Wednesday, September 27, 2023
HomeArtikelKeburukan Buli Siber Dan Cara Mengatasinya

Keburukan Buli Siber Dan Cara Mengatasinya

Penggunaan internet semakin hari semakin berleluasa dalam kehidupan manusia di seantero dunia terutamanya dalam kalangan remaja. Saban hari, ia seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Tidak dapat dinafikan bahawa Internet mempunyai impak yang sangat besar kepada manusia.

Internet menjadi medium yang paling penting untuk seseorang mendapatkan segala maklumat serta dapat berhubung dengan dunia luar kerana semuanya berada di hujung jari. Ia sangat berbeza berbanding dengan zaman dahulu.

Kita boleh berkomunikasi melalui pelbagai platform di media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter, dan lain-lain. Saya percaya bahawa generasi kini amat arif tentang penggunaan Internet. Dengan hanya sekali klik sahaja, kita boleh memperoleh pelbagai maklumat dengan pantas. Namun begitu, terdapat sesetengah masyarakat sering menyalahgunakannya.

Penyalahgunaan Internet akan memberi kesan negatif kepada penggunanya. Pada masa kini, jumlah kes buli siber semakin berleluasa dan sangat membimbangkan banyak pihak. Hal ini kerana penggunaan Internet banyak dipelopori oleh golongan remaja berbanding golongan dewasa. Ini terjadi ekoran daripada remaja yang sering menghabiskan masa di hadapan komputer.

Gejala buli siber ini  mempunyai kesan segera dan meluas memandangkan serangan pembuli boleh berlaku dalam masa 24 jam sehari dan dengan kapasiti yang sangat luas. Dalam artikel ini, saya akan mengetengahkan realiti buli siber dan cara mengatasinya.

Apa itu buli siber? Buli siber atau dikenali sebagai penindasan siber; berlaku apabila  pengganggu atau pembuli menggunakan teknologi moden; peranti elektronik seperti telefon pintar, tablet, komputer, atau teknologi lain untuk mengirim teks, video atau imej bertujuan memalukan orang lain.

Kesan terburuk daripada buli siber ialah orang yang dibuli berasa tidak selamat di mana sahaja – bahkan di rumah mereka sendiri. Hal ini menyebabkan kebimbangan yang berterusan serta  mangsa buli sukar untuk mendapatkan perlindungan.

Selain itu, maklumat yang dikongsi ini kebiasaannya bersifat terbuka. Oleh yang demikian, sebarang perkongsian negatif dalam laman ini akan sentiasa menghantui mangsa buli yang mendatangkan trauma berpanjangan sehinggakan mangsa sukar melupakannya. Di samping itu, buli siber terlalu sukar untuk dikenal pasti kerana tidak berlaku di depan mata selain mangsa buli sukar berterus-terang kerana merasa terhina dan malu.

Faktor-faktor Buli Siber

Terdapat beberapa faktor berlakunya kes buli siber ini. Antaranya ialah pembuli siber kurang mendapat perhatian serta kasih sayang daripada keluarga mahupun orang terdekat. Oleh yang demikian, mereka cuba mencuri perhatian daripada orang ramai untuk dijadikan mangsa dengan mengirimkan teks seperti kata-kata hinaan serta ugutan kepada mereka. Dengan cara itu, mereka berasa lebih puas dan secara tidak langsung dapat menarik perhatian ramai.

Selain itu, pembuli kurang mendapat didikan serta pengetahuan agama yang cetek dalam diri mereka. Sebagai contoh, mereka menghina orang dengan kata-kata yang lucah, mengedar gambar yang tidak sepatutnya, membuka aib seseorang dan sebagainya. Perbuatan seperti ini amatlah memalukan dan sangat ditegah dalam agama. Hal ini boleh menyebabkan mangsa berasa malu dan tertekan lalu mungkin mengambil keputusan drastik dengan melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya terjadi.

Kesan Buli Siber

Kes buli siber ini amat memberi kesan yang mendalam kepada mangsa baik dari segi emosi, fizikal mahupun mental. Ini termasuklah depresi, kemurungan, kurang bersosial dan rasa kehilangan harga diri.

Kesan fizikal kepada mangsa termasuklah gangguan pada pola makan dan tidur. Hal ini menyebabkan mangsa akan sentiasa berasa penat dan kelelahan. Mangsa juga sering melakukan perbuatan melukakan dan mencederakan diri sendiri sehingga akhirnya jika tidak dibendung akan mengakibatkan bunuh diri.

Jika difikirkan, perbuatan buli siber ini lebih bahaya daripada membuli secara fizikal kerana pembuli siber bukan sahaja merahsiakan identitinya tetapi boleh membuli mangsanya tidak kira masa. Pelbagai reaksi telah diberikan oleh masyarakat terhadap isu seperti ini. Ada yang menyokong dan ada juga yang tidak mengendahkannya.

Jenayah siber ini pada kebiasaannya berpunca daripada ketidakpuasan hati seseorang terhadap individu tertentu sama ada atas sebab perilaku, kemewahan, penampilan dan sebagainya yang ada pada mangsa.

Penggunaan teknologi yang tiada hadnya menjadikan pembuli siber lebih agresif dalam mendera mangsa dengan menggunakan kata-kata negatif bertujuan untuk menyakiti hati mangsa sekali gus memberi penderaan emosi dan penekanan mental. Perkara ini mudah sahaja dilakukan kerana pembuli tidak perlu bersemuka dengan mangsa tersebut.

Kesan yang ketara kepada mangsa buli boleh menyebabkan mereka mengalami tekanan perasaan yang kritikal. Mangsa akan mengalami kemurungan dan hilang keyakinan diri untuk berhadapan dengan masyarakat. Mereka takut untuk bercampur dengan orang sekeliling.

Di samping itu, mereka juga akan hilang fokus dalam melakukan kerja-kerja seharian. Hal ini boleh menjejaskan kehidupan mereka. Tambahan pula, kesan yang akan dihadapi oleh mangsa jika dibiarkan berterusan boleh membawa kepada membunuh diri.

Seperti yang telah terjadi, ada yang sanggup membunuh diri kerana tertekan dengan hinaan yang terima daripada pembuli. Sebagai contoh, terdapat satu kes bunuh diri di Sarawak pada 14 Mei 2019 yang melibatkan seorang gadis yang berumur 16 tahun. Gadis itu nekad untuk membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga sebuah rumah kedai.

Sebelum itu, beliau cuba bertanya kepada pengikut Instagramnya sehari sebelumnya untuk memilih sama ada dia harus hidup atau mati. Menurut laporan, hingga 69% pengikut Instagramnya memilihnya untuk bunuh diri dalam satu ‘poll’ yang bertajuk “Really Important, Help Me Choose D/L.” Mustahil untuk mengatakan bagaimana perasaan gadis itu setelah membaca jawapannya; yang kita tahu ialah keesokan harinya, beliau benar-benar membunuh diri. Berita ini sungguh memilukan dan tersebar di seluruh Internet.Ini sangat membimbangkan semua pihak kerana kes bunuh diri merupakan kes yang sangat serius.

Selain itu, ia juga memberi kesan kepada mangsa dari segi mental, emosi dan fizikal. Oleh itu, semua pihak terutamanya ibu bapa hendaklah lebih peka dan bertindak untuk menangani masalah buli siber ini. Hal ini bertujuan bagi mengelakkan kes tersebut menjadi lebih kritikal dalam kalangan remaja.

Cara-cara Mengatasi Buli Siber

Cara-cara untuk mengatasi masalah ini ialah mangsa hendaklah memberanikan diri dengan memberitahu pembuli untuk menghentikan gangguan tersebut. Pembuli tersebut boleh jadi rakan sendiri, bekas rakan dan sesiapa sahaja yang mangsa kenal.

Sekiranya demikian, mangsa boleh berhubung terus dengan orang itu secara langsung dan meminta untuk mereka berhenti. Jika mangsa tidak mengenali pembuli, mangsa hendaklah mengabaikan mesej yang telah diberikan. Hal ini kerana bertindak balas boleh memburukkan keadaan – lebih suka bersikap acuh tak acuh dan memutuskan komunikasi.

Selain itu, mangsa juga boleh melaporkan serta menyekat akaun pembuli di semua media sosial. Orang yang membuli secara siber mahu mangsa bertindak balas. Sekiranya mereka diabaikan, akhirnya mereka akan muak dan beralih kepada orang lain. Hal ini secara tidak langsung dapat menghalang pembuli daripada terus mengganggunya.

Seterusnya,  mangsa boleh beritahu orang yang lebih dewasa dan lebih dipercayai seperti ibu bapa. Ibu bapa harus mewujudkan persekitaran di mana anak-anak mereka dapat berkomunikasi antara satu sama lain. Ini kerana ahli psikologi memberitahu bahawa mewujudkan “iklim” kepercayaan dan komunikasi adalah salah satu kaedah yang paling berkesan untuk menolong mereka.

Ibu bapa juga harus berusaha bertanyakan apa yang berlaku dan menenangkan mereka kerana mereka sangat memerlukan sokongan daripada ibu bapa pada waktu itu. Dengan meluahkan perasaan ini terhadap mereka, mereka akan mendengar dan memberi sepenuh perhatian kepada anak-anak sekali gus membantu untuk menyelesaikannya dengan melaporkan kes tersebut kepada pihak yang tertentu.

Selain itu, ibu bapa boleh memasang aplikasi kawalan  di gajet anak-anak. Aplikasi ini boleh membantu ibu bapa untuk mengawal dan memantau gerak geri anak-anak dalam talian, menyekat percubaan pembuli untuk mengganggu anak-anak serta mencegah mereka daripada melihat kandungan yang tidak sesuai.

Di samping itu, mangsa hendaklah melaporkan kes buli siber ini kepada pihak berkuasa. Hal ini supaya pihak berkuasa dapat mengenakan tindakan undang-undang kepada pembuli sekali gus memadamkan akaun mereka secara kekal atas kesalahan penyalahgunaan di media sosial.

Di Malaysia, mangsa boleh melaporkan penyalahgunaan berkaitan Internet  kepada Cyber999 melalui borang talian, SMS, e-mel, panggilan telefon dan Aplikasi Mudah Alih Cyber999 di App Store atau Google Play. Mereka pasti boleh membantu mangsa buli siber.

Cara yang terakhir ialah kerajaan haruslah mengadakan kempen kesedaran tentang bahayanya buli siber. Ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran para pengguna dan menekankan etika-etika berkomputer yang betul seperti menghormati pendapat dan privasi orang lain dalam media sosial. Dengan cara ini, kes buli siber di negara kita dapat dicegah dan dikurangkan.

Kesimpulannya, buli siber tidak akan dapat diselesaikan sekiranya tiada tindakan daripada pelbagai pihak. Oleh itu, semua pihak hendaklah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk memerangi kes ini sebelum ia terus meningkat. Isu seperti ini bukan satu isu yang kecil. Ia haruslah diambil berat bukan dipandang sepi begitu sahaja.

Walaupun bagi sesetengah orang kelihatan seperti isu kecil, saya percaya ia boleh menjadi lebih besar sekiranya tidak dibendung dengan segera. Sekiranya anda melihat seseorang diganggu siber, jangan takut untuk menyuarakan pendapat anda serta memberi pertolongan. Jangan jadi pendiam dan membiarkan itu terjadi dan buat sesuatu! Saya juga benar-benar percaya bahawa kita dapat mengubah Internet menjadi tempat di mana semua orang dihormati dan dilayan dengan baik jika kita saling bekerjasama. Buli siber boleh membunuh secara senyap.

Oleh itu, setiap orang haruslah menjaga adab dalam berkarya atau menyebarkan sesuatu perkara agar ia tidak menyakiti hati orang lain. Inilah sebabnya Islam menggalakkan umatnya berdiam diri daripada banyak berkata-kata.

Berdiam diri bukan bermakna mengalah atau tidak mampu melawan, tetapi mengelak berlakunya fitnah serta menyebarkan keaiban. Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam…” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Penulis; Nur Alieya Afeeqa binti Rosdaud, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular