wang ke atas penggunaan plastik, lebih baik menggunakan wang tersebut untuk perkara yang lebih berfaedah.

Seterusnya, menolak penggunaan plastik yang ditawarkan ketika membeli di pasar mahupun dari gerai-gerai kecil. Selagi barang belian itu masih boleh diletakkan ke dalam beg serba guna, selagi itulah kita menolak penggunaan plastik. Sedemikian itu, penggunaan beg berfungsi sebagai ganti pada plastik, malah kita dapat mengurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan seharian.

3.   Membawa Bekas dan Penyedut Minuman Sendiri

Bagi mengelakkan penggunaan plastik yang berlebihan, membawa bekas makanan dan penyedut minuman sendiri merupakan salah satu cara untuk mengurangkan penggunaan plastik. Membawa bekas ke tempat kerja, sekolah mahupun universiti bukanlah satu cara yang susah, malah memudahkan lagi bagi pekerja dan pelajar.

Hal ini kerana, dengan membawa bekas makanan dapat mengurangkan beban pekerja di dapur daripada membasuh alat-alat dapur yang digunakan, seperti pinggan, mangkuk dan gelas. Seterusnya, pengurangan penggunaan penyedut minuman sudah lama ditekankan oleh pihak berkuasa demi menyelamatkan hidupan laut.

Daripada mengambil penyedut minuman plastik yang disediakan di restoran mahupun gerai, hendaklah kita menggunakan penyedut minuman sendiri seperti penyedut minuman besi. Penyedut minuman besi adalah selamat digunakan, malah tidak memudaratkan persekitaran dan boleh dibasuh untuk diguna lagi.

Akhir sekali, didikan kepada masyarakat adalah sangat penting untuk hidup bebas tanpa plastik dan pencemaran. Sebagai pelajar, ibu bapa dan orang yang lebih matang, mendidik masyarakat sekeliling tentang penggunaan plastik adalah satu sokongan yang wajar bagi membendung masalah-masalah yang akan datang. Antara didikan yang efektif adalah dengan mengajar anak-anak dari kecil untuk membuang sampah ke dalam tong sampah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Kesimpulannya, beramal dengan satu langkah di atas juga sudah dapat membantu menyelamatkan alam sekitar. Generasi akan datang juga dapat hidup dalam keadaan persekitaran yang sihat, malah hidupan laut juga dapat bertahan dengan lebih lama. Akhir kata, janganlah kita menutup mata terhadap isu plastik ini untuk hidup bebas tanpa plastik dan pencemaran.

Penulis; Nur Anis Nisrina binti Mohd Adnan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia, 71800 Nilai, Negeri Sembilan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here