Isu Penderaan Kanak-Kanak: Peka Kah Kita?

0
16
Isu Penderaan Kanak-Kanak Peka Kah Kita?

Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, kanak-kanak bermaksud budak lelaki atau budak perempuan yang masih kecil dan belum berumur lebih daripada tujuh hingga lapan tahun manakala definisi kanak-kanak mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) ialah seseorang yang di bawah umur 18 tahun dan berhubung dengan prosiding jenayah.

Anak-anak merupakan anugerah tidak ternilai yang dikurniakan oleh Allah kepada setiap pasangan suami isteri kerana mereka merupakan penyambung zuriat dan pembawa rezeki kepada setiap keluarga dan bukan pula sebagai bebanan untuk ditanggung. Mereka juga adalah penghibur hati dikala susah dan senang dan mereka juga senantiasa memerlukan kasih sayang yang secukupnya daripada ibu dan ayah.

Kebelakangan ini, kes penderaan kanak-kanak ini semakin menjadi-jadi dan sering terpapar di media massa dan media elektronik di negara kita. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Siti Zailah Mohd Yusoff berkata dalam sidang Dewan Rakyat, “Sebanyak 3,875 kes penderaan, penganiayaan dan pengabaian ke atas kanak-kanak yang direkodkan pada September tahun lepas”.

Hal ini dapat dibuktikan bahawa penderaan kanak-kanak adalah satu fenomena yang amat serius dan memberikan kesan buruk kepada kanak-kanak terutamanya anak-anak kurang upaya, masyarakat dan negara. Pendera-pendera ini boleh dikategorikan sebagai manusia tidak berhati perut kerana ada antara pendera-pendera itu ialah ibu bapa kandung kepada mangsa.

Betullah ungkapan yang sering diperkatakan oleh orang ramai bahawa rumah bukanlah lagi satu tempat yang selamat. Memang tidak dinafikan bahawa kes penderaan kanak-kanak ini terjadi disebabkan oleh beberapa faktor. Oleh itu, langkah yang efektif wajar dilaksanakan bagi membendung masalah ini daripada terus berleluasa.

Antara punca berlakunya keganasan terhadap kanak-kanak ialah ibu bapa mengalami tekanan di tempat kerja. Tekanan adalah tindak balas fizikal, emosi dan mental seseorang terhadap sebarang perubahan atau tuntutan dan merupakan sebahagian daripada kehidupan individu.

Ibu bapa sering menjadikan anak anak sebagai medium melepaskan tekanan dan masalah yang dibawa balik dari tempat kerja. Tamsilnya, ibu bapa yang tidak dapat mengawal emosi ini akan memukul, menerajang, dan mengurung anak-anak.

Tegasnya, masalah yang dihadapi oleh ibu bapa di tempat kerja akan menimbulkan emosi yang tidak stabil dan sekali gus anak-anak menjadi mangsa untuk mereka melepaskan kemarahan dan sekali gus mengundang kes penderaan.

Seterusnya, kesempitan hidup yang dihadapi oleh sesebuah keluarga ialah punca berlakunya penderaan kanak-kanak. Hal ini kerana ibu bapa tidak mampu menanggung perbelanjaan membesarkan anak terutamanya yang mempunyai bilangan anak yang ramai. Ini akan membuatkan ibu bapa menghadapi stres apabila anak-anak meminta wang saku daripada mereka dan membuatkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak.

Dr Daroyah Alwi juga pernah berkata bahawa faktor kehidupan di bandar besar dengan pendapatan kecil serta kos sara hidup tinggi menyukarkan ibu bapa membesarkan anak mereka. Contohnya, ibu bapa akan mengabaikan anak mereka dengan tidak memberi makan dan minum dan pakaian yang tidak cukup. Oleh itu, masalah kewangan adalah punca penderaan kanak-kanak.

Selain itu, faktor berlakunya keganasan terhadap kanak-kanak ialah kurangnya pendidikan agama dalam kalangan ibu bapa. Ilmu agama amat penting dalam institusi kekeluargaan kerana merupakan tonggak kebahagiaan keluarga seperti mengamalkan solat berjemaah dapat mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak dengan restu Allah SWT.

Suami sewajarnya membimbing isteri dan anak-anak ke jalan yang diredai Allah SWT. Islam dibina atas tiga asas utama meliputi soal akidah, syariat dan akhlak. Tiga perkara asas itu menjadi tunjang dalam pembentukan institusi kekeluargaan yang harmoni. Islam telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umat Islam seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan karenah anak-kanak.

Al-Quran juga telah menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti juga anak-anak yang merupakan Amanah Allah kepada kita. Maka, kurang didikan agama adalah faktor berlakunya tragedi penderaan terhadap kanak-kanak.

Di samping itu, ibu bapa yang ketagih dadah atau arak juga menjadi faktor utama terjadinya kes penderaan kanak-kanak. Tambahan pula, penyalahgunaan dadah yang berleluasa kini bukan sahaja melibatkan golongan dewasa, tetapi juga melibatkan remaja yang masih bersekolah.

Remaja yang dari kecil sudah terbiasa dengan dadah akan membuatkan ketagihan ini susah dibuang dari dalam diri kerana sudah menjadi benda wajib diambil dan hal ini akan berlarutan sehingga berkahwin dan mempunyai anak. Ketagihan ini menyebabkan mereka hilang pertimbangan dan perikemanusiaan. Anak-anaklah yang sering menjadi mangsa mereka.

Seperti yang kita tahu, kesan buruk dadah adalah melemah dan merosak daya pemikiran, pemahaman dan percakapan. Mereka lupa akan tanggungjawab dan lupa kepada keluarga. Justeru, menyeksa anak-anak yang tidak berdosa.

Antara langkah yang wajar dilaksanakan ialah ibu bapa dan pengasuh perlu menghadiri kaunseling dan kelas bimbingan supaya dapat memberikan pendidikan keibubapaan kepada setiap pasangan. Pendidikan ini amat penting kepada ibu bapa bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga seperti menyediakan keperluan asas makanan, minuman, tempat tinggal dan pakaian untuk anak-anak dari kecil sehingga dewasa.

Mereka juga akan lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik, melayan dan mengasihi anak-anak yang sentiasa dahaga akan perhatian ibu bapa. Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi.

Sementara itu, pihak yang berkuasa seharusnya mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap ibu bapa, pengasuh atau sesiapa sahaja yang mendera kanak-kanak seperti mengenakan hukuman yang lebih berat. Sebelum ini, terdapat pihak yang berpendapat hukuman sedia ada mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan adalah tidak mencukupi.

Oleh itu, mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman yang bakal mereka hadapi akibat perbuatan yang tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan.

Seterusnya, usaha bersepadu perlu diambil bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya ibu bapa terhadap tanggungjawab dalam menangani isu keganasan terhadap anak-anak. Program kesedaran dan latihan berkaitan keganasan terhadap anak-anak hendaklah melibatkan setiap lapisan masyarakat.

Masyarakat haruslah membuang sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dan buangkanlah sikap pentingkan diri sendiri. Dengan kata lain, masyarakat mestilah lebih peka dengan keadaan di sekeliling mereka jika melihat berlakunya kes penderaan kanak-kanak dalam komuniti kejiranan. Perkhidmatan sokongan sosial perlu ditingkatkan terutamanya aspek pencegahan, perlindungan dan pemulihan. Jelaslah bahawa semangat kejiranan yang tinggi dapat membantu membanteras kes penderaan kanak-kanak kerana terdapat kerjasama dalam kalangan masyarakat.

Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang oleh agama. Pengabaian kanak-kanak dan penderaan ialah tingkah laku sosial yang tidak mematuhi norma-norma masyarakat atau tingkah laku devian. Pengkaji juga mendapati tingkah laku ini merupakan suatu kemelut yang rumit dan kompleks untuk didiagnosis, sama ada kejadian ini merupakan kemalangan, penyakit atau kecederaan yang disengajakan.

Perbuatan yang tidak berhati perut ini seolah-olah bertujuan untuk memusnahkan keturunan kita sendiri dan rezeki yang dikurniakan dari Allah. Ingatlah, anak-anak merupakan Amanah Allah yang sangat suci dan bersih. Sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membentuk anak-anak menjadi seorang yang baik. Andai mereka daripada kecil dipenuhi dengan kisah silam yang memeritkan dan menyakitkan, tidak mustahil apabila meningkat dewasa, mereka juga melakukan kesilapan yang sama dengan mendera anak-anak mereka juga.

Peningkatan kes penderaan terhadap kanak-kanak terus berlaku dari tahun ke tahun tidak boleh diambil lewa meskipun jika dibandingkan dengan negara-negara luar, kadar keganasan yang dilaporkan di Malaysia adalah masih di tahap terkawal. Semua pihak perlulah menggembleng tenaga dan usaha untuk membanteras gejala yang tidak bermoral ini dengan mencari resolusi hingga ke akar umbi.

Jika setiap pihak memainkan peranan masing-masing, pastilah kes keganasan terhadap anak-anak akan ditangani dengan efektif ibarat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Justifikasinya, sayangilah anak-anak dan jauhilah sikap dera terhadap anak-anak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah hukuman yang kita dapat di dunia dan dosa di akhirat.

Penulis; Aisyah Tul Faqihah Bt Noor Azam, Mahasiswi Tahun Tiga Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here