Wednesday, September 27, 2023
HomeArtikelIsu Kelayakan Taraf Kewarganegaraan Terhadap Masyarakat Borneo di Malaysia

Isu Kelayakan Taraf Kewarganegaraan Terhadap Masyarakat Borneo di Malaysia

Maksud kerakyatan berasal daripada perkataan rakyat. Apabila merujuk kepada kamus Dewan ia memberi maksud 1. “segala sesuatu mengenai rakyat”. 2 “kewarganegaraan”. Kewarganegaraan pula dijelaskan dengan “kerakyatan sesebuah negara”. Dengan kamus (Dewan) Bahasa Inggeris, kerakyatan bermaksud “status of being national” manakala kewarganegaraan pula dijelaskan sebagai “right of state of being a citizen”.

Perbincangan mengenai isu kelayakan taraf kewarganegaraan adalah suatu yang penting untuk difahami oleh semua penduduk dalam negara Malaysia. Isu ini sangat hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat mahupun pihak kerajaan terutamanya dalam kalangan masyarakat Borneo. Mereka yang mengalaminya sangat terkesan dengan ketidakadilan taraf kewarganegaraan ini.

Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh masyarakat Borneo untuk mendapatkan taraf ini, bahkan mereka sanggup membayar ribuan ringgit untuk mendapatkan taraf  kewarganegaraan Malaysia. Tetapi, adakah usaha mereka ini berbaloi? Malangnya nasib mereka sama seperti dahulu dan tiada tindakan yang dapat dilakukan setelah banyak kehilangan wang ringgit. Oleh itu, perbincangan tentang isu ini akan dipanjangkan lagi dengan menjawab semua persoalan rakyat Malaysia tentang identiti rakyat dengan membuka isu-isu hangat tentang taraf kewarganegaraan.

Antara persoalan yang sering timbul dalam kalangan masyarakat Malaysia tentang isu kewarganegaraan Borneo ini adalah apakah punca sesetengah rakyat Borneo tidak mendapat taraf kewarganegaraan? Di sini akan disimpulkan beberapa jawapan yang mungkin tidak semua orang tahu dan akan dibincangkan dengan teliti.

Untuk pengetahuan pembaca, menurut sejarah Borneo yang dulunya diperintah oleh keluarga James Brooke, sebelum mendapat kemerdekaan setelah bergabung dengan Tanah Melayu. Kehadiran Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Tanah Melayu menjadikan sistem perundangan baharu diwujudkan iaitu hak istimewa Sabah dan Sarawak. Menurut penelitian, keadaan ini menyebabkan pihak kerajaan kini tidak begitu peduli tentang penduduk yang berada di kawasan pedalaman Sabah Sarawak. Hal ini kerana mereka yang menetap di kawasan pedalaman pada asalnya penduduk tetap negeri Sabah dan Sarawak. Akan tetapi, setelah berlaku peningkatan teknologi di Malaysia, mereka terpaksa diusir dari kawasan nenek moyang mereka kerana tapak kediaman mereka akan dijadikan sebagai sektor pelancongan.

Di sini, bukanlah menuding jari kepada pihak kerajaan semata, akan tetapi bukti di sebaliknya dapat dirasai oleh para penduduk di kawasan pedalaman. Peristiwa ini berlaku di Bumi Kenyalang Sarawak apabila setelah penduduk di kawasan pedalaman dengan erti kata lain di kawasan hutan diusir, mereka telah dijanjikan untuk diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia agar mereka mampu hidup normal di luar sana. Akan tetapi, setelah beberapa prosedur dijalankan, bayang-bayang pihak berwajib tersebut tidak dapat dilihat sehingga ke hari ini. Bukan itu sahaja, apabila berkata tentang kerajaan ini, banyak berlaku birokrasi dalam kalangan penjawat awam yang menyebabkan sijil lahir dan taraf kewarganegaraan penduduk Borneo susah untuk didapatkan. Kepincangan dalam penjawat awam ini memberi kesan yang besar kepada mereka yang tidak mendapat taraf kewarganegaraan bahkan sijil lahir sekalipun amatlah rumit untuk didapati.

Selain itu, Borneo telah mencatatkan perkahwinan usia muda tertinggi di Malaysia. Hal ini kerana mereka yang tiada taraf kewarganegaraan sudah putus asa untuk menyambung persekolahan. Bukan itu sahaja, adat yang melebihi undang-undang di Borneo tidak dapat dielakkan. Akibat daripada perkahwinan muda ini, anak daripada pasangan yang tidak mendapat sijil nikah akan terkesan apabila anak tersebut tidak mendapat sijil kelahiran dengan taraf kewarganegaraan.

Perkara ini telah menjadi kebiasaan para penduduk Borneo yang memang pada asalnya majoriti mereka tidak memiliki sijil nikah. Hal ini kerana bagi mereka, sijil nikah tidak begitu penting ketika zaman dahulu sehinggalah kini definisi ini telah berubah dan ianya semakin penting dalam kalangan masyarakat Borneo untuk masa hadapan anak mereka. Sehingga ke hari ini, perkahwinan muda dalam kalangan penduduk Borneo masih tertinggi dan keadaan ini tidak dapat diatasi dengan mudah melainkan mengubah persepsi masyarakat tentang kesan buruk perkahwinan di usia muda ini.

Seterusnya, isu ejen palsu dalam menyediakan sijil lahir dan taraf kewarganegaraan ini sudah lama berlaku di Borneo. Akan tetapi, ramai yang tidak menyebarkannya di sosial media atau di pelbagai platform. Inilah salah satu berita yang perlu diketahui oleh semua masyarakat Borneo mahupun masyarakat semenanjung yang sering tertanya-tanya mengapakah taraf kewarganegaraan ini susah didapatkan di Sabah dan Sarawak.

Kegiatan ejen palsu ini sering berlaku antara dua tahun sekali. Mereka akan muncul dengan berita-berita gembira bahawa mereka merupakan wakil kerajaan yang datang untuk menyelesaikan isu taraf kewarganegaraan di Borneo. Akan tetapi satu perkara yang pelik dapat dilihat apabila mereka meminta bayaran perkhidmatan tersebut dengan bayaran yang mahal dengan mencecah puluhan ribu.

Setelah mendapat bayaran, mereka menghilangkan diri tanpa jejak dan keadaan ini tidak dilaporkan kepada pihak polis kerana tiada seorang penduduk pun yang berani melaporkannya. Isu ini sering terjadi di Sabah kerana kebanyakan penduduk Negeri Sabah tidak begitu fasih dalam Berbahasa Melayu. Hal ini juga merupakan salah satu kelemahan penduduk. Dengan rela hati mereka menghalalkan wang tersebut dan tidak akan bergantung kepada mana-mana ejen lagi untuk menguruskan sijil lahir dan taraf kewarganegaraan mereka. Peristiwa ini perlu diambil iktibar kepada penduduk Borneo untuk tidak mempercayai mana-mana ejen yang menawarkan perkhidmatan pembuatan sijil lahir dan taraf kewarganegaraan.

Setelah berlaku isu kelayakan taraf kewarganegaraan ini, ianya semestinya memberi kesan kepada mereka yang terkesan. Antara kesannya ialah mereka yang tidak mendapat taraf kewarganegaraan ini tidak dapat bersekolah seperti penduduk yang lain. Kanak-kanak ketika ini sangatlah terkesan. Namun, inisiatif yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri untuk menubuhkan sekolah tanpa sijil kelahiran dan taraf kewarganegaraan tidak memberi impak positif yang tinggi kerana sistemnya yang berbeza dari segi akademik dan kokurikulum.

Mereka tidak wajib belajar subjek-subjek tertentu dan tidak wajib menduduki peperiksaan am seperti SPM begitu juga dengan sistem pendidikan dahulu yang mewajibkan UPSR, dan PT3 untuk semua pelajar sekolah. Hal ini menjadikan mereka tidak teratur dalam bidang akademik dan kemahiran mereka juga kurang diberi galakan.

Keadaan ini mendorong mereka melakukan jenayah seperti merompak, mencuri, menghisap dadah dan sebagainya. Mereka hilang nilai keremajaan dan nilai kemanusiaan tersebut setelah melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang. Keadaan ini dapat dibuktikan di beberapa daerah di Sabah apabila ramai golongan remaja yang tidak mempunyai kad identiti menjadi gelandangan. Jika tidak dibendung, keadaan ini semakin berleluasa dan memberi impak buruk kepada masyarakat di sekeliling. Dalam situasi ini, pihak kerajaan negeri atau pihak berkuasa perlu memberi pendidikan moral yang khas untuk mereka agar keadaan tidak semakin teruk.

Untuk mengatasi isu kelayakan taraf kewarganegaraan ini, pihak kerajaan negeri dan kerajaan pusat perlu bekerjasama memberi sijil lahir dan taraf kewarganegaraan kepada penduduk Sabah dan Sarawak tanpa sebarang syarat tertentu. Hal ini kerana mereka adalah penduduk tetap negeri dan pada mulanya nenek moyang merekalah yang mendiami negeri-negeri tersebut. Siapalah kita untuk menafikan fakta tersebut? Walaupun dalam undang-undang telah diberi syarat untuk mendapat taraf kewarganegaraan, akan tetapi situasi mereka berbeza dan hal ini boleh digubal oleh pihak kerajaan untuk memberi taraf kewarganegaraan kepada penduduk tetap.

Walaupun sedemikian, timbul persoalan tentang kefasihan mereka dalam Bahasa Melayu kerana lazimnya mereka hanya menggunakan Bahasa Ibunda dalam komunikasi seharian. Hal ini tidak menjadi satu masalah kerana pihak kerajaan juga boleh dan masih mampu menghantar tenaga pengajar untuk mendidik mereka dalam berbahasa Melayu. Keterampilan dalam bahasa Melayu adalah salah satu syarat wajib untuk mendapat taraf kewarganegaraan. Dengan cara ini, penduduk Sabah dan Sarawak mudah untuk mendapat kelayakan taraf kewarganegaraan.

Kesimpulannya, isu kelayakan taraf kewarganegaraan ini masih lagi hangat dalam perbualan isu semasa. Walaupun usaha kerajaan untuk mengurangkan penduduk yang tidak bertaraf warganegara Malaysia, namun usaha tersebut hanya sia-sia belaka apabila setiap tahun didapati jumlah kelahiran yang tidak mempunyai sijil lahir semakin meningkat. Namun begitu, kerajaan Sabah dan Sarawak kini masih semangat untuk membendung masalah rakyat mereka.

Diharapkan juga pihak Kerajaan Pusat membantu dengan mewujudkan lagi pelbagai idea untuk membendung masalah penduduk ini. Hal ini juga untuk menjaga kewibawaan dan imej negara di mata dunia dan adalah berkemungkinan besar penduduk Borneo ini mempunyai bakat terpendam yang akan mengharumkan nama negara di persada dunia hanyalah mereka tidak mempunyai identiti di negeri dan negara sendiri.

Penulis;

1. Aspiah Binti Asmadi – Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

2. Dr. Velan Kunjuraman – Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
RELATED ARTICLES

Most Popular