Wednesday, September 27, 2023
HomeArtikelKemahiran Keibubapaan Membentuk Peribadi Anak

Kemahiran Keibubapaan Membentuk Peribadi Anak

Dalam meniti arus kemodenan ini, masalah sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin berleluasa dan membimbangkan. Siapakah yang perlu dipersalahkan apabila masalah sosial dalam kalangan remaja ini menjadi begitu membimbangkan?

Sudah terang lagi bersuluh bahawa ibu bapa yang sering dipersalahkan. Hal ini kerana ibu bapa merupakan jawatan terpenting dalam membentuk keperibadian dan sahsiah anak-anak. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibu bapanyalah yang mencorakkanya menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Majusi”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Anak-anak yang berjaya menangani masalah dengan baik adalah hasil kecemerlangan ibu bapa dalam mengaplikasikan kemahiran keibubapaan. Kemahiran keibubapaan merupakan elemen penting dalam mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang berguna dan berjaya dalam hidup.

Menurut Kamus Dewan, kemahiran berasal daripada perkataan mahir yang bermaksud terlatih, berkebolehan, berpengalaman, berbakat dan serba boleh manakala, keibubapaan pula ialah sifat dan perkara yang berkaitan dengan ibu bapa. Justeru itu, ibu bapa lebih mengetahui cara mendidik anak dengan adanya ilmu keibubapaan ini.

Keibubapaan juga merupakan suatu proses di mana ibu bapa dan anak-anak saling berhubung antara satu sama lain. Kaedah yang digunakan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak memberi keberkesanan dalam mempengaruhi perwatakan, pertumbuhan dan perkembangan anak-anak. Namun, apakah teknik yang betul yang perlu dipraktikkan ketika mendidik anak-anak?

Sebenarnya, anak-anak akan meniru segala tingkah laku ibu bapa sama ada baik ataupun buruk. Justeru itu, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak.

Sesetengah ibu bapa sering menasihati anak-anak menunjukkan contoh yang baik di sekolah sedangkan mereka sendiri yang menunjukkan tabiat buruk kepada anak-anak. Contohnya, ibu bapa sering menasihati anak-anak supaya tidak merokok sebaliknya mereka yang sering mempamerkan tabiat buruk itu. Hal ini sama dengan peribahasa bagai ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

Ibu bapa seharusnya menjaga tingkah laku dan pertuturan terutamanya di hadapan anak-anak kerana segala perlakuan dan pertuturan mereka sedikit sebanyak mempengaruhi perwatakan dan sifat anak-anak. Kelak, anak-anak akan membesar menjadi insan yang baik dan bertanggungjawab hasil didikan daripada ibu bapa yang berjaya menjadi teladan yang baik.

Sebagai contoh, anak-anak yang melihat ibu bapa mereka mengamalkan sikap tidak membuang sampah merata-rata sudah pasti akan mengikuti tingkah laku tersebut apabila dewasa kelak. Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni bapa borek anak rintik.

Jelaslah bahawa segala tingkah laku ibu bapa secara tidak langsung akan menjadi penentu kepada tingkah laku anak-anak pada masa hadapan. Oleh itu, ibu bapa menunjukkan contoh yang baik merupakan salah satu kaedah untuk mendidik anak-anak.

Selain itu, ibu bapa perlulah sentiasa mengikuti perkembangan anak-anak sama ada dalam aspek kokurikulum, kurikulum dan sahsiah. Ibu bapa perlulah mengambil berat dengan mengetahui tingkah laku anak-anak di sekolah.

Ibu bapa juga perlulah mencari cara untuk mengetahui masalah yang di hadapi oleh anak-anak dengan menghubungi pihak sekolah atau rakan-rakan mereka. Contohnya, ibu bapa menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan saling bertegur sapa dengan rakan-rakan mereka.

Hal ini demikian kerana terdapat sesetengah anak lebih gemar menceritakan masalah mereka kepada kawan-kawan atau guru berbanding ibu bapa mereka sendiri. Ibu bapa hendaklah memainkan peranan apabila anak-anak melakukan kesalahan dengan menegur mereka dengan perkara yang patut dilakukan.

Peranan ibu bapa berubah-ubah mengikut tahap perkembangan anak-anak. Terdapat lima tahap perkembangan anak-anak iaitu bayi, prasekolah, bersekolah, pra remaja dan remaja. Justeru itu, ibu bapa perlu memainkan peranan yang sesuai ketika mendidik anak-anak mengikut peringkat umur anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah menjalankan tugas sebagai pembimbing apabila anak-anak berusia enam tahun.

Ibu bapa hendaklah mengelak menghukum anak-anak berusia sepuluh tahun dan ke bawah secara fizikal. Hal ini kerana Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: “Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka”. (Riwayat Abu Daud).

Hadis di atas menjelaskan bahawa memukul bukanlah kaedah mendidik yang baik untuk anak-anak yang berusia bawah sepuluh tahun. Hal ini demikian kerana pada tahap ini, anak-anak cenderung untuk berimaginasi dan belum mampu berfikir secara logik. Ini membuatkan anak-anak pada tahap tersebut tidak memahami mengapa mereka perlu dihukum seterusnya menganggap ibu bapanya gemar menggunakan fizikal jika melakukan kesalahan.

Oleh itu, antara kaedah yang terbaik untuk mendidik anak-anak ialah sentiasa mengikuti perkembangan anak-anak dan memainkan peranan yang sesuai mengikut tahap perkembangan anak-anak.

Di samping itu, komunikasi merupakan salah satu kemahiran keibubapaan yang terpenting untuk mendidik anak-anak. Hal ini demikian kerana komunikasi yang baik dapat membentuk hubungan antara ibu bapa dan anak menjadi lebih kukuh.

Pada masa ini, ibu bapa sering mengabaikan perasaan anak-anak dan membuat keputusan sesuka hati. Contohnya, ramai anak-anak kini mengikut pilihan kerjaya yang ditentukan oleh ibu bapa mereka tanpa tahu apa matlamat mereka yang ingin mereka lakukan dalam hidup.

Kesannya, pilihan yang mereka lakukan tidak menepati minat dan bakat mereka. Hal ini mengakibatkan mereka gagal dalam pengajian mereka malahan ada sesetengah daripada mereka mengalami kemurungan hingga ke tahap ingin membunuh diri.

Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa seramai 872 orang yang berumur antara 15 hingga 18 tahun yang telah bunuh diri sepanjang tempoh 2019 hingga Mei 2021. Ibu bapa sepatutnya membimbing mereka dengan menunjukkan jalan yang betul dengan apa yang mereka ingin lakukan.

Pada fasa remaja anak-anak, ibu bapa sepatutnya memainkan peranan sebagai kaunselor dengan memberi nasihat dan menjadi pendengar yang baik. Misalnya, ibu bapa mendengar perkara yang ingin dilakukan oleh anak-anak apabila besar kelak dan menerima keinginan anak-anak jika bercanggah dengan kemahuan ibu bapa. Dengan berbuat demikian, anak-anak akan yakin menempuh cabaran masa hadapan kerana mereka mempunyai ibu bapa yang sentiasa menyokong mereka.

Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa menggilap kemahiran komunikasi antara anak-anak agar dapat mengeratkan hubungan antara anak-anak. Jelaslah bahawa komunikasi yang baik antara kedua belah pihak dapat mendidik anak menjadi insan yang berguna.

Seterusnya, kasih sayang merupakan satu aspek penting ketika mendidik anak-anak. Ibu bapa mestilah mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak sama ada melalui perbuatan ataupun perkataan.

Hal ini demikian kerana majoriti remaja yang menjadi sampah masyarakat kebanyakannya berpunca daripada kurangnya kasih sayang ibu bapa. Tamsilnya, sesetengah ibu bapa sibuk bekerja mengejar harta kekayaan sehingga mengabaikan anak-anak mereka. Hal ini menyebabkan anak-anak mula memberontak sehingga menimbulkan masalah sosial seperti ponteng sekolah, mencuri dan sebagainya.

Ibu bapa perlulah mengucapkan perkara-perkara baik dan tidak sesekali memperkecilkan anak-anak dengan perkataan yang kesat. Contohnya, ibu bapa memberikan hadiah apabila anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang.

Namun, jika anak-anak mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan, ibu bapa perlulah memberikan semangat dengan mengucapkan kata-kata yang positif agar anak-anak tidak mudah putus asa.

Dalam hal ini juga, ibu bapa hendaklah sentiasa mencari inisiatif untuk meluangkan masa dengan melakukan aktiviti riadah atau melancong sama ada pada hujung minggu atau pada cuti sekolah.  Dengan berbuat demikian, anak-anak akan sedar bahawa mereka sentiasa disayangi dan tidak akan sesekali diabaikan oleh ibu bapa.

Oleh itu, anak-anak akan menjadi insan yang memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat, agama, dan negara jika ibu bapa memberikan kasih sayang dan perhatian sepenuhnya kepada anak-anak.

Akhir sekali, ibu bapa hendaklah memberikan didikan yang sempurna agama. Agama merupakan pegangan hidup bagi setiap manusia yang hidup di muka bumi ini. Justeru itu, agama akan dijadikan senjata yang mampu membantu anak-anak menghindari perkara maksiat dan menangkis segala perkara-perkara negatif.

Hal ini demikian kerana setiap agama mengajarkan perkara yang sama iaitu mengajarkan kebaikan. Ibu bapa yang memberi didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sedikit sebanyak dapat membentuk akhlak dan budi pekerti yang mulia.

Penerapan nilai agama yang kukuh dapat dijadikan panduan kepada mereka apabila dewasa kelak. Misalnya, apabila anak-anak di sekolah, mereka tidak mudah terpengaruh dengan rakan-rakan dan dapat membezakan perkara baik dan buruk. Dengan didikan agama yang sempurna, ibu bapa tidak perlu terlalu risau akan anak-anak apabila dewasa kelak kerana mereka tidak mudah terpengaruh dan mudah menyesuaikan diri dengan tempat baru.

Anak-anak akan menjadi lebih baik dengan adanya ajaran agama yang kukuh dan mudah kembali ke pangkal jalan. Contohnya, sesetengah anak-anak yang tersalah jalan kerana dipengaruhi oleh rakan akan mudah bertaubat kerana didikan agama diterapkan sejak kecil.

Hal ini demikian kerana anak-anak mengingati ajaran-ajaran yang diajar oleh ibu bapa mereka. Ini membuktikan bahawa didikan agama perlulah diajar sejak kecil. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu iaitu melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jelasnya, memberi didikan agama yang sempurna merupakan teknik yang mesti dilakukan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, ibu bapa perlulah meningkatkan kemahiran keibubapaan dalam mendidik anak-anak. Pengorbanan dan kesabaran ibu bapa sangat diperlukan untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna. Ini tidak dinafikan lagi bahawa tugas ibu bapa bukanlah mudah dan tidak semua mampu menggalas tugas tersebut dengan sempurna.

Namun begitu, ibu bapa perlulah sentiasa berusaha untuk menjadi ibu bapa terbaik kepada anak-anak. Tegasnya, ibu bapa perlulah memantapkan kemahiran keibubapaan agar anak-anak menjadi insan yang mulia dan berguna kepada keluarga dan masyarakat.

Penulis;  Athirah binti Yusof, pelajar tahun 2 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular