Seringkali dalam kalangan pelajar mengatakan bahawa mereka mempunyai kesempitan wang. Wang? Ya, wang adalah masalah utama pelajar walaupun mereka perlu lebih fokus pada pelajaran. Kenapa wang? Kebanyakkan pelajar perlu menghadiri kuliah yang padat dari waktu matahari terbit sehinggalah lewat petang. Terutamanya pelajar pengajian tinggi dengan pelajaran yang lebih sukar. Mereka perlu fikir wang rumah sewa, wang makan dan juga wang untuk beli bahan pelajaran. Ini hanyalah 20% komitmen mereka sedangkan masih banyak lagi kehendak dan keperluan mereka.
Sesetengah pelajar mengambil keputusan untuk bekerja secara separuh masa tetapi kebanyakkan mereka pasti akan kesempitan masa untuk mengulangkaji pelajaran dan menguruskan diri sendiri. Mencari wang adalah salah satu cara mereka membalas kekurangan wang. Bukanlah semua pelajar mampu untuk membiayai segalanya atas duit ibu bapa mereka. Tetapi ada juga penggunaan wang yang tidak pada tempatnya.
Sebagai contoh, kebanyakkan penggunaan wang adalah kerana kemahuan dan bukanlah keperluan. Sebagai permulaan, anda boleh kategorikan perbelanjaan anda kepada 3 tahap, jangka masa lama, jangka panjang dan jangka pendek. Jangka masa lama seperti produk kebersihan diri yang hanya perlu ditukar 2 atau 3 bulan sekali. Jangka masa panjang contohnya bayaran rumah sewa dan bil utiliti. Jangka masa pendek adalah perbelanjaan seharian anda seperti makan, dan pengangkutan.
Di sini penulis senaraikan beberapa panduan dalam menguruskan hal-hal perbelanjaan pelajar:
1) Makanan yang menepati bajet bulanan anda
Makanan merupakan keperluan utama manusia tetapi jika berlebihan ianya menjadi kemahuan. Jika bajet anda sesuai dengan sehari anda boleh gunakan sebanyak RM10, anda boleh mencari tempat makan yang lebih murah atau masak sendiri makanan yang mudah tetapi berkhasiat. Tetapi sekali sekala, anda bolehlah berbelanja dengan lebih sedikit tetapi tidak jauh dari bajet anda yang anda sudah tetapkan kerana mereka hanyalah kemahuan. Utamakan keperluan anda supaya tidak menyesal di kemudian hari. Tidak perlu anda ikut cara hidup orang lain dan utamakan keperluan anda.
2) Sewa rumah yang lebih berpatutan
Sewa rumah adalah perkara yang biasa bagi pelajar tetapi ia memakan kos yang mahal jika dikongsi dalam kumpulan yang kecil. Anda perlu mencari rumah sewa yang menawarkan harga yang berpatutan serta tiada masalah yang menyebabkan masalah bil air atau elektrik. Kebocoran dan masalah yang berlaku juga boleh menambahkan masalah wang serta masalah hidupan seharian anda. Semasa zaman pembelajaran, tidak mengapa merasai sedikit kesusahan bersempit demi mendapatkan ilmu yang luas kerana keselesan juga tidak menjamin kejayaan anda
3) Keperluan pelajaran ataupun kehendak pembelajaran anda
Kebanyakkan pelajar gemar menggunakan peralatan elektronik tetapi masih ramai juga suka menggunakan peralatan seperti buku. Mungkin pelajar boleh mencari buku latihan di perpustakaan dan membuat fotokopi bahagian yang anda perlu sahaja. Ini mengurangkan kos membeli sebuah buku yang sama. Selain itu anda juga boleh mencari bahan di atas talian kerana mereka mempunya lebih bnayak variasi dan tidak hanya dari negara kira sahaja sebagai contoh pembelajaran matematik boleh menjadi lebih luar jangkauan jika di luar negara. Ini melatih kita untuk berfikiran kritis juga.
4) Plan telefon bimbit serta plan yang anda langgan semasa
Sebagai seorang pelajar, lebih-lebih lagi di zaman sekarang, kebanyakan peralatan seperti komputer riba memerlukan internet. Oleh kerana itu, ini menjadi suatu keperluan untuk pelajar melakukan pekerjaan sama ada di kampus atau di luar kawasan kampus. Anda perlu mencari plan telefon yang berpatutan dan tidak melebihi bajet yang anda tetapkan. Kebanyakkan plan telefon dan internet sekarang juga menawarkan harga pelajar dan mempunyai tawaran yang bagus. Langganan lain seperti hiburan merupakan kemahuan sahaja tetapi jika anda memerlukan mereka, berkongsilah sesama rakan anda untuk membahagikan harga pembelian hiburan tersebut. Jika anda rasakan bahawa plan internet sangat melebihi bajet anda, anda boleh lakukan segala tugasan di perpustakaan kampus untuk menjimatkan lebih banyak kos bulanan anda. Kebanyakkan kampus mempunyai kemudahan internet untuk pelajar mereka gunakan dan ini sudah termasuk dalam yuran anda.
5) Pengakutan awam atau carpooling?
Jika rumah sewa anda lebih dekat dengan kampus, anda boleh sahaja menggunakan perkhidmatan bas awam kerana ia merupakan perbelanjaan yang paling murah, namun kebanyakkan pelajar memilih untuk carpooling bersama rakan-rakan mereka. Carpooling juga lebih selesa dan menjimatkan masa anda. Duit minyak juga perlu dibahagikan dengan adil dan sama rata sesama pelajar supaya tiada perbalahan. Jika anda lebih selesa berbasikal ke kawan kampus juga boleh menjimatkan lebih bnayak wang tetapi tenaga anda lebih banyak digunakan.
6) Simpanan untuk masa hadapan
Kebanyakkan pelajar terlepas sesuatu keperluan seperti simpanan. Simpanan anda tidak perlu menjangkau kemampuan anda. Cukuplah sekadar untuk menampung jika anda mempunyai masalah seperti sakit dan perlu ke klinik. Jika anda rasakan ia beban di bahu, anda boleh mulakan dengan RM1 sehari dan boleh mendapat RM30 sebulan. Simpan selama 3 bulan anda boleh dapatkan RM90. Ini memudahkan urusan anda di waktu yang sempit.
Sedikit sebanyak tip yang dapat di kongsi untuk anda sebagai seorang pelajar ambil manfaat untuk kebaikan poket anda sebagai seorang pelajar. Wang bukanlah penghalang anda untuk mencari ilmu dan kejayaan tetapi jadikanlah ia sebagai batu loncatan anda untuk terus berjaya di masa hadapan. Sebagai seorang pelajar, kita perlu bertanggungjawab mengurusakan kewangan sebagai persediaan ke alam dewasa supaya kita tidak mempunyai masalah seperti tiada duit dihujung bulan. Ikutlah kemampuan bukan kemahuan
Penulis: Siti U’mairah Binti Mohamed Zakir, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.