Sunday, September 25, 2022
HomeArtikel‘Homeshopping’: Manfaat dan Keburukan

‘Homeshopping’: Manfaat dan Keburukan

Menurut Wikipedia, ‘HomeShopping’ adalah sebuah industri peruncitan elektronik atau dalam talian yang merangkumi pelbagai syarikat berasaskan televisyen dan e-dagang yang bernilai sehingga berbilion dolar. Ianya dikatakan diasaskan pada tahun 1970-an dan terus menjadi watak utama dalam industri peruncitan dalam masa yang singkat.

Antara platform ‘Homeshopping’ yang dikenali di Malaysia ialah Avon, Shopee, Lazada, Shein, Sephora, Zalora, eBay, Go Shop, CJ  Wow Shop dan Amazon.com. ‘Homeshopping’ dikatakan lebih memudahkan pelanggan berbanding membeli-belah secara konvensional, kerana ia membolehkan pengguna membeli barangan yang diinginkan dari kediaman masing-masing tanpa perlu mengunjungi kedai dan pusat membeli-belah.

Terdapat tiga jenis utama ‘Homeshopping’:

  1. Pesanan melalui mel atau telefon daripada katalog seperti Avon.
  2. Pesanan melalui telefon daripada iklan di media cetak dan elektronik seperti majalah, TV (Go Shop) dan radio.
  3. Pembelian dalam talian seperti di Shoppe dan Lazada.

Jadi, persoalannya di sini, adakah platform ‘Homeshopping’ ini memberikan lebih banyak manfaat atau keburukan kepada pengguna pada zaman kini?

Tidak dinafikan dengan adanya platform ‘Homeshopping’ ini dapat membantu rakyat Malaysia terutama di waktu pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara kita. Pengguna tidak perlu keluar daripada rumah untuk mendapatkan barang keperluan sebaliknya hanya perlu memesan secara dalam talian dan barangan akan dihantar ke pintu rumah.

Kontak rapat dapat dielakkan, penjarakan sosial dapat diamalkan apabila kurang pelanggan di dalam kedai dan kadar jangkitan dapat dikawal. Ianya juga memberi manfaat kepada pelanggan yang mempunyai masa yang terhad disebabkan kerja, urusan peribadi dan sebagainya.

Kita sebagai pelanggan, boleh membeli-belah di platform ini pada bila-bila masa, walaupun di awal lima, enam pagi tanpa gangguan dek kerana platform ini tidak mempunyai had masa seperti pembelian di kedai-kedai konvensional. Ianya mudah dan senang tanpa perlu menghabiskan masa untuk bersiap selain dapat menjimatkan tenaga dan membantu melancarkan urusan seharian seseorang.

Salah satu manfaat membeli-belah secara online ini juga adalah dapat menjimatkan duit pengguna kerana kebanyakan pembelian secara online akan ditawarkan harga promosi atau diskaun untuk menarik lebih ramai pelanggan berbelanja di platform atau kedai masing-masing.

Walaupun tanpa harga promosi,  di kebanyakan kedai, harga produk yang dijual dalam talian adalah lebih murah berbanding di kedai. Hal ini kerana, barangan yang dijual secara dalam talian tidak perlu menanggung kos sewa kedai, kos utiliti yang digunakan di kedai dan sebagainya.

Barang yang dibeli dihantar terus daripada penjual ke pembeli tanpa melibatkan orang tengah atau menanggung kos penyimpanan dan penyelenggaraan. Platform ‘Homeshopping’ ini juga membantu mengurangkan belanja tambahan seperti pengangkutan dan makanan yang selalu dibelanjakan apabila seseorang keluar membeli-belah secara konvensional.

Selain itu, membeli-belah di platform ‘Homeshopping’ juga memberikan pelanggan pilihan barangan yang jauh lebih banyak. Kepelbagaian kedai-kedai dalam talian dan juga barangan yang dijual membolehkan pelanggan memilih barangan mengikut kesesuaian dan bajet.

Pelanggan tidak perlu susah-susah mencari produk yang menepati bajet mereka dengan melihat tanda harga satu persatu kerana kebanyakan platform ‘Homeshopping’ ini mempunyai ciri ‘filter’ yang membantu pengguna menyesuaikan bajet dan keperluan lain mengikut ciri-ciri yang dikehendaki.

Pelanggan juga dapat membandingkan harga barangan yang dijual oleh kedai yang berbeza dengan mudah tanpa perlu menggunakan banyak masa dan tenaga untuk ‘walk-in’ ke setiap premis.

Seterusnya, di waktu pandemik melanda negara kita pada masa kini, pergerakan beramai-ramai tidak dibenarkan untuk mengelakkan penyebaran virus Covid-19. Ini bermakna, hanya satu atau dua orang sahaja yang dibenarkan membeli barang keperluan. Ini menyebabkan pelanggan mempunyai sumber yang terhad untuk mendapatkan pandangan mengenai barang yang ingin dibeli.

Pandangan daripada keluarga atau orang terdekat amat penting ketika seseorang itu memilih barangan kerana mereka mahu memastikan kesesuaian, keperluan dan kepentingan barangan tersebut sekali gus membantu mereka membuat keputusan. Di sinilah platform ‘Homeshopping’ ini  memudahkan urusan penggunanya di mana ianya memberikan keselesaan untuk pelanggan membuat pilihan apabila mereka boleh berbincang dan mendapatkan idea dengan orang sekeliling  sebelum membuat pembelian.

Pemilihan yang dibuat bakal memanfaatkan setiap orang kerana semua permintaan dapat dipenuhi. Selain itu, ianya juga adalah mesra pelanggan kerana dapat diakses oleh setiap ahli keluarga yang ingin membantu membuat pemilihan barangan.

Antara ciri-ciri platform ‘Homeshopping’ seterusnya yang dapat memanfaatkan penggunanya juga adalah sistem refund and feedback’. ‘Feedback’ atau maklum balas selepas jualan ini membolehkan pelanggan membaca maklum balas yang telah diterima oleh kedai-kedai tentang perkhidmatan mereka dan membuat keputusan sama ada ingin meneruskan pembelian atau tidak.

Servis maklum balas ini juga boleh menjadi medium perhubungan antara dan pelanggan dan peniaga. Kebanyakan kedai-kedai dalam talian juga menawarkan service ‘refund’ atau pengembalian dan penukaran produk jika terdapat isu dan kerosakan. Ini dapat memanfaatkan pelanggan yang membeli barangan yang mudah rosak dan inginkan ganti rugi. Jadi, servis ini sangat memanfaatkan pengguna platform ‘Homeshoppinng’ kerana kebiasaannya servis ‘refund and feedback’ ini tidak didapati di kedai-kedai fizikal dan konvensional di Malaysia.

Tetapi, adakah platform yang banyak membantu memudahkan urusan penggunanya ini boleh membawa keburukan kepada penggunanya? Ya, ‘Homeshopping’ juga boleh memberikan keburukan sekiranya pelanggan gagal menguruskan kewangan dengan baik.

Platform ini menyebabkan pengguna berbelanja tanpa had dan tidak dapat membezakan antara keperluan dan keinginan. Akaun simpanan yang dahulunya boleh digunakan untuk menyimpan duit, kini boleh dibelanjakan di platform ‘homeshopping’ tanpa apa-apa halangan.

Jika dahulu pelanggan perlu ke bank untuk mengeluarkan duit yang diperlukan, dan menyimpan yang selebihnya, sekarang tidak lagi kerana penggunaan kad debit dan kredit serta perbankan internet yang membolehkan pelanggan menggunakan duit di dalam bank tanpa had dan merosakkan pelan penyimpanan jangka masa panjang pengguna. Pelanggan juga akan lebih cenderung untuk membeli barangan yang bukan keperluan  kerana kemudahan penggunaan platform ini untuk membeli-belah.

Seterusnya, kekurangan penggunaan platform ‘Homeshopping” juga ialah ianya mengambil masa yang lama untuk sampai kepada pengguna. Proses pembelian di platform ini melibatkan proses pembungkusan oleh peniaga dan proses penghantaran oleh syarikat pos sebelum sampai ke tangan pelanggan. Ini menyebabkan proses pembelian menjadi sangat lama dan ada sesetengah situasi di mana barangan hanya sampai kepada pembeli selepas berbulan-bulan.

Selain itu, pembelian menggunakan platform ‘Homeshopping’, yang menggunakan perkhidmatan syarikat pos ini juga mempunyai risiko yang tinggi untuk barang yang dipesan rosak atau hilang ketika proses penghantaran. Perkhidmatan dan pengendalian barangan yang teruk oleh syarikat ini juga memberi risiko kepada barangan yang dipesan oleh pelanggan seterusnya memburukkan reputasi kedai yang sentiasa menjaga standard kualiti produk mereka.

Keburukan platform ‘Homeshopping’ ini juga adalah ketidakbolehan peniaga untuk mempamerkan barangan sebenar di dalam talian secara sengaja atau tidak. Perkara ini banyak berlaku apabila pelanggan menerima barangan tidak seperti yang diiklankan dalam talian. Kebiasaannya, produk yang dijual diiklankan secara berlebihan berbanding keadaan sebenar sesuatu produk. Pelanggan tidak akan tahu keadaan sebenar produk sehinggalah barang tersebut sampai ke tangan mereka.

Di sesetengah situasi, ada di antara pelanggan yang langsung tidak memperolehi barang yang dipesan. Hal ini menyebabkan pengguna hilang kepercayaan kepada platform ini dan juga peniaga. Menjadi satu kepuasan juga bagi pelanggan untuk menilai sendiri kadar kualiti sesuatu barang yang ingin dibeli, tapi sayangnya platform ‘Homeshopping’ ini tidak mampu memberi kepuasan tersebut kepada penggunanya.

Di samping itu, satu hal yang sentiasa menjadi isu apabila berbincang mengenai urusniaga secara dalam talian adalah hal keselamatan maklumat peribadi pengguna ketika urusan pembelian dan pemindahan wang di antara pembeli dan peniaga. Walaupun pada masa kini, penggunaan perbankan internet dan pembelian dalam talian adalah sangat meluas di seluruh dunia, namun kita tidak dapat menafikan terdapatnya ancaman dan risiko terhadap privasi dan maklumat peribadi pengguna.

Tambahan lagi jika platform ‘Homeshopping’ ini digunakan oleh pihak yang salah dan dijadikan platform untuk menipu pengguna-penggunanya. Perkara ini mungkin terjadi kerana kebanyakan platform tidak mewajibkan peniaga untuk meletakkan nama sebenar atau maklumat diri untuk mendaftar sebagai penjual di platform mereka. Jadi sekiranya terdapat penipuan berlaku, mereka boleh saja melarikan diri daripada dikesan oleh pihak berwajib.

Dalam pada itu, walaupun dinyatakan sebelum ini, penggunaan ‘Homeshopping dapat menjimatkan duit kerana pengguna tidak perlu membayar kos pengangkutan dan sebagainya, tetap tidak dinafikan bahawa membeli-belah secara dalam talian juga memerlukan penggunanya untuk membayar kos tambahan seperti kos penghantaran.

Kos penghantaran ini secara lazimnya akan ditanggung sepenuhnya oleh pelanggan. Sesetengah peniaga juga meletakkan cas tambahan seperti kos penggunaan pembungkusan yang akan melindungi barangan pelanggan dengan lebih selamat agar tidak rosak semasa proses penghantaran oleh syarikat pos seperti ‘bubble wrap’ dan sebagainya.

Selain itu, penggunaan platform ini juga akan membuatkan penggunanya kurang bergaul dengan masyarakat luar. Hal ini kerana, jika semua barangan boleh didapati secara dalam talian, maka tiada lagi keperluan untuk mereka keluar dari rumah.

Jika pembelian di kedai-kedai konvensional membolehkan pelanggan berurusan dengan pekerja kedai atau juruwang mengenai sesuatu produk, pembelian dalam talian hanya memerlukan pengguna membaca perincian yang disediakan peniaga dia platform masing-masing. Apabila hal ini terjadi, pelanggan akan kurang berinteraksi dengan dunia luar dan akan melahirkan masyarakat yang tidak mengambil tahu urusan orang di sekeliling mereka.

Kesimpulannya, platform ’Homeshopping’ atau e-dagang ini sangat memberi kebaikan dan manfaat kepada penggunanya sekiranya digunakan dengan betul dan berhati-hati. Selain dapat memudahkan urusan pengguna, penggunaan platform ini juga dapat menjimatkan masa, mengurangkan penggunaan tenaga dan membantu kita mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pada waktu perintah kawalan pergerakan sedang berlaku di negara kita.

Tetapi tidak dinafikan juga, platform ini juga boleh memberikan kesan yang buruk atau kepada masyarakat. Pembelian secara dalam talian ini mempunyai kesan negatif dan positifnya yang tersendiri. Jadi, kita haruslah menjadi pengguna yang bijak dengan memastikan penggunaan platform-platform ini memberikan kita lebih manfaat berbanding keburukan di masa hadapan.

Penulis; Maisya Sofiah binti Zainodin, pelajar Tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Sains dan Kepujian (Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko), Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular