Thursday, September 28, 2023
HomeArtikelKecewa Menghadapi Kegagalan? 2 Perkara Yang Dapat Dilakukan Untuk Mengembalikan Keyakinan

Kecewa Menghadapi Kegagalan? 2 Perkara Yang Dapat Dilakukan Untuk Mengembalikan Keyakinan

Setiap manusia itu pasti ada yang pernah mengalami kegagalan dan kekecewaan dalam kehidupannya. Gagal mencapai (expectation) yang diimpikan dalam pelajaran, kerjaya, perkahwinan mahupuan kekeluargaan.

Perasaan ini  hadir bila mana diri kita telah pun berusaha bersungguh-sungguh dalam sesuatu hal, namun, tetap juga berhadapan dengan kegagalan. Kita menjangkakan sesuatu hal itu terjadi seperti apa yang kita angankan, namun sebaliknya yang berlaku. Ketika inilah, jiwa mula gelisah, kecewa dan bersangka-sangka dengan apa yang telah diaturkan oleh Allah. Sedangkan dalam al-Quran Allah berfirman agar kita sentiasa bersangka baik. Firman Allah yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa.” (Surah Al Hujuraat 49:12).

Adakala kita sering kali dikecewakan oleh manusia, apabila kita menjadikan mereka sebagai tempat kebergantungan (tempat untuk mencapai keinginan kita) sehingga terlupa untuk meletakkan pergantungan kepada Allah. Bergantung kepada manusia itu ibarat kita berpaut pada dahan pokok.

Kita sangkakan, dahan tersebut boleh berpaut, rupanya hanyalah ranting yang sedang mereput, apabila jatuhnya ranting itu maka jatuhlah kita bersama-sama di atas tanah. Sudah pasti rasa sakit itu, diselubungi kekecewaan yang besar.

Manusia ini diciptakan dengan sifat yang berubah-ubah. Tiada manusia yang tidak pernah merasa takut, sedih, marah dan kecewa. Namun yang membezakan kita adalah bagaimana kita berhadapan dengan perasaan ini. Adakah terus menerus melayani perasaan sehingga menjejaskan diri atau menjadikan rasa ini sebagai pencetus diri kita untuk bangkit berjalan ke hadapan.

Jika saat ini, anda berhadapan situasi tersebut, hati kian goyah dan keyakinan terhadap Allah kian mundur, segeralah mencari keyakinan itu kembali, agar tidak menimbulkan sangkaan buruk terhadap kebesaran Allah SWT dan memberi kesan buruk kepada fizikal dan mental.

Orang beriman, tatkala mereka diuji, mereka segera kembali kepada Allah. Hal ini demi kian kerana, apabila kembali kepadaNya , ketenangan dan kekuatan itu akan muncul. Firman Allah dalam kitab-Nya yang bermaksud;

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun” (Sesungguhnya kami milik Allah, dan kepada-Nya jualah kami akan dikembalikan). Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk”. (Surah Al-Baqarah, 2: 155-157)

Letakkan pergantungan dan keyakinan kita ‘sepenuhnya’ kepada Allah. Ujian itu datang dari Allah, maka, kita kembalikan, kepada Yang Maha Mencipta (Allah).

Antara amalan yang dapat kita lakukan untuk mengembalikan keyakinan terhadap Allah.

1.    Perbanyakkan Membaca Dan Memahami Ayat Al Quran

Wahai muslimin, baca dan fahamilah helaian Mushaf al-Quran. Di dalamnya terkandung mukjizat yang diturunkan oleh Allah buat kita. Berusahalah membacanya, Selak helaian yang ada, tatap dengan mata hati kita. Daripada sekian banyak ayat yang ada, pasti ada pesanan ayat yang akan membuka hati kita untuk kembali yakin terhadap Sang Pencipta. Antara ayat yang terkandung dalam Al Quran yang dapat kita hayati bersama:

Allah berfirman yang bermaksud;

“Adakah manusia menyangka, bahawa mereka akan dibiarkan, dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), Allah mengetahui, siapakah orang-orang yang benar-benar beriman, dan dapat diketahuiNya, tentang siapakah orang-orang yang berdusta. (Surah Al Ankabut 29:2-3)

Dalam ayat ini, kita dapat hayati, bahawa Allah menguji kita dengan ujian untuk melihat sejauh mana keimanan kita terhadapNya dan sejauh mana kesungguhan kita untuk mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan Allah. Dan dalam masa yang sama, Allah menguji supaya kita dapat memperbaiki kelemahan diri kita. Jika kita dijadikan manusia yang sempurna (tidak pernah melakukan kesilapan), pasti kita akan menjadi manusia yang paling ego dan riak, suka menghina, memperendahkan kekurangan manusia lain. Maka tiada lagi manusia yang akan bersujud dan bertaubat di muka bumi ini.

Seterusnya, Allah menyebut di dalam al-Quran yang bermaksud;

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah At-Taghaabun 64 : 11)

Dalam ayat ini, jelas menunjukkan bahawa Allah menguji kita untuk membimbing hati kita. Ini merupakan satu bentuk hadiah istimewa buat orang yang beriman, bertawakal dan bersabar dengan ujian yang Allah berikan. Orang beriman itu sangat cinta akan ujian, bila mana mereka diuji mereka jalani dengan penuh kesabaran kerana mereka yakin Allah sedang memimpin hati-hati mereka.

Maka, yakinlah dengan segala perancangan Allah. Usah dibiarkan diri anda diselubungi kesedihan, kekecewaan, dan kegelisahan yang berpanjangan kerana ia bakal memudaratkan kesihatan diri. Boleh jadi sesuatu perkara yang kita lihat baik untuk kita sebenarnya memudaratkan kita.

Kemudian Allah menghadirkan rasa kehilangan, dan kegagalan dalam sesuatu perkara itu untuk melindungi diri kita daripada kerosakan. Lihatlah segala ujian itu dengan hikmah. Lihat kembali ujian demi ujian yang telah anda lewati. Apakah hikmah di sebalik kekecewaan dan kegagalan yang anda hadapi di masa lalu? MasyaAllah, Maha Suci Allah yang Maha menyayangi kita semua.

2.    Dengar Kisah-kisah Tauladan Zaman Terdahulu

Terdapat banyak kisah-kisah pengajaran tentang nabi-nabi dan umat Islam terdahulu yang boleh kita ambil sebagai ibrah (pengajaran) daripadanya. Antara kisah yang saya tulis ini merupakan salah satu kisah kesukaan saya.

Kisah Mariam Ibu Nabi Isa

Kisah Maryam ini adalah salah satu contoh jelas betapa perlunya kita bersabar dan berusaha ketika menjalani ujian dalam hidup. Bayangkan Maryam seorang wanita yang sentiasa menjaga kehormatannya tiba-tiba hamil dalam keadaan dirinya tidak bersuami, beliau dituduh dengan pelbagai tohmahan oleh kaumnya sendiri.

Ketika itu, Maryam terasa sangat sedih dengan apa yang sedang berlaku ke atas dirinya sehingga beliau merasakan lebih baik dirinya mati agar dirinya tidak menjadi buah mulut kaumnya. Perkara itu dinyatakan Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:

“(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma), dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang.” (Surah Maryam, ayat 23)

Walau bagaimanapun, Maryam tetap teguh kesabarannya dan redha dengan ujian yang menimpa dirinya. Berkat kesabaran Maryam, lalu Allah SWT menganugerahkan pertolongan untuk Maryam pada saat ingin melahirkan kandungannya. Firman Allah SWT bermaksud:

“Lalu dia diseru dari sebelah bawahnya: “Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.” (Surah Maryam, ayat 23-24)

SubhanAllah, hayatilah kisah Maryam ini dengan penuh keinsafan. Dalam keadaan Maryam seorang wanita yang menjaga kehormatannya, diuji oleh Allah SWT hamil ketika masih gadis. Tatkala datang pertolongan daripada Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.  yang menyediakan untuk Maryam air dan buah tamar.

Maryam diperintah oleh Allah agar menggegarkan dahan pohon tamar dengan cara itu, beliau dapat makan buah-buahnya yang jatuh. Lihatlah, dalam keadaan Mariam yang sedang sakit ingin melahirkan, beliau tetap disuruh untuk berusaha untuk menggegarkan dahan pohon tamar itu.

Di sini kita dapat hayati bahawa, Allah SWT Yang Maha berkuasa, boleh sahaja menghidangkan makanan terus kepada Maryam. Namun, Allah memerintahkan Maryam untuk tetap berusaha mengurus ujian dalam hidupnya.

Lihatlah, Allah perintahkan untuk kita urus ujian yang datang kepada kita dengan usaha, bukan sekadar menunggu sesuatu datang bergolek. Ia peringatan jelas dinyatakan Allah SWT buat seluruh manusia, Ingatlah, setiap ujian datang adalah untuk meningkatkan martabat seorang Muslim itu di sisi Tuhan.

Oleh itu, jika kita sedang menghadapi kekecewaan, kesedihan, mahupun kegagalan, bersabarlah kerana Allah itu yang Maha mengetahui apa yang terbaik buat hambanya. Bersangka baiklah dengan aturan Allah agar hati sentiasa tenang. Berjalanlah kita di atas muka bumi ini dengan perasaan yakin terhadap tuhan (Allah).

Sesungguhnya Allahlah tuhan tempat manusia bergantung harap. Maka, berdoalah agar diberikan ketenangan dan keyakinan untuk menjalani hari- hari mendatang. Berdoalah supaya Allah meyakinkan hati dan sentiasa dipimpin atas jalan yang diredhainya. Sesungguhnya Ujian Allah itu hadir bertujuan untuk menguatkan diri manusia yang sedang berjalan di atas muka bumi ini.

Wallahualam.

Penulis; Nur Irdina Afza Binti Zaidin,  Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular