Wednesday, October 4, 2023
HomeArtikelKarya Seni Filem Mampu Menyepadukan Atau Memecahkan Perpaduan Kaum Di Malaysia?

Karya Seni Filem Mampu Menyepadukan Atau Memecahkan Perpaduan Kaum Di Malaysia?

Karya seni merupakan suatu perkara yang tidak asing lagi di mata dunia begitu juga kepada masyarakat Malaysia. Malah, kini ia dilihat sebagai suatu keperluan yang penting kerana berfungsi dalam menyampaikan sesuatu cerita atau pengajaran kepada penonton dan juga negara.

Menurut Noresah Baharom et. al (2007), seni bermaksud suatu karya sama ada sajak, lukisan, muzik yang dicipta dengan bakat kecekapan atau hasil daripada sesuatu ciptaan. Di samping itu, seni juga ditakrifkan sebagai sebahagian daripada kebudayaan yang dicetuskan oleh sesuatu kelompok manusia kerana fitrah manusia yang cinta kepada sesuatu yang  menyenangkan hati melalui pancaindera (Sidi Gazalba, 1997).

Terdapat beberapa jenis kategori seni yang dibahagikan kepada empat bahagian iaitu pertamanya seni muzik dan deklamasi sajak. Kedua; melalui pandangan iaitu seni tari, seni bina dan seni lukis. Ketiga; melalui pendengaran dan pandangan iaitu seni persembahan misalnya dari filem, drama dan juga teater. Akhir sekali, yang keempat adalah melalui bacaan yang terdiri daripada bacaan prosa dan puisi.

Filem merupakan salah satu karya seni yang dianggap sebagai sumber hiburan yang popular dan digemari oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang seseorang individu. Pada masa yang sama, filem bukan hanya berperanan sebagai alat hiburan tetapi mempunyai kuasa untuk mempengaruhi emosi, minda dan bentuk kehidupan khalayak penonton (Mahadi J Murat, 2006).

Oleh itu, wajarlah jika diperkatakan bahawa filem yang dipertontonkan kepada masyarakat sedikit sebanyak akan mempengaruhi tindak balas mereka. Sebagai contoh, jika filem tersebut mempunyai nilai dan elemen yang positif maka impaknya kepada penonton juga akan menjadi positif. Namun, jika elemen yang diserapkan ke dalam filem tersebut adalah negatif maka tindak balas daripada penonton juga akan negatif.

Oleh yang demikian, pembuat-pembuat filem di Malaysia seolah-olah memegang tanggungjawab yang penting dalam memastikan filem yang dibuat tidak mempunyai unsur-unsur yang negatif serta menyentuh isu sensitiviti sesebuah kaum yang boleh menggugat keamanan dan perpaduan kaum antara satu sama lain.

Hal ini dikatakan demikian kerana umum mengetahui bahawa negara Malaysia merupakan sebuah negara yang terkenal dengan rakyatnya yang berbilang kaum serta kaya dengan kepelbagaian budaya, adat resam, agama, kepercayaan dan juga gaya hidup yang berbeza.

Hal ini terjadi kerana, negara Malaysia merupakan sebuah negara yang pernah dijajah oleh para penjajah dan penduduk asalnya adalah orang Melayu sehinggalah golongan British membawa masuk imigran Cina dan India ke tanah Malayu untuk dijadikan sebagai buruh. Hasilnya, wujudlah sebuah masyarakat majmuk yang terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India yang hidup bersama-sama dalam sebuah negara secara harmoni selepas mendapat kemerdekaan.

Walaupun begitu, keharmonian yang dicapai kini semakin rapuh apabila terdapat sesetengah pihak yang seakan-akan mencabar perpaduan kaum rakyat Malaysia. Misalnya, pembuat-pembuat filem yang semakin berani memasukkan isu-isu sensitiviti seperti dari aspek agama dan juga penghinaan terhadap sesebuah kaum sebagai elemen untuk membuat filem mereka hingga mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat.

Namun tidak dinafikan bahawa filem juga dapat dijadikan sebagai medium utama untuk menyepadukan dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Sebagai contoh, filem yang mendapat tempat di dalam hati masyarakat di samping menerapkan nilai-nilai positif seperti nilai patriotik dan semangat perpaduan antara kaum walaupun mempunyai banyak perbezaan dari segi bahasa, agama dan budaya adalah filem Ola Bola yang diarahkan oleh Chiu Keng Guan yang ditayangkan pada tahun 2016.

Filem Ola Bola merupakan sebuah filem yang bertemakan kesukanan iaitu perlawanan bola sepak menentang pasukan lain. Filem ini mempunyai nilai patriotik walaupun tidak menunjukkan sebarang adegan peperangan tetapi ianya masih dapat menunjukkan nilai tersebut apabila pasukan bola sepak Malaysia berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya layak ke Sukan Olimpik Moscow, Rusia pada tahun 1980 demi menjaga maruah negara Malaysia selepas mengalami kekecewaan.

Terdapat pelbagai nilai yang ditonjolkan dalam filem ini seperti semangat kerjasama dan setia kawan serta diselitkan juga mengenai konflik dalam keluarga yang dapat dilihat dalam beberapa watak yang dimainkan dalam filem tersebut. Hal ini menjadikan filem ini lebih dekat di hati penonton kerana berkait rapat dengan realiti kehidupan masyarakat Malaysia.

Filem ini menjadi inspirasi kepada masyarakat dan kebanggaan buat negara Malaysia kerana berjaya menampilkan keunikan dan kepelbagaian bahasa yang wujud iaitu Bahasa Melayu, Tamil, Mandarin, Kantonis Dan Hokkien. Hal ini secara tidak langsung dapat memberi kesan yang positif dan pengajaran supaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia sentiasa berusaha untuk bertoleransi antara satu sama lain walaupun terdapat perbezaan bagi mengekalkan keharmonian dan kemakmuran untuk negara tercinta.

Selain itu, terdapat juga filem-filem lain yang turut menyuntik semangat perpaduan dan nasionalisme dalam diri iaitu filem Adiwiraku, Kolumpo, Mat Kilau dan juga The Big Durian.

Setiap sesuatu itu pasti akan ada baik dan buruknya, begitu juga dengan hasil yang cuba disampaikan oleh pembuat-pembuat filem kerana adakalanya filem yang ditayangkan menyentuh isu sensitiviti kaum hingga menimbulkan kacau bilau dalam kalangan masyarakat. Contohnya, filem ‘BABI’ yang diarahkan oleh Namawee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee iaitu seorang penyanyi, penulis skrip, pelakon dan juga pembuat filem.

Namawee seringkali dianggap sebagai seorang yang suka mencetuskan kontroversi kerana sering menyentuh isu sensitiviti kaum dalam sesuatu perkara yang dilakukan seperti penciptaan lagunya ‘Negarakuku’ dan juga salah satu filemnya ‘BABI’ yang dikritik hebat di negara Malaysia.

Hal ini kerana filem ini mengisahkan tentang pergaduhan kaum di sebuah sekolah menengah ditambah pula dengan dengan poster yang digunakan untuk mempromosikan filemnya itu mempunyai contengan yang penuh dengan kata-kata cacian dan makian terhadap sesebuah kaum itu. Misalnya, ‘Melayu Bodoh’, ‘India Keling’ Dan ‘Cina Babi’.

Oleh itu, filem ini ditentang dan dihalang penayangannya di dalam negara kerana bimbang akan menggugat perpaduan kaum. Bukan itu sahaja, terdapat juga laporan polis yang dibuat oleh Ahli Unit Penerangan Pemuda Perikatan Persekutuan Nasional Wilayah, Mohammad Azwan Azmi kerana menganggap filem dan juga poster tersebut merupakan satu penghinaan dan tidak beradab kerana boleh mencetuskan kemarahan kaum. Dia juga mengajukan persoalan tentang ‘kenapa perkataan Melayu terletak di bahagian tengah poster manakala bangsa lain di bahagian tepi sahaja’? dan ‘adakah Namawee sengaja hendak memprovokasi orang Melayu’?.

Walaupun begitu, Namawee mempunyai pendapat yang berbeza serta bangkit untuk mempertahankan filemnya yang dianggap menyentuh isu sensitiviti perkauman di Malaysia. Beliau menyatakan bahawa filem tersebut bertujuan untuk menggalakkan perpaduan dan harus dilihat sebagai usaha untuk memberi kesedaran supaya melihat masalah yang sebenar dalam isu perkauman.

Selain itu, beliau juga membidas pihak-pihak ekstremis yang memainkan sentimen kaum dan mempolitikkan filemnya. Walaupun terdapat tentangan dan juga kritikan yang dihadapi, filem ‘BABI’ ini berjaya tercalon dalam empat festival filem antarabangsa iaitu Open World Toronto Film Festival, Around International Film Festival Berlin, International Thai Film Festival 2020 Dan Taipei Golden Horse Film Festival yang membawa nama negara Malaysia di persada antarabangsa. Selain daripada filem ‘BABI’, filem ‘Banglasia’ dan ‘Mentega Terbang’ juga menimbulkan kontroversi dan kritikan daripada pihak masyarakat.

Jelaslah di sini bahawa pembuat-pembuat filem tempatan tidak boleh mengambil mudah akan kerja mereka kerana hasil karya seni filem yang dilaksanakan bukanlah sekadar hiburan semata-mata tetapi turut menunjukkan aspek sosial, seni, budaya dan juga mesej yang akan memberi kesan kepada kepada penonton.

Boleh dikatakan bahawa terdapat sesetengah filem-filem yang melibatkan nilai perpaduan dan isu  perkauman adalah berdasarkan kisah benar yang tidak diketahui ramai dan di sinilah pembuat filem memainkan peranan dengan mengadaptasi semula kisah tersebut bagi membuka mata masyarakat untuk lebih cakna akan isu-isu yang pernah berlaku dan mengambil pengajaran daripada apa yang cuba disampaikan.

Namun kadangkala mesej yang cuba disampaikan melalui filem tersebut disalah ertikan hingga boleh menggoyahkan perpaduan kaum dalam negara.

Persoalannya, adakah kita sebagai penonton yang terlalu sensitif dan mengambil serius dalam semua perkara sehingga sanggup membutakan mata daripada melihat mesej sebenar yang cuba disampaikan melalui filem yang dibuat khas untuk memupuk perpaduan kaum bagi memastikan kemakmuran negara kekal terjamin atau memang sikap sesetengah pembuat filem yang sengaja hendak menimbulkan kontroversi agar lebih popular dan untuk mengaut keuntungan semata-mata tanpa memikirkan impaknya kepada masyarakat.

Penulis;

1) Nur Alia Binti Zainuddin - Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. 

2) Dr Velan Kunjuraman - Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
RELATED ARTICLES

Most Popular