Sunday, April 19, 2026
HomeArtikelKeadaan Kewangan yang Menghimpit Pelajar Institusi Tinggi dan Cara Mengatasinya

Keadaan Kewangan yang Menghimpit Pelajar Institusi Tinggi dan Cara Mengatasinya

Kekangan kewangan adalah salah satu masalah bagi pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT). Masalah ini telah mengakibatkan emosi dan fikiran mereka terganggu, serta tidak fokus ketika di dalam dewan kuliah. Pada ketika ini, pelajar haruslah matang dalam mengharungi cabaran dan belajar bersungguh-sungguh untuk menamatkan pengajian walau apa pun dugaan yang mendatang.

Terdapat segelintir pelajar tidak teragak-agak untuk menamatkan pengajian mereka kerana tidak dapat menampung kos sara diri. Ada juga di antara mereka yang terpengaruh dengan pempengaruh di media sosial seperti Instagram dan Tiktok yang mempunyai jumlah pendapatan yang sangat lumayan tanpa menyambung pelajaran di peringkat tinggi.

Ianya tidak salah bagi pelajar untuk menceburi dalam bidang secara dalam talian, dan ianya telah terbukti bahawa pelajar juga boleh berjaya berniaga sambil belajar. Contohnya seorang  pelajar UiTM telah berjaya meraih keuntungan yang besar sehingga mencecah ratusan ribu hasil jualan dengan hanya menjual baju jersi.

Perniagaan dalam talian memang sangat menguntungkan jika perniagaannya berjaya, namun jika sebaliknya mereka akan menanggung kerugian. Lainlah bagi pelajar yang berjaya mencari pendapatan sendiri kerana mereka tidak akan mempunyai masalah untuk menampung kos sara diri di universiti.

Kehidupan di IPT sememangnya berbeza ketika di peringkat sekolah. Kos sara hidup bagi pelajar IPT sangatlah tinggi bagi pelajar yang tidak berkemampuan dan tidak mempunyai pendapatan sendiri, terutamanya pelajar yang tinggal di luar kampus. Mereka perlu menanggung kos pengangkutan ke kelas, sewa rumah, bil api dan air dan kos sara diri harian seperti makanan, peralatan belajar dan lain-lain. Ianya sangat beruntung bagi pelajar yang berjaya mendapat tajaan daripada mana-mana pihak biasiswa atas  keputusan peperiksaan yang cemerlang ketika SPM. Oleh itu, mereka juga tidak perlu memikirkan masalah kewangan bulanan.

Bagi pelajar yang mendapat tajaan biasiswa tersebut hanya perlu fokus dalam pelajaran dan menjaga pointer CGPA untuk meneruskan tajaan tersebut. Pelajar yang mendapat tajaan biasiswa seperti Young Talent Development Programme (YTP), Biasiswa Gadang dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), mereka akan ditaja sepenuhnya sepanjang tempoh pengajian.

Antara kos yang ditaja oleh biasiswa ialah yuran pengajian pada setiap semestar, duit saku bulanan, duit untuk pembelian buku dan tiket pulang ke rumah bagi pelajar Sabah dan Sarawak. Mereka yang mendapat tajaan biasiswa ini dikira bernasib baik kerana tidak perlu membayar kembali wang telah digunakan semasa pengajian.

Lain pula bagi pelajar yang mempunyai sumber pendapatan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kerana mereka perlu membuat pinjaman dan perlu membayar semula jumlah wang yang digunakan.

Realitinya, pelajar yang mempunyai sumber pendapatan daripada ibu bapa dan masih mempunyai adik-adik lain yang masih bersekolah, mereka hanya mempunyai wang saku bulanan yang cukup-cukup pada setiap bulan. Ianya bukan mudah bagi keluarga B40 untuk menjalani kehidupan di zaman serba moden kini. Oleh itu, setiap individu terutamanya pelajar IPT haruslah bijak mengatasi masalah kewangan untuk menjamin kehidupan kita di masa akan datang.

Bagi menangani masalah kewangan di kalangan pelajar, mereka perlu mengurus kewangan dengan bijak, mereka haruslah membuat pertimbangan antara kemahuan dan keperluan ketika membeli sesuatu. Kita haruslah membuang nafsu yang berlebihan ketika membeli barang jika barang tersebut adalah kemahuan kita semata-mata.

Dalam Islam, kita diajar untuk bersederhana dan tidak membazir kerana membazir itu amalan syaitan. Pepatah orang melayu juga mengatakan ‘ingat sebelum kena, jimat sebelum habis’. Daripada pepatah ini kita dapat simpulkan bahawa, kita harus bijak ketika membelanjakan wang dan simpan juga untuk kegunaan di kemudian hari kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari seperti ditimpa sakit teruk dan memerlukan kos rawatan yang tinggi, berlaku kecurian dan lain-lain.

Di samping itu, pelajar yang cergas dan aktif pasti mencari jalan untuk menambah pendapatan mereka. Mereka boleh lakukan seimbangkan antara kerja sambilan dan dalam pada masa yang sama tidak meninggalkan pelajaran ke belakang. Seperti pepatah melayu ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.

Jika kita mahukan sesuatu kita pasti akan buat dengan bersungguh-sungguh. Antara kerja yang boleh mereka lakukan ialah bekerja di kedai fotostat atau bekerja di kedai makan. Ianya bukan mudah bagi pelajar untuk membuat dua kerja dalam satu masa. Oleh itu, mereka perlu membuat perancangan harian yang efektif untuk memastikan pelajaran mereka tidak terjejas.

Jika pelajar itu tidak membuat kerja sambilan kerana kekangan waktu dan penat setelah pulang dari kelas, terdapat juga tip yang boleh digunakan oleh para penuntut universiti untuk berjimat cermat agar tidak membeli barang yang tidak sepatutnya. Antara tip tersebut ialah membuat catatan sebelum keluar membeli barang. Dengan membuat catatan kita akan lebih waspada daripada mengambil barang yang tidak perlu.

Kedua, jangan berhutang dengan mana-mana pihak kerana berhutang akan membebankan fikiran dan membuatkan kita stres. Ketiga, simpan wang di tempat yang selamat. Apabila kita simpan wang yang selamat, ianya dapat mengelakkan wang kita daripada dicuri. Keempat ialah bijak mengawal belanja harian. Kita haruslah tetap pendirian dan tidak mudah terpengaruh dengan rakan yang mungkin daripada keluarga yang kaya atau rakan yang mendapat tajaan biasiswa ketika berbelanja agar tidak berbelanja melebihi kemampuan diri sendiri.

Sebagai kesimpulannya, sebagai seorang pelajar, kita haruslah beringat dan waspada dengan perbelanjaan harian serta bijak dalam menguruskan kewangan. Kita mestilah menabung sejak dari awal walaupun hanya seringgit sehari untuk kegunaan pada masa yang akan datang. Ianya tidak salah untuk membelanjakan diri sendiri lebih sedikit pada bulan tertentu sebagai hasil ganjaran penat lelah setelah mendapat keputusan yang cemerlang, yang penting haruslah mempunyai simpanan agar kita tidak dibelenggu dengan masalah kewangan.

Penulis: Dina Aliah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) , Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular