Saturday, July 13, 2024
HomeArtikelInisiatif Untuk Memupuk Minat Terhadap Sains Dalam Kalangan Pelajar

Inisiatif Untuk Memupuk Minat Terhadap Sains Dalam Kalangan Pelajar

Peratusan pelajar yang rendah dalam aliran sains merupakan suatu perkara yang tidak asing lagi dengan masyarakat kita. Sejak dahulu lagi, aliran sains di peringkat sekolah menengah merupakan aliran yang paling ‘ditakuti’ oleh para pelajar khususnya pelajar Tingkatan 3 yang akan melanjutkan pelajaran mereka ke Tingkatan 4. Bahkan, mereka lebih memilih jurusan-jurusan lain seperti perakaunan, perdagangan, ekonomi, perniagaan dan sastera hanya untuk mengelakkan diri dari aliran sains serta berpendapat bahawa aliran lain lebih mudah berbanding aliran sains.

Menurut statistik yang dilampirkan dalam akhbar Utusan Malaysia, hanya 15.2 peratus atau 62,250 daripada kira-kira 415,000 pelajar Tingkatan 3 di seluruh negara yang memilih aliran sains direkodkan pada September tahun lalu. Peratusan pelajar yang mengambil aliran ini semakin berkurang saban tahun dan berada pada tahap yang membimbangkan. Justeru itu, apakah faktor yang mendorong kepada penurunan peratusan pelajar yang memilih aliran sains dan bagaimana cara yang efektif untuk menangani masalah ini?

Antara punca yang menyumbang terhadap penurunan peratusan pelajar yang memilih aliran sains ialah para pelajar terutamanya pelajar menengah rendah mempunyai tanggapan bahawa aliran sains ialah aliran yang sangat sukar untuk dipelajari. Hal ini demikian kerana aliran sains mempunyai bilangan subjek yang lebih banyak berbanding aliran lain. Di samping itu, subjek elektif yang terdapat di kelas sains seperti Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan dianggap sangat sukar untuk dipelajari.

Seterusnya, kebanyakan pelajar kurang didedahkan dengan peluang kerjaya yang boleh diceburi dalam aliran sains menyebabkan mereka kurang berminat dengan aliran ini. Persepsi masyarakat tentang kerjaya dalam bidang sains yang terhad serta mencabar seperti doktor, jururawat dan jurutera turut mempengaruhi mindset pelajar-pelajar. Selain itu, pengaruh dari rakan sebaya dan senior turut menjejaskan minat pelajar untuk memilih aliran ini.

Punca lain yang mendorong kepada penurunan peratusan pelajar yang memilih aliran sains ialah kurang mendapat sokongan dari ibu bapa. Peredaran zaman yang berbeza juga mempengaruhi minat pelajar-pelajar terhadap aliran sains. Pada masa kini, Tiktok dan Instagram merupakan media sosial yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan. Sebagai contoh, menjadi influencer dan melakukan Tiktok Affiliate ialah pekerjaan yang sangat popular di era ini. Justeru, ramai remaja yang lebih meminati pekerjaan seperti ini berbanding di sektor perkhidmatan awam.

Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa inisiatif yang boleh dilakukan bagi memupuk minat pelajar terhadap aliran sains. Antaranya, ialah:

Melibatkan Diri Dalam ‘Online Tuition’

Sejurus selepas penularan wabak COVID-19 pada tahun 2020, pembelajaran secara atas talian giat dijalankan untuk membendung wabak ini dari terus merebak. Sehubungan dengan itu, terdapat pelbagai kelas tuisyen atas talian yang turut mendapat sambutan ketika pandemik COVID-19 khususnya kelas tuisyen yang menawarkan subjek elektif dalam aliran sains seperti fizik, biologi, kimia dan matematik tambahan. Antara contoh kelas tuisyen yang memfokuskan pelajar aliran sains ialah PTTI dan MCplus.

Antara kelebihan ‘Online Tuition’ ialah:

  • Mempelajari kaedah atau teknik yang berbeza berbanding di sekolah
  • Formula yang mudah untuk memahami atau mengingati topik tertentu
  • Mempunyai pelbagai kelas percuma yang mudah diakses oleh pelajar
  • Harga kelas tuisyen yang berpatutan
  • Guru-guru berpengalaman yang mampu mengajar 1,000 orang pelajar dalam satu masa yang sama
  • Rakaman kelas tuisyen disediakan bagi memudahkan pelajar untuk mengulang kaji semula topik yang telah dipelajari

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Oleh itu, para pelajar tidak harus berputus asa terlalu awal hanya disebabkan oleh tanggapan bahawa aliran sains adalah sukar.

Memberi Pendedahan Tentang Bidang Kerjaya Yang Luas Dalam Aliran Sains

Pihak sekolah wajarlah memberi pendedahan awal tentang bidang kerjaya yang dapat diceburi sekiranya pelajar memilih aliran sains. Hal ini kerana, kebanyakan pelajar beranggapan bahawa aliran sains hanya mampu melahirkan seorang doktor dan jurutera. Sebaliknya, pelajar yang memilih aliran ini boleh menjadi seorang ahli farmasi, pensyarah, ahli kimia, saintis dan sebagainya.

Pendedahan awal tentang kerjaya mampu membuka minda dan minat pelajar-pelajar terhadap aliran ini. Oleh itu, peratusan pelajar aliran sains dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Menonton Video Berunsurkan Sains Di Media Sosial

Seiring dengan era pemodenan, Tiktok dan Instagram ialah perkara yang tidak asing lagi dengan kehidupan seharian terutamanya bagi pelajar generasi Z. Kini, ramai golongan influencer yang berkongsi mengenai kisah hidup mereka sebagai pelajar perubatan dan pergigian di Tiktok. Video-video ini dapat menarik minat serta membuka mata pelajar sekolah tentang keseronokan yang boleh dirasai dengan menceburi bidang sains. Justeru, hal ini dapat membantu pelajar sekolah menengah untuk menentukan bidang yang ingin mereka ceburi pada masa akan datang.

Menggalakkan Penglibatan Anak-Anak Dalam Aktiviti Sains

Ibu bapa merupakan pemangkin semangat yang utama buat anak-anak. Jadi, ibu bapa perlulah memupuk minat anak-anak terhadap sains sejak kecil lagi. Mengunjungi muzium dan pameran sains seperti Petrosains pada cuti sekolah antara aktiviti yang dapat meningkatkan minat anak-anak.

Selain itu, ibu bapa boleh melakukan pelbagai eksperimen bersama anak-anak di rumah dengan hanya melayari laman sesawang Science at Home oleh 3M. Dengan ini, sikap ingin tahu dan minat terhadap sains dalam diri anak-anak dapat ditingkatkan.

Akhir kata, semoga inisiatif yang dikongsikan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pelajar-pelajar sekolah menengah yang masih buntu dan teragak-agak untuk memilih aliran sains. Jadilah insan yang mampu berbakti dan berkhidmat kepada kedua orang tua serta masyarakat pada masa akan datang.

Penulis: Nurhanifa Binti Sabarudin, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular