Friday, March 29, 2024
HomeArtikelJenayah Rentas Sempadan: Lambakan Pedatang Asing Tanpa Izin (PATI)

Jenayah Rentas Sempadan: Lambakan Pedatang Asing Tanpa Izin (PATI)

Pada 1 Januari 2020 sehingga 23 Julai 2020, seramai 18,902 pendatang asing tanpa izin telah diusir ke negara masing-masing. Manakala, pada tahun 2019, seramai 51,300 pendatang asing tanpa izin dan pada tahun 2018 seramai 48,372 pendatang asing tanpa izin telah diusir ke negara asal mereka.  

Ini telah membuktikan bahawa lambakan pendatang asing tanpa izin sudah wujud di Malaysia dan tindakan untuk menguruskan lambakan golongan ini ialah mereka  perlu diusir kembali ke negara asal mereka. 

Keadaan ini berlaku disebabkan oleh jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran yang akhirnya telah meningkatkan jumlah pendatang asing tanpa izin di negara kita. Dua aktiviti jenayah rentas sempadan ini semakin menjadi-jadi dan sangat sukar untuk dibendung sepenuhnya walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa. 

Setiap serbuan dan tangkapan golongan ini akan di bawa masuk ke dalam depot imegresen dan pusat tahanan sementara sebelum mereka dibawa pulang ke negara asal-usul mereka. Perkara ini perlu dibendung kerana ianya akan mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat Malaysia sendiri. Bukan itu sahaja, keadaan akan menjadi lebih teruk apabila dalam diam mereka mendapat manfaat lebih daripada kita sebagai warganegara Malaysia. 

Tidak dinafikan keterdesakan golongan ini untuk menetap di Malaysia secara haram disebabkan faktor kemiskinan, ketidakstabilan politik di negara asal, tiada pekerjaan dan masalah  kesihatan telah menjadi faktor-faktor utama wujudnya mereka di Malaysia. 

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh mengiyakan penghijrahan haram mereka kerana bermulanya satu  perlakuan jenayah akan mendorong kepada jenayah yang lebih besar. 

Sudah pasti kita sebagai rakyat tertanya-tanya, mengapa mereka memilih negara kita sebagai destinasi utama? Apakah manfaat yang mereka akan perolehi? Adakah keselamatan sempadan negara kita terlalu longgar dan lemah yang menjadikan sebagai satu titik fokus kepada mereka untuk datang ke Malaysia dan kesannya tidak wujud perasaan takut kepada golongan ini? Siapakah individu-individu lain yang akan mengambil kesempatan daripada aktiviti jenayah ini? 

Pelbagai persoalan sudah timbul dan jawapan kepada persoalan tersebut ada yang sudah jelas tetapi hasilnya masih sama iaitu peningkatan jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) di dalam negara.

Faktor utama yang menarik minat mereka ke Malaysia sejak dahulu lagi ialah peluang pekerjaan. Beberapa sektor di negara kita yang memerlukan pekerja buruh yang ramai seperti sektor perkhidmatan, sektor perindustrian, sektor pembinaan dan sektor pertanian yang tidak menjadi tarikan dan tidak dipenuhi oleh rakyat kita sendiri, telah menjadi satu peluang kepada mereka terutamanya kepada individu yang selama ini tiada perkerjaan dan hidup susah di negara asal. 

Penghijrahan mereka menjadi berbaloi apabila pendapatan bulanan di negara asal mereka sangat rendah jika dibandingkan dengan pendapatan bulanan mereka apabila bekerja di Malaysia. 

Tambahan pula, pendapatan mereka akan dihantar ke negara asal untuk membantu keluarga mereka yang masih tinggal di negara asal. Ini adalah merupakan manfaat yang mereka perolehi jika mereka hidup di Malaysia.

Walaubagaimanapun, keadaan ini akan memberi kesan kepada ekonomi negara kerana berlakunya peningkatan jumlah aliran keluar wang negara.  Keadaan menjadi lebih parah apabila mereka tidak bekerja di bawah mana-mana majikan tetapi membuka perniagaan sendiri atau bekerja sendiri. 

Ini telah melahirkan peningkatan persaingan dengan rakyat tempatan sendiri dalam sektor perniagaan khususnya dengan kedaan semasa ekonomi negara merosot disebabkan pandemik Covid-19. Keadaan semakin menjadi lebih menyedihkan apabila mereka mendapat keuntungan yang lebih besar daripada kita sedangkan mereka hidup di Malaysia dengan status pendatang asing tanpa izin. 

Pendatang asing tanpa izin menjadikan negara kita sebagai satu tempat kehidupan baru mereka, tanpa adanya perasaaan takut kerana disebabkan layanan kita terhadap mereka. Jika mereka ditangkap oleh pihak berkuasa mereka tidak akan didera atau dibunuh tetapi mereka akan dihantar masuk ke dalam depot imegresen dan pusat tahanan sementara. Di dalam pusat tahanan ini mereka masih diberikan makanan, minuman dan perubatan apabila mereka sakit. 

Selain itu, faktor tarikan mereka ke Malaysia secara haram ialah faktor perubatan. Di Malaysia, rawatan  percuma Covid-19 akan diberikan kepada mereka apabila mereka berada di dalam pusat tahanan semasa pandemik Covid-19 melanda Malaysia dan ini telah menjadi satu tarikan pendatang asing tanpa izin untuk datang ke Malaysia secara haram. 

Bukan itu sahaja, saringan Covid-19 juga diberikan secara percuma dan kosnya ditanggung oleh kerajaan Malaysia. Adanya yang sanggup datang jauh ke Malaysia semata-mata untuk mendapatkan rawatan Covid-19. 

Apabila motif mereka datang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan, sudah tentu mereka membawa penyakit ke Malaysia. Hal ini demikian kerana  golongan ini tidak berdaftar dan tiada maklumat peribadi sebagai imigran sah di Malaysia, apabila mereka sudah dijangkiti oleh Covid-19 misalnya, susah tentu pihak kesihatan sukar untuk mengesyaki mereka dan mereka juga pasti akan  lari daripada pihak berkuasa kerana tidak mahu mendedahkan identiti mereka. 

Penyebaran akan semakin parah dalam masyarakat kerana pihak kesihatan tidak mampu untuk menjejaki punca utama penyebaran. Ini juga akan menyebabkan kerajaan akan mengeluarkan wang yang lebih banyak  untuk merawat rakyat tempatan yang dijangkiti dan juga golongan mereka yang juga sudah dijangkiti. Keadaan ini telah merugikan pihak kerajaan dalam pengurusan penyakit berjangkit.

Pada asalnya, kebanyakan mereka juga datangnya daripada kawasan yang mundur, tercemar dan kurang menititberatkan kesihatan dan kebersihan. Maka situasi mereka ini di negara asal akan membawa penyakit seperti yang sering berlaku di kawasan tersebut  iaitu AIDS, tibi dan penyakit kelamin. 

Seterusnya, faktor tarikan mereka ke Malaysia ialah untuk mendapatkan perlindungan. Mereka memerlukan perlindungan disebabkan oleh konflik dan pergolakan di negara asal. Sebagai contoh etnik Rohignya datang ke Malaysia untuk mendapatkan perlindungan, perubatan dan kehidupan yang lebih baik kerana kerajaan Myanmar telah mengharamkan penempatan mereka di Myanmar. 

Lambakan mereka di dalam negara melalui dua cara iaitu penyeludupan imigran dan pemerdagangan manusia. Dua aktiviti jenayah ini adalah berbeza. Hal ini demikian kerana, hampir semua aktiviti penyeludupan manusia ini adalah secara sukarela dan pada asalnya tidak melanggar hak asasi manusia. 

Jika mereka tidak mampu untuk membayar kos pengangkutan kepada agen mereka, maka terma penyeludupan akan bertukar kepada pemerdagangan. Mereka akan disuruh untuk melakukan sesuatu pekerjaaan secara paksa. Pemerdagangan manusia merupakan aktiviti yang sangat jelas melanggar hak asasi manusia. 

Seseorang yang mahu diseludup perlu membayar kepada agen atau tekong pengangkutan sebanyak  beribu-ribu ringgit yang membantu mereka untuk sampai ke Malaysia. Hal ini kerana perjalanan mereka mempunyai risiko yang tinggi dan hanya agen serta  tekong pengangkutan sahaja yang mengetahui jalan untuk menyeludup masuk golongan ini. 

Oleh sebab itu, upah kepada pihak tertentu menjadi sangat mahal. Aktiviti tidak akan jadi mudah jikalau tiada agen sindiket dan pihak tertentu dalam menguruskan aktiviti jenayah rentas sempadan ini. Mereka melakukan dan mengiyakan jenayah ini kerana mereka mampu mengaut keuntungan yang sangat lumayan. 

Lebih menyedihkan apabila wujudnya penglibatan rakyat tempatan atau warganegara Malaysia yang menjadi agen sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia. 

Terdapat pihak-pihak tertentu juga memperolehi keuntungan yang lumayan daripada aktiviti jenayah ini iaitu majikan dan pihak berkuasa. Ini telah menjadikan keadaan semakin keruh, apabila orang tempatan dan pihak yang dipercayai telah terlibat sama menyokong kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. 

Majikan memerlukan pekerja buruh yang ramai tetapi tidak mampu menampung kos pekerja. Dengan demikian, jalan mudahnya mereka memilih jalan yang haram ini dengan mengupah dan meminta kepada agen untuk mendapatkan pendatang asing tanpa izin untuk bekerja dengan mereka. 

Pendatang asing tanpa izin ini juga sanggup melakukan apa-apa kerja untuk mendapatkan wang dan mereka juga rajin dan sanggup bekerja lebih masa. Ini sangat menguntungkan majikan tersebut. 

Bukan itu sahaja, pihak berkuasa juga terlibat sama dengan sindiket ini disebabkan suapan rasuah daripada pihak-pihak tertentu. Seperti sedia maklum, masalah rasuah di negara kita, semakin hari semakin parah dan ini dapat dibuktikan dengan kedudukan Malaysia dalam indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia telah jatuh ke kedudukan ke 57 pada tahun 2020 berbanding pada tahun 2019 iaitu pada kedudukan ke 51.  

Ini sangat mengecewakan kerana mereka sepatutnya memegang amanah untuk menjaga sempadan negara tetapi  telah melemahkan sistem keselamatan negara. Apabila semua perkara ini tidak dapat dibendung, lambakan pendatang asing tanpa izin akan meningkat dan ini telah mencalarkan imej negara kerana sikap yang tidak bertamadun membawa kepada kelemahan keselamatan negara. 

Asasnya dalam membanteras dan menyelesaikan masalah jenayah rentas sempadan ini, kita perlu menyekat segala aktiviti agen dan tekong yang bertanggungjawab dalam perjalanan masuk pendatang asing tanpa izin ini. 

Pihak berkuasa  perlu lebih kerap melakukan serbuan dan mengenalpasti laluan tikus mereka. Bukan itu sahaja, negara perlu membanteras jenayah rasuah itu sendiri. Hal ini kerana jenayah ini berlaku disebabkan adanya pertolongan dari dalam negara terutamanya dalam kalangan pihak berkuasa.

Kerajaan juga boleh memperketatkan dan menggubal undang-undang tersedia ada terhadap jenayah rasuah dan jenayah rentas sempadan. Tindakan ini mampu memberikan satu amaran keras kepada mereka yang terlibat dalam jenayah ini dan dapat mananam perasaan takut dalam diri mereka. 

Perbincangan tentang cara-cara aktiviti jenayah ini dilakukan sangat penting untuk dikenalpasti supaya kita dapat mengetahui dan mengatur strategi untuk membanteras secara holistik jenayah ini. Walaupun wujudnya faktor tolakan dari negara mereka sendiri yang mendesak mereka untuk melakukan jenayah rentas sempadan, kita tidak boleh menjadi faktor tarikan kepada mereka untuk menetap secara haram di negara kita.

Tuntasnya, penyeludupan dan pemerdagangan manusia ini akan meningkatkan pendatang asing tanpa izin ke dalam negara. Lambakan pendatang asing tanpa izin akan memberi kesan kepada negara kita dari segi semua aspek iaitu ekonomi,sosial dan politik. 

Keselamatan sempadan negara perlulah dijaga, jika tidak ini telah mencerminkan keselamatan Malaysia yang lemah. Sesetengah pihak membutakan mata dan mentulikan telinga mereka terhadap jenayah ini kerana katanya kita perlulah mempunyai nilai perikemanusiaan. 

Adakah wajar mengiyakan jenayah ini dan masih membincangkan nilai perikemanusiaan apabila segala kesan negatif yang sudah negara dan rakyatnya perolehi? Kita perlu beringat sebelum terkena kerana ini juga mencorakkan pola kehidupan generasi akan datang.

Penulis; Siti Adriana Binti Ismail, Pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
RELATED ARTICLES

Most Popular