Pendahuluan
Buku “Keagungan Tamadun Islam: Sejarah Yang Digelapkan” ini ditulis oleh Ahmad Yahya yang merupakan mantan pensyarah Tamadun Islam di Politeknik Ungku Umar, Ipoh. Buku ini diterbitkan pada tahun 2009 oleh Anbakri Publika Sdn Bhd. Ia mengandungi 192 halaman bercetak tidak termasuk helaian-helaian pada pengenalan buku.
Penulis buku ini iaitu Ahmad Yahya dilahirkan di Perak pada tahun 1936. Beliau pernah bertugas sebagai pensyarah di Tamadun Islam Politeknik Ungku Umar, Ipoh selama 11 tahun iaitu dari 1984 hingga 1995. Selain itu, beliau turut aktif menjalankan kegiatan dakwah melalui ceramah-ceramah di sekitar Kampar dan Ipoh Perak.
Gaya penulisan buku ini banyak membantu kita untuk mengetahui apakah sejarah yang telah digelapkan oleh pihak Barat dengan menyembunyikan fakta-fakta dan mendakwa segala kemajuan yang dimiliki oleh mereka adalah hasil pemikiran dan titik peluh mereka sendiri. Padahal ketidakjujuran Barat dalam mendokumentasi fakta-fakta sejarah merupakan suatu jenayah intelektual yang telah disembunyikan oleh mereka.
Penulisan ini juga telah membuka ruang kepada kita untuk berfikir kembali yang sebenarnya umat Islam tidaklah mundur sebagaimana yang digambarkan oleh Barat. Dalam bidang-bidang utama seperti fizik, kimia, perubatan, falak botani, matematik dan sebagainya, Umat Islam sebenarnya yang mula mencetuskan revolusi apabila memulakan cetusan idea ketamadunan dan teknologi. Namun hasil dan cetusan ini diciplak dan ditiru oleh pihak barat. Banyak fakta-fakta ini tidak sampaikan kepada kita oleh Barat disebabkan permusuhan mereka dengan Umat Islam sejak dari dahulu lagi.
Penyusunan Bab
Penyusunan bab dalam buku ini dibahagikan kepada 16 bab tidak termasuk kata-kata aluan dari penulis, penerbit dan juga sedikit titipan daripada (Almarhum) Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Namun begitu untuk ulasan ini, pecahan bab tersebut boleh dirangkumkam kembali berdasarkan kesinambungan antara pecahan-pecahan bab asal iaitu Tentang Tamadun Islam (bab satu, bab dua dan bab tiga). Tentang Tamadun Islam di Eropah (bab empat hingga bab tujuh). Tentang penerokaan bidang ilmu Islam (bab 8 hingga bab 15) dan Resolusi atau penutup pada bab 16.
Bab satu
Bagi memulakan perbahasan tentang topik utama Keagungan Tamadun Islam, penulis telah menghuraikan secara ringkas tentang pengertian Tamadun Islam, susur galur Tamadun Islam dan keunggulan Tamadun Islam pada bab 1 hingga bab 3. Oleh yang demikian, pengertian Tamadun Islam bolehlah disimpulkan sebagai kemajuan yang dicapai oleh umat Islam bukan sahaja dari aspek kebendaan tetapi juga dari aspek kerohanian yang berpandukan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Berbeza dengan tamadun-tamadun lain, Tamadun Islam lahir daripada penghayatan terhadap kehidupan agama Islam itu sendiri sehingga membentuk satu tatacara kehidupan yang sempurna meliputi dunia dan akhirat. Dalam maksud yang lain, agama Islamlah yang melahirkan tamadun Islam itu berbanding agama lain di mana tamadun mereka melahirkan agama mereka seperti yang berlaku kepada tamadun Yunani dan tamadun Rome.
Kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w telah mencetuskan satu perubahan besar kepada sejarah dunia melalui ajaran-ajaran yang dibawa oleh baginda. Keadaan ini telah melahirkan tokoh-tokoh Islam yang terkemuka yang menjadi pelopor kepada bidang ilmu yang ada pada masa kini seperti fizik, kimia, perubatan, astronomi, matematik dan cabang-cabang ilmu yang lain. Hal ini sudah tentulah berasaskan seruan daripada sumber utama umat Islam iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah yang menyeru ke arah tuntuan mencari dan menyebarkan ilmu kepada masyarakat.
Kemajuan dan ketinggian nilai Tamadun Islam adalah melalui dua asas utama iaitu melalui peranan Bahasa Arab dan peranan Agama Islam itu sendiri. Dalam hal ini, bahasa Arab memainkan peranan yang besar sebagai kunci ilmu pengetahuan yang kaya dengan kata kunci dan perbendaharaan. Bahasa Arab juga sebagai medan berkembangnya istilah-istilah yang banyak digunapakai sehingga kini seperti dalam bahasa Parsi, Turki, Urdu dan bahasa Melayu. Sebagai contoh banyak istilah-istilah bahasa Melayu yang dipinjamkan oleh bahasa Arab dalam penggunaan kita masa kini seperti perkataan adil, faham, dakwah, zalim, rezeki, rakyat, jiran, jahil dan banyak lagi istilah-istilah lain.
Dalam hal ini, Syed Naquib al-Attas pernah menegaskan tentang peranan Bahasa Arab yang membawa kepada Islamisasi di Alam Melayu yang membawa perubahan besar terhadap terhadap pandangan alam di alam Melayu sendiri. Syed Naquib al-Attas juga menyimpulkan bahawa terdapat dua elemen utama dalam proses Islamisasi umat Melayu hasil daripada kemasukan Islam di Alam Melayu iaitu kemasukan elemen pemikiran rasional daripada agama Islam yang merupakan tenaga yang mengubah corak pemikiran orang Melayu daripada alam mitos yang penuh dengan khayalan terhadap dewa dan raksasa seperti dalam ajaran agama Hindu-Buddha kepada pemikiran yang logikal, rasional dan waras seperti dalam ajaran Islam. Selain itu, telah berlaku juga satu perubahan kosa kata dan ungkapan dan istilah Arab/Islam sebagaimana yang dijelaskan melalui istilah-istilah di atas.
Dalam pada itu juga, kemajuan dan ketinggian nilai Tamadun Islam di capai melalui peranan Agama Islam itu sendiri sebagai suatu agama kedamaian dan agama yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Namun ada di kalangan orientalis Barat memburukkan Islam dengan menganggap Islam tersebar di kebanyakan negara adalah melalui mata pedang. Namun begitu pendapat ini disangkal sendiri oleh orientalis dalam kalangan mereka sendiri bernama Becker yang menyatakan mereka ini telah menyimpang jauh daripada hakikat kebenaran.
Dalam perkembangan Islam, banyak bukti-bukti menunjukkan Islam berkembangan atas dasar kedamaian apabila pendakwah-pendakwah bertolak ansur dengan penduduk setempat di negara yang ditakluki. Mereka juga tidak pernah memaksa penduduk setempat untuk menganut sesuatu agama tertentu. Inilah keistimewaan yang tidak pernah ditonjolkan oleh pihak Barat sehingga kini disebabkan oleh keegoan mereka dan dendam mereka terhadap umat Islam sejak dari dahulu lagi.
Bab Dua
Selanjutnya dalam bab dua, penulis membincangkan tentang susur galur Tamadun Islam yang berkembang disebabkan sifatnya yang fleksibel yang boleh menyesuaikan diri dengan sesuatu yang boleh diambil daripada sumber-sumber luar dan diolah mengikut acuan itu sendiri. Sebagai contohnya, di Alam Melayu sendiri terdapat beberapa adat dan amalan lama yang disesuaikan dengan Islam itu sendiri. Ini bagi meraikan penduduk setempat yang tidak mahu menolak sepenuhnya amalan-amalan yang tidak bertentangan dengan agama Islam.
Selain itu juga, susur galur Tamadun Islam juga mengambil sesuatu yang positif daripada tamadun lain. Namun ini tidak bermakna ia dipindahkan elemen-elemen tersebut begitu sahaja tanpa membuat penilaian dan tapisan-tapisan tertentu bahkan melalui pendekatan ini, Tamadun Islam telah berjaya memperbetulkan beberapa kekeliruan dan kesilapan yang dilakukan oleh golongan terdahulu dalam pembinaan tamadun mereka.
Bab Tiga
Manakala untuk bab tiga, penulis membincangkan tentang beberapa keunggulan Tamadun Islam yang berkembang di kebanyakan negara atau wilayah. Orang Islam tidak sama dengan bangsa lain seperti bangsa Mongol yang melakukakan kekejaman terhadap negara yang ditawan dengan membakar kitab-kitab ilmu pengetahuan sesuatu bangsa. Negara-negara yang bernaung di bawah kepimpinan Islam tidak pernah dipaksa ataupun diugut menganut agama tertentu malahan mereka diberi kebebasan beragama. Islam juga bersifat adil kepada negara naungannya. Tiada harta yang dirampas. Pembukaan sesebuah negara Islam yang baharu juga telah membuka peluang dengan memajukan pelbagai bidang terhadap negara yang didudukinya seperti perindustrian, pertanian, perniagaan, perdagangan, pelayaran dan sebagainya.
Dalam pada itu juga telah berlaku perkembangan ilmu yang pesat ketika perkembangan tamadun Islam susulan daripada penghayatan daripada intipati al-Qur’an dan al-Sunnah seperti ilmu Tafsir, Ulum Hadis, Fiqh, Usul Fiqh dan lain-lain. Ibn Khaldun merupakan antara tokoh sosiologi dan sejarah umat Islam yang memainkan peranan penting dalam perkembangan ilmu pada zamannya hinggalah kini. Manakala peranan khalifah Makmum yang mengasaskan Baitul Hikmah di Baghdad pada tahun 830 Masihi merupakan antara usaha penting perkembangan ilmu dalam ketamadunan Islam.
Bab Empat
Selanjutnya Ahmad Yahya dalam penulisan bab seterusnya membincangkan tentang tamadun Eropah yang mengalami zaman kegelapan antara abad ke 12 hingga abad ke 15 masihi. Suasana Eropah pada waktu tersebut digambarkan penuh dengan kemunduran dan kegelapan. Ini disebabkan konkongan gereja dan paderi yang menjadi faktor penghalang rakyatnya untuk mempelajari ilmu-ilmu duniawi. Rakyat disogokkan dengan kisah-kisah dongeng dan khurafat sehingga menyebabkan terbantutnya perkembangan pemikiran tamadun Eropah. Tamadun Eropah jauh ketinggalan berbanding Tamadun Islam yang pada masa tersebut telah berkembang pesat dari segi keilmuwannya. Hal ini bertambah teruk apabila serangan daripada kaum Viking yang meluaskan jajahan mereka di sebahgaian besar negara Eropah. Sementara di Eropah tengah mereka menghadapi serangan daripada golongan puak Hungary dan Majari yang datang menghancurkan apa sahaja yang mereka temui dalam perjalanan mereka ke Eropah Tengah.
Bab Lima dan Enam
Dalam bab ke lima dan enam pula membincangkan tentang perkembangan Tamadun Islam di Eropah yang disertai dengan aktiviti penterjemahan yang pesat. Tamadun Islam melebarkan perkembangan di Eropah pada akhir abad ke 11 Masihi melalui beberapa saluran tertentu. Antaranya melalui penaklukan negara Sepanyol dan Kepulauan Sicily, Peperangan Salib dan hubungannya dengan Timur Tengah. Kedatangan Islam di Sepanyol telah membuka ruang yang baru di Eropah. Orang Islam membangunkan, meneroka dan memajukan kota Andalus sehingga berjaya menjadi sebuah kota yang dikenali dengan tamadun dan senibina yang tinggi. Kesannya boleh dilihat melalui ukiran-ukiran dan bangunan yang masih wujud pada masa sekarang.
Selanjutnya kota Cordova pula dijadikan ibu kota atau pusat pemerintahan Bani Umayyah yang merupakan bandar termaju pada zaman itu. Keadaan ini digambarkan apabila lebih daripada 200,000 rumah didiami oleh penduduk yang berjumlah kira-kira sejuta orang. Antara perkara penting yang menjadi pemangkin kejayaan khalifah Islam menakluki Eropah pada waktu tersebut adalah disebabkan sifat dan sikap tolak ansur dan menghormati orang lain serta mengiktiraf golongan yang bukan Muslim menjadi warganegara yang terdiri daripada golongan Nasrani, Yahudi dan orang-orang Arab yang berketurunan Sepanyol.
Sementara itu Pulau Sicily merupakan sebuah pulau yang memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu Islam di Eropah Barat. Kesan pembangunan di Pulau Sicily dapat dilihat sehingga hari ini walaupun ia telah lama dibina. Manakala kesan Perang Salib di Timur Tengah tidak banyak membawa perubahan kepada negara Eropah kerana tentera salib yang datang menyerang negara Islam bukan bertujuan untuk mencari ilmu pengetahuan tetapi lebih kepada permusuhan dan ingin memerangi orang Islam semata-mata.
Namun begitu, kepesatan aktiviti penterjemahan yang berlaku pada pertengahan kurun ke 12 Masihi banyak membawa perubahan kepada penduduk Eropah. Kota Andalus adalah sebuah pusat terjemahan untuk karya-karya daripada bahasa Arab ke bahasa Latin. Hal yang sama juga berlaku di Pulau Sicily. Kedua-dua bandar ini menjadi pusat penterjemahan yang terbesar pada waktu tersebut. Beberapa orang penduduk tempatan sendiri seperti Dominicus, Gondisalvi, Patrus, Alphonsi, John of Seville dan Abraham Ezra merupakan antara penterjemah Ensiklopedia Arab ke bahasa sepanyol.
Bab Tujuh dan Lapan
Pencapaian Tamadun Islam di Eropah telah berlaku dengan pesat sekali. Ini digambarkan dalam bab ketujuh buku ini apabila sebahagian daripada kemajuan orang-orang Islam dalam bidang sains telah diiktiraf oleh pihak Barat. Ia meliputi pelbagai aspek ilmu pengetahuan sains dan tekonlogi. Kajian-kajian dan pencapaian tokoh-tokoh Islam banyak meninggalkan kesan terhadap orang Eropah dalam pelbagai bidang seperti kimia, fizik dan perubatan.
Dalam bidang fizik, Qutb al-Din al-Shirazi merupakan pakar tentang kuasa graviti. Beliau menulis kitab ‘Nihayatul al-Idrak’ iaitu kuasa tarikan graviti di mana kitab ini ditulis sebelum Isaac Newton mengeluarkan pendapatnya yang terkenal tentang kuasa graviti yang digunakan pada masa kini.
Dalam pada itu juga Ibnu Haitam (965-1020) merupakan tokoh yang terkenal dalam bidang bidang optik, kanta pembesar, cermin & kaji cahaya. Beliau menulis kitab ‘Al-Manazir’ tentang cahaya yang telah membuktikan kesilapan teori yang dibuat oleh Batolemos Alcecondry.
Al-Hazim Basri (965-1038) pula pakar tentang cermin & praktikal teori tentang kuasa tarikan magnet. Beliau tulis buku ‘Mizan al-Hikmah’ yang jadi rujukan penting dalam ilmu fizik sampai diterjemahkan ke banyak bahasa untuk dijadikan rujukan ahli-ahli sains Eropah.
Manakala Ibnu Sina dengan gelaran Avicenna di Eropah adalah orang pertama yang mulakan kajian tentang gerak tenaga kekosongan (vakum), cahaya & panas. Risalah beliau tentang galian, perlombongan, lapisan bukit, kejadian bukit & gunung, menjadi sumber rujukan orang Eropah masa kurun ke-13. Tapi kitab terkenal beliau ‘Shifa an-Nafsi’ yang berjumlah 18 jilid adalah ensiklopedia ilmiah terbesar yang meliputi matematik, fizik, politik, muzik & lain-lain.
Dalam bidang kimia, Jabir al-Hayyan atau digelar sebagai Gaber di Eropah memiliki kepakaran dalam bidang kimia dan berjaya mengkaji beberapa unsur-unsur racun. Tulisannya tentang kimia adalah berkaitan berkaitan sulfur, asid dan alkohol yang kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Latin. Kitab beliau yang terkenal adalah “Al-Istitman” sehingga kitab ini diterjemahkan ke bahasa Perancis pada tahun 1672. Selanjutnya pada kurun ke-18 pula, kitab “Al-Sabaaen” pula diterjemahkan. Selain itu juga, Orang Eropah menganggap beliau menyaingi Aristotle dalam bidang ilmu mantik.
Manakala dalam bidang Matematik, al-Khawarizmi adalah seorang tokoh yang memiliki kepakaran dalam bidang algebra. Beliau mencipta kaedah algebra dan kaedah sifir yang masih digunakan sehingga kini.
Sementara dalam bidang perubatan, Tamadun Islam berjaya melahirkan ramai tokoh-tokoh perubatan yang bukan sahaja dari kalangan kaum lelaki bahkan juga dari kalangan kaum wanita. Antara pakar perubatan wanita yang terkenal pada zaman tersebut adalah saudara perempuan Alhapid Bin Zahir Andalus dan anak perempuannya. Kedua mereka ini adalah pakar dalam bidang perubatan yang banyak merawat pesakit terutamanya dari kalangan kaum wanita. Profesyen perubatan pada zaman pemerintahan Islam zaman tersebut tidak terhad di kota-kota besar sahaja, bahkan juga meliputi seluruh masyarakat negara pada waktu tersebut termasuklah kepada golongan banduan yang berada di penjara.
Al-Razi (865-925) adalah seorang doktor perubatan yang banyak mengarang buku berkaitan dengan penyakit ketumbuhan dan juga campak. Karya beliau menjadi rujukan penting di Eropah hingga beberapa zaman selepasnya. Sementara karya al-Kanun beliau dianggap sebagai buku teragung dalam bidang kedoktoran dan perubatan sehingga orang Eropah menganggap karya tersebut adaah sebaik-baik karya yang pernah diterbitkan.
Selain itu, Ibn Sina juga adalah antara tokoh terkenal dalam dunia perubatan Islam yang mewarnai dunia Eropah. Beliau mempunyai pengaruh yang besar dalam bidang sains di Fakulti Kedoktoran, Universiti Eropah bahkan Ibn Sina juga terkenal dalam bidang-bidang lain seperti falsafah, kejuruteraan, falak, teologi dan linguistik. Dalam pada itu, juga Jabril ibn Bukhtisu merupakan pakar dalam penyakit jiwa. Beliau pernah merawat seorang hamba Khalifah Harun al-Rasyid yang diserang histeria.
Bidang Astronomi Islam juga telah mengetengahkan ketokohan ilmuwan Islam melalui karya-karya dan pencapaian yang telah dihasilkan oleh mereka. Ini diterangkan dalam bab lapan buku ini di mana tujuan pembelajaran ilmu Astronomi Islam adalah berbeza dengan tamadun sebelumnya yang banyak dibanyangi oleh benda-benda syirik dan khurafat. Susunan ilmu pada zaman Islam lebih praktikal berdasarkan kajian-kajian dan bukti yang bukannya berdasaran andaian dan sangkaan semata-mata.
Bab Sembilan
Bab sembilan pula mengetengahkan tentang bidang botani dalam ketamadunan Islam. Ketokohan al-Biruni tidak dapat disangkal lagi dalam bidang tersebut. Beliau banyak menulis tentang ilmu tumbuh-tumbuhan sehingga mencecah 180 buah. Atas usaha tesebut beliau amat terkenal di Eropah sehinggakan banyak karya-karya beliau masih lagi dirujuk sehingga kini. Namun kita dapati ketokohan al-Biruni sengaja disembunyikan oleh Barat atas faktor-faktor tertentu.
Bab Sepuluh
Dalam pada itu juga, umat Islam amat terkenal dalam bidang Matematik. Ini dijelaskan oleh penulis dalam bab ke sepuluh buku ini di mana orang Islam jauh meneroka bidang matematik dan maklumat-maklumat yang diperoleh oleh orang Yunani. Banyak sumbangan yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh seperti al-Khawarizmi, al-Batani, Ibn Khayyam dan lain-lain tokoh terhadap pembangunan disiplin ilmu matematik dan fizik sehingga berkembang pada masa kini.
Bab Sebelas dan Dua Belas
Keunggulan Tamadun Islam juga terserlah melalui penguasaan dalam bidang falsafah dan kesusasteraan. Ini dibincangkan dalam bab 11 dan bab 12 karya ini. Ibn Majah, Ibn Tufayl dan Ibn Rusyd merupakan antara ahli falsafah yang berpengaruh di Eropah ketika pemerintahan Islam di Sepanyol. Pemikiran tokoh-tokoh ini banyak mempengaruhi cara pemikiran Barat. Sebagai contoh, Ibn Rusyd yang memperkenalkan pemikiran bebas dianggap sebagai ikon kebebasan berfikir masyarakat Eropah. Kesan pemikiran Ibn Rusyd diiktiraf dalam kalangan orang-orang Barat di mana terdapat ramai di kalangan masyarakat yang sanggup meninggalkan ajaran-ajaran gereja dan menggunakan prinsip kebebasan berfikir sebagaimana yang diperkenalkan oleh Ibn Rusyd.
Selain itu juga, Ibn Arabi yang terkenal dengan falsafah kesufian merupakan antara tokoh yang disanjung oleh masyarakat Eropah sehinggakan ada orientalis menyebut sebahagian besar idea Dante tentang keagamaan dan akhirat adalah bersumberkan buku-buku Ibn Arabi.
Bidang kesusasteraan juga banyak mewarnai masyarakat Eropah melalui prosa-prosa Arab yang mengisahkan tentang keindahan cinta, peristiwa penting yang berlaku, kisah-kisah pahlawan yang penuh dengan khayalan dan cerita yang menarik. Contohnya dalam bahasa Sepanyol sendiri terdapat banyak perkataan Arab yang digunakan dalam kehidupan seperti acirat (sirat), adalid (dalil), al-bornoz (al-barnaz) dan lain-lain lagi.
Seorang penulis Sepanyol yang bernama Carvantes semasa zaman Shakespeare (1547-1616) dianggap sebagai novel teragung pada zamannya di mana jalan ceritanya banyak dipengaruhi oleh ideologi Arab di Andalus. Manakala Cerman G Yaakob mengesahkan tentang kisah Robinson Crusoe adalah saduran daripada cerita Hayy ibn Yaqzan yang ditulis oleh Ibn Tufayl.
Bab Tiga Belas
Bab 13 pula menceritakan tentang perdagangan dan pelayaran Islam (geografi). Perkembangan tamadun Islam dipelbagai negara telah juga menyebabkan berkembangnya kemajuan dalam bidang pelayaran dan geografi. Orang Islam mengembara dan berdagang dari satu negara ke negara yang lain. Hal ini merupakan antara faktor utama penguasaan orang Islam dalam bidang geografi. Orang Eropah banyak terhutang budi dengan masyarat Islam dalam bidang geografi. Terdapat banyak karya-karya yang ditulis oleh orang Arab dalam bidang pelayaran di mana sebahagian daripada karya tersebut diterjemahkan dalam bahasa Latin. Al-Mas’udi, Ibn Hauqal, al-Biruni, Ibn Batuta dan al-Maqdisi merupakan antara tokoh dan pakar dalam ilmu geografi.
Dalam bidang muzik, umat Islam juga berjaya menerokai dan menguasainya sehingga mempengarui Eropah dalam penyusunan lagu, keharmoniaan irama ataupun dalam perkembangan not-not muzik. Penjelasan ini dibahaskan dalam bab 14 di mana al-Kindi, Ibn Sina, al-Farabi dan al-Mukmin antara pelopor keseniaan muzik dalam Tamadun Islam. al-Kindi menulis banyak karya dalam bidang muzik. Antaranya adalah menyusun tentang simfoni dan harmony of sound. Sementara al-Farabi yang dikenali sebagai Faribus di Eropah merupakan perintis kepada penciptaan alat muzik yang bernama kanon.
Pada Era Pemerintahan Islam di Sepanyol, ramai dalam kalangan pelajar Eropah yang datang ke Cordova bagi mempelajari bidang muzik. Banyak karya-karya Arab diterjemahkan ke bahasa Latin. Boleh dikatakan terdapat titik persamaan antara muzik Timur dengan muzik Sepanyol.
Sementara dalam kesenian Islam juga telah melahirkan beberapa cabangnya yang tersendiri yang memberi kesan kepada perindustrian, perumahan, dekorasi ataupun seni gubahan. Hal ini dijelaskan dalam bab 15 buku ini di mana kebudayaan Eropah telah memanfaatkan keseniaan Islam dalam membuat kain, perusahaan kulit, kertas, tembikar dan kaca. Senibina Islam pada binaan, bangunan dan kediaman merupakan antara kesan yang masih dapat dilihat di Eropah sebagaimana yang terdapat di Istana al-Hambra. Ini membuktikan betapa kemahiran umat Islam yang tidak ternilai dalam pembinaan sesebuah ketamadunan.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, buku ini telah berjaya menyampaikan mesej tentang ketinggian Tamadun Islam dalam konteks teknologi dan ketamadunan di mana selama ini kita digelapkan oleh fakta bahawa Barat yang merujuk kepada proses pembaratan adalah “Bapa kemodenan” untuk manusia di atas bumi ini. Namun melalui penjelasan yang telah dilakukan oleh penulis ini telah menukar persepsi kita bahawa selama ini sejarah umat Islam telah digelapkan oleh mereka demi kepentingan diri mereka sendiri tanpa memberi kredit dan penghargaan kepada tokoh-tokoh Islam yang membantu mereka mencapai kemajuan yang dikecapi oleh mereka.
Rujukan
- Syed Muhammad Naquib Al-Attas (1972). Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: UKM.
- Adibah Sulaiman & Mashitah Sulaiman (2009). Tamadun Islam Dan Tamadun Asia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia.
- Hashim Musa et al (2013) Bahasa Melayu dan Konsep Kebenaran Ilmu Berdasarkan Pandangan Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam jurnal Kemanusiaan bilangan 20, No. Johor Bahru: Penerbit UTM
- Sazelin Arif, et al (2007), Tamadun Islam dan tamadun Asia. Shah Alam : McGraw Hill (Malaysia).
- Mahmood Zuhdi Haji Abdul Majid (2000). Tokoh-tokoh Kesarjanaan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
HANTAR ARTIKEL:
Sekiranya anda berminat untuk
menjadi penulis di laman web
ini, klik sini untuk maklumat
selanjutnya.
- BACA JUGA: Kisah Kesungguhan Imam Syafie Dalam Menuntut Ilmu dan Cara Beliau Beradab Terhadap Guru
- BACA JUGA: Kisah Inspirasi Imam Tirmidzi Yang Boleh Dijadikan Tauladan Buat Penuntut Ilmu Masa Kini
Jangan Lupa Like dan Follow Page The Inspirasi