Wednesday, October 4, 2023
HomeArtikelKeberkesanan Pemupukan Perpaduan Melalui Sukan Di Kalangan Rakyat Berbilang Kaum Di Malaysia

Keberkesanan Pemupukan Perpaduan Melalui Sukan Di Kalangan Rakyat Berbilang Kaum Di Malaysia

Sukan merangkumi aktiviti fizikal yang dijalankan di padang ataupun gelanggang untuk pelbagai tujuan seperti pertandingan, keseronokan, kemahiran, kecemerlangan dan pembangunan. Perbezaan tujuan ini yang membezakan sifat sesuatu sukan.

Rakyat Malaysia, secara keseluruhannya mempraktikkan sukan dalam kehidupan seharian mereka terutamanya pada waktu petang. Objektif aktiviti fizikal sebegini bukan sahaja untuk mengekalkan kesihatan diri tetapi juga mampu membina hubungan silaturahim antara keluarga dan rakan.

Namun, persoalan yang sering bermain di benak fikiran iaitu adakah sukan ini mampu untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia?

Terdapat isu di mana generasi muda sekarang lebih suka bersukan atau beriadah mengikut kaum masing-masing tanpa menghiraukan kaum lain. Sebagai contoh, di kawasan kediaman dan sebagainya.

Sukan tidak pernah mengkaji tentang latar belakang agama, keturunan, kepercayaan dan batasan. Hal ini demikian kerana, ia boleh mengganggu interaksi antara pemain, penyokong, pengurusan dan masa.

Namun demikian, sebagaimana yang pernah berlaku di liga bola sepak luar negara, sukan juga telah menjadi isu provokasi perkauman yang boleh memecahbelahkan perpaduan masyarakat di negara itu.

Sehingga hari ini, terdapat pelbagai anjuran sukan yang dijalankan di Malaysia. Antaranya ialah Sukan Malaysia (SUKMA) yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan terdapat juga program yang bertemakan ‘Sukan Menjana Perpaduan’ oleh Sukma XV yang diadakan di Pahang. Selain itu, contoh sukan semasa yang berlangsung baru- baru ini iaitu Sukan Olimpik Musim Panas 2020 yang dianjurkan di Tokyo, Jepun.

Meskipun temasya Olimpik pada tahun ini sedikit berbeza dari segi suasananya berbanding tahun sebelum ini, namun ia bukan penghalang untuk atlet terus berjuang untuk meraih pingat dalam acara sukan yang dipertandingkan.

Buktinya, Malaysia berjaya meraih satu pingat perak menerusi Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin lelaki dan juga pingat gangsa melalui gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dalam acara badminton beregu lelaki.

Walaupun tidak mencapai sasaran tiga pingat dalam temasya Olimpik Tokyo ini, namun Malaysia tetap berbangga dengan pencapaian yang memuaskan dalam setiap acara yang dipertandingkan oleh para atlet Malaysia.

Tambahan pula, kemunculan atlet muda yang mewakili Malaysia seperti Nur Dhabitah Sabri (terjun), Syaqiera Mashayikh (memanah), Azreen Nabila Alias (olahraga), Lee Zii Jia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik (badminton) telah memberi sedikit sebanyak sinar harapan kepada Malaysia untuk merangkul pingat pada kejohanan Olimpik yang akan datang.

Sebagaimana contoh yang diberikan, ini membuktikan aktiviti sukan yang melibatkan pelbagai etnik dapat memberi peluang kepada mereka untuk bekerjasama sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain.

Di samping itu juga sukan dapat mengikis segala jenis gejala sosial yang kurang diingini dalam pembangunan negara seterusnya menyumbang ke arah perpaduan negara.

Pepatah mengatakan ‘badan sihat otak cerdas’ merujuk kepada sukan yang mampu melahirkan generasi cergas yang mana bukan sahaja dari segi jasmani dan rohani malah menjadi asbab pengukuhan kesejahteraan dan keharmonian dalam masyarakat untuk memastikan perpaduan terus utuh dalam kepelbagaian kelompok etnik di Malaysia.

Misalnya, perpaduan di antara para atlet yang menyertai sesuatu pertandingan sukan di mana mereka secara langsungnya akan berkumpul terlebih dahulu di kem latihan untuk mempersiapkan diri mereka seperti makan, tempat tidur, berehat dan berlatih bersama – sama dengan atlet yang lain. Sifat persefahaman yang erat serta bertolak ansur dapat dilahirkan melalui pergaulan dan interaksi antara para atlet dari pelbagai kaum.

Impaknya, para atlet akan bertungkus lumus untuk bersatu hati dan saling membantu antara satu sama lain untuk menjayakan misi Negara iaitu membawa pulang pingat dan seterusnya mengangkat martabat Malaysia ke mercu yang lebih tinggi.

Sukan bukan sahaja mampu melahirkan perpaduan dalam kalangan atlet malah mendorong rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk bersatu padu menyokong para atlet dalam sukan yang dipertandingkan di stadium mahupun gelanggang sukan.

Walaubagaimanapun, situasi sekarang di mana munculnya wabak baru yang meragut banyak nyawa iaitu ‘Coronavirus’ atau Covid-19 yang menjadi asbab kegiatan sukan pada masa sekarang sedikit berbeza berbanding sukan pada tahun sebelumnya. Salah satu daripadanya ialah rakyat tidak dapat turut serta untuk menyokong para atlet di stadium mahupun gelanggang sukan disebabkan oleh mereka harus mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Namun hal ini tidak mematahkan semangat kesukanan rakyat Malaysia kerana mereka masih lagi boleh memberi sokongan kepada atlet melalui paparan skrin televisyen di rumah masing-masing atau mengikuti perkembangan semasa melalui media massa.

Akhir sekali, sukan menjadi wadah penting dalam mewujudkan integrasi masyarakat yang berbilang kaum di Negara ini tidak kira apa jua sukan sama ada bola sepak, badminton ataupun olahraga. Semua pihak haruslah memainkan peranan yang penting untuk memastikan program sukan di Malaysia diadakan secara berterusan dari semasa ke semasa walaupun dengan norma baharu yang disebabkan oleh Covid-19 ini.

Hal ini demikian supaya semangat kesukanan dapat diterapkan dalam diri setiap rakyat dengan lebih mendalam. Sebagai contoh, program Hari Sukan Negara dan 1 Murid 1 Sukan yang boleh melibatkan orang awam untuk menyertainya dengan mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

Sekiranya setiap negara menekankan peranan sukan dalam membentuk hubungan global yang baik, keamanan negara dapat dicapai seterusnya mewujudkan hubungan diplomatik antara sebuah negara dengan negara yang lain.

Penulis; Nur’syazwani binti Jamal Mohamad, Pelajar Tahun 1 Kelab Integrasi Komuniti Universiti Sains Islam Malaysia
RELATED ARTICLES

Most Popular