Thursday, September 28, 2023
HomeArtikelKELEBIHAN MENUNTUT ILMU DALAM SURAH AL-MUJADALAH

KELEBIHAN MENUNTUT ILMU DALAM SURAH AL-MUJADALAH

Antara kelebihan menuntut ilmu yang disebut dalam al-Qur’an adalah  dalam surah al-Mujadalah pada muka surat 542 hingga 545. Surah al-Mujadalah merupakan surah selepas al-Hadid dan sebelum Surah al-Hasyr. 

Tema yang di nyatakan dalam surah al-Mujadalah adalah “Allah tahu segala bisikan halus.” Tema tersebut berdasarkan pada ayat 6 dalam Surah al-Mujadalah, yang bermaksud; “Pada hari itu mereka semuanya dibangkitkan Allah, lalu diberitakanNya kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Allah menghitungkan semua amal perbuatan itu, walaupun mereka telah melupakannya. Dan Allah maha menyaksikan segala sesuatu.” 

Maksud disebalik tema yang dinyatakan “Bicara Halus” adalah kerana munajat Khaulah binti Tsa’labah kepada Allah mengenai suaminya selepas Rasul tidak mampu memberi jawapan, berdasarkan pada ayat 1. Bahkan dalam ayat 8 pula, “Bicara halus” yang dimaksudkan adalah “bicara halus” sesama yahudi, yang mana mereka berdusta terhadap Rasulullah disebabkan mereka tidak ditimpa azab apabila mereka melaknat Rasulullah s.a.w. Manakala, dalam ayat 11, “bicara halus” yang dimaksudkan adalah antara sahabat ketika mana mereka diperintahkan untuk bangun bagi melapangkan tempat duduk. Bahkan, beberapa para sahabat berminat terhadap sesi “bicara halus” tersebut (perbincangan peribadi) bersama Rasulullah sehingga menyebabkan masa baginda diambil oleh perbincangan peribadi berikut.

Perbahasan martabat ilmu dalam Islam yang dibincangkan dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 iaitu Allah berfirman, maksudnya: “Allah meninggikan beberapa darjat iaitu tingkatan bagi orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang berilmu, diberi ilmu pengetahuan dan sesungguhnya Allah sangatlah mengetahui apa yang dikerjakan oleh setiap daripada kamu.” 

Jelaslah bahawa makna bagi ayat tersebut adalah untuk memberitahu bahawa orang yang beriman serta berilmu akan memperoleh atau ditempatkan di tempat darjat yang tinggi di sisi Allah s.w.t. Bahkan, keutamaan yang dinyatakan dalam Surah al-Mujadalah, berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Aisyah, “Maha suci Allah yang pendengaranNya meliputi segala sesuatu. Sungguh, aku telah mendengar perkataan Khaulah binti Tsa’labah yang menyembunyikan sebahagian perkataannya dariku saat dia mengadukan suaminya (‘Aus bin Shamit) kepada Rasulullah. “Khaulah berkata, “Wahai Rasulullah, dia telah mengambil paksa masa mudaku. Aku telah melahirkan banyak anak untuknya, tetapi selepas aku sudah tua dan tidak dapat hamil lagi, dia menziharku. Demi Allah, aku mengadu kepadamu.” Kemudian, selepas itu maka turunlah ayat-ayat yang tedapat dalam surah al-Mujadalah tersebut, (HR. Hakim).

Hubungan Surah Al-Mujadalah Dengan Surah al-Hadid

Surah al-Mujadalah ini membincangkan mengenai zihar iaitu memanggil isteri seperti ibu sendiri. Ia merupakan suatu perbuatan buruk apabila seorang suami atau isteri tergesa-gesa mengambil keputusan untuk berpisah. Perpisahan suami isteri merupakan keburukan yang sama sekali tidak banyak manfaat di dalamnya. Hidup dalam rumah tangga yang tidak sempurna keadaannya lebih baik daripada berada dalam keadaan perceraian. 

Dalam Surah al-Mujadalah juga kaum Muslimin diberi peringatan bahawa disebabkan kebahagiaan duniawi mereka akan dapat mengobarkan rasa permusuhan di tengah-tengah musuh baik dari luar mahupun dari dalam, maka hendaklah mereka berhati-hati terhadap tipu daya jahat mereka itu. Selain itu, al-Quran membahas tipu daya musuh-musuh Islam dan juga disebutkan pula dengan tegas beberapa kejahatan sosial. Cara ini dipakai dalam Surah al-Nur dan Surah al-Ahzab, namun cara ini dipakai dalam Surah al-Mujadalah pula.

Dalam Surah al-Hadid, para ahli kitab diperingatkan dengan tegas bahawa kurnia Allah swt bukanlah hak monopoli mereka dan kerana mereka telah berulang kali menolak, menentang, dan berbuat aniaya terhadap rasul-rasul Allah swt, maka sekarang kenabian akan dipindahkan untuk selama-lamanya kepada Bani Ismail. 

Berinfak di saat hidup dengan tangan seperti di saat banyak keperluan mendesak lebih baik dari berinfak di saat tidak banyak tentangan. Setiap rasul yang diutus dibekal syariat dan mukjizat oleh Allah swt. Biji besi (al-hadid) yang mengandungi banyak manfaat diturunkan oleh Allah swt ke muka bumi dan bukanlah biji besi tersebut hasil proses di bumi. Dari sekian banyak keturunan nabi tidak semuanya menjadi orang-orang yang baik tetapi ada juga yang berperilaku fasik.

Peristiwa Sejarah Daripada Surah

Peristiwa bersejarah turunnya Surah al-Mujadalah ayat 11 adalah ketika majlis ilmu Rasulullah di serambi Masjid Nabawi pada hari Jumat. Pada ketika itu telah datang sejumlah para sahabat ahli badar ke majlis tersebut yang sudah menjadi kebiasaan akan disediakan dan diberikan tempat khusus oleh Rasulullah SAW kepada ahli badar tersebut untuk turut serta bersama-sama didalam majlis ilmu tersebut. Kemudian, pada ketika saat ahli badar ini datang dan mengucap salam di majlis tersebut,para sahabat di majlis tersebut hanya menjawab salam sahaja akan tetapi tidak memberi tempat duduk kepada para sahabat ahli badar tersebut.

Maka Rasulullah SAW pun memerintahkan kepada para sahabat lainnya untuk bangun dan memberi tempat duduk kepada ahli badar tersebut agar mereka dapat turut serta bersama.

Seterusnya, terdapat segelintir orang-orang munafik yang mengetahui mengenai peristiwa tersebut, kemudian mereka telah menuduh Rasulullah SAW tidak berlaku adil terhadap para sahabat yang lainnya kerana Rasullah SAW telah mengutama para sahabat yang lain dengan para sahabat ahli badar.

Kemudian Rasulullah SAW terus menjelaskan bahawa mereka yang berlapang-lapang dalam majlis dan bangun untuk memberi tempat duduk kepada ahli badar, mereka akan diberkati Allah. Allah pun telah menurunkan Surat Al Mujadilah ayat 11.

Kelebihan Kenuntut Ilmu Dalam Surah al-Mujadalah

Islam telah menggariskan kewajipan menuntut ilmu bagi setiap insan kerana ilmu merupakan kayu ukur dalam kehidupan bagi menentukan sesuatu perkara samada ia baik atau buruk. 

Rentetan itu, pemikiran orang yang berilmu ini memberikan pengaruh yang besar kepada seseorang dalam membuat keputusan atau cara pemikiran seseorang individu tersebut. Walhal, kelebihan menuntut ilmu ini turut dijelaskan dalam surah al-Mujadalah. Allah berfirman pada ayat ke 11:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”.

Berdasarkan firman Allah swt melalui ayat di atas, menjelaskan tentang golongan yang menuntut ilmu di mana Allah akan memberikan kemuliaan sewaktu hayatnya di dunia dan ganjaran kepada mereka di akhirat kelak. Dalam pada itu, Allah akan mengangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman serta orang yang alim daripada orang yang bukan alim. Darjat orang yang berilmu dan beriman ini jelas akan ketinggian darjatnya yang akan diperoleh di akhirat.

Selain itu, daripada surah al-Mujadalah ayat ke 11 ini juga menerangkan kepada kita bahawa ilmu merupakan sebuah keistimewaan yang menjadikan setiap manusia menonjol, unggul serta menampakkan kedudukan manusia ini melebihi daripada selain makhluk di muka bumi ini. 

Allah menganugerahkan nikmat pancaindera serta akal dan hati untuk manusia mencari, memperolehi dan beramal serta menghayati ilmu tersebut dalam kehidupan seharian. Sesungguhnya ilmu itu cahaya dalam setiap pelusuk kehidupan manusia, bahkan menjadi pendamping manusia di akhirat kelak iaitu ilmu yang berguna dan bermanfaat kepada orang lain. 

Ilmu merupakan pengetahuan dan kepandaian mengenai sesuatu bidang yang disusun secara bersistem menurut kaedah dan metod tertentu yang dapat digunakan untuk menerangkan yang berkait dengan bidang ilmu tersebut. Selain itu juga ilmu ini berasal daripada kalimah Arab iaitu “al-Ilm” yang membawa maksud “pengetahuan”.

Justeru, antara kelebihan menuntut ilmu ialah orang yang berusaha mencari ilmu sama ada ilmu fardhu Ain atau fardhu kifayah, Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke Syurga. 

Seterusnya, orang yang berada di majlis ilmu bagi tujuan menuntut ilmu, akan sentiasa didoakan oleh Malaikat agar dicucuri rahmat ke atasnya. Tambahan pula, orang yang menuntut ilmu akan didoakan kesejahteraan, keampunan oleh penghuni langit dan bumi serta ikan di dalam air. 

Orang yang mencari dan mempelajari ilmu ini bermakna orang itu telah mengambil bahagian yang sangat besar daripada harta yang diwariskan oleh para Nabi dan akhir sekali, menuntut ilmu ini ibarat berjihad dan satu ibadah ke jalan Allah SWT.

Kesimpulan

Ilmu itu sangat berharga dan ilmu itu tidak akan diperolehi oleh sesiapa pun sekiranya tidak dicari dan dipelajari. Menuntut ilmu juga merupakan ketaatan yang tertinggi dan ibadat yang paling mulia. Jadi, seseorang yang menuntut ilmu akan mendapat kemuliaan yang tertinggi di sisi islam, memperolehi ganjaran yang besar dan kebahagiaan dunia dan akhirat. 

Oleh itu, semua orang perlu berusaha mencari dan menuntut ilmu sebaik yang mungkin dan terus meningkatkannya dari semasa ke semasa supaya kehidupan manusia terus maju dan terselamat dari tipu daya syaitan. 

Tuntutlah ilmu walau di mana sahaja kita berada kerana orang yang berilmu akan mempunyai landasan hidup yang kuat serta diangkat beberapa darjat. Kita juga perlu diingatkan sentiasa memperbetulkan niat kita dalam setiap perkara terutamanya dalam menuntut ilmu supaya apa yang dilaksanakan memperolehi keredhaan di sisi Allah swt. 

Sabda Rasulullah Saw:

مَنْ أَرَادَ الدُّنْيَا فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ, وَمَنْ أَرَادَ الأَخِرَةَ فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ, وَمَنْ أَرَادَهُمَا فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ

Maksudnya: “Barang siapa menginginkan kebahagian dunia, maka tuntutlah ilmu dan barang siapa yang ingin kebahagian akhirat, tuntulah ilmu dan barangsiapa yang menginginkan keduanya, tuntutlah ilmu pengetahuan. 

Jadi jelaslah bahawa menuntut ilmu ini sangat penting kepada setiap muslim untuk mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat. Seterusnya, Rasulullah saw juga menyebut di dalam hadis riwayat Tirmizi; ‘Barang siapa yang pergi untuk menuntut ilmu, maka dia telah termasuk golongan Sabilillah (orang yang menegakkan agama Allah) hingga ia pulang kembali.” 

Jelaslah bahawa orang yang menuntut ilmu ini sungguh mulia di sisi Allah swt.

Artikel ini ditulis bersama oleh:

‘Ain Farhana binti Zameri, Nur Alia Balqis binti Mohamad Asri, Siti Mastura binti Mohamad Noordin,, Muhammad Iqmal Firdaus bin Shahrul, Muhammad bin Abdul Ghani.

Ijazah Sarjana Muda, Fakulti Pengajian Islam Universiti Sultan Azlan Shah


RELATED ARTICLES

Most Popular