Sunday, September 25, 2022
HomeArtikelKempen Keluarga Bahagia Mampu Atasi Penderaan Kanak-kanak

Kempen Keluarga Bahagia Mampu Atasi Penderaan Kanak-kanak

Dalam milenium ini, tatkala tanah air kita rancak menari mengikut rentak arus modenisasi dalam konteks pembangunan fizikal yang diibaratkan cendawan yang tumbuh selepas hujan, masalah seperti penderaan kanak-kanak semakin menimbulkan kegawatan dan menjadi polemik yang meniti dari bibir ke bibir masyarakat. 

Kalau ditanya siapa dalangnya atau dari manakah akar umbinya, masing-masing menuding jari sesama sendiri. Sebelum meneruskan coretan ini, apakah maksud kanak-kanak dalam konteks ini? Menurut Dewan Bahasa Edisi Keempat, kanak-kanak ditakrifkan sebagai budak lelaki atau perempuan yang masih kecil biasanya yang belum berumur lebih daripada tujuh atau lapan tahun. 

Menurut Akta Pengangkatan 1952, kanak-kanak ialah seorang yang belum berkahwin dan di bawah umur 21 tahun. Walaupun berlainan takrifan daripada pelbagai pihak, jelas kita tahu bahawa kanak-kanak ialah golongan yang memerlukan perlindungan daripada orang lain terutamanya ahli keluarga dan masih bergantung kepada orang lain.

Kanak-kanak dalam sesebuah keluarga ataupun dikenali sebagai anak-anak merupakan anugerah dari Allah yang tidak ternilai kepada setiap pasangan dan institusi keluarga itu sendiri. Anak-anak sepatutnya menjadi penyeri dan penghibur dalam kehidupan mereka bukannya dianggap sebagai bebanan. 

Sehubungan itu, ibu bapa mahupun masyarakat sekeliling hendaklah memberi layanan yang baik dan mencurahkan kasih sayang sepenuhnya kepada golongan cilik ini kerana mereka adalah golongan yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara kita pada masa hadapan dan merupakan aset model insan negara. 

Namun begitu, masyarakat seantero negara kini acap kali disajikan dengan berita-berita berkenaan penderaan kanak-kanak.

Penderaan kanak-kanak boleh diklasifikasikan kepada empat jenis iaitu; 

  1. Penderaan fizikal 
  2. Penderaan emosi 
  3. Penderaan seksual 
  4. Pengabaian.

Pertama, apabila terdapat sebarang tanda-tanda kecederaan yang bukan disebabkan kemalangan seperti lebam, patah atau retakan tulang, pendarahan, melecur kerana kebakaran, luka, kehilangan rambut atau gigi, calar, parut dan melecet pada tubuh mangsa, ia dikira sebagai penderaan secara fizikal. Segala kecederaan seperti ini kebiasaannya boleh berlaku apabila mereka dipukul, dilempang mahupun dicubit. 

Seterusnya, penderaan emosi berlaku apabila emosi kanak-kanak tersebut terganggu sehingga boleh menjejaskan fungsi mental dan emosi mereka seperti kecelaruan mental, keresahan, kemurungan, tekanan, penyendirian, terencat akal dan perkembangan fungsi otak yang lambat. 

Selain itu, kanak-kanak juga didera secara seksual. Penderaan seksual termasuklah jika mereka terlibat apa-apa bahagian ataupun aktiviti yang berunsur seks seperti mengeksploitasi seks mahupun memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain. 

Akhir sekali, mendera kanak-kanak dengan mengabaikan mereka sama ada dari segi kebajikan, emosi, tempat tinggal, keperluan fizikal dan kesihatan. Pengabaian boleh memberi risiko akan keselamatan mereka kerana mereka terdedah kepada bahaya sehingga boleh mengancam nyawa mereka. 

Persoalan yang menerjah dalam minda kita ialah apakah punca yang mendorong mereka untuk melakukan sedemikian terhadap kanak-kanak? Mengenal pasti punca yang menunjangi masalah ini amatlah vital sebelum membuahkan idea untuk mengatasinya. Oleh yang demikian, faktor penderaan kanak-kanak yang mewarnai fokus perbincangan ini akan dikupas dan dibugar secara lebih terperinci. 

Suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah masalah kewangan merupakan salah satu punca utama kes penderaan kanak-kanak ini. Marcapada dapat kita saksikan bahawa taraf kehidupan masyarakat Malaysia semakin meningkat dari masa ke masa. Sebagai seorang ibu atau bapa, telah menjadi tanggungjawab mereka untuk memberi kemudahan dan keperluan kepada anak-anak mereka supaya anak-anak mereka tidak berasa terlalu rendah diri ataupun tidak yakin apabila berdepan dengan rakan-rakannya. Niat murni ibu bapa terhadap anaknya amatlah menyentuh hati dan telah menjadi norma untuk mereka berkelakuan sedemikian. 

Namun begitu, untuk melaksanakan tanggungjawab mereka, ibu bapa terpaksa untuk bekerja keras sehingga pulang lewat malam dan mengabaikan kebajikan mereka sendiri bagi menyara keluarga. 

Kesannya, mereka cenderung untuk melepaskan lelah dan tekanan mereka kepada anak-anak di rumah. Mereka lebih cenderung untuk melampiaskan kemarahan mereka secara tidak berhemah. Isu yang paling menyedihkan apabila terdapat segelintir ibu bapa yang bekerja keras hanya untuk kepentingan mereka sendiri dan mengabaikan tanggungjawab mereka untuk menyediakan kebajikan dan keperluan anak-anak mereka. Erti kata lain, ibu bapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa akan tanggungjawab hakiki mereka untuk mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. 

Mantan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pernah berkata bahawa wang ringgit bukanlah pengganti kasih sayang malah ibu bapa sanggup mengorbankan apa-apa sahaja untuk cahaya mata mereka. Hal ini jelas membuktikan bahawa duit tidak membawa kesejahteraan malah mampu memberi impak negatif dan memberi masalah seperti kes penderaan kanak-kanak. Walaupun kehidupan pada era ini mendesak keluarga untuk terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, namun, adalah tidak wajar bagi mereka, kanak-kanak, untuk menerima balasan dan layanan sebegini.

Lontaran idea seterusnya, penulis berpendapat bahawa penyalahgunaan dadah juga menjadi asbab isu penderaan kanak-kanak semakin berleluasa. Umum mengetahui bahawa, dadah merupakan musuh negara. Namun, saban hari ada sahaja kes yang berkaitan dengan dadah dan gejala penyalahgunaan dadah dihebahkan dan jelas kita tahu hal ini sudah semakin parah sehingga melibatkan pihak atau golongan yang tidak bersalah. 

Sebagai contoh, baru-baru ini, terdapat sebuah kes penderaan telah dilaporkan di mana seorang kanak-kanak perempuan berumur 4 tahun telah meninggal dunia setelah kerap kali dipukul oleh bapa tirinya.  Forensik mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan di kepala akibat hentakan benda tumpul. Setelah dikaji, suspek yang merupakan bapa tiri mangsa, didapati positif dadah jenis ‘methamphetamine’ selain mencatatkan rekod kes curi. 

Methamphetamine’ merupakan  ubat perangsang yang boleh menyebabkan ketagihan serta disalahgunakan. Selain itu, kesan pengambilan jenis dadah ini ialah meningkatkan kesedaran, meningkatkan aktiviti fizikal, menurunkan selera makan dan menyebabkan degupan jantung tidak teratur. Bahan ini juga boleh meningkatkan rembesan dopamin yang tinggi dalam otak sekaligus mencetuskan rasa keseronokan dan rasa “rush” atau “flash”. 

Bertitik tolak daripada itu, tingkah laku di luar kawalan kita akan menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku. Mereka akan bertindak secara agresif tanpa memikirkan orang sekeliling sehingga mampu menggadaikan nyawa orang yang tidak bersalah. Jelaslah bahawa penyalahgunaan dadah oleh rakyat Malaysia telah menjadi duri dalam daging kerana mampu menimbulkan kesulitan sekaligus menjadi asbab kes penderaan kanak-kanak semakin menambun.

Selain itu, penulis juga berpendapat bahawa krisis rumah tangga juga menjadi asbab yang menyumbang kepada peratusan dan statistik penderaan kanak-kanak. Pergaduhan di antara suami dan isteri yang mungkin disebabkan salah faham sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada kehidupan anak-anak. 

Apabila mereka sibuk memikirkan masalah yang berlaku sesama sendiri, anak-anak akan mula diabaikan. Walhal sikap anak-anak yang masih kecil yang sering mahukan perhatian daripada ibu bapa mereka menyebabkan mereka semakin tertekan. Kemudian, mereka cenderung untuk memarahi anak-anak mereka kerana emosinya yang tidak stabil.   

Pengabaian seperti ini tidak sewajarnya berlaku kerana ibu bapa seharusnya menyelesaikan krisis mereka secara berhemah dan tidak melibatkan ataupun melepaskan perasaan amarah mereka kepada anak-anak yang tidak bersalah. Tanggungjawab mereka untuk memberikan keperluan fizikal dan nutrisi serta memberikan perhatian dan mencurahkan kasih sayang. Oleh itu, memberi perhatian sepenuhnya kepada anak-anak amat memainkan peranan lebih-lebih lagi ketika mereka sedang membesar.

500
Sumber Photo: Best Mom

Bertitik tolak daripada punca-punca penderaan kanak-kanak yang telah dihuraikan di atas, penulis yakin pasti ada solusi yang relevan, pragmatik dan konkrit bagi mengatasi gejala ini. 

Penulis berpandangan  kempen “Keluarga Bahagia” mampu mengatasi gejala ini. Menurut Dr. Hassan Ali, Pengarah Akademi Keluarga Bahagia Malaysia, kesejahteraan bermula dari rumah. Maka ibu bapa hendaklah menjadikan rumah mereka seperti syurga di mana kedamaian dan keindahan mula terbentuk. 

Pun begitu, konsep “Keluarga Bahagia” di sini bukan bermaksud anak-anak diberikan kemewahan dan kemudahan dalam kehidupan mereka malah ia menekankan kepentingan kasih sayang dalam sesebuah institusi keluarga tersebut. Kempen ini hendaklah menegaskan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa dari segi perspektif agama mahupun kehidupan biasa. 

Melalui kempen ini, kita sepatutnya menyeru dan menggalakkan ibu bapa di Malaysia untuk meluangkan masa dengan anak-anak mereka dengan lebih kerap, melaksanakan ibadah bersama-sama dan menitipkan akhlak-akhlak mulia dengan menjadi suri teladan sebaik mungkin kepada anak-anak. 

Melalui pelaksanaan kempen ini juga, penulis yakin bahawa ramai ibu bapa dan ahli keluarga sedar akan kepentingan kehadiran ahli keluarga tersayang. Hanya keluarga yang akan sentiasa bersama kita, ketika susah dan senang. 

Selain itu, golongan ibu bapa juga dapat menghindarkan diri mereka daripada kesibukan kerja seketika sekaligus menenangkan fikiran mereka. Tambahan pula, bagi mengatasi sikap baran dalam diri seseorang itu, penulis percaya bahawa pasangan mereka amat vital dalam memainkan peranan bagi meredakan sikap tersebut. Penulis berkeyakinan bahawa melalui kempen ini, kasih sayang dapat dicurahkan kepada anak-anak sebaik mungkin, kemudian  merendahkan statistik penderaan kanak-kanak dan membendung gejala ini daripada terus berleluasa. 

Tidak ada kusut yang tidak terlerai, tidak ada keruh yang tidak jernih. Oleh itu, kata sepakat seia sekata perlu diambil untuk menangani isu ini. Kita hendaklah berganding bahu untuk mencegah perkara ini berterusan menimpa negara kita dan  janganlah berputus asa untuk memulihkan sikap masyarakat yang kian parah sehingga boleh terlibat dalam isu ini. Bak kata pepatah, patah sayap bertongkat paruh. Janganlah pula sudah terhantuk baru terngadah. 

Umum mengetahui anak-anak adalah anugerah ilahi yang sepatutnya kita lindung dan mencorak kejayaan mereka bukannya memusnahkan harapan mereka. Keluarga merupakan nukleus utama dan merupakan institusi tertua bagi menentukan arah dan hala tuju untuk mencapai kejayaan  mereka. Anak-anak ibarat sebusuk-busuk daging dibasuh dikincah dimakan juga. Walau seberapa buruk sekalipun sikap mereka, jangan biarkan kasih sayang terhadap mereka luntur. Layan, belai, bimbing  dan didiklah mereka sebaik mungkin dan sepenuh jiwa anda kerana sesungguhnya mereka merupakan insan baru yang mahu mengenal dunia seperti kita.

Penulis: Nureen Umairah Binti Amir, Pelajar Tahun 2 Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia 
RELATED ARTICLES

Most Popular