Sunday, September 25, 2022
HomeArtikelIsu Diskriminasi Etnik Dalam Sektor Pekerjaan

Isu Diskriminasi Etnik Dalam Sektor Pekerjaan

Malaysia merupakan sebuah negara yang terkenal dengan masyarakat yang berbilang etnik tanpa mengira bangsa dan agama. Malaysia juga adalah negara berbilang kaum yang hidup dalam keadaan aman dan damai. Tiga kaum yang utama di Malaysia ialah Melayu, Cina dan India.

Sejak dari dahulu lagi, kita sudah dipupuk untuk menjaga hubungan antara satu sama lain tidak kira agama dan bangsa khususnya di negara Malaysia yang rata-rata penduduknya adalah berbilang kaum.

Namun demikian, rakyat Malaysia sering meluahkan perasaan tentang kesukaran untuk memperoleh pekerjaan kerana isu perkauman terutama etnik Melayu dan India. Hal ini sama sekali tidak wajar berlaku dan isu perkauman tidak seharusnya dijadikan sebagai modal untuk meraih sokongan oleh mana-mana parti politik.

Isu diskriminasi etnik dalam sektor pekerjaan jelas dapat dilihat di sektor swasta. Sektor swasta di Malaysia merangkumi 90 peratus pasaran kerja. Oleh itu apabila diskriminasi berlaku di sektor ini maka kesannya adalah amat signifikan. Keadaan ini akan menjadi lebih teruk apabila sektor kerajaan dikecilkan dan membuang lebih ramai lagi penjawat awam.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa berlaku pelambakan pencari kerja atau penganggur di sektor swasta di mana mereka ini akan bersaing pula dengan graduan-graduan yang baru keluar dari universiti. Pada masa yang sama, wujud diskriminasi mengikut etnik ketika sesi pengambilan pekerjaan terutamanya kepada etnik Melayu dan India.

Sebagaimana kita semua sedia maklum, apabila etnik Melayu dan India sukar untuk mendapatkan pekerjaan, hal ini akan mendatangkan masalah sosio-ekonomi di mana jurang pendapatan dan kekayaan di antara etnik akan meningkat dan ia menyebabkan ketidakstabilan sosial dan politik di Malaysia.

Hal ini juga akan menyebabkan graduan-graduan Melayu dan India sukar mendapatkan pekerjaan di Malaysia hanya disebabkan masalah diskriminasi di sektor swasta. Kebanyakan resume-resume dengan nama Melayu dan India mendapat panggilan temuduga yang terendah berbanding resume-resume dengan nama lain.

Ini berlaku kerana sektor swasta sangat mengutamakan bahasa ketiga iaitu Bahasa Mandarin. Oleh hal yang demikian, peluang pekerjaan untuk etnik Melayu dan India sangat tipis sekiranya etnik ini tidak mempunyai bahasa ketiga.

Selain itu, kita juga dapat lihat sikap berat sebelah sebahagian besar majikan di Malaysia yang tidak merujuk kelayakan akademik sahaja, tetapi lebih memandang kepada faktor etnik ketika ingin merekrut pekerja. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan majikan di sektor swasta telah dijawat oleh etnik Cina.

Terdapat segelintir etnik Cina yang menjawat jawatan tinggi sangat mengutamakan etnik mereka dan memandang rendah terhadap kebolehan etnik Melayu dan India. Beban kerja yang dilakukan oleh etnik Cina tidak sama seperti beban kerja yang dialami oleh etnik Melayu dan India. Secara tidak sedar kita dapat lihat bahawa diskriminasi kaum semakin berleluasa terutama di sektor swasta. Ini jelas menunjukkan bahawa ketidakadilan layanan majikan terhadap pekerja sangat berbeza antara etnik dan agama.

Di samping itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Ahmad Yazid Othman (2019) berkata hakikatnya diskriminasi berkenaan sememangnya wujud dan banyak kajian mengenainya sudah dijalankan. Isu diskriminasi ini sering berlaku kerana terdapat sebahagian syarikat yang sememangnya hanya mahu mengambil pekerja dalam kalangan etnik Cina sahaja. Yang menyedihkan lagi, terdapat juga bumiputera yang bekerja di sektor swasta berdepan diskriminasi untuk kenaikan pangkat dan gaji.

Perkara ini menjadi isu yang tiada kesudahan meskipun sudah banyak kajian dilakukan dan dapatan kajian dikemukakan berdasarkan fakta. Jelaslah, isu ini perlu dipertimbangkan bagi mengelakkan penindasan antara kaum.

Seterusnya, isu diskriminasi etnik di sektor pekerjaan telah menjejaskan kesejahteraan antara kaum. Ini bukan soal perkauman sahaja, malah ia adalah soal dasar yang kritikal yang perlu dibincang dan ditangani dalam konteks negara majmuk seperti Malaysia untuk kestabilan sosial, ekonomi dan politik dan untuk mengelakkan malapetaka seperti yang pernah berlaku dahulu.

Kita semua sudah didedahkan mengenai sejarah semasa penjajahan kuasa asing, bahawa etnik Melayu dianggap sebagai etnik yang malas padahal etnik Melayu ketika itu bukannya malas dan tidak mahu bekerja di lombong timah dan kerja ladang tetapi mereka lebih selesa dengan kehidupan mereka sebagai petani, pesawah dan nelayan.

Persepsi ini telah mengubah pemikiran etnik lain terhadap etnik Melayu. Hal ini juga sedikit sebanyak telah mewujudkan satu persaingan dengan etnik-etnik yang lain.

Disebabkan itu, terdapat segelintir majikan mempunyai agenda tersendiri dengan meletakkan polisi gaji murah dan untuk memaksimumkan keuntungan. Namun apa yang mereka katakan adalah kaum Melayu malas, tidak mahu buat kerja itu dan terlalu manja bagi menutup kesalahan mereka.

Kesimpulannya, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum harus diberi peluang pekerjaan sama rata tanpa wujudnya sebarang diskriminasi. Semua harus diberi peluang pekerjaan yang setaraf dengan kemampuannya atau memberi pengalaman yang baharu semasa di alam pekerjaan terutama graduan-graduan yang baru keluar dari universiti. Kita tidak tahu mereka layak atau tidak jika tidak diberi peluang.

Sehubungan dengan itu, majikan perlulah memberi lebih tumpuan kepada penyatupaduan rakyat melalui perkerjaan untuk semua etnik kerana ini akan membolehkan negara mengoptimumkan tenaga kerja.

Oleh hal yang demikian, demi kebaikan negara, semua ahli-ahli politik tidak menjadikan isu perkauman sebagai modal untuk meraih sokongan oleh mana-mana parti politik. Janganlah musnahkan apa yang telah dibina selama ini dan mampu bersatu hati dalam memelihara hubungan masyarakat yang berbilang etnik ini.

Penulis; Nur Syafiah Hanis Binti Othman. Pelajar Tahun 1 Jurusan Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Fakulti Ekonomi Dan Muamalat, USIM

Rujukan:

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/elak-diskriminasi-kaum-dalam-sektor-pekerjaan-200700

https://www.editormalaysia.com/8459/

https://www.malaysiakini.com/news/467310

RELATED ARTICLES

Most Popular