Sunday, September 29, 2024
HomeArtikelKawan Anda Depresi? Bagaimana Kita Kenal Pasti Dan Beri Sokongan?

Kawan Anda Depresi? Bagaimana Kita Kenal Pasti Dan Beri Sokongan?

Bagaimana kita kenal pasti?

Banyak negara menghadapi impak ekonomi dan kesihatan berikutan serangan Covid-19 yang menular sekitar hujung tahun 2019. Tidak boleh dinafikan ada ramai yang terkesan daripada pandemik ini. Ramai hilang pekerjaan dan tidak dapat bergerak bebas melakukan rutin seperti biasa. 

Malah kuarantin yang terlalu lama telah memberi impak fizikal dan mental. Tekanan di tempat kerja, persekolahan atau pembelajaran dan perhubungan kekeluargaan yang tidak stabil boleh menjejaskan kehidupan harian.

Keadaan “huru-hara” ini boleh mengganggu emosi dan mental kita. Kebanyakan orang cuba bertahan dengan pemikiran positif. Namun untuk jangka masa yang lama, kemungkinan besar ramai yang tidak mampu lagi. Keadaan sukar pula masih berterusan. 

Mereka cuba untuk membetulkannya namun tidak berjaya. Masalah tidak dapat diselesaikan, ianya semakin buruk. Seseorang itu akhirnya mungkin mengalami depresi. Orang depresi jarang untuk berkongsi masalah, kerana mereka bimbang dilabel lemah, in denial atau tidak mahu menyusahkan orang lain. Kadang kala mereka tidak tahu bagaimana hendak mendapatkan pertolongan. 

Sebagai kawan, anda boleh mengenal pasti perubahan sikapnya. Orang depresi akan berasa cepat letih dan tidak lagi mempunyai konsentrasi yang lama. Dia mungkin tidak lagi berminat dengan hobi atau aktiviti yang disukainya. Perlu tahu, simptom setiap orang berlainan.

 Anda perlu peka dengan perubahan orang terdekat. Boleh jadi perubahan seperti kawan yang ceria tiba-tiba menjadi pendiam. Kawan yang aktif dalam perbualan kumpulan, perlahan-lahan dia menjadi kurang aktif dan akhirnya menyendiri. Tiba-tiba menjadi anti sosial. Perubahan mood juga salah satu gejala kemurungan. 

Boleh jadi anda melihat perubahan dari segi berat badan yang drastik, sama ada susut terlalu kurus atau naik berat badan berlebihan. Mereka mungkin meluahkan rasa kurang bermaya dan cepat lesu. Kadang-kadang buat tugas kecil pun sudah memenatkan mereka atau perkara yang biasa dilakukan mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan. 

Tanda lain yang jelas ialah mereka berkongsi sukar untuk tidur, adakalanya berhari-hari tidak dapat tidur yang baik. Gangguan ini akan mengganggu bukan sahaja kesihatan mental tetapi kesihatan fizikal mereka jika tidak diberi perhatian.

Bagaimana kita boleh berikan sokongan?

Berikan sokongan dengan mula mendengar luahan masalah mereka. Jika mereka mencari anda sebagai tempat untuk meluahkan perasaan, elakkan memberi pendapat terburu-buru. 

Jadilah pendengar yang aktif dan empati. Akui perkongsian masalah mereka. Ia adalah langkah yang tepat untuk meringankan “beban” di dalam hati. Walau apa pun masalah mereka, bersedia untuk mendengarnya tanpa menghakimi. Anda perlu menjadi pendengar yang natural. 

Beritahu mereka bahawa anda ada bersama mereka. Yakinkan bahawa mereka tidak melaluinya seorang diri dan biarkan mereka berkongsi ikut rentak mereka. Anda hanya perlu membuatkan mereka selesa berkongsi dengan anda. Penting juga dikatakan di sini, anda juga perlu sanggup mendengar berulang kali. 

Jangan memperkecilkan masalah yang dikongsi dengan mengatakan orang lain lebih susah daripada dirinya. Ini mungkin boleh trigger kemurungan mereka lebih teruk lagi. Mungkin mereka tidak lagi mahu berkongsi masalah dengan orang lain kerana berasa diri dihakimi.  Mereka merasakan diri tidak berguna atau tiada sebab untuk hidup lagi. 

Selalulah bertanya khabar supaya mereka tidak rasa keseorangan atau terasing dari dunia realiti. Mereka mungkin tidak memberitahu betapa perlunya mereka akan sokongan anda. Jadi, anda perlulah memeriksa keadaan mereka selalu. 

Perbualan dapat membantu seseorang berasa kurang bersendirian dan mengurangkan keresahan. Yang penting, komunikasi yang berterusan. Boleh saja bercerita hal-hal biasa seperti movie, cuaca, makanan atau isu-isu semasa yang ringan-ringan. 

Perbualan bersemuka lebih efektif. Jika tidak dapat berjumpa, berhubunglah dengan mereka melalui panggilan video atau telefon. Sokongan dan keprihatinan anda boleh menaikkan motivasi mereka. Ia membuatkan mereka lebih bertenaga dan bersemangat.

Anda boleh menceriakan harinya dengan menghantar surprise delivery seperti makanan kegemaran. Cara ini membuatkan mereka berasa masih ada orang yang sayang dan prihatin. Tanyalah kepada mereka jika ada apa-apa yang diperlukan lagi.

Memberi kata-kata semangat itu boleh, cuma anda kena tahu orang itu sesuai dengan nasihat yang bagaimana. Contoh, ada orang mudah termotivasi dengan selitan ketuhanan dan agama. Ada orang termotivasi dengan kata-kata inspirasi.

Saranan doktor untuk orang depresi antaranya adalah bersenam. Ia dapat mengurangkan tekanan. Jika anda duduk serumah, mungkin boleh ajak berjalan di taman. Atau pun melakukan senaman depan tv di rumah seperti senaman ringan atau senaman regangan. 

Ajaklah mereka buat sesuatu yang diminati. Jangan paksa mereka walaupun ditolak beberapa kali. Mereka mungkin tidak berminat pada ajakan kali ini, tetapi mana tahu, mereka mahu pada ajakan seterusnya? 

Untuk kita yang normal ni, perlu banyak bersabar dan didiklah diri untuk memahami dan belajar sedikit sebanyak tentang mental health atau kesihatan mental. Sedar atau tidak, anda mungkin membantu mereka menghadapi kemurungan, keresahan dan menepis fikiran negatif. 

Percaya atau tidak, anda juga mungkin sumber inspirasi dan kekuatan mereka. Mereka pun sebenarnya mahu berasa bahagia dan gembira.  

Jika situasi semakin serius, maka anda perlu nasihati mereka untuk dapatkan bantuan profesional. Atau anda boleh juga menemani mereka pada janji temu pertama dengan doktor pakar. Kita harus ambil peduli dengan orang sekeliling, dengan sokongan yang kita berikan, keluarga atau rakan mampu “keluar” daripada bahaya depresi ini. 

Penulis; Aziha Aziz (freelance penulis artikel dan copywriter).

Facebook: Aziha Aziz

Blog: https://azihascribblings.blogspot.com/

RELATED ARTICLES

Most Popular