Friday, March 29, 2024
HomeArtikelKekal Sihat Walaupun Berada Di Rumah Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Kekal Sihat Walaupun Berada Di Rumah Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Sejak kebelakangan ini, Malaysia telah dikejutkan dengan peningkatan mendadak kes jangkitan virus Covid-19 atau lebih dikenali dengan koronavirus. Kes harian jangkitan Covid-19 yang dicatatkan baru-baru ini telah hampir mencecah 9000 kes setiap hari.

Peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 ini sangat membimbangkan semua pihak dan langkah-langkah yang proaktif telah diambil untuk mencegah penyebaran virus ini.

Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah untuk memperketatkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara untuk mengawal penyebaran virus ini. Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti Standard Operating Procedure (SOP) di mana sahaja mereka berada.

Antara peraturan yang perlu dipatuhi oleh semua pihak ialah sentiasa memakai pelitup muka ketika di luar, memeriksa suhu badan apabila ingin memasuki sesuatu bangunan, dan menulis nama atau mengimbas QR kod melalui aplikasi MySejahtera. Penjarakan sosial juga amat penting untuk dititik beratkan supaya virus Covid-19 tidak dapat berpindah daripada satu individu kepada individu yang lain.

Disebabkan oleh pengumuman PKP yang diperketatkan, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk sentiasa duduk di rumah dan hanya keluar apabila perlu sahaja. Langkah ini bertujuan untuk meratakan graf harian kes jangkitan Covid-19. Kerjasama daripada semua pihak amat penting dalam melawan wabak yang melanda negara kita sekarang.

Semua rakyat Malaysia diminta untuk duduk di rumah untuk memerangi wabak yang telah meragut banyak nyawa yang tidak bersalah, lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian Covid-19 yang baharu dalam komuniti kita.

Penyebaran virus Covid-19 ini pada dasarnya telah banyak mengubah kehidupan normal setiap individu. Hal ini kerana sekolah-sekolah telah ditutup dan pelajar tidak lagi dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa. Pelajar telah diperkenalkan dengan pembelajaran atas talian yang mana menggunakan aplikasi Zoom, Google Meet, Microsoft Teams dan sebagainya.

Guru-guru juga perlu mengajar daripada rumah. Keadaan yang sama terjadi kepada para penjawat awam dan pekerja-pekerja di sektor lain. Hanya 20% penjawat awam dibenarkan untuk bekerja dan 80% daripada mereka berkerja daripada rumah manakala untuk pekerja di sektor swasta, 40% daripada mereka dinasihatkan untuk berkerja daripada rumah.

Dengan duduk di rumah, seseorang mungkin menjadi lebih malas dan tidak produktif. Hal ini kerana, rumah adalah tempat yang terbaik untuk melepaskan semua penat lelah dan bebanan. Jadi, seseorang akan lebih menghabiskan masa dengan tidur dan bermain permainan dalam talian.

Aktiviti sebegini sangatlah tidak menyihatkan tubuh badan. Jadi, bagaimanakah cara untuk kekal sihat walaupun berada di rumah sepanjang masa? Ini adalah antara cara yang boleh anda pertimbangkan ketika berada di rumah supaya anda kekal sihat.

  1. Jaga Pemakanan

Diet yang seimbang dapat menghindarkan diri anda daripada penyakit. Seperti yang kita sedia maklum, banyak resepi-resepi baharu yang muncul ketika PKP 1.0. Antara yang paling terkenal adalah “dalgona coffee”, apam balik, dan sebagainya. Makanan-makanan seperti ini mengandungi sangat banyak gula dan ini boleh membawa kepada penyakit diabetes dan obesiti. Anda dinasihatkan untuk mengambil makanan yang seimbang berpandukan dengan piramid makanan.

Diet yang sihat dapat dimulakan dengan mengambil karbohidrat, lemak, mineral, protein dan air dengan jumlah yang mencukupi. Pakar pemakanan menyarankan agar orang ramai mengambil lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran, lebih banyak makanan berkanji seperti nasi, roti, pasta dan kentang, kurang lemak, garam dan gula, dan beberapa makanan kaya protein seperti daging lembu, ikan, telur dan kekacang untuk mendapatkan tubuh badan yang lebih sihat. Pengambilan makanan yang mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh badan juga amat penting untuk diamalkan.

Makan secara berlebihan boleh membahayakan tubuh kita. Oleh itu, anda perlulah mengira jumlah kalori yang diambil bagi setiap makanan untuk mengelakkan anda makan secara berlebihan. Ini kerana, makan secara berlebihan boleh menyebabkan anda terlebih berat badan dan lebih teruk dapat menjadikan anda obesiti.

Sebilangan besar penyakit disebabkan oleh tabiat makan yang tidak sihat seperti diabetes, gangguan vaskular, strok, serangan jantung dan banyak lagi. Ini bersesuaian dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud, “Perut manusia itu tempat segala penyakit, manakala pencegahan itu pokok dari segala pengubatan” (Riwayat Ad-Dailami). Hadis ini jelas memberitahu kita bahawa kesihatan kita bergantung kepada apa yang kita makan.

  • Bersenam Pada Waktu Lapang

Tujuan PKP dan kuarantin kendiri adalah untuk melindungi kesihatan kita. Duduk di rumah sepanjang masa boleh menyebabkan anda tidak cergas, tetapi itu bukanlah alasan untuk anda tidak bersenam. Ini kerana kita masih boleh melakukan aktiviti senaman ringan secara rutin meskipun kita berada di rumah kerana ianya penting bagi meningkatkan daya ketahanan tubuh badan kita.

Selain itu, kajian turut mendapati gaya hidup yang tidak sihat serta kurangnya aktiviti senaman dapat menurunkan imunisasi tubuh. Jika imunisasi tubuh anda lemah, anda akan lebih terdedah dan lebih mudah untuk dijangkiti virus Covid-19 yang berbahaya itu.

Bagi anda yang berkerja dan belajar dari rumah, anda akan sangat terdedah kepada cahaya daripada skrin komputer riba dan telefon bimbit untuk jangka masa yang panjang dan ini sangatlah berbahaya bagi kesihatan fizikal dan mental anda. Terkena cahaya dari skrin terlalu lama akan membahayakan mata dan wajah anda.

Duduk yang terlalu lama juga akan menyebabkan tulang anda lenguh dan sakit. Jadi sangat penting untuk anda sentiasa bergerak dan tidak hanya tetap di sesuatu tempat. Elakkan daripada duduk sepanjang hari di rumah tanpa berbuat apa-apa sebaliknya carilah sebarang aktiviti untuk dilakukan supaya tubuh anda bergerak. Anda boleh melakukan senaman regangan badan sekurang-kurangnya dua jam sekali.

Bersenam adalah salah satu cara yang efektif untuk kekal sihat dan bertenaga di rumah. Apabila bersenam, anda akan mengeluarkan peluh dan ini akan menyihatkan tubuh badan anda. Antara senaman yang anda boleh praktikkan di rumah adalah dengan berjalan 10,000 langkah sehari dan senamrobik.

Berjalan kaki adalah senaman yang tidak memerlukan banyak modal dan memberi banyak manfaat kepada kesihatan anggota badan kita. Dengan berjalan kaki 10,000 langkah, iaitu bersamaan 6.5 kilometer, anda dapat membakar 380 kalori yang anda makan dan mengurangkan 64 gram lemak dalam badan anda.

Pada masa yang sama, cara ini adalah cara yang paling mudah untuk menguruskan badan. Melalui aktiviti ini juga dapat mengurangkan stress. Berjalan kaki dapat merangsang hormone endorfin dan membuatkan anda berasa lebih ceria dan sihat. Ini secara tidak langsung dapat menyihatkan kesihatan mental anda. Anda mungkin mengalami tekanan dengan bebanan kerja di rumah, jadi aktiviti berjalan kaki sangat sesuai dan ianya sangat mudah untuk anda praktikkan.

Senaman aerobik dan zumba dapat dilakukan sama ada di luar mahupun di dalam rumah. Senaman ini sangat menyeronokkan kerana anda dapat melakukannya bersama dengan ahli keluarga yang lain dan juga anda dapat memainkan lagu kesukaan anda semasa melakukan senaman ini. Mahupun begitu, anda perlulah menjaga jarak dengan ahli keluarga semasa melakukan senaman ini supaya kita tidak dijangkit virus Covid-19. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati.

  • Tidur yang Cukup

Tidur yang cukup sangat membantu anda untuk berasa segar dan cergas sepanjang hari. Oleh itu, tidur yang mencukupi adalah sangat penting sekiranya anda ingin menjadi lebih produktif untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Jika anda mendapat tidur yang cukup, hari anda akan terasa lebih panjang kerana anda akan bangun lebih awal. Anda dapat melakukan banyak pekerjaan pada hari tersebut dan ini secara tidak langsung dapat membantu menyihatkan tubuh badan kerana anda akan sentiasa bergerak dan tidak hanya tidur sepanjang hari.

Jumlah tidur yang diperlukan oleh seseorang bergantung kepada kumpulan umur. Untuk orang dewasa, anda disyorkan untuk tidur selama 7-8 jam setiap malam, remaja selama 9-10 jam sehari, kanak-kanak yang masih bersekolah adalah disyorkan untuk mendapatkan tidur selama 10 jam setiap malam, kanak-kanak tadika selama 11-12 jam sehari, dan bayi selama 16-18 sehari. Namun demikian, kajian mendapati kebanyakan golongan dewasa hanya mendapatkan tidur selama 6 jam secara purata. Kekurangan tidur untuk jangka masa yang panjang adalah buruk untuk kesihatan anda.

Adakah anda tidur dengan cara yang betul? Tips yang boleh disyorkan untuk mendapat tidur yang baik adalah dengan menyelaraskan jadual tidur anda. Tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari mampu membantu menyihatkan kesihatan fizikal dan mental anda.

Jangan sesekali menggantikan tidur anda yang tidak cukup dengan masa tidur pada hari anda tidak bekerja. Tidur tambahan pada hari anda tidak berkerja mungkin boleh membantu anda berasa lebih baik tetapi cara ini merosakkan polar tidur anda. Anda juga dinasihatkan untuk tidak makan beberapa jam sebelum tidur. Anda dibenarkan untuk mengambil snek ringan. Tidur awal dan bangun awal membuatkan anda lebih sihat, bijak dan produktif. Pastikan anda mendapat tidur yang mencukupi pada setiap malam.

  • Berkongsi Masalah dengan Kawan Rapat atau Ahli Keluarga

Anda tidak hanya perlu menjaga kesihatan fizikal, tetapi anda juga perlu menjaga kesihatan mental apabila berada di rumah. Kita dikejutkan dengan adanya kes bunuh diri semasa PKP. Jadi, adalah sangat penting untuk kita menjaga kesihatan mental kita supaya kes sebegini tidak terjadi kepada diri kita.

Berkongsi kebimbangan dan masalah dengan seseorang yang anda percaya mampu meringankan beban masalah anda. Disebabkan kita tidak dapat keluar bersemuka dengan kawan-kawan, anda boleh menghubungi kawan anda secara maya untuk meluahkan perasaan anda. Dengan meluahkan perasaan anda secara terbuka mengenai masalah yang anda hadapi mungkin mereka dapat membantu anda menyelesaikan masalah anda.

Justeru, sangat penting untuk kita menjaga kesihatan fizikal mahupun mental ketika berada di rumah. Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti langkah-langkah yang disyorkan untuk kekal sihat semasa PKP dijalankan di negara kita. Sama-samalah kita duduk di rumah untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Penulis; Nur Illiya Shaira binti Ramli, Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular