Friday, October 4, 2024
HomeArtikelIsu Kartel Daging: Peluang Kerajaan Untuk Membangunkan Semula Pusat Fidlot Negara...

Isu Kartel Daging: Peluang Kerajaan Untuk Membangunkan Semula Pusat Fidlot Negara (NFC)

Pada pertengahan Disember tahun lalu, negara kita telah digemparkan dengan satu isu penyeludupan daging import yang dilakukan secara besar-besaran oleh sekelompok individu yang tidak bertanggungjawab.

Kegiatan penyeludupan ini bertambah parah apabila daging yang dibawa masuk itu telah pun dibungkus semula dan diletakkan dengan logo halal palsu bagi meraih kepercayaan pengguna. Apa yang lebih merisaukan, terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa kegiatan kartel daging sejuk beku ini telah pun beroperasi selama hampir 40 tahun dan dalam tempoh masa ini, sudah pasti telah banyak pemborong mahupun peruncit yang menggunakan khidmat mereka untuk mendapatkan sumber daging mentah, bagi dijual kepada pengguna.

Dalam serbuan yang dilakukan ke atas premis yang bertapak di Senai Johor itu, sebanyak 1500 tan daging sejuk beku bernilai hampir RM 30 juta yang dieksport dari pelbagai negara seperti China, Ukraine, dan Brazil telahpun disita. Rentetan daripada peristiwa ini, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang mula berasa fobia untuk membeli daging import kerana risau akan status halalnya, menyebabkan mereka beralih perhatian terhadap daging tempatan.

Sebelum berlakunya peristiwa ini, umum mengetahui bahawa rakyat Malaysia sangat bergantung kepada daging import. Menurut statistik Kadar Kebergantungan Import (IDR) 2019 yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara, kebergantungan Malaysia terhadap daging import masih berada pada tahap yang tinggi iaitu sebanyak 76.6%.

Figura ini dilihat sangat besar perbezaannya jika hendak dibandingkan dengan peratusan Kadar Sara Diri (SSR) negara berkaitan penyediaan daging mentah. Kadar Sara Diri (SSR) adalah satu indikator yang digunakan oleh kerajaan bagi menilai sejauh mana bekalan komoditi pertanian sesebuah negara itu mampu untuk memenuhi permintaan domestik mereka, dan dalam aspek bekalan daging mentah ini, peratusannya hanyalah rendah, iaitu sebanyak 23.9%.

Data ini boleh memberi gambaran kepada kita semua bahawa hasil ternakan khususnya bagi bekalan daging lembu dan kerbau yang dikeluarkan oleh petani-petani tempatan ini masih belum mencukupi untuk memenuhi jumlah permintaan domestik sedia ada.

Setiap tahun, Malaysia dianggarkan berbelanja sekitar RM 1.14 billion untuk membawa masuk daging-daging import dan kebanyakan daripadanya merupakan daging kerbau yang berasal dari India (70%) and selebihnya berasal dari negara-negara seperti Australia, Bangladesh dan Pakistan.

Statistik ini jelas menggambarkan kepada kita bahawa betapa besarnya pergantungan rakyat Malaysia terhadap daging import sebelum isu kartel ini berlaku.

Kenapa Daging Import Menjadi Pilihan Rakyat Malaysia

Menurut Dato Dr Quaza Nizamuddin, Ketua Pengarah Perkhidmatan Vaterinar Malaysia, antara faktor mengapa daging import sering menjadi tumpuan rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan pengusaha-pengusaha restoran adalah kerana harganya yang jauh lebih murah jika hendak dibandingkan dengan harga daging tempatan.

Jurang perbezaan harga daging ini selalunya akan bertambah besar apabila menjelang sambutan hari perayaan.  Menurut Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Rosol Bin Wahid, harga bekalan daging segar boleh mencecah harga siling, iaitu sebanyak RM 34 sekilo sempena hari raya Aidilfitri ini, dan harga maksimum ini pun sebenarnya telah ditetapkan oleh kerajaan hasil perbincangan bersama penggerak industri dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Menurut beliau juga, perbincangan dan keputusan ini diambil sejurus beliau menerima laporan bahawa ada peniaga yang sengaja menaikkan harga daging kepada RM38 sekilogram, malah ada juga dari kalangan mereka yang sanggup menaikkan harga daging sehingga mencecah RM42 bagi sekilogram daging segar.

Namun begitu, sekiranya pengguna melaburkan jumlah wang yang sama untuk mendapatkan bekalan daging import, sudah pasti lebih banyak kuantiti daging yang akan mereka perlolehi, memandangkan harga bagi sekilo daging sejuk beku di pasaran kini lebih rendah, iaitu sekitar RM 20 sekilo.

Jurang sebanyak RM 14 ini sudah tentu memberi impak yang besar kepada pengguna, khususnya bagi mereka yang sangat mementingkan harga barang yang dibeli seperti pengusaha restoran dan kelompok berpendapatan rendah. Perkara ini amat jelas menunjukkan bahawa harga daging import yang jauh lebih murah ini menjadi punca kenapa ramai dalam kalangan rakyat Malaysia lebih tertarik ke arah daging import.

Namun begitu, permintaan terhadap daging import ini dilihat berlaku pengurangan yang sangat signifikan sejurus tersebarnya berita berkaitan isu kartel daging yang menggunakan logo Halal JAKIM palsu ini. Susulan daripada itu, pengguna khususnya yang beragama Islam dilihat seolah-olah tidak lagi percaya terhadap kredibiliti pengusaha-pengusaha daging sejuk beku, meskipun pelaku jenayah ini hanyalah sekelompok kecil daripada keseluruhan pengusaha-pengusaha daging import ada di Malaysia.

Kepercayaan yang semakin menipis ini menyebabkan mereka mula beralih pandang kepada sumber daging segar yang diusahakan oleh penternak tempatan, meskipun harga daging tersebut lebih mahal berbanding daging import.

Dalam keadaan ini, kerajaan perlu untuk memandang sisi positif akan isu ini dengan mengambil kesempatan untuk membangun dan memperkasakan pengusahaan daging tempatan memandangkan rakyat Malaysia kini lebih percaya dan terarah untuk membeli daging tempatan.

Sekiranya situasi ini dapat dimanfaatkan dengan baik oleh Kerajaan, nescaya kadar kebergantungan terhadap daging import dapat dikurangkan di samping meningkatkan lagi Kadar Sara Diri (SSR) dalam aspek pembekalan daging mentah ini.

Kerajaan di bawah kendalian Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sebenarnya dilihat serius dan komited dalam menaik taraf pusat penternakan di Malaysia apabila mereka berhasrat untuk meneruskan pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara (2011-2020).

Menurut Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), dasar ini ditubuhkan bertujuan untuk memastikan produk ternakan seperti ayam, daging dan telur yang dihasilkan bermutu tinggi serta menjamin bekalan makanan yang mencukupi untuk kegunaan domestik, dalam masa yang sama mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import.

Antara peluang yang boleh diambil oleh pihak kerajaan dalam keadaan masyarakat tidak lagi percaya kepada daging import ini adalah membangunkan perusahaan daging tempatan, iaitu dengan menyemak kembali pelaksanaan Pusat Fidlot Negara.

Pada dasarnya, program pembangunan Pusat Fidlot Negara, ataupun lebih dikenali sebagai National Fidlot Center (NFC) ini sangat wajar untuk dilaksanakan kerana tujuan program ini adalah untuk membangunkan sebuah pusat ternakan yang lebih sistematik, terancang dan bermutu tinggi. Akan tetapi, isu penyelewengan dana projek Pusat Fidlot Negara sebelum ini telah pun mengaburi mata semua masyarakat akan faedah daripada projek ini sekiranya ia betul-betul dilaksanakan dengan baik.

Meskipun begitu, kemurnian sistem penternakan secara fidlot ini perlulah dijelaskan semula, memandangkan produk yang dihasilkan daripada sistem penternakan ini dilihat sangat berkualiti dan boleh memberi manfaat kepada masyarakat dan negara. Di samping itu, pusat fidlot negara ini juga sebenarnya boleh dijadikan garis panduan dan standard piawaian yang sesuai dan praktikal kepada semua penternak-penternak persendirian dalam usaha membangunkan pusat ternakan yang lebih selamat dan terancang di dalam negara.

Sebelum kita bergerak dengan lebih jauh tentang kaedah pelaksanaan dan faedah penternakan secara fidlot ini, lebih baik untuk kita memahami maksudnya terlebih dahulu. Maka, apakah yang dimaksudkan dengan fidlot?

Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar, fidlot adalah teknik menternak lembu secara mengurung di dalam kandang, di mana lembu ini akan dihidangkan dengan makanan yang bermutu tinggi, air yang bersih, vitamin serta mineral yang secukupnya bagi membolehkan ia mengalami proses kegemukan dengan lebih cepat.

Sebagai contoh, anak lembu jantan yang masih muda dan mempunyai berat sekitar 150 hingga 200 kilogram akan diternak di dalam kandang dan dalam tempoh tidak lebih dariapda 6 bulan, anak lembu ini sudah boleh mencapai berat antara 330 hingga 350 kilogram. Pada waktu itu, lembu ini sudah sesuai untuk disembelih bagi tujuan perniagaan.

Untuk memastikan haiwan-haiwan ini dapat membesar dengan cepat dan baik, mereka akan diberikan makanan yang khusus dan berkualiti. Bahan yang digunakan sebagai sumber makanan lembu-lembu ini boleh hadir sama ada dalam bentuk makanan tunggal ataupun campuran dan makanan yang diberikan ini mestilah berupaya untuk memberi pertambahan berat sehari yang maksimum kepada mereka.

Antara jenis makanan yang sesuai untuk diberikan kepada lembu-lembu ini ialah foraj, silaj, bijirin mahupun bahan sisa aktiviti pertanian. Untungnya di Malaysia, kita mempunyai banyak bahan-bahan sisa lebihan daripada aktiviti pertanian yang dapat dimanfaatkan untuk program fidlot ini seperti hampas isirong palma (PKC), enapcemar kelapa sawit (POME), dedak padi, hampas kelapa, kelit koko dan sebagainya.

Bagi jumlah makanan yang perlu dimakan oleh seseekor lembu fidlot pula, ia mestilah bergantung kepada berat semasa lembu tersebut, dan secara amnya lembu fidlot ini akan memakan bahan makanan yang kering sebanyak 3.0% daripada berat badannya di peringkat permulaan penternakannya.

Bagi negara yang beriklim tropika seperti Malaysia, kebiasaannya lembu hanya memakan sebanyak 2.5% sehingga 2.8% daripada berat badan mereka. Dalam erti kata lain, seseekor lembu fidlot kebiasaannya akan makan sekitar 4 hingga 6 kilogram sahaja sehari (berat badan antara 200-250kg).

Namun begitu, jumlah berat makanan yang diperlukan oleh lembu ini pastinya akan berubah apabila usia lembu ini semakin lanjut dan beratnya semakin meningkat, iaitu sekitar 8 hingga 9 kilogram setiap hari (berat badan antara 350-400kg).

Akhir sekali, jumlah pengambilan makanan harian oleh lembu ini akan berkurang semula kepada 2.5% sahaja apabila fasa akhir pertambahan berat badannya telah tiba (berat badan antara 400 kg- 450 kg).

Dalam proses memberi makanan kepada lembu-lembu ini, perkara yang paling penting untuk dijaga adalah kandungan nutrien di dalam hidangan mereka. Haiwan-haiwan ini perlu menerima nutrien dengan jumlah yang seimbang dan mencukupi bagi memastikan penambahan berat badan dapat berlaku dengan semaksima mungkin.

Antara nutrien-nutrien yang diperlukan di dalam makanan lembu fidlot ini adalah protein, kalsium, fosforus, garam vitamin A & D serta zat serat dan kebiasaannya nutrien-nutrien ini sudah pun terumus melalui bahan-bahan yang digunakan dalam rangsum makanan lembu itu.

Namun begitu, sekiranya berlaku kekurangan pada salah satu zat-zat ini dalam menu harian mereka, ia sudah pasti akan menjejaskan kadar tumbesaran lembu tersebut, yang akhirnya turut memberi kesan kepada projek fidlot ini serta mengakibatkan kerugian.

Melihatkan kepada betapa bagusnya sistem penternakan fidlot ini, kerajaan sewajarnya memberi penekanan yang lebih kepada usaha menjayakannya agar ia dapat diimplementasikan dengan meluas dalam kalangan petani-petani di Malaysia.

Antara cadangan yang boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam menggalakkan petani untuk melakukan perubahan kepada sistem penternakan fidlot ini adalah dengan menyediakan subsidi terhadap kos pengurusan ladang seperti subsidi makanan haiwan. Subsidi ini semestinya dapat membantu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh petani-petani dalam menguruskan ladang, terutamanya bagi mereka yang baru sahaja melakukan perubahan daripada sistem konvensional kepada sistem fidlot ini.

Selain itu, ia juga mampu melahirkan rasa yakin dan berani dalam diri petani baru untuk mencuba sistem penternakan yang moden ini, memandangkan perbelanjaan yang perlu dilaburkan untuk memulakan aktiviti ini adalah lebih rendah.

Kerajaan juga boleh menyediakan pinjaman tanpa faedah kepada individu-individu yang berminat untuk membangunkan pusat ternakan secara fidlot ini bagi melahirkan lebih ramai petani yang mahir, dengan harapan produk yang akan mereka keluarkan nanti mampu memenuhi permintaan domestik dan import.

Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlulah sentiasa menyambut baik dasar-dasar dan usaha-usaha kerajaan untuk membangunkan kualiti pertanian dalam negara. Kita sangat digalakkan untuk menyertai segala kursus-kursus yang dijalankan oleh kerajaan bagi menambah pengetahuan berkaitan penternakan secara fidlot ini.

Tujuan perkara ini tidak lain tidak bukan hanyalah untuk memastikan segala idea-idea bernas dan berpotensi tinggi yang dirancang oleh pihak kerajaan itu dapat dilaksanakan, seterusnya memberi impak positif terhadap ekonomi individu, masyarakat serta negara. 

Penulis; Muhammad Zulfazdli Bin Ahmad Fauzi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Selangor.
RELATED ARTICLES

Most Popular