Amalan mengambil isteri yang lain ketika masih berkahwin dengan yang pertama disebut poligami, namun jangan dikelirukan pula dengan istilah origami yang merupakan seni melipat kertas berwarna, manakala poligami adalah melipatgandakan isteri. Secara kebetulan, poligami adalah haram bagi orang bukan Islam mengikut undang-undang Persekutuan tetapi dibenarkan untuk lelaki Muslim di bawah Undang-undang Syariah.
Persoalan poligami selalu dijadikan isu perbahasan yang hangat dan serius untuk diutarakan terutama dalam kalangan pihak lelaki namun topik ini menjadi isu sensitif untuk para wanita. Walau bagaimanapun, kebiasaannya para wanita menganggap poligami adalah perkara yang tidak disukai dan ngeri dalam kehidupan mereka. Namun, sebaliknya hanya segelintir para wanita yang boleh mengadaptasikan situasi berpoligami mengikut syariat dengan hati yang terbuka.
Oleh yang demikian juga, kisah di mana seorang isteri meminangkan seorang wanita lain sebagai hadiah untuk diberikan kepada suaminya sememangnya adalah wujud dan merupakan suatu kenyataan dalam masyarakat kita. Bagi lelaki yang telah berjaya dalam mengamalkan poligami, mereka seringkali merasakan bahawa diri mereka adalah orang yang paling bertuah seolah-olah dunia ini adalah milik mereka.
Statistik kes penceraian di Malaysia pada tahun 2020 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 5.3% berbanding tahun sebelumnya. Oleh itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyatakan hasil jumlah daripada tersebut, seramai 20% adalah disebabkan kelakuan suami yang curang dan 10% disebabkan poligami.
Poligami Dalam Islam
Menurut pandangan Islam, poligami ditakrifkan dari segi bahasa ialah mempunyai isteri yang ramai. Menurut syarak poligami didefinisikan sebagai seorang lelaki yang memiliki lebih daripada seorang isteri sehingga boleh mencukupi empat orang isteri dalam satu masa yang sama.
Manakala, takrifan poligami mengikut antropologi sosial adalah suatu amalan praktik dalam alam perkahwinan yang mempunyai lebih daripada satu isteri dalam tempoh masa yang sama. Begitu juga menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka yang menyatakan bahawa
poligami ialah suatu budaya yang mempunyai isteri yang lebih daripada satu pada masa yang sama.
Hukum Poligami Dalam Islam
Poligami atau ta’addud zawaj dalam istilah fiqah pada awalnya adalah mubah iaitu perkara yang diharuskan dan dibenarkan bagi kaum lelaki untuk berkahwin lebih daripada satu isteri apabila mengikut syariat Islam. Keharusan berpoligami ini adalah berdasarkan pada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2005) menterjemahkan surah ini sebagai: “Dan jika kamu takut kamu tidak boleh berlaku adil terhadap anak yatim (wanita), maka nikahlah dengan apa yang kamu inginkan dari yang lain ( wanita): dua, tiga atau empat. Maka jika kamu takut kamu tidak akan berlaku adil, (berkahwin) dengan seseorang, atau (berkahwin) dengan hamba yang kamu miliki. Itu lebih dekat supaya kamu tidak melakukan kezaliman”.
Tidak dinafikan berpoligami bagi kaum lelaki apabila mempunyai unsur yang berfaedah kepada kaum wanita dan seluruh umat Islam apabila amalan poligami ini dapat “menundukkan pandangan” (ghadul bashar) yang sangat ditekankan oleh agama dan selain terpeliharanya kehormatan dan melahirkan keturunan yang banyak.
Apabila membicarakan tentang perkahwinan, perbincangan utamanya adalah menjurus kepada konsepnya seperti fitrah perkahwinan, mendapatkan zuriat yang baik hasil perkahwinan itu, tanggungjawab di dalam perkahwinan dan seumpamanya.
Secara umumnya, Islam membenarkan poligami diamalkan oleh muslim. Namun, secara lebih terperinci, poligami dibenarkan dan dianjurkan hanya bagi orang yang berkemampuan dari sudut-sudut asas seperti kemampuan harta, tempat tinggal dan keperluan seksual. Berpoligami ini merupakan sebahagian daripada bentuk perkahwinan dan hukumnya adalah harus dalam agama Islam.
Pandangan Masyarakat Mengenai Isu Poligami
Walaupun poligami telah diamalkan di seluruh dunia selama berabad-abad, namun perbalahan tetap timbul berkenaan sama ada poligami sesuai atau tidak sesuai dengan masyarakat kita. Poligami tetap menjadi isu sensasi dan kontroversi khususnya di Malaysia dan juga sesetengah negara Islam di seluruh negara.
Terdapat beberapa pandangan masyarakat mengenai isu poligami ini iaitu sama ada menerima poligami (pandangan positif) dan menolak poligami (pandangan negatif). Masyarakat yang menerima beranggapan bahawa poligami itu adalah sebahagian daripada ajaran Islam, justeru amalan poligami dibenarkan oleh masyarakat Malaysia. Terdapat ramai masyarakat yang percaya bahawa poligami bermanfaat kerana poligami membolehkan lelaki mempunyai ramai anak dan membantu masyarakat (White & White, 2005).
Dalam pada itu, ada yang percaya bahawa poligami adalah sesuai kerana mendorong kelahiran semula dan membantu menghilangkan aktiviti pelacuran (White & White, 2005). Bahkan, sesetengah masyarakat menyatakan bahawa mereka tidak menentang atau menjatuh hukum kepada individu yang hidup berpoligami, malahan tidak berhak menilai seseorang yang hidup berpoligami kerana masing-masing mempunyai cerita dan pengalaman sendiri.
Pengajaran agama juga menjadi alasan pengamalan poligami bagi sebilangan individu. Mereka membenarkan amalan ini berdasarkan wilayah, manakala yang lain menganggap sebagai amalan yang tidak sesuai dan pilihan kerana mereka tidak mempunyai motivasi dan niat untuk menghadapinya (Bala, 2009).
Selain penerimaan poligami, terdapat juga penolakan dalam kasus poligami ini, malahan dipandang negatif oleh sesetengah pihak. Pelakon Miera Liyana di dalam artikel ‘Miera tak kisah persepsi netizen’ bertarikh 23 Ogos 2020 misalnya, telah mendapat kecaman daripada masyarakat kerana menjadi isteri kedua kepada seorang ahli perniagaan.
Hal ini dinyatakan oleh Emmett (2004) bahawa terdapat pihak yang memandang poligami sebagai hubungan yang tidak sesuai. Walaupun praktik poligami diatur dalam undang-undang perkahwinan, kenyataan yang ada dalam masyarakat Malaysia khasnya, kebanyakan amalan poligami mendapat kritikan kerana tidak mengikuti prinsip-prinsip asas perkahwinan sehinggakan masyarakat umum menganggap poligami sebagai perkara negatif.
Namun, terdapat juga persepsi masyarakat di Malaysia yang menganggap poligami sebagai hak lelaki, serta bukanlah pantang larang.
Kesan Poligami Kepada Masyarakat
Antara kesan-kesan poligami adalah konflik di antara isteri, kesan psikologi, mencetuskan keganasan rumah tangga, dan kesan terhadap anak-anak. Ada yang percaya bahawa poligami sangat membantu wanita berkerjaya yang mungkin terpaksa bekerja lewat dan menjaga anak atau suami mereka.
Sebaliknya pula, majoriti percaya bahawa poligami tidak sesuai kerana akan memberi kesan negatif yang besar kepada keluarga. Kesan poligami yang biasa berlaku adalah menyebabkan konflik antara isteri.
Dalam poligami, konflik antara isteri biasanya timbul dalam pengurusan keluarga seperti sukar bagi mereka dalam menguruskan keluarga terutama untuk mengatur dan berkongsi tugas. Malahan, begitu juga adalah sukar bagi suami untuk bersikap adil terhadap isterinya. Kesannya, akan menyebabkan institusi keluarga akan musnah dan berpecah belah.
Selain itu, kesan negatif amalan poligami yang tidak mengikut Syariah akan mengakibatkan gangguan psikososial terutama pada isteri dan anak-anak. Pengertian psikososial adalah hubungan antara bidang pengajian iaitu psikologi, emosi, atau kesihatan mental dan keadaan masyarakat (Wardeh, 2016).
Beberapa kesan psikologi yang mungkin berlaku pada isteri dan mengganggu psikososialnya adalah seperti timbulnya rasa bersalah dan menyalahkan diri atas pilihan poligami suaminya yang disebabkan oleh ketidakmampuannya menjalankan tugas sebagai seorang isteri. Justeru itu akan menimbulkan rasa tertekan dan kemurungan bagi seorang isteri yang tidak bersedia menerima syaratnya untuk dijadikan sebagai isteri kedua.
Poligami seterusnya juga boleh mencetuskan keganasan rumah tangga yang tidak hanya menimpa isteri, tetapi juga anak-anak sehingga mereka sering menghindari kegiatan sosial dengan masyarakat.
Moore-Emmett (2004) berpendapat bahawa poligami akan menyebabkan wanita dan kanak-kanak tertindas. Sepertimana kejadian yang berlaku dalam artikel ‘kejamnya…’ bertarikh 4 September 2020 di Islamabad di mana seorang lelaki di Pakistan tergamak meracun isterinya kerana mangsa tidak bersetuju untuk hidup bermadu. Malahan, suspek mendapat bantuan ibunya untuk melakukan perbuatan berkenaan, seterusnya menyebabkan wanita tersebut meninggal dunia. Hal ini sering berlaku kepada mangsa yang tidak bersetuju untuk hidup bermadu. Kesan poligami yang tidak diuruskan dengan baik membawa kepada kes kematian yang tidak sewajarnya.
Poligami memberi kesan negatif terhadap anak-anak sama ada secara emosi, sosial mahupun tingkah laku. Hal ini berlaku apabila anak-anak turut mengalami tekanan hidup apabila mereka mula menunjukkan perubahan sikap yang drastik seperti melarikan diri daripada rumah dan sentiasa bersikap murung di sekolah.
Pada usia muda mereka bukan saja melihat ibu dipukul malah dimaki hamun oleh bapa yang sepatutnya menunjukkan contoh yang baik. Dalam keadaan keluarga poligami ini, anak-anak telah hilang rasa hormat kepada ibu bapa mereka.
Hingga 60% mengatakan mereka kecewa apabila mendapat tahu tentang poligami ayah mereka. Lebih daripada separuh anak-anak ini merasa marah dan sedih, serta hampir tidak ada yang merasa gembira, bangga atau disukai apabila mendengar berita itu. Menariknya, kajian ini juga menunjukkan bahawa pada waktunya, anak-anak isteri pertama mencatatkan “sikap tidak peduli” sebagai emosi yang dominan terhadap perkahwinan poligami ayah mereka (Masjaliza, Rashidah et. al, 2010).
Seperti yang telah dinyatakan, terdapat banyak implikasi negatif dari perspektif hukum, terutama bagi wanita, jika pernikahan itu dilakukan dalam situasi yang bertentangan dengan prosedur. Lebih-lebih lagi, perkahwinan poligami, yang menyembunyikan isteri yang ada, sebenarnya adalah tindakan yang tidak adil terhadap isteri yang sebelumnya.
Kesimpulannya, kebanyakan ulama yang menafsirkan erti poligami menurut perspektif Islam menyatakan bahawa pada asasnya perkahwinan adalah dibenarkan seorang sahaja namun diberikan syarat berpoligami sehingga empat orang isteri dalam satu masa. Hal ini dibimbangkan apabila manusia tidak dapat mengadili isteri-isteri mereka dengan baik. Oleh itu, seseorang lelaki mestilah bersikap adil dalam kehidupan berpoligami agar alam perkahwinan dan rumah tangga mereka sentiasa bahagia dan harmoni.
Penulis ; 1. Nurmiza Afrina Binti Nashruddin – Mahasiswa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. 2. Dr. Velan Kunjuraman – Pensyarah Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.