Wednesday, July 24, 2024
HomeArtikelImplikasi Sugar Booking Kepada Remaja

Implikasi Sugar Booking Kepada Remaja

Seperti yang kita sedia maklum, isu sugar booking telah hangat diperkatakan di negara kita. Sugar booking ini turut sinonim dengan seks bebas. Malah yang lebih menggemparkan lagi, berdasarkan data daripada laman sesawang temu janji terbesar di dunia iaitu Seeking Arrangement mendedahkan bahawa Malaysia telah ‘dinobatkan’ sebagai negara yang tertinggi iaitu pada kedudukan ketiga di kalangan negara Asia dengan jumlah 42,500 sugar daddy di belakang Indonesia yang mempunyai 60,250 individu berkenaan. 

Berdasarkan artikel daripada Portal Islam dan Melayu, Sugarbook memiliki lebih dari 400,000 anggota aktif yang terdiri dari 220,000 sugar babies, 180,000 sugar daddies, dan 6,000 sugar mummies di Malaysia. Hal ini sepatutnya tidak berlaku kerana Malaysia dikenali sebagai negara Islam dengan bilangan penduduk Muslim teramai berbanding dengan negara-negara lain. 

Seterusnya, yang lebih menyedihkan lagi, data merekodkan bahawa golongan yang terlibat dalam melanggan aplikasi ini juga adalah daripada kalangan mereka yang berkerjaya seperti doktor, jurutera dan pelabur. 

Namun, mengapakah perkara ini boleh terjadi? Berdasarkan portal Harian Metro online yang disiarkan pada 15 Februari 2021, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata bahawa sikap ambil ringan dan tidak serius terhadap hukum Islam menjadi punca kepada golongan berkenaan terjebak dalam kancah yang tidak bermoral itu.  

Sebelum isu ini dikupas dengan lebih lanjut marilah kita membuka mata untuk mengenali siapakah yang dimaksudkan dengan sugar daddy dan sugar baby ini.

Siapa itu Sugar Daddy?  

Pada dasarnya, sugar daddy ini terdiri daripada kalangan lelaki dewasa berumur dalam lingkungan seawal 30-an, tetapi majoritinya dalam kalangan 40-an hingga 50-an yang sering memberi alasan klise iaitu kurang diberikan perhatian oleh isteri serta menginginkan lebih kasih sayang, dan yang sudah semestinya mempunyai kewangan yang stabil bagi berhabis duit pada sugar babynya demi memuaskan nafsu atau hanya menjadi tempat untuk mengadu masalah dan menemannya. 

Yang membimbangkan adalah isu ini seringkali terjadi kepada lelaki yang sudah berkahwin tetapi isterinya terlalu sibuk dengan kerjayanya sehingga mengabaikan suaminya di rumah sendirian. Jadi, para lelaki tersebut mengambil inisiatif lain untuk mencari perempuan yang tidak tahu latar belakangnya malah kenal hanya melalui sosial media ataupun melalui platform itu sahaja hanya untuk menggantikan ‘tanggungjawab’ yang sepatutnya dilakukan oleh isterinya yang sah sahaja. 

Antara tugas sugar daddy ini hanyalah untuk menyediakan tempat tinggal, menempah hotel dan membayar sugar babynya setiap kali mereka berjanji untuk berjumpa. 

Siapa Pula Yang Dimaksudkan Dengan Sugar Baby?  

Manakala, sugar baby pula terdiri daripada kalangan remaja muda yang berumur dalam lingkungan 20-an. Mereka ini  mempunyai tugas yang khas iaitu hanya untuk melayan sugar daddy mereka berpatutan dengan bayaran yang diterima oleh mereka. 

Namun, ada juga di kalangan mereka yang tidak melakukan ‘seks’ dengan sugar daddy tetapi hanya menjadi rakan karibnya di mana tempat untuk meluahkan perasaan dan berkongsi cerita sesama mereka. 

Antara kalangan yang sering terlibat dalam kancah perzinaan ini adalah yang bukan dari kalangan yang hidupnya mewah. Malah, ada juga yang berasal dari kalangan mahasiswa mahasiswi. 

Berdasarkan portal Harian Metro online pada 15 Februari 2021, seramai 14,433 telah diterima mendaftar untuk menjadi sugar baby dalam platform temu janji Sugarbook dan ianya membabitkan penuntut di 10 institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia termasuk dua daripadanya adalah IPT awam. 

Perkara ini dikukuhkan lagi dengan kenyataan daripada Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sugarbook, Darren Chan di artikel Harian Metro online, 15 Februari 2021 di mana beliau mendedahkan bahawa sebahagian daripada mereka mula berjinak dalam kancah ini bagi menjelaskan yuran pengajian, keperluan asas serta kerana terikut dengan gaya hidup mewah. 

Beliau juga memaklumkan bahawa aktiviti perkenalan antara penuntut IPT dan lelaki berkerjaya meningkat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac tahun lalu. Menurutnya, ketika itu semua IPT terpaksa ditutup dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian. Jadi, persoalannya, adakah perbuatan itu wajar dengan sebab yang mereka berikan?

Niat Tidak Menghalalkan Cara   

Biasanya kita sering didengarkan dengan pepatah, ‘’niat tidak menghalakan cara’’. Pepatah ini jelas menunjukkan bahawa sebaik manapun niat seseorang itu, tetapi jika bertentangan dengan syariat Islam, masih tidak boleh dilakukan. 

Hal ini kerana, seseorang itu mungkin hanya menggunakan niat itu kononnya sebagai alasan bagi mereka untuk melakukan perkara yang tetap salah. Malah, yang lebih menyedihkan lagi, apabila anak-anak muda yang beragama Islam turut terlibat dalam kes ini. 

Perkara ini tidak wajar dilakukan oleh mereka kerana sebagai seorang Muslim, kita ditegah sama sekali untuk melakukan zina sekalipun mendekati jalan tersebut bertepatan dengan ayat Al-Quran; dalam Surah AlIsra’, ayat 32 yang membawa maksud, ‘’ Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)’’. 

Berdasarkan ayat di atas, tidak dapat dinafikan lagi bahawa perbuatan mereka itu sememangnya salah dan akan mendatangkan keburukan dan kerosakan kepada diri mereka, keluarga malah kepada masyarakat juga. 

Aktiviti Yang Membawa Kesan Buruk 

Antara golongan yang lebih cenderung untuk mendapat kesan negatif daripada perbuatan tidak bermoral ini adalah daripada kalangan remaja kerana sikap remaja itu sendiri yang mudah terpengaruh dengan perkara yang berlaku di sekeliling mereka dan juga kerana remaja mempunyai sikap yang sering ingin mencuba perkara yang baru. 

Antara kesan pergaulan bebas atau lebih spesifik lagi, seks rambang ini sememangnya akan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan  seperti penularan penyakit jangkitan seksual (STD). Hal ini kerana, penyakit ini boleh berjangkit melalui perhubungan seksual dengan perhubungan seks yang tidak selamat tanpa langkah-langkah pencegahan samada melalui vagina, dubur atau seks oral. 

Perlakuan seks rambang juga mempunyai kebarangkalian yang amat tinggi untuk mendapat penyakit ini. Malah, penyakit ini sahaja akan mendatangkan lebih banyak komplikasi yang merbahaya seperti penyakit radang pelvik (PID), kandungan luar rahim, kanser servik dan sebagainya. Maka, jelaslah bahawa aktiviti seks rambang ini hanyalah akan mendatangkan kerosakan kepada masa hadapan remaja pada jangka masa panjang berbanding ‘keseronokan’ yang mereka dapat untuk jangka masa yang pendek. 

Kes Pembuangan Bayi Akan Meningkat  

Seterusnya, isu sugar booking ini juga akan meningkatkan kes pembuangan bayi dalam kalangan remaja. Hal ini kerana, remaja yang terlibat dalam kes sugar booking atau seks bebas ini semestinya tidak lari dari kebarangkalian untuk mengandung anak yang tidak sah taraf sekiranya mereka belum berkahwin. 

Jadi, untuk mengelakkan daripada mendapat malu atau kritikan masyarakat, mereka sudah pasti akan mengambil jalan mudah dengan hanya meninggalkan bayi tersebut di tempat-tempat awam seperti di tandas, taman permainan dan surau-surau. 

Perkara ini dapat dibuktikan daripada artikel Berita Harian online pada 9 Mac 2021, Timbalan Perdana Menteri menyatakan bahawa statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sejumlah 577 kes pembuangan bayi bagi tahun 2014 sehingga 2018 di mana antara puncanya adalah daripada kehamilan luar nikah dan kehamilan remaja. 

Antara sebab mereka berbuat demikian adalah kerana mereka juga tidak mahu ibu bapa mereka turut terkesan dengan tindakan mereka yang tidak bermoral itu. Maka, tidak dapat disangkal lagi bahawa isu seks bebas ini akan meningkatkan kadar kes pembuangan bayi dari masa ke semasa.  

Hilang Fokus Kepada Pengajian

Selain itu, sekiranya remaja yang terlibat dalam sugar booking ini terdiri daripada kalangan pelajar atau mahasiswa, mereka akan menjadi kurang fokus terhadap pelajaran. Hal ini kerana, penglibatan dalam kancah maksiat ini memerlukan ‘komitmen’ yang tinggi kerana mereka akan lebih kerap berjaga malam. 

Ini secara tidak langsung akan menjadikan pelajar itu kurang masa tidurnya dan cenderung untuk mengantuk semasa di kelas. Sekiranya perkara ini dibiarkan, pelajaran mereka akan ketinggalan dan mungkin akan menjadikan mereka mendapat keputusan merosot setiap kali ujian. 

Seterusnya, kegagalan mereka itu akan menjatuhkan semangat mereka dan menganggu emosi mereka untuk terus fokus dalam pelajaran. Pada masa yang sama, ibu bapa juga akan merasa malu sekiranya anak-anak mereka sering mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan daripada apa yang mereka hajatkan dan secara tidak langsung akan menambahkan lagi bebanan kepada si pelajar tersebut. Maka, sudah terang lagi bersuluh  bahawa isu sugar booking ini akan menganggu emosi pelajar tersebut untuk lebih fokus dalam pelajaran.  

Apa Langkah Yang Boleh dilakukan Bagi Membendung Perkara Ini?

Sebelum isu ini merebak dengan lebih berleluasa lagi, terdapat beberapa langkah dan inisiatif yang perlu dijalankan oleh pihak bertanggungjawab bagi membendung masalah ini daripada terus berlaku seperti cendawan tumbuh selepas hujan. 

Pertamanya, ialah dari pihak kerajaan. Pihak kerajaan hendaklah membantu anak-anak dari keluarga yang bermasalah seperti penceraian, mempunyai anak luar nikah atau perkahwinan yang tidak berdaftar terutamanya kepada mereka yang tidak mampunyai kewangan yang stabil.

 Hal ini kerana, dengan masalah yang dihadapi oleh mereka akan mencari insiatif untuk terlibat dengan aktiviti tidak bermoral ini semata-mata untuk mencari wang sara hidup. Jadi, dengan bantuan yang mereka terima cukup untuk mengelakkan diri mereka daripada terjerumus ke lembah maksiat ini.  

Selain itu, sekiranya golongan yang terlibat terdiri daripada kalangan mahasiswa mahasiswi, pihak universiti juga perlu ambil cakna dengan perkara tersebut. Hal ini kerana, pensyarah-pensyarah merupakan ‘ibu bapa kedua’ bagi mahasiswa mahasiswi di universiti itu. 

Bagi membanteras kegiatan ini daripada terus-menerus berlaku di kalangan penuntut universiti, program kaunseling boleh dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya ada di kalangan pelajar yang mempunyai masalah untuk meneruskan pengajian sama ada dari segi kewangan, penginapan atau seangkatan dengannya. 

Hal ini kerana, dengan tindakan itu, pihak universiti boleh membantu mereka dengan menyediakan bantuan kewangan setiap bulan yang mana sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang ditanggung mereka. Tindakan ini merupakan pencegahan awal daripada membiarkan mereka tiada pilihan lain selain daripada mengikuti aktiviti sugar book ini.   

Seterusnya, ibu bapa juga sepatutnya membuka mata terhadap isu sebegini bagi mengelakkan perkara ini berlaku kepada anak-anak mereka. Hal ini kerana, remaja zaman sekarang mudah terpengaruh dengan keseronokkan dunia yang sementara tanpa memikirkan kesan buruk yang akan mendatang kepada diri mereka sendiri. 

Antara langkah yang perlu dilakukan oleh ibu bapa ialah memberikan didikan agama yang secukupnya bagi yang beragama Islam dan juga mendidik dengan nilai-nilai murni sepertimana yang disarankan oleh setiap agama sudah pastinya. 

Ini kerana, terdapat sebahagian daripada yang terlibat dengan masalah ini daripada golongan yang bergaul bebas tanpa memikirkan batas pergaulan lebih-lebih lagi yang berlainan jantina seperti yang telah digariskan dalam agama. 

Ibu bapa juga hendaklah sentiasa mengawasi anak-anak iaitu dengan siapa mereka berkawan, asal usul kawannya dan lain-lain. Dengan berbuat sedemikian, keselamatan anak-anak lebih terjamin di luar sana.   

Kesimpulannya, masalah isu sugar booking ini haruslah dibanteras oleh pihak yang bertanggungjawab dengan bersungguh-sungguh supaya tidak menimbulkan masalah kepada semua pihak bak kata pepatah mencegah lebih baik daripada merawat. 

Akan tetapi, ini juga bergantung kepada diri si pelaku tersebut sama ada untuk berhenti daripada melakukan perkara tidak bermoral ini ataupun masih ingin bergelumang dalam perkara yang akhirnya merosakkan diri mereka sendiri di kemudian hari.  

Akhir kata, ayuhlah kita menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang dianggap sebagai sia-sia berdasarkan hadith kedua belas daripada Himpunan Hadith Arba’in susunan Imam Nawawi yang bermaksud: Daripada Abu Hurairah Radhiallahu‘anhu katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam: “Di antara keelokan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya.”

Penulis; Nur Izyani Syafiqa Binti Ihsan, Pelajar Tahun 2 Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 
RELATED ARTICLES

Most Popular