Wednesday, September 27, 2023
HomeArtikelKempen Derma Darah Pemangkin Semangat Perpaduan

Kempen Derma Darah Pemangkin Semangat Perpaduan

Kempen derma darah merupakan aktiviti kemanusiaan, mendermakan darah kepada yang memerlukan secara sukarela. Manakala, perpaduan adalah proses menyatupadukan masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta terhadap negara.

Kepelbagaian etnik di Malaysia, menjadikan setiap rakyat mengimpikan perpaduan antara etnik. Persoalannya, bagaimana kempen derma darah mampu menerap semagat perpaduan antara etnik di Malaysia?

Jika ditelusuri dengan lebih mendalam, aktiviti derma darah sememangnya merupakan aktiviti yang mampu mewujudkan impian rakyat Malaysia untuk hidup bersatu padu. Hal ini dikatakan demikian kerana, kempen derma darah adalah aktiviti sukarela yang terbuka kepada semua etnik tanpa mengira warna kulit, budaya dan agama.

Sebagai contoh, di tempat kempen derma darah diadakan, terdapat semua golongan etnik yang berbeza umur, menunggu giliran untuk mendermakan darah mereka. Niat dan tujuan yang murni untuk membantu mereka yang memerlukan pendermaan darah menyebabkan rakyat Malaysia yang berbilang etnik mengabaikan perbezaan antara mereka. Ini adalah sikap bertanggungjawab yang tidak mementingkan diri sendiri dan selayaknya diberikan pujian. 

Tambahan pula, tranfusi darah yang didermakan juga tidak terbatas untuk diberikan kepada golongan tertentu sahaja, kerana darah yang didermakan akan diberikan kepada mereka yang memerlukannya tanpa mengira perbezaan ideologi dan sosial.

Oleh sebab itu, derma darah merupakan aktiviti kemanusiaan yang dipandang mulia kerana mampu membantu menyelamatkan nyawa seseorang seperti mangsa kemalangan, pesakit talasemia, pesakit barah, pesakit jantung, penyakit hati, hemophilia, pembedahan kritikal, pendarahan dan lain-lain.

Derma darah bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima darah, malah penderma darah juga boleh menerima manfaatnya. Misalnya dari sudut kesihatan, derma darah membantu penderma mengesan sebarang masalah kesihatan seperti tekanan darah, kadar hemoglobin dalam darah dan degupan jantung.

Hal ini dikatakan demikian kerana, sebelum proses derma darah berlaku, para penderma akan menjalani saringan kesihatan dan fizikal untuk melihat tahap kesihatan darah mereka terlebih dahulu. Seperti yang telah ditetapkan oleh Pusat Darah Malaysia, terdapat beberapa kriteria dan prosedur yang perlu dipatuhi sebelum melayakkan seseorang individu mendermakan darah.

Selain itu, menderma darah mampu menjaga kesihatan jantung dari risiko penyakit jantung, mengurangkan kadar kalori dan seimbangkan kadar zat besi dalam badan penderma darah tersebut.

Namun begitu, derma darah hanya boleh dilakukan sekali setiap tiga bulan. Menurut kajian daripada National Library of Medicine (2017), tindakan tersebut boleh menjejaskan kesihatan penderma darah.

Jelaslah bahawa kempen derma darah memberi banyak kebaikan kepada penerima dan penderma darah. Malah, derma darah ini boleh menjadi asbab perpaduan antara etnik di negara kita. Tanpa kita sedari, aktiviti ini juga telah memupuk nilai-nilai murni dalam diri kita untuk sentiasa tolong- menolong dan prihatin terhadap mereka yang memerlukan. Selain itu, sifat perkauman dan prejudis antara etnik juga dapat dihapuskan melalui kempen derma darah ini.

Untuk pengetahuan umum, darah yang didermakan akan dikelaskan mengikut beberapa jenis komponennya seperti sel darah merah, plasma dan platelet. Setiap jenis komponen tersebut mempunyai cara penyimpanan dan tempoh penyimpanannya yang berbeza. Sebagai contoh, sel darah merah dapat disimpan selama 35 hari, manakala plasma boleh disimpan selama 2 tahun dan platelet pula hanya mampu bertahan selama 5 hari.

Seterusnya, darah yang tidak disaring atau tidak menjalani proses pengkelasan akan digunakan untuk kes-kes, pesakit yang kehilangan darah akibat kemalangan dan untuk pertukaran darah akibat jaundis neonatal yang teruk (Exchange Transfusion). Sel darah merah pula akan digunakan untuk pesakit yang mempunyai masalah anemia atau kekurangan hemoglobin seperti penyakit buah pinggang dan panyakit kanser.

Manakala, plasma digunakan untuk kes-kes pendarahan semasa bersalin, lecur akibat kebakaran, pendarahan akibat kerosakan hati. Seterusnya, platelet digunakan untuk penyakit-penyakit kekurangan platelet seperti demam denggi dan leukemia.

Menurut Pengarah Pusat Darah Negara (PDN), Dr Noryati Abu Amin, trend derma darah di negara mencatat peningkatan yang baik dan bekalan darah di Pusat Darah Negara masih mencukupi.

Namun begitu, masyarakat disarankan untuk terus konsisten menderma darah bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi pada masa hadapan kerana berikutan dengan pandemik Covid-19, terdapat juga pesakit Covid-19 yang memerlukan transfusi darah, terutamanya bagi mereka yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Sehubungan dengan itu, Pusat Darah Negara dan banyak pihak lain telah mengadakan kempen derma darah di seluruh Malaysia bagi menggalakkan lagi masyarakat menderma darah. Oleh hal yang demikian, menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk melibatkan diri dan tampil mendermakan darah di PDN, tabung-tabung darah yang berhampiran atau di kempen derma darah yang diadakan agar bekalan darah yang diperlukan sentiasa mencukupi.

Selain itu, kita juga boleh memanfaatkan media massa untuk tujuan menghebahkan dan menguar-uarkan mengenai kempen derma darah dan kepentingannya kepada masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana, masih terdapat segelintir masyarakat yang kurang pendedahan dan kesedaran mengenai kempen ini. Justeru, menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat yang prihatin untuk menyebarkan kesedaran dan kebaikan sesuatu kepada masyarakat.

Akhir kata, kempen derma darah adalah antara medium terbaik untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang etnik di Malaysia ini. Oleh hal yang demikian, sebagai rakyat Malaysia kita haruslah berusaha untuk memastikan kempen derma darah terus diadakan kerana dengan menderma darah bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa seseorang, malah mampu menyelamatkan hubungan perpaduan antara etnik di Malaysia.

Penulis; Nur Amirah Binti Abdullah, Pelajar Tahun 1, Fakulti Syariah Dan Undang-Undang, USIM.
RELATED ARTICLES

Most Popular